Isnin, 14 Julai 2008

Stesyen berikutnya, Taman Melati...

Hujung minggu, saya mahu pulang sebentar ke Gombak, kerana ingin menenangkan minda setelah bertungkus-lumus menyiapkan laporan latihan industri dan boku log dari jam 8.00pm sehingga jam 6.00am. itu tidak tertolak otak terhenti seketika akibat Mastot telah memberi saya satu pautan ke blog seorang homoseksual yang sangat romantis dan beriman. Cis! Saje je si Mastot ni nak mengganggu fikiran suci saya!



Saya pulang bersama Nad, dan juga diikuti oleh Ammzar yang ingin mengambil tilam dari adiknya yang belajar di Gombak. Amzar ingin mengambil tilam kerana perasaan iri hati beliau terhadap keempukan tilam saya yang mengakibatkan beliau tertidur nyenyak, walaupun sedang membalas SMS.




Kami pulang dengan menaiki komuter. Sampai sahaja di KL Sentral, kamu menukar tren dan menaiki Putra LRT untuk singgah ke KLCC. Nad mengajak kami singgah ke sana kerana ada jualan murah sedang berlangsung, dan nad ingin membeli-belah. Saya juga bersetuju untuk turut serta, kerana bolehlah saya singgah ke kedai buku Kinokuniya.




Sudah agak lama saya tidak menaiki Putra LRT, dan saya agak kagum dengan wajah baru hiasan dalaman tren itu. Agak ceria dan penuh warna-warni. Kadar kekerapan tren juga agak memberasansangkan, jadi, tiadalah lagi perlu berdiri menunggu tren sehingga tebenam lutut. Ammzar yang agak meminati warna-warna yang ceria, turut terpinga-pinga sambil tersengih-sengih sepanjang perjalanan ke KLCC.




Sampai sahaja di KLCC, kami terus membeli tiket ke Gombak atas nasihat Nad, kerana malas untuk beratur panjang untuk pulang nanti. Setelah masuk sahaja ke dalam bangunan KLCC, Nad berpisah dari kami. Dia terus menuju ke Isetan untuk membeli-belah. Ternyata, membeli-belah di Isetan bukanlah sesuatu yang saya dan Ammzar teruja untuk ikut. Saya dan Ammzar meneruskan langkah gaya kekampungan kami, menaiki eskalator menuju kedai buku Kinokuniya.



Berpisah dengan Nad, bermakna memudahkan aktiviti kami untuk mencuci mata dan mengusyar-usyar gadis sepanjang perjalanan kami. Kalau ada Nad, kami akan segan sedikit. Nasib baik bukan bulan puasa, jika tidak pasti meter pahala puasa kami berkurangan secara mendadak sepanjang perjalanan kami ke kedai buku itu. Sepanjang perjalanan menaiki eskalator, perbualan mulut kami hanya berkisar mengenai gadis-gadis dan juga pengalaman kami berpeleseran di zaman persekolahan.



Ternyata, jika ikutkan nafsu serakah, agak banyak buku yang saya akan borong di Kinokuniya itu. Antaranya karya-karya Rumi yang dialihbahasa ke dalam bahasa Inggeris, memoir-memoir politik seperti Abdullah CD, Rasyid Maiden dan juga Tun Dr. Ismail, ‘The History of Anarcho Punk’, ‘How to make your own movie’, ‘La’ Taazan (jangan bersedih)’, komik-komik, karya-karya Dato’ Lat, dan novel-novel Melayu. Akan tetapi, kerana ikutkan akal yang waras, dan jumlah kepingan wang dalam dompet saya yang anggun, saya hanya membeli novel ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ karya Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad.




Ammzar agak leka membaca buku 13 Mei karya Allahyarham Tunku Abdul Rahman. Dia leka membaca buku itu sambil berdiri sehingga tangannya kejang akibat terlalu lama mengepit beg di ketiak. Apabila siap membeli-belah di Isetan, Nad kembali menyertai kami di Kinokuniya. Setelah saya selesai membayar harga novel dan melepaskan senyuman kepada gadis kaunter, kami pun turun untuk menuju ke stesyen LRT di tingkat terbawah. Nad singgah di kiosk Auntie Anne’s untuk membeli sejenis kuih dari barat yang tak pernah saya dan Ammzar makan.



Bukan lah kami ini dayus atau tidak budiman kerana membiarkan seorang gadis seperti Nad beratur seorang diri membeli makanan itu, akan tetapi, kami sebagai budak kampung sejati, jangankan makan, sebut nama kuih itu pun kami tidak reti.



“Pretzels...” terang Nad dengan sabar kepada kami.

“Cakoi aku tau lah... ngeh ngeh ngeh...” Balas Ammzar sambil tersengih-sengih.



Nad yang baik hati telah membelanja kami seorang seketul pretzel yang masih panas dan gebu. Oleh kerana aroma keharuman yang semerbak, saya dan Ammzar ingin mencubit dan mengunyah terus pretzels itu. Tetapi, kerana kepanasannya yang baru keluar dari ketuhar, hampir melecur jari kami yang kekampungan itu.



“Nantilah makan.. simpan dulu lah...” ujar Nad tersenyum melihat telatah kami sambil menyimpan kembali pretzel-pretzel itu ke dalam beg plastik.



Kami meneruskan perjalanan dengan langkah yang agak pantas masuk ke stesyen LRT. Sempat juga saya dan Ammzar ketawa mengejek mereka yang masih beratur panjang berjela untuk membeli tiket. Ternyata, hanya berdiri seketika, sudah sampai tren yang akan membawa kami ke Gombak.



“Stesyen berikutnya... Taman Melati...”



Nampaknya, syarikat ini masih mengekalkan suara manis gadis ini sebagai pemberitahu lokasi sejak saya mula-mula lagi menaiki tren hampir 10 tahun yang lalu, dan saya masih bersekolah menengah.





Sampai sahaja di Taman Melati, kami berpisah dengan Ammzar, kerana dia menanti adiknya yang akan menghantar tilam. Saya mengikuti Nad menaiki bas Rapid untuk pulang ke Greenwood. Agak ramai orang yang menaiki bas pada hari itu, mujur kami mendapat tempat duduk. Saya turun lebih di hentian yang lebih awal dari Nad, dan kami berpisah di hentian Kampung Simpang Tiga. Saya meneruskan jalan kaki mengikut jalan pintas untuk ke rumah saya sambil mengunyah pretzel yang Nad belanja tadi...



1 ulasan:

syun berkata...

Ish..Ammzar tau x yg hadi letak gambar die kat blog ni..seksi tu..huhu