Selasa, 22 Julai 2008

Bazaar Astena 2008


Pada minggu lepas, kelab kami, Astena telah turut serta dalam aktiviti bazaar dan kelab persatuan anjuran MPP Uniten. Persediaan untuk menyediakan bazaar telah kami mulakan sejak hari Isnin lagi, dimana saya telah pergi membeli cenderahati. Pada mulanya tiada cenderahati yang akan diberi, melainkan gula-gula tetapi kerana kemurahan hati timbalan saya, Soraya yang menyumbangkan sejumlah wang, jadi kami pun membeli cenderahati istimewa bagi 50 pelajar pertama yang mendaftar dan membayar yuran kelab.



Hari Selasa pula, tugas-tugas untuk menyediakan bazaar kelab telah saya agih-agihkan. Saya, Faris dan Farah pergi membeli air mineral, kedai-kedai percetakan dan juga membeli barang-barang lain yang diperlukan. Pokcik, Mas Ilmi dan Didi tinggal di bilik Astena untuk membungkus cenderahati yang sudah dibeli semalam.




Setelah siap makan tengahari, kami mula beramai-ramai menghiasi booth Astena dengan diketuai oleh ketua tarian kami, Nazeera. Kami cuba menambah kemeriahan booth dengan memasang banner-banner lama teater kami supaya booth kami tampak gah di mata pengunjung.





Proses penghiasan dekorasi booth takkan pernah lengkap tanpa kehadiran ketua gamelan, merangkap Pak Andam kami yang paling ampuh, Syazwan. Tapi agak sayang sekali, kerja beliau perlu sentiasa dipantau, terutamanya apabila melibatkan perkara-perkara yang melibatkan proses penulisan. Oleh kerana terlepas pandang, beliau telah salah mengeja DVD kepada DBD... Kah kah kah kah kah!




Belum siap lagi kami menghias booth, telah muncul seorang gadis yang berminat untuk mendaftar. Gadis itu adalah sahabat kepada Fatah, ahli senior cabang teater kami. Oleh kerana beliau orang pertama yang mendaftar, saya terus menangkap gambarnya sebagai penghargaan.



Selesai menghias booth, kami pulang untuk mandi dan mengambil alat-alat gamelan. Saya mandi dengan kadar segera kerana dengar kata majlis perasmian akan bermula pada jam 5 petang. Akan tetapi, rupanya majlis perasmian hanya akan bermula pada waktu malam. Buat penat saya mandi dan sikat rambut awal-awal. Huh!



Majlis perasmian hanya bermula sekitar jam 8.30pm. Saya diiringi oleh White General Hafiz, duduk di barisan hadapan sekali, sebaris dengan wakil-wakil kelab yang rapat dengan kami seperti Silat Gayong, Persatuan Pengajian Islam dan juga Persatuan Kebudayaan India.



Setelah tamat upacara perasmian, saya dan Hafiz bergegas kembali ke booth kami untuk menyambut tetamu penting yang akan melawat setiap booth kelab. Saya terus ke meja booth menyertai Farah, Fatah, Ammzar dan Aliaa yang sedang sibuk melayan tetamu-tetamu yang datang dan turut mendaftar. Saya pula menerangkan dengan agak terperinci kepada Timbalan Naib Canselor yag singgah.



Malam itu kami meriahkan suasana bazaar dengan pelbagai persembahan. Dimulakan dengan persembahan gamelan, kemudian berselang-seli dengan tarian, nyanyian koir, serta kami bernyanyi beramai-ramai diiringi oleh muzik yang dimainkan oleh ahli-ahli dari kumpulan kugiran. Memang meriah sungguh saya rasakan pada malam itu.


Dalam kemeriahan yang begitu hangat, saya sempat menyendiri dan hanya memerhatikan anak-anak buah saya dengan bersungguh-sungguh dan begitu rajin melakukan persembahan serta menarik pelajar untuk menyertai kelab kami. Setiap wajah ahli dan sahabat saya amati dan perhatikan. Senyuman manis dan sinar keceriaan penuh yang terpapar di wajah mereka ternyata membuktikan mereka memang ikhlas berusaha bersama saya. Memang saya berbesar hati dan amat bersyukur dipertemukan bersama mereka dan bersahabat dengan mereka dalam tempoh pembelajaran penuh mencabar dalam Uniten ini.




Dalam bingit, hiruk-pikuk dan daraian jerit tawa itu, hati saya yang besar mula tersentuh dan terbit sedikit rasa syahdu. Terkedu saya sebentar apabila memikirkan, kebahagiaan dan keceriaan ini lah yang akan saya tinggalkan memandangkan tempoh jawatan dan tempoh pembelajaran saya yang akan tamat hujung tahun ini. Mereka yang sudah saya anggap seperti saudara dan keluarga sendiri ini akan saya tinggalkan sejajar dengan tamatnya status saya bergelar pelajar. Kesyahduan saya disedari oleh setiausaha saya, Mastot yang sudah agak lama mendampingi sebagai sahabat setia dan juga rakan seperjuangan seni.



Supaya tidak hanyut terus dengan kesyahduan, saya terus menarik kembali akal sihat saya. Saya terus menuju ke kelompok astena, dan menyertai mereka bernyanyi beramai-ramai. Kesyahduan tadi terus hilang dibawa irama gembira... Malam itu sdan malam esoknya saya isytiharkan sebagai malam booth paling gemilang buat Astena. Terimakasih para sahabat...


Tiada ulasan: