Isnin, 14 November 2011

Cerpen Indie 20 : Hati Kontras & Hakikat [Versi cerpen berantai]

Kepala Rantai: Rizal - Ramli Yang Sepi
Rantai II - Zalila - Layla Oh Layla
Rantai IV - Rudeen - Lima Hati

"Ya, saya Rudeen. Kenapa ni Encik?" Rudeen soal dengan penuh curiga. Pelbagai persoalan bermain di benak fikirannya. Adakah dia ada buat salah? Adakah ada khabar berita buruk menimpa keluarganya? Adakah gajinya akan dipotong?

Ramli mula gugup tak menentu. Entah apa yang ada pada renungan Rudeen membuat dia tiba-tiba jadi dungu. Mata Ramli mula meliar, mengelak rengungan rudeen.

"Awak kerja sini?" Tanya Ramli sambil mata beralih pandang, dan tangan di dalam kocek seluar. Kaki kirinya mula menguis-nguis lantai kedai.

"Ya Encik, kenapa ni?" Rudeen muah resah. Ramli dihadapannya kelihatan sudah mula hilang senonoh.

"Takde pape, buah kelapa!"
Dalam tak sampai 10 saat, Ramli sudah berundur, kemudian lari bersungguh-sungguh meninggalkan semua warga dalam pasaraya Tak Un Tong kelu seribu bahasa. Entah kenapa, tiba-tiba gemurh bila berhadapan dengan Rudeen.

Sampai di satu simpang, Ramli yang masih mengah, bersandar ke dinding sambil mengatur kembali pernasan. Ramli memang suka mengatur kembali pernafasan mengikut gaya watak Ji fat dalam komik Alam Perwira yang dibeli setiap bulan. Ramli menyeluk kocek peha kirinya untuk mengeluarkan rokok. Tinggal sebatang. Tanpa berfikir panjang, api mula dicucuh dengan mancis, dan asap, tar dan nikotin disedut dalam-dalam.

"Cantik juga Rudeen tu sekarang rupanya"
Ramli menyeluk kocek belakang seluarnya. Dikeluarkan satu dompet usang berjenama Ocean Pacific yang beliau beli ketika di tingkatan 2. Perlahan-lahan, dibukanya dompet yang dipenuhi dengan resit, kad pengenalan, keratan tiket wayang, dan beberapa keping duit biru.

Dibelakang kad pengenalan dikeluarkan satu keping gambar kecil. Gambar pujaan hatinya, Zalila. Atau nama manjanya, Layla.

Gambar yang dikerat dari buku tahunan sekolah menengah, kemudian dilaminat dengan plastik, Ramli simpan sudah bertahun. Ditenungnya setiap hari jika ada masa lapang, dan hati merindu. Untuk disesuaikan dengan jiwanya yang rock, lidah Ramli kerap dibasahi dengan lagu "Laila Nama Mu Teratas", lebih kerap dari dia memberi salam. Ramli semakin keliru dengan rasa cintanya.

Sedang asyik termenung, tiba-tiba kedengaran satu suara serak-serah basah.
"Sini kau rupanya Ramli!" Lamunan Ramli tersentak.
Izwan mula mengacukan kamera pada riak wajah Ramli yang kelakar, lantas mengambil gambar bertalu-talu.

.....

Telefon berdering dan bergetar. Hadi yang baru menjejakkan kaki ke dalam rumah menyeluk kocek seluar dan mengeluarkan telefon bimbit. Diperhatikan nama yang terpapar di skrin. "Zalila". Hadi memang lebih sukakan nama Zalila berbanding Layla. Baginya, nama Zalila itu lebih menunjukkan sifat yang kental, berbanding nama Layla yang agak biasa digunapakai.

"Assalamualaikum" Hadi menjawab telefon, sambil melabuhkan punggung di kerusi pusaka, di ruang tamu.

"Hadi, nak tanya ni. Kenapa baju ni saiz S? Mana saya muat..." Suara Zalila kedengaran sayu.

"Ye ke? Astaghfirullah... Maaf, saya tak perasan sungguh tadi. Saya nampak lawa, tak terfikir pula pasal saiz. Maaf ye..." Hadi menepuk dahi. Membeli pakaian adalah salah satu kelemahan Hadi. Sebenarnya boleh dikira berapa kali dia membeli pakaian untuk wanita. Selalunya dia ditemani adik perempuannya, akan tetapi tadi dia pergi bersendirian.

Dahulu, memang diakui, Hadi memang liar orangnya. Sama liar dengan sahabatnya Ramli. Gandingan mereka berdua memang berjaya menggegarkan sepelusuk kampung suatu masa dahulu. Dari zaman sekolah rendah lagi. mereka memang huru-hara tidak bertempat. Dari mengecat ayam laga Pak Akob, sehinggalah mengikat selipar Bilal Rushdi dengan mercun tarik. Habis melatah sampai terlucut kain pelekat orang tua itu dibuatnya.

Ketika tingkatan 4 di sekolah menengah, cabar-mencabar sudah menjadi permainan harian mereka. antara cabaran biasa bagi budak-budak sekolah kampung zaman itu, adalah mengorat makwe. Syarat kemenangan adalah, perlu tengok wayang, dan bergambar bersama di studio kedai gambar. Siapa dapat tunjuk gambar dahulu, dia menang. Yang paling kuat mencabar adalah Apit. akan tetapi, bila tiba giliran si Apit dicabar, maka dia akan tiba-tiba demam kononnya.

Hadi, secara rawak telah memilih untuk mengorat Rudeen, budak kelas lain. Bagi Hadi, kalau budak kelas lain, tak adalah malu sangat nanti. Pelbagai taktik yang Hadi lancarkan untuk mengorat, termasuk membeli makanan dan menulis lagu. Hadi telah menulis satu lagu berjudul Hey Ho! Rudeen!. Apa boleh buat, Hadi hanya minat lagu punk dan gamelan. Memang agak aneh kombinasi minat muzik si Hadi ini. Segala yang Hadi lakukan, bukan atas nama cinta, akan tetapi, hanya kerana cabaran. Oleh kerana itu Hadi gagal. Dan Hadi tidak kisah sangat.

Ramli, sebaliknya memilih Zalila. Berbanding dengan Hadi, Ramli memang secara senyap ketika itu memendam rasa cinta terhadap Zalila. Tak ramai yang tahu, termasuklah Hadi sendiri.

Tamat persekolahan, Hadi agak bernasib baik, dan menyambung belajar di kota. Jiwa liar dan merdekanya yang mendorong dia untuk terus mengubah nasib. namun, sesuatu telah berlaku di kota, dan merubah diri Hadi sekarang.
Ramli, hanyut dengan angau tak sudah, kurang bernasib baik. Dia terus kecundang, dan senantiasa menyalahkan segala-galanya, kecuali dirinya sendiri.

Mungkin takdir telah menemukan Hadi dan Rudeen di pasaraya tadi. Oleh kerana Hadi masih mengenali Rudeen, maka Hadi meminta Rudeen menolongnya memilih pakaian. Rudeen yang masih berprasangka buruk terhadap Hadi, menyangka bahawa Hadi tak sudah-sudah terhegeh-hegeh menagih cinta Rudeen.Rudeen juga agak malu sendiri kerana menyangka memang benar baju yang dibeli itu untuk dirinya. Sumpah Rudeen tak mahu. Oleh kerana itu, pemilihan saiz pun menjadi huru-hara.

"Ye ye je awak ni. Takkan saiz saya pun awak tak tahu? Jangan tipu tau..." Suara Zalila semakin tegas.

"Menipu itu adalah salah satu dosa besar yang selalu dipandang remeh Zalila, saya tahu tu. Tapi, kalau awak tuduh saya menipu, terpulanglah" Hadi menjawab dengan tenang dan teratur.

Kalau selalunya, Zalila akan mula baran dan mencampakkan telefon ke katil, dan menghentak-hentak kaki. Kalau nak dihempaskan ke lantai, takut jahanam pula. Entah mengapa, Zalila tidak jadi mengamuk bila dengar jawapan Hadi. "Takdelah, saya ingat awak beli untuk orang lain tadi. Itu yang saya tanya macam tu..." Keluh Zalila berbaur rajuk.

"Aish! Kesitu pula. Tak apa. Esok, saya singgah rumah awak, ambil baju tu, kita pergi tukar sama-sama di pekan. Awak ikut saya. OK?" hadi memberi jaminan, gaya budiman.

"OK, janji tau!" Zalila menjawab sambil tersengih.

"Hmm, dah nak maghrib. saya nak mandi ni, nak ke masjid. Awak pun pergi lah mandi, dah ada bau masam sampai sini. Assalamualaikum..." Hadi cuba bergurau mengindahkan suasana senja.

"Huh! Nyampah! Waalaikumsalam!" Telefon diletakkan gaya garang-garang romantis.

.....

Selesai Isya', Hadi duduk sebentar di pangkin kayu tepi masjid. "Pap!" Bahunya ditepuk.

"Assalamualaikum! Menung mende ni?" Haji Rizal menegur, terus duduk di sebelah Hadi.

Haji Rizal, Imam Muda di masjid kampung itu, merangkap pengetua di sekolah agama rakyat kelolaan masjid. Orang yang belum tua sangat lagi itu, memang agak berbeza perwatakannya dengan orang-orang agama yang lain. Malam itu Haji Rizal memakai kain pelekat, kopiah putih, serban di leher, dan kemeja-t bertulis "Viva La Palestina". Mana ada imam lain pakai kemeja-t.

"Waalaikumsalam... Saja ambik angin, Aji.." Hadi menyambut salam, dan mengengsot sedikit, supaya ruang duduk mereka selesa.

"Aok jangan nak temberang la, nengok muka je dah tahu. Mesti ada fikir something ni. Ye la, orang dah bertunang, memang lain dugaannya. dok gitu?" Haji Rizal memang cool. Orang kata, masa muda dulu, dia memang rock terus rock.

"Haha! Boleh tahan lah. tu lah, saya dah la tak reti nak bercinta ni. Sekali tup-tup mak ayah dah tunangkan. Saya cuba terima. Tak berani saya melawan. Cukuplah dosa-dosa saya derhaka dulu. Dah lah saya ni dulu tak baik mana. Aji pun tau kan?" Terpanjang pula rungutan Hadi.

"Jangan risau. Yang penting, amende je aok lakukan, nak kerje ke, nak bercinta ke, mesti niat kerana Allah. Keh pun bukan baik mana pun, ye dok? Ingat, La' Haqiqat Illallah... tiada yang hakiki melainkan Allah" Haji Rizal meluahkan nasihat sambil melipat serban.

Hadi angguk-angguk dengan dahi berkerut. Cuba memahami segala maksud yang cuba Haji Rizal sampaikan.

"Keh balik dulu, malam ni ada Rambo II main kat TV2. Assalamualaikum!" Haji Rizal menghidupkan motor lumba 150cc, terpapar di tangki motor, tulisan Gunx Not Dead!

.....

"Apa benda yang lu pening-pening lagi ni?" Izwan bertanya penuh curiga pada Ramli.
"Gua.. Gua..." Ramli baru buka mulut mahu menjawab, tiba-tiba... "Pang!!"

Akan disambung oleh : Norizwan Azlan