Monday, November 9, 2009

Hutang Saya

Hai, apa khabar Malaysia?

Nama dia Aaron Shock. Umur 27 tahun. Seorang ahli kongres di Amerika.

Nama dia pula, Adam Stewart. Umur dia 27 tahun. Seorang CEO.

Nama saya Abdul Hadi. Umur saya 27 tahun. Masih bujang dan berhutang.

Berikut adalah antara hutang saya:-



DANA PENDIDIKAN PEMANGKIN PEMBANGUNAN NEGARA
PINJAMAN 3(RM)
1. BAKI AWAL PADA 1HB JANUARI 2009:(8.00)
2. BAYARAN PINJAMAN / PELARASAN SETAKAT NOVEMBER 2009:(0.00)
3. BAYARAN BALIK PINJAMAN / PELARASAN SETAKAT NOVEMBER 2009:(0.00)
4. BAYARAN BALIK PINJAMAN MELALUI FPX:(0.00)
5. KOS PENTADBIRAN TERKUMPUL TAHUN SEMASA SETAKAT NOVEMBER 2009:0.00
6. BAKI AKHIR PADA NOVEMBER 2009:(8.00)
PINJAMAN 4(RM)
1. BAKI AWAL PADA 1HB JANUARI 2009:13,718.65
2. BAYARAN PINJAMAN / PELARASAN SETAKAT NOVEMBER 2009:(0.00)
3. BAYARAN BALIK PINJAMAN / PELARASAN SETAKAT NOVEMBER 2009:(0.00)
4. BAYARAN BALIK PINJAMAN MELALUI FPX:(0.00)
5. KOS PENTADBIRAN TERKUMPUL TAHUN SEMASA SETAKAT NOVEMBER 2009:312.50
6. BAKI AKHIR PADA NOVEMBER 2009:14,031.15
PINJAMAN 5(RM)
1. BAKI AWAL PADA 1HB JANUARI 2009:49,500.00
2. BAYARAN PINJAMAN / PELARASAN SETAKAT NOVEMBER 2009:(0.00)
3. BAYARAN BALIK PINJAMAN / PELARASAN SETAKAT NOVEMBER 2009:(0.00)
4. BAYARAN BALIK PINJAMAN MELALUI FPX:(0.00)
5. KOS PENTADBIRAN TERKUMPUL TAHUN SEMASA SETAKAT NOVEMBER 2009:720.00
6. BAKI AKHIR PADA NOVEMBER 2009:50,220.00
BAKI KESELURUHAN PINJAMAN PADA NOVEMBER 2009:64,243.15


Amacam? Siapa lagi handal?

Agak agak boleh tak saya minta kerja di sini?

Wednesday, November 4, 2009

Ibadat dan sendat

Hari itu hari Isnin.

Memang cukup afdhal untuk berpuasa.

Jadi, saya mengambil langkah gaya hidup islamik kontemporari untuk berpuasa pada hari itu. Cuma saya tidak memakai kopiah ke pejabat. Tasbih pun sudah ada digantung dalam Ben.

Saya bukan sahaja sahaja berpuasa sunat, walaupun dalam lafaz niat puasa malam itu ada disebutkan "Sahaja aku berpuasa esok hari..."

Saya berpuasa sunat disekalikan dengan menunaikan hutang puasa nazar yang saya bernazar dari pertengahan tahun yang lalu.

Pelbagai tohmahan yang terpaksa saya hadapi hanya kerana saya berpuasa. Ada yang kata saya ponteng puasa di bulan Ramadhan yang lalu. Ada yang kata saya sudah miskin dan tidak ada duit untuk makan. Ada juga yang jahat mulut menuduh saya diet. Apa kejadah diet? Ramai yang tidak percaya saya berpuasa kerana bernazar. Mungkin akibat dari 'gaya hidup eksekutif remaja selebriti di kota urban' yang saya amalkan.

Kenapa saya bernazar? Ramai yang keliru.

Saya bernazar untuk lulus dalam pembentangan projek akhir tahun di universiti yang lalu, dan lulus untuk bergelar graduan.

Mungkin sebab faktor kesusahan yang amat untuk lulus mana mana subjek di universiti dahulu memangkinkan keputusan saya untuk bernazar setiap kali waktu perperiksaan. Waktu perperiksaan selalunya akan diiringi dengan doa, keringat, air mata, rayuan, bodekan dan setin minuman tenaga berperisa tongkat ali.

Hari itu saya kentalkan diri untuk berpuasa. Punyalah kental, waktu makan tengahari pun saya ikut pasukan makan ke kedai makan. Sebab bosan duduk dalam pejabat. Bila pergi kedai makan, boleh berborak sambil mencuci mata. Lagipun yang pergi makan itu ramai gadis-gadis. Eh! Terlupa, saya puasa... Terlupa tak apa...

Waktu petang, kelesuan bertambah. Boleh pula ada yang membakar roti di pejabat di waktu petang. Bau wangi roti menghibak memenuhi ruang dan godaan nafsu mula mencengkam jiwa. Nasib baik saya masih kental.

Petang itu saya sudah berjanji dengan seorang sahabat untuk berbuka di sebuah kedai Siam di Seri Kembangan. Tepat habis waktu kerja, saya berjalan lesu tapi separa pecut untuk ke Ben. Bunyi Ben menderu seirama dengan bunyi deruan perut saya, membawa saya ke lokasi untuk berbuka.

Di kedai Siam, saya dan Nik, salah seorang ahli 'The Three Miskinteers' dengan rakus memesan makanan. Jam baru menunjukkan pukul 6.15pm. Masih ada lebih 44 minit lagi untuk berbuka. Kami menempah awal kerana gusar makanan sampai lewat dan kami terpaksa berbuka dengan menjilat meja.

Sekali makanan sampai awal lah pulak... Tak sampai 15 minit dah siap.

Macam-macam helah dan aktiviti kami lakukan untuk membuang masa. Seperti mencari kesalaahan ejaan dalam menu, mencuba menghafal isi kandungan dan senarai harga dalam menu, mengira jumlah pelayan yang cun cun, dan juga mengukur lebar meja makan dengan jari. Semuanya dilakukan bagi mengalih fikiran dari makanan enak yang terhidang di atas meja. Begitu terliur dibuatnya.

Oleh kerana azan tidak kedengaran berkumandang, saya menjangkakan waktu berbuka berdasarkan pesanan ringkas yang diterima dari Naz sahaja.

"Keltang! Kleletung! Keleting! Nyum! Nyum!"

Begitu lahap saya makan. 2 pinggan nasi habis begitu sahaja. belum dikira lauk pauk dan lai ci kang Nik yang saya tibai. Semuanya licin seperti disambar garuda. Kenyang sampai ke dada. Hendak bernafas pun sukar kerana terasa seperti paru-paru dihimpit perut. Sendatnya ya Allah. Berjalan pun ada bunyi berkocak dalam perut.

Jam 7.55 saya pun bergerak meninggalkan kedai Siam. Terasa sangat awal pula untuk pulang. Dengan rentak pemanduan perlahan, diiringi dengan lagu lagu pop, menemani perjalanan pulang yang penuh leka dan ketenangan. Begitu perlahan saya pandu, sehingga sempat saya bernyanyi 3 lagu diiringi radio.

Ketika sampai sahaja di muka pintu rumah, saya menyeluk saku untuk mengambil kunci. Lalu tiba-tiba kedengaran azan berkumandang.

Astaghfirullah... Dah Isya' rupanya. Saya baru teringat yang saya belum solat Maghrib.

Apa kejadah puasa tapi tinggal solat? Mazhab mana ni?

Malam itu saya solat Maghrib jam 12.30am selepas habis tengok cerita kelakar yang melalaikan di TV.

Saturday, October 31, 2009

Kelepap!

"Kelepap!"

Saya selalu terdengar bunyi sebegitu dari meja sebelah kiri saya.

Meja sebelah saya selalunya diduduki oleh seorang Pengurus Projek 1. Saya agak curiga dengan bunyi itu.

"Kelepap!"

Setiap kali bunyi itu kedengaran, saya lihat tangan Pengurus Projek 1 berada berhampiran dengan kawasan pinggangnya.

"Kelepap!"

Saya segan untuk bertanya, bunyi apa itu? Biasalah, saya kan pemalu orangnya... Saya hanya usya guna kerlingan mata.

"Kelepap!"

Saya perhatikan betul-betul kali ini. Setelah sekian lama. Akhirnya terungkai segala persoalan...

Rupa-rupanya bunyi itu datang dari bekas telefon bimbit kulit bermagnet Pengurus Projek 1 yang disangkut di pinggangnya. Patutla...

Selama ini saya ingat dia main tarik tarik getah spender...

Friday, October 30, 2009

Pernahkah saya kawin dengan makcik anda? Bahagian 2

Saya terpaksa cabut awal dari pejabat petang itu.

Nak pergi Putrajaya sebab ada urusan dengan Tabung Haji. Biasalah... hardcore hardcore jugak. Akhirat kena jaga. Rukun Islam tu.

Pukul 2.57pm saya sudah mula memerhati kiri dan kanan. Memerhati keadaan keliling sama ada selamat atau tidak untuk saya cabut awal. Bukan saya sengaja mahu mengular. Tapi sebab pejabat urusan Tabung Haji yang hanya buka di waktu pejabat. Macam mana saya nak pergi tanpa ponteng? Salah siapa? Bila keadaan sudah tidak mencurigaka, saya mula bungkus barang dan cabut dengan gaya menyelinap. Terasa macam perisik handalan.

Ketika dalam perjalanan hendak ke tempat saya meletakkan Ben, saya bertembung dengan Pengurus Akaun pejabat saya.

Aduh, macam mana boleh ada Pengurus Akaun di tempat letak kereta ni? Tak pernah dibuat orang isi masa lapang dekat tempat letak kereta. Hobi baru ke?

"Eh, nak kemana?" Pengurus Akaun tanya.

Saya dah mula sengih-sengih nak selindung perasaan cuak.

"Nak pergi Tabung Haji" Selamba saya jawab. Tak berani nak menipu sebab Pengurus Akaun muka dia gaya orang alim.

"Oh.. Bos ada kat atas?" Dia tanya lagi.

"Ada, dia dalam bilik. macam sibuk je" Saya jawab mesra.

Fuh, nasib baik dia cepat naik atas nak jumpa Bos Besar.Saya terus tambah kelajuan jalan kaki nak pergi dekat Ben.

Dalam Ben, saya pasang CD lagu The Cure, '4:13 Dream'. Saja nak layan sambil memandu cermat bersendirian. Kalau bawak orang lain sekali, tak boleh dengar lagu macam ni. Nanti mereka pening.

Sampai sahaja di Anjung Putrajaya, mudah sahaja saya mencari tempat yang sesuai untuk meletak Ben.

Dalam hujan renyai-renyai, saya berjalan kelajuan biasa masuk ke dalam bangunan. Terasa seperti babak bergaya dalam drama. Kasut kulit basah sedikit pun tak mengapa.

Masuk dalam Tabung Haji, saya dengan cermat dan cekap mengisi borang. Pengisian terhenti seketika kerana saya terlupa nombor kad pengenalan Soraya. Nasib baik ada teknologi yang bernama telefon bimbit. Dengan pantas pesanan ringkas dihantar dan jawapan diterima.

Selesai mengisi borang, saya mencari tempat yang paling strategik dan selesa untuk saya duduk. Memang strategik betul. Mudah untuk saya mengusya gadis kaunter yang manis rupawan.

Berhampiran saya ada seorang gadis remaja dalam lingkungan 15-16 tahun sedang mengawasi adik kecilnya yang lasak memanjat-manjat kerusi. Ibu mereka sedang berurusan di kaunter.

Agak sernok melihat gelagat kanak-kanak yang lasak, kerana selalunya kanak-kanak lasak ini selalunya cerdik akal fikirannya. Teringat semasa saya masih kecil dahulu. Memang lasak Ya Tuhan.

Agaknya, gadis remaja itu sudah tak terkawal kelasakan adiknya. Lalu dipegang erat adiknya seraya berkata.

"Dah! duduk diam, nanti pakcik tu marah karang! baru tau!"

Sambil menunjuk ke arah saya.

Cilakak punya budak! Pakcik?

Esok saya rasa macam nak cukur janggut dan dah tak nak pakai baju gaya pejabat.

Thursday, October 29, 2009

Pernahkah saya kawin dengan makcik anda? Bahagian 1

Hari itu saya pulang agak awal dari tempat kerja. Sengaja saya pulang awal kerana malam itu saya sudah ada latihan kugiran. Jika saya lambat, nanti pemain drum saya marah. Kalau dia yang lambat tak mengapa.

Setelah selesai saya meletak Ben di tempat biasa, saya pun berjalan kaki menuju ke rumah. Agak jauh juga saya berjalan dan terpaksa menaiki tangga bukit, tapi saya tidak kisah kerana seronok memerhati alam sekitar dan menghirup udara petang. Boleh juga keluar peluh sedikit bagi menyesuaikan diri dengan gaya hidup eksekutif sihat.

Untuk sampai ke rumah saya, saya naik lif dan tekan butang nombor 14. Sampai sahaja tingkat 14, terdengar riuh kanak kanak bermain basikal di koridor. Saya tak marah. Biarlah kanak-kanak itu bermain di koridor. Dengan kadar jenayah melampau sekarang ini, kadangkala lebih elok biarkan kanak-kanak bermain di kawasan yang mudah untuk kita perhatikan.

Lagipun, memang elok kanak-kanak yang sedang menjalani tempoh pembesaran untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti sihat seperti bermain basikal dan berlumba lari. Otak mereka akan lebih cerdas dan badan mereka akan lebih sihat. Usah dibiarkan kanak-kanak terlalu manja di dalam bilik berhawa dingin bermain komputer dan permainan video. Silap-silap mereka akan menonton porno bersama kawan kawan sebaya. Ini lebih bahaya.

Sambil berjalan menuju pintu rumah, saya tersenyum melihat gelagat kanak-kanak itu bermain basikal di koridor. Memang seronok ketika masih kanak-kanak. Tak perlu nak fikir banyak. Yang penting bergembira.

Ketika saya membelok untuk membuka pintu pagar rumah, tiba tiba...

"Skreeeekkkk!!"

Bunyi brek kecemasan. Seorang kanak-kanak hampir melanggar saya dengan basikal.

Saya agak terkejut, lalu memandang kanak-kanak itu.

"Isyhhh.. Sibuk lah uncle ni!"

Kata kanak-kanak itu sebelum beredar.

Biadap punya budak! Tak lama lagi mesti jadi mat rempit hisap gam. Rasa nak hentak kepala budak itu ke dinding.

Kurang ajar panggil saya 'uncle'.


Wednesday, October 28, 2009

Secangkir neslo semanis wajah

Pagi ini, saya antara yang paling awal datang ke pejabat.

Saya mencecah kaki kanan masuk pintu pejabat pada jam 8.59. Waktu paling aman dalam suasana pejabat ini. Pekerja lain biasanya hanya masuk pada jam 9.15. Kelebihan syarikat ini adalah waktu kerjanya yang sangat mudah lentur. "Flexible" dalam bahasa Inggerisnya. Ada juga yang perangai suka masuk lepas pukul 10 dan yang paling mantap datang sejurus selepas waktu makan tengahari. Yang tak datang terus pun ada. Buat kerja dari rumah je. Bos besar tidak beberapa kisah dengan kadar waktu masuk pejabat. Asalkan kerja mereka siap dan pelanggan tidak mengadu domba.

Bila datang awal, saya tak perlu bergegas-gegas. Tak perlu berhenti dahulu di hadapan pintu mengatur pernafasan. Tak perlu lap peluh di dahi pakai lengan baju. Masuk pejabat pun sambil tersenyum dan mengucapkan selamat pagi.

Selalunya watak watak yang mesti ada awal dalam pejabat sebelum saya adalah seorang eksekutif pentadbiran, seorang setiausaha bos besar, dan seorang kakak pembancuh teh.

Saya nak duduk tempat yang biasa saya duduk. Tapi sejak saya asyik kerja luar, tempat saya itu sudah menjadi rebutan. Ramai juga yang berebut tempat tu. Mungkin kerana ada nilai nilai estetika. Makwe pejabat pun suka berebut tempat itu. Apa yang sedap sangat ntah? Dah la kalau duduk tempat tu, kena jadi tukang picit butang remote pintu setiap kali ada tetamu datang.

Pagi ini saya dah malas nak berebut, walaupun saya datang awal. Lagipun atas meja itu dah ada botol air makwe pejabat. Mungkin dia dah cop tempat tu dari petang semalam. Saya beralah, saya duduk tempat yang makwe pejabat selalu duduk pulak. berhadapan dengan tempat rebutan.

Duduk kejap, semakin ramai watak pejabat yang masuk. Tapi tak beberapa ramai. Sebab ramai yang pergi Johor dan Kedah. Minggu ini saya tak pergi Johor. Tak dapat la saya tidur hotel 4 bintang, bedal sarapan mewah dan usya gadis Singapura. Bos suruh saya tinggal jaga pejabat. Apa-apahal kena berinteraksi dengan dia guna internet.

Rutin pagi, seperti biasa mesti memeriksa e-mel kerja dan e-mel peribadi. Takut-takut ada kerja semalam yang tak perasan. Kemudian disusuli dengan memeriksa Facebook. Memang sebagai remaja urban akhir zaman, memeriksa Facebook tidak dapat dipisahkan dari gaya hidup. Selalunya kakak pembancuh teh akan datang dan bertanya saya "Hadi, nak minum air apa? Akak buatkan."

Saya selalunya menolak dengan baik sebab saya lebih puas dengan bancuhan tersendiri.

Sudah puas membalas komen komen peminat di Facebook, tekak mula terasa masam, ibarat perlu dibasahi.

Ketika bangun untuk meninjau bilik makan, atau bahasa Inggerisnya, "pantry", saya tak jadi pergi dan duduk balik. Sebab kakak pembancuh teh sedang sibuk bergosip dengan makwe pejabat di dalam bilik makan, sambil makan nasi lemak sambal sotong. Kuat betul bau sotong dia. Hampir gatal saya dibuatnya.

Setelah beberapa ketika, saya nampak mereka mula membasuh bibir. Itu menunjukkan sudah tamat waktu bergosip bertemankan nasi lemak sambal sotong. Saya pun mula melangkah ceria menuju ke bilik makan. Sambil sambil itu cuba bersilu lagu cari jodoh oleh Wali Band. Tapi tak beberapa nak keluar bunyi sebab bibir saya longgar.

Sambil membancuh, saya berbual dengan kakak pembancuh teh. Kakak pembancuh teh memang suka berbual tak kira orang. Asalkan manusia agaknya. Tak pernah pula saya lihat dia berbual dengan almari ataupun mesin fotokopi. Kalau dia mula berbual dengan mesin fotokopi, pasti saya akan menelefon majalah Mastika atau Variasari.

Akhirnya, saya mendapat secangkir neslo bancuhan sendiri yang utuh, saya kembali ke meja.

Dengan nisbah 1 neskape : 2 milo : 1 susu pekat,
Tanpa gula,
Air panas menggelegak,
Dengan aroma kopi arabica,
Terasa seperti sedang menghirup kopi di pinggir tebing Casablanca.
Terasa enak neslo hangat mencemar kedinginan suhu.
Diperhatikan oleh gadis Maghribi.
Yang manis tersenyum memecah renungan.
Senyuman ikhlas diselindungi furdah.

Owh... bukan gadis Maghribi berfurdah sebenarnya. Cuma makwe pejabat yang duduk dekat depan.

Nampak mata sahaja pasal mulut terhadang oleh penghadang. Atau dalam bahasa Inggerisnya "Partition".




Tuesday, September 22, 2009

Salam Aidilfitri 2009