Khamis, 31 Julai 2008

Maaf para kerabat, Choki Choki masih gagal dikesan

Semalam, setelah berjumpa dengan Cik Alyaa dan Kak Sha, Saya mengajak Faris untuk pergi ke Mydin Kajang bagi menyelesaikan misi membeli cokelat Choki Choki secara borong. Saya dengan mulut manis ini telah menjanjikan 4 batang Choki Choki seorang kepada ahli-ahli yang telah berpenat lelah berusaha menarik ahli ketika bazaar persatuan dan kelab tempoh hari, hanya jika mereka mendapat 100 keahlian berdaftar dan berbayar.



Ternyata, usaha mereka berjaya, dan 4 batang Choki Choki akan dianugerahkan kepada mereka. Oleh kerana saya ini seorang presiden yang miskin dan muda, jadi saya berusaha mencari bekalan Choki Choki yang paling borong dan murah di pasaran. Maaf atas dasar penjimatan saya ini, hehehehe...



3 tempat utama di mukim Kajang telah saya terokai bersama Faris. Mydin, Econsave dan juga Tesco. Tidak diketemukan juga saya dengan Choki Choki itu... Di persinggahan terakhir saya, Tesco, terdapat pelbagai jenis coklat yang boleh dikatakan sezaman dengan Choki Choki, namun masih tiada Choki Choki.



Akhirnya kami berputus asa, dan terus membeli-belah barang keperluan lain. Kami membeli-belah dengan perasaan hampa.



Kami tidak dapat mencari lebih lama, kerana saya perlu pulang awal, dan memasak untuk berbuka puasa dengan Ammzar. Jangan risau, hujung minggu ini saya akan pulang ke Gombak, Choki Choki pasti ada di Gombak! Saya kena masak hari itu kerana Ammzar terkena penyakit malas pada petang itu. Hampeh!




Rabu, 30 Julai 2008

Cogankata peribadi milik Hadi

Promise Her Anything, But Give Her Hadi.

Enter a word for your own slogan:

Generated by the Advertising Slogan Generator. Get more hadi slogans.



Saya sudah ada, anda bagaimana? - Kredit kepada Yuzy

Selasa, 29 Julai 2008

Oh, ia berbulu...


Semalam, kami bersama-sama membuat tugasan subjek SISP di makmal komputer tingkat 4 di bangunan COIT. Belum lagi siap kerja, perut kami sudah mula berkeroncong sehingga membuatkan tubuh kami menggigil kelaparan.




Lantas, kami semua bersetuju untuk pergi mengisi kekosongan ruang gastros kami. Oleh kerana Jaja ingin mencuci keretanya yang sudah agak keterlaluan kotornya, kami bersetuju untuk menaiki kereta jaja untuk makan sambil mencuci kereta. Ketika kami hampir masuk ke dalam kereta, saya terperanjat kerana menyangkakan ada kucing dalam kereta Jaja.



Rupa-rupanya, ia hanyalah salah satu dari koleksi mainan berbulu milik Jaja... fuh.. agak penuh kereta beliau dengan makhluk-makhluk seperti itu. Hampir hilang Pokcik ditenggelami oleh makhluk-makhluk itu.



Saya rasa, Jaja patut baca blog ini, demi kebaikannya... hehehehehe.



Harga minyak


Semalam, setelah kami semua ahli rumah membeli-belah secara miskin di pasaraya Billion, kami singgah sebentar di sebuah stesyen minyak untuk mengisi tangki kereta knight rider ammzar. Maka, tehasillah dialog di bawah...


Ammzar : sekarang, yang V-Power dah 3 ringgit lebih seliter.

Hadi : Kau nak isi yang V-Power ke?

Ammzar : Gile ko! Kita kan miskin! Aku isi yang merah je! Aku nak isi 14 ringgit je!

Hadi : Apa kelebihan yang V-Power ek?

Zul : Kelebihan dia, duit ko lagi cepat habis.. kah kah kah kah!

Ahad, 27 Julai 2008

Apabila teknologi bercuti sebentar

Semalam, secara tiba-tiba, bekalan elektrik di pangsapuri cendikiawan terhenti seketika. Saya yang sedang hangat melayari internet, berbual menerusi YM, dan mendengar lagu Matahari dendangan Agnes Monica lantas terbantut dan terkedu.

Ternyata kobosanan mula menerpa ibarat samudera menghanyutkan pantai. Sebagai remaja akhir zaman yang sudah biasa termanjakan oleh teknologi-teknologi moden, saya seperti mati akal. Akal sihat ibarat mula hilang.



Saya mula keluar dari bilik dan menganggu ahli rumah yang lain. Belum puas menganggu, perut mula terasa lapar. Saya lantas membancuh segelas air coklat bersama oat. Sambil menghirup minuman panas itu, saya duduk termenung memandang ke luar tingkap.



Ketika dalam kebosanan seperti itu, barulah saya mula menghargai alam. Saya mula menikmati keindahan pemandangan dang mengamati nilai-nilai warna yang selama ini tampak biasa sahaja. Setelah diamati, barulah saya sedar, alam sekeliling saya ini juga sebenarnya penuh warna-warni.



Petang itu, saya ikut Pokcik berjogging sambil menikmati keindahan alam dan kesegaran oksigen...

Muzik pagi Ahad - Mustafa Mustafa



Lagu ini banyak mengembalikan memori saya ketika masih belajar di Klang.. rare nih!

Sabtu, 26 Julai 2008

Kelana Bujang di Kota Bharu - Bahagian 4 (tamat)


Agak lama saya beri’tikaf dan diam menanti di dalam masjid itu sehingga hujan benar-benar berhenti. Agak ramai juga yang turut sama berehat, solat, malah ada yang tertidur keletihan. Mungkin mereka juga musafir seperti saya. Ada juga yang memandang pelik kepada saya, mungkin kerana rambut saya, atau rupa bentuk saya, atau dompet saya, atau hiasan di telefon bimbit saya, ataupun pelik melihat saya kerap menangkap gambar di dalam Masjid itu.



Setelah hujan reda, saya pun mula bergerak turun dari Masjid. Saya mula menghantar SMS kepada Faisal.



“Camne nak gi tempat ko?”


“Aku nk cite jalan susah skit, ko tanya je org, mesti tau punya, dekat je, boleh jalan kaki.”




Dengan berkat mulut manis dan wajah manis saya, saya mula bertanyakan jalan kepada mereka yang lalu-lalang, tidak kira jantina atau usia. Akan tetapi, berikut adalah antara jawapan-jawapan yang saya terima:-


“Akok tok tahu.. Akok dari ganu..”


“Susoh nok tunjuk.. jauh tu be.. naik bah (bas) la.. mudoh sikik..”


“Sano tu.. eh! Sano.. eh! Sini kot.. eh! Sano... Sano..! (sambil menunjuk ke kiri dan ke kanan.)”


“Jauh be.. abe naik bah la.. 60 sen jo.. Abe tughun K.B Mall, Doh sampe KB Mall, Abe seney sikik nak jale..”


“Ni keno naik bah (bas) ni, bukey semuo tempak kito boleh jale kaki, tapi jange naik teksi ko, beca ko, maha (mahal) nanti dik...”



Satu jawapan pun tidak membantu memudahkan proses perkelanaan saya. Akan tetapi, saya tidak mengalah, saya teruskan usaha mencari dan bertanya. Akhirnya saya bertanya di sebuah gerai menjual akhbar dan majalah.



“Oh, UITM? Sano tu... dekak depey bala polih tu... Dio teghuh lagi lepah banguney MPKB, lepah bulatey nanti..”


(sana tu, dekat depan balai polis tu, dia terus lagi lepas bangunan MPKB, lepas bulatan nanti )


“Ok be! Mokasih yo!”



Dengan jawapan yang meyakinkan itu, saya mula melangkahkan kaki menuju ke arah yang ditunjukkan oleh abang penjual akhbar itu... Belum jauh lagi saya melangkah, terdengar suara abang itu terperanjat.


“Loh.. Jaley kaki! Ambo ingak naik keto!” (anda cuba alihsuara sendiri).



Dengan sambil tersengih akibat geli hati terdengar keterkejutan abang itu, saya mulakan langkah rancak saya dengan Bismillah, menuju ke arah yang dia tunjuk. Tubuh bulat ini menyusur lalu, melalui tepi-tepian jalan berselisih dengan manusia-manusia lain dengan penuh keyakinan. Tanpa memedulikan mentari yang masih hangat perit memerahkan warna kulit tebal saya, masih tersenyum riang berjalan sambil cuba bersiul-siul tanpa mengeluarkan bunyi. Ini adalah kerana saya masih tidak reti bersiul.




Saya meneruskan langkah kelana ini memasuki bangunan MPKB dan membolos menerusinya. Saya mula merasakan sudah amat jauh saya berjalan, namun masih belum saya tiba ke bangunan UITM itu. Peluh mula begemercik mengalir, membasahi tubuh. Perasaan risau mula bermain difikiran. Adakah saya sudah tertipu? Namun saya tetapkan keyakinan dan terus melangkah walau keringat sebesar bertih jagung mula terbit dari dahi.




Setelah hampir putus asa, saya ketemu juga dengan bulatan yang dimaksudkan oleh abang tadi. Wah! Bulatan yang itu rupanya! Bulatan yang berhampiran dengan Muzium Negeri Kelantan. Jauh sungguh rupanya! Sedangkan jika menaiki kenderaan pun sudah terasa jauh, inikan pula berjalan kaki!


“Dekat je... jalan kaki pun boleh..”


Terngiang-ngiang lagi kata-kata Faisal. Aduh, nampaknya Faisal sudah lupa yang saya sudah bersara dari dunia anarkis. Hu hu hu hu hu... Namun, ini tidak berjaya mematahkan semangat perkelanaan saya. Saya melintasi jalan yang disibukkan dengan kenderaan-kenderaan laju itu untuk pergi ke bulatan itu. Tujuan saya untuk menikmati seni monumen-monumen dan menangkap gambar.




Tiba-tiba, Faisal SMS saya lagi.


“Ko dah sampai mana? Jumpa tak?”


“Aku dah sampai bulatan...”


“Oh, dah dekat ah tu... Aku tunggu”



Saya tahu, tinggal suku sahaja lagi hendak sampai ke UITM itu. Saya meneruskan perjalanan. Saya sempat singgah sebentar ke Muzium Negeri Kelantan, akan tetapi, hanya di perkarangan sahaja kerana waktu sudah pukul 4.00pm.




Saya meneruskan lagi langkah penuh bergaya saya di sisi jalan yang agak sibuk itu sehingga saya ternampak satu bangunan cantik yang unik. Bahagian Pelancongan dan Kebudayaan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan. Bangunan bertemakan warna merah sebagai warna utama itu memang agak cantik dan menarik pada pandangan mata saya. Di bahagian hadapan bangunan itu juga disenaraikan aktiviti-aktiviti menarik yang dijalankan sepanjang tahun di Kelantan memandangkan tahun 2008 adalah tahun melawat Kelantan.






Sambil menikmati kecantikannya, saya sempat duduk berehat untuk mengatur kembali kekuatan untuk melangkah setelah lebih sejam berjalan kaki.



Saya teruskan lagi perjalanan setelah puas berlabuh punggung. Hati saya mula girang apabila sudah ternampak bangunan UITM itu, walaupun dari jauh. Harapan yang disangkakan palsu pada awalnya sudah muncul kembali. Langkah diteruskan sambil membaca-baca nama Allah SWT dan junjungan mulia Nabi Muhammad SAW yang terdapat di tengah-tengah pembahagi jalan.



Sampai sahaja di bangunan UITM itu, saya terus duduk di bangku perkarangan bangunan dan menghantar SMS kepada Faisal yang saya sudah sampai. Sambil duduk, dapat saya lihat kaki saya yang sudah mula keluar urat-urat jantannya.



Sambil duduk berehat, saya sempat melemparkan sedekah senyuman kepada pelajar-pelajar yang turun keluar dari bangunan itu. Senyuman manis saya dibalas mesra oleh mereka. Ini membuatkan bertampah cepat hilang penat saya.



Keletihan tadi hilang dibawa angin yang sepoi-sepoi bahasa. Angin sepoi-sepoi itu mulai kuat, dan rupanya langit pun sudah mulai gelap menandakan hujan akan membasahi bumi pada bila-bila masa.


Tidak lama kemudian, Faisal pun turun.


“weh, ikut aku amik ayah aku dulu nak?”


“orait babeh”



Saya tanpa banyak bertanya dan bicara, menurut sahaja mengikut Faisal menaiki keretanya. Sepanjang perjalanan kami didendangkan dengan lagu-lagu dari Homocide. Sesudah hampir separuh jalan, baru lah saya mula bertanya. Hujan pun mula turun dengan lebatnya.



“Kita nak pergi mana ni sebenarnya?”


“Amik ayah aku jap, kat rumah, nak bawak pergi hospital”


“Rumah kau kat mana?”


“Nilam Puri”



Ya, baru saya tahu, sebenarnya rumah Faisal terletak di Nilam Puri. Nilam Puri juga terkenal dengan Masjid Kampung Laut, masjid yang dinobatkan sebagai antara masjid yang tertua di Asia Tenggara. Akan tetapi, sayang sekali saya tidak sempat menziarahi masjid itu kerana waktu dan keadaan yang kesuntukan.



Sampai di rumah Faisal, kami menanti ayah beliau bersiap dan solat Asar. Sambil menanti, kami berbual-bual lagi. Kami tidak berbual kosong. Perbualan kami turut disertakan dengan hidangan teh panas, keropok goreng juga sebakul buah rambutan.



Faisal juga memberikan saya sekeping pelekat dari zine ‘SEPERAK’ (zine komunitas punk Indo) yang dia bawa khas dari Bandung.


Setelah ayah Faisal siap, kami sempat berbual dahulu sambil minum teh. Ternyata, kini saya tahu dari mana Faisal mewarisi sifat sopan dan ramah beliau. Ayah Faisal perlu menjalani pemeriksaan jantung di hospital KBMC ‘Kota Bharu Medical Centre’. Selesai minum teh, saya mengikuti Faisal menghantar ayahnya ke KBMC.



Sepanjang perjalanan saya menikmati pemandangan indah, sawah bendang, dan juga bangunan-bangunan yang ada. Hujan masih lagi turun lebat.





Samapi sahaja di KBMC, kami terus duduk di ruang menanti sambil menonton televisyen. Akan tetapi, saya yang lebih gemar merayau, mula melilau-lilau di dalam dan persekitaran KBMC itu.





Setelah itu, baru saya perasan yang tangan saya masih berbau belacan. Akibat dari makan tengahari saya tadi, yang dicuci tanpa sabun. Memang agak kuat belacan di kedai makan tadi. Saya pun masuk ke tandas untuk mencuci tangan dengan bersih menggunakan sabun. Apa lah saya ni.. kah kah kah kah...



Sesudah selesai urusan dengan KBMC, Faisal pun hendak menghantar saya ke Perhentian Bas Langgar kerana beliau masih ada kerja yang perlu di selesaikan di UITM. Jam sudah menunjukkan pukul 6.00pm.



Kami pun terus bertolak ke Perhentian Langgar dan berpisah dengan Faisal dan Ayahnya di situ. Oleh kerana masih ada 3 jam lagi sebelum ketibaan bas saya iaitu pada pukul 9.00pm, saya ingin merayau lagi. Tapi, apa kan daya, hujan masih lebat. Alam seperti memaksa saya duduk diam sahaja di perhentian itu.




Setelah kebosanan menanti di perhentian itu, sempat saya berbual-bual dengan seorang gadis yang juga menanti bas untuk ke Kuala Lumpur. Gadis itu adalah pelajar di USIM (Universiti Sains Islam Malaysia)



Setelah azan Maghrib, saya pun pergi ke surau. Oleh kerana bau tubuh saya pun sudah menghampiri aroma lipas, akibat dari perjalanan seharian, saya mandi dahulu di bilik air yang ada di situ sebelum menunaikan solat secara Jamak dan Qasar.



Selesai solat, perut saya mula terasa lapar. Jadi dengan rakusnya saya telah membeli sebiji benjo, dan sebiji burger ayam sebagai makan malam. Saya juga sempat membeli 2 pek kuaci marjerin, sebotol coca-cola dan sebungkus gula-gula getah sebagai bekal kunyahan di dalam perjalanan nanti. Memang agak rakus bunyinya kan?




Pada tepat jam 9.00 malam, bas yang patut saya naiki pun tiba. Saya sebagai seorang pemuda kampung yang mudah terperanjat, kagum dan kaget melihat bas yang akan saya naiki. Sebuah bas dua tingkat! Wah, ini pengalaman pertama saya menaiki bas ekspress dua tingkat! Saya yang ibarat orang gasar, begitu galak menangkap gambar bas itu.



Sesudah bas bergerak, saya melambaikan tangan kepada orang-orang yang berada di luar. Walaupun saya tahu, mereka bukan melambaikan tangan kepada saya, tetapi saya tidak peduli. Saya membawa seribu kenangan untuk pulang ke Gombak.. semoga saya akan kembali... Tamat!



Khamis, 24 Julai 2008

Kelana Bujang di Kota Bharu - Bahagian 3

Pagi itu saya bangun agak awal. Setelah usai Subuh, saya masih malas untuk mandi dan manggosok gigi. Dengan hanya berkumur-kumur, saya terus bersarapankan ayam goreng yang dibeli malam tadi, besertakan air pepsi. Terasa seperti pelancong barat pula bersarapankan ayam goreng dan air bikarbonat. Melihatkan jam di telefon bimbit saya baru pukul 7.30am, terbit perasaan bermalas-malasan yang memangkinkan saya untuk tidur kembali.



Saya melelapkan mata sehingga jam 8.30am. Kemudian, dengan tenaga yang baru, saya terus mencapai tuala dan bergerak ibarat manusia mesin ke bilik mandi. Saya mandi dengan senyap tanpa bernyanyi kerana risau akan mengejutkan tetamu-tetamu lain yang masih enak dibuai mimpi.



Selesai mandi, ketika keluar dari bilik mandi, saya bertembung dengan salah seorang ‘gadis kemban’ malam tadi. Akan tetapi, kali ini dia sudah lengkap berpakaian. Mungkin dia hendak turun bersarapan Agak manis juga gadis itu dengan pakaian lengkap. Sempat saya melemparkan senyuman manis kepadanya.



Setelah siap berkemas dan berpakaian, saya memastikan adakah saya cukup lengkap untuk berkelana. Air mineral disisi beg, bateri kamera sudah ditukar, kemeja t kain kapas serap peluh, kaca mata hitam, gula-gula getah. Ya, gula-gula getah amat penting supaya mulut sentiasa berbau segar, kerana sebagai kelana bujang, pasti saya akan banyak bertanya jalan, serta sengaja bertanya jalan kepada gadis-gadis tempatan yang pastinya comel-comel belaka. Yakin dengan persiapan saya, saya mengutip sampah-sampah, memastikan tiada yang tercicir, dan terus ke kaunter untuk daftar keluar dan memulangkan kunci.



Saya memberikan lambaian terakhir kepada Backpacker Inn pada jam 9.00am dan memulakan perjalanan saya melalui lorong-lorong kecil celah bangunan. Pada mulanya agak takut untuk saya menyusuri lorong-lorong kecil itu, akan tetapi, melihatkan makcik-makcik dan gadis-gadis pun berani, saya ikutkan sahaja.



Setelah itu, saya pergi ke perhentian bas berdekatan untuk membeli tiket pulang ke Kuala Lumpur. Saya bernasib baik kerana masih ada tiket untuk malam itu. Saya telah membeli tiket bas Transnasional dan perlu mengambil bas di perhentian Langgar.



Saya meneruskan perjalanan saya dengan patah kembali menuju ke Pasar Besar Siti Khadijah. Di bahagian luar, terlihat peniaga-peniaga sedang rancak menjual buah-buahan dan juga ikan-ikan segar.



Masuk sahaja di dalam, terlihat pasar yang didominasi oleh kaum wanita itu masih dalam peringkat persediaan awal untuk memulakan perniagaan. Saya tidak pasti sama ada mereka sudah habis tempoh sibuk atau belum mula. Kerana tidak terdengar hiruk-pikuk yang biasa didengari di Pasar Borong.




Saya meneruskan perjalanan ke tingkat teratas dan suasana tingkat teratas ternyata agak menakjubkan saya. Pemandangan di atas agak menarik dan penuh warna-warni. Dari atas, saya melihatkan keadaan jual-beli dibawah ibarat saya menonton televisyen. Pemandangan itu agak unik sekali.



Di tingkat teratas itu juga saya dapat rasakan pemandangan yang penuh warna-warni akibat dari percampuran warna barang-barang yang dijual. Kecantikan penuh warna-warni itu membuatkan saya kagum lagi. Di setiap gerai yang saya lewati, pasti ada pakcik, makcik, ataupun gadis-gadis yang cuba menawarkan harga dan meminta saya membeli barangan mereka. Oleh kerana saya sebagai kelana bujang yang miskin, saya hanya diam, melemparkan senyuman penuh ikhlas kepada mereka, dan berlalu pergi.



Agak ramai gadis-gadis yang comel-comel belaka menjaga gerai-gerai dalam pasar itu. Memang Kelantan dikenali dengan rupa gadis-gadisnya yang manis bak gula, senyuman seindah delima merekah, kulit putih sehalus sutera Cina, lenggok bahasa yang menggoda yang meluluhkan jantung hati. Sehingga wujudnya kata bidalan yang direka oleh orang-orang terdahulu, SKMK – ‘Sampai Kelantan Mesti Kahwin’.



Andai saya membawa ibu saya sekali dalam kelana ini, pasti saya akan meminta ibu untuk meminang mereka disitu juga. Ingin saya menangkap gambar mereka untuk ditunjukkan kepada ibu akan tetapi, saya tidak seberani Faris untuk menangkap gambar mereka secra berhadapan. Apatah lagi, saya tidak membeli satu apa pun dari mereka... malu lah saya.. hehehehe... Jadi, wajah mereka hanya terpahat kekal di hati saya...



Keluar dari pasar itu, saya agak seperti tiada halatuju sebenarnya. Saya SMS Faisal, kerana teringat yang dia hendak makan tengahari bersama saya.


“Aku tgh rayau2, kalau ko nak lunch sekali nanti ko msg laa..”


“Alamak, sini ada event lah pulak... Nti aku msg ko blk..”




Saya meneruskan perjalanan, dan menerusi Laman Siti Khadijah. Sepanjang perkelanaan saya, dapat saya lihat papan-papan tanda yang memaparkan kata-kata hikmat. Juga dapat saya lihat pelbagai unsur-unsur kesenian Islam yang tidak ‘kosong’ di keliling bandar itu. Memang usaha oleh kerajaan negeri Kelantan memartabatkan bandaraya itu sebagai Bandaraya Islam. Sekurang-kurangnya apabila saya membaca nama Allah yang tercoret itu, pasti saya mendapat pahala.



Dalam keterpingaan saya, saya ternampak satu bangunan yang agak menarik. Bangunan yang menempatkan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan. Saya rasa ini adalah peluang baik saya untuk berkelana. Dengan gaya pelancong yang bebas dan bergaya, saya melangkah masuk ke dalam pejabat Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.



Kedatangan saya disambut baik oleh 3 gadis yang bertugas di pejabat itu. Dengan ibarat artis, mereka melayan saya dan menjawab segala pertanyaan saya. Mereka menerangkan mengenai tempat-tempat menarik sekitar Kota Bharu. Saya juga diberikan cenderahati dari kementerian, buku-buku panduan pelancongan, serta dibekalkan dengan peta ringkas bagi pelancong. Setelah puas bercengkerama dan bermesra dengan gadis-gadis itu, saya mula merayau ke pelbagai destinasi.



Saya bermula dengan masuk ke Kompleks Kraftangan di mana terletaknya Muzium Kraftangan Kelantan, restoren, dan beberapa gerai yang menjual hasil-hasil kraftangan. Bangunan buatan kayu yang indah terukir menampakkan motif kesenian yang indah pasti memikat pandangan pecinta seni seperti saya.




Kemudian, saya meneruskan perjalanan masuk ke Muzium D’Raja Kelantan. Bangunan itu pada awalnya dipanggil Istana Batu, diubah menjadi muzium dengan banyak menyimpan harta-harta peribadi milik kerabat istana Kelantan. Agak banyak benda yang pelik dan unik dapat saya perhatikan dan amati. Dalam kesemua muzium, adalah menjadi kesalahan untuk menangkap gambar. Akan tetapi oleh kerana saya memang degil, saya tetap menangkap beberapa gambar. Ibu saya pun kata saya memang degil.



Yang paling buat saya tertarik adalah sebilah keris yang saiznya astaghfirullahalazim besarnya. Terkejut saya dengan kebesaran keris itu. Lebih besar dan tinggi dari seorang manusia lelaki normal. Andaikata keris itu diguna untuk menyula manusia, pasti manusia itu akan menjadi secucuk sate yang besar.



Destinasi seterusnya, saya berjalan melintasi sudut seni dan meneruskan perjalanan sehingga sampai ke halaman Istana Balai Besar.


Disitu saya sempat melihat dan membelek-belek Bank Pitis Negeri Kelantan.



Kemudian saya singgah ke Istana Jahar, yang telah menjadi Muzium Adat Istiadat Di Raja Kelantan. Saya tidak masuk ke dalam Istana itu, kerana saya ingin pergi lagi di lain kali. Jadi, saya simpan sedikit tempat yang tidak saya masuk. Lagipun, agak ramai pelancong yang masuk ke muzium itu pada hari itu.



Saya meneruskan perjalanan, melintas jalan pergi ke Padang Merdeka. Padang itu penuh dengan sejarah tersendiri. Di sini lah jenazah As-Syahid Tok Janggut digantung secara terbalik oleh pihak Inggeris. Saya mengambil kesempatan duduk seketika di sebuah tugu di situ sambil melepaskan lelah seketika.



Setelah beberapa minit berehat, saya meneruskan perjalanan untuk masuk ke Muzium Kesenian Islam Kelantan. Oleh kerana saya pecinta seni dan Islam, jadi saya amat berminat untuk masuk dan menikmati suasana. Akan tetapi, entah mengapa, muzium itu tutup pada hari itu. Saya dengan kecewa terus berlalu pergi.



Di sebelah Muzium Kesenian Islam itu, terletaknya Muzium Perang. Walaupun saya seorang pembenci perang, akan tetapi saya masuk juga ke dalam muzium itu untuk belajar sejarah dan mengambil iktibar. Hati saya tersentuh syahdu melihat gambar, dan membaca cerita mengenai proses pemburuan Tok Janggut oleh pihak Inggeris dan juga beberapa orang tempatan yang membantu. Di dalam muzium itu juga terdapat sebiji kamera lama yang digunakan untuk menangkap gambar pada zaman dahulu.



Puas menyerap sejarah dari muzium itu, saya meneruskan langkah kaki saya menuju ke Jambatan Di Raja, yang kini sudah menjadi Jeti Di Raja. Ianya terletak di tebing sungai Kelantan yang amat lebar.



Di sana saya sempat berehat sebentar, mengecapi nikmat angin sepoi-sepoi bahasa yang menyapu tubuh, mengeringkan keringat dan menyegarkan. Sambil berehat, sempat saya termenung seketika dan melihat-lihat panorama pemandangan. Akan tetapi, sungai Kelantan itu tidak jernih seperti embun pagi, akan tetapi ianya agak coklat, seperti air teh wakaf di masjid pada malam Jumaat, sesudah membaca Yasin.



Setelah puas melayan emosi di pinggir kali, perut saya mula memainkan irama keroncong yang kurang enak bunyinya. Jam sudah menunjukkan pukul 12.30pm. Saya mempercepatkan langkah ke deretan gerai makan yang ada di tebing sungai itu.



Saya memilih gerai yang tiada orang langsung kerana saya ingin makan dengan aman damai. Saya menikmati hidangan tengah hari itu sambil berbual dengan tuan empunya kedai bersama adiknya yang manis rupawan. Semakin sedap hidangan yang saya jamah itu rasanya.



Setelah ‘paghuit den kanyang, hati den sanang’ (perut ku kenyang, hati ku senang), saya membayar harga makanan dan memberikan lambaian terakhir kepada kakak tuan kedai dan juga adiknya yang manis itu. Saya mula mencari bank kerana duit dalam dompet anggun saya tinggal hanya beberapa keping sahaja lagi. Setlah ringan mulut bertanya, akhirnya saya menjumpai bank CIMB di Medan Ilmu.



Memang berseuaian dengan namanya, Medan Ilmu itu dikelilingi oleh kedai-kedai buku yang ternyata banyak menjual buku-buku penuh ilmu.



Setelah mengeluarkan duit dengan secukup rasa, saya kembali berpatah balik ke kawasan berhampiran Pasar Besar Siti Khadijah, untuk membeli ole-ole untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan itu, saya memerhati keliling. Saya agak berbangga kerana tulisan Jawi masih dimartabatkan dan diwajibkan di setiap papan tanda.



Sambil-sambil melihat papan tanda, saya sempat melihat gjuga wajah-wajah gadis yang sentiasa menyejukkan hati seorang Hadi... hehehe


Oleh kerana dahaga, saya agak terliur melihat air dingin yang dijual di tepi Pasar Besar Siti Khadijah. Saya agak gusar untuk membeli air manis di Kelantan kerana agak diketahui umum tentang tahap kemanisan air minumannya. Jadi saya cuba menjadi pembeli yang bijak. Saya telah membeli segelas air oren kerana mungkin air oren itu masam dan kemasamannya dapat mengurangkan sedikit rasa manis.



Ternyata saya tidak sebijak yang saya sangka. Manisnya... perghh!! Sampai melekit rasa lidah saya.. saya cuba juga habiskan agar tidak membazir.



Perkelanaan saya diteruskan sehingga saya sampai ke Kompleks Kraftangan pula. Saya merayau-rayau melihat apa yang dijual dan mencari-cari barangan yang sesuai untuk dibuat cenderahati. Ketika asyik memerhati, datang sekumpulan 3 orang gadis pelancong dari Eropah mungkin. Saya pun turut menyibuk bersama mereka mencari-cari barang dalam kedai yang agak kecil itu.


Sedang sibuk berlagak pelancong, tiba-tiba Faisal SMS.


“Ko katne?”


“Aku tgh rayau2 kat Kompleks Kraftangan. Ko dah makan? Aku dah...”


“Aku pun dah. Kalo ko dah puas berjalan, dtgla UITM”


“Orait babeh”



Setelah puas merayau dan membeli cenderahati, saya mulakan langkah untuk pergi ke UITM. Dalam sedang enak berjalan, tiba-tiba hujan mula turun. Saya terus masuk ke Masjid Al-Barqah untuk berlindung dari hujan dan solat. Pada mulanya saya hendak solat di Masjid Muhammadi, akan tetapi hujan yang turun dengan tiba-tiba, saya memilih masjid yang bersebelahan dengan Pasar Besar Siti Khadijah itu.



Setelah selesai solat jamak, saya memilih untuk berehat dahulu, di dalam masjid sambil menanti hujan yang turun mula reda. Apabila sudah reda nanti, baru lah seronok hendak meneruskan kelana ke UITM pula... Bersambung...