Rabu, 10 Mac 2010

Teater : Aku Nak Jadi Bintang (versi kritikan membina)

Malam semalam, saya pergi menonton teater di Uniten. Sebuah teater amal yang diterbitkan kerana satu subjek wajib. Saya tak sempat ambil subjek itu ketika belajar.

Saya pergi menonton kerana dijemput oleh Sopek, sahabat teater saya ketika saya dalam Astena (Kelab Anak Seni Uniten). Sopek menjadi pengarah bersama pada malam itu. Dengar dari khabar angin, beliau adalah bidan terjun. Kenapa perlu terjun? mungkin kerana bersukan untuk menjaga kesihatan.

Atas dasar persahabatan hakiki dan mencintai seni, saya pun datang dengan sangat bergaya. Berbaju kemeja belang dan berkasut. Ketika saya masih belajar, tak pernah pun saya nak memakai sekacak begitu. Apatah lagi untuk pergi ke perpustakaan.

Berjalan laju naik tangga, dahi mula berpeluh. Bahagian lain tak berpeluh sangat sebab pakai deodoran.

Sampai sahaja di kaunter tiket, haram satu muka pun saya tak kenal. Orang datang juga ada lah dalam 4 orang. Terasa asing pula di bumi sendiri. Saya beli tiket sekali untuk Nik dan Erny. Kami sampai awal rupanya. Teater hanya akan bermula selepas jam 8.45 malam.

Saya turun kembali ke kawasan tempat letak kereta bersama Nik untuk menanti Erny yang dijangka sesat. Peluh di dahi sudah kering tanpa dikesat. Erny akhirnya berjaya muncul dengan selamat. Kami bersyukur girang.

Naik kembali ke atas, agak ramai juga manusia sudah mula berkumpul. Belum sempat saya meliar mata mengusya gadis, saya ternampak Faris bersama dua orang gadis. Saya sempat juga mengerling guna ekor mata melihat kedua-dua gadis itu mengusya saya penuh minat. Saya buat riak muka biasa-biasa.

Tak lama berbual dengan Faris dan menceritakan kehebatan saya di Uniten dahulu kepada Nik dan Erny, semua penonton mula dipanggil masuk. Belum sempat saya nak cerita kehebatan saya main mercun besar KLCC di asrama dahulu. Dengan tangan dalam poket seluar, saya melangkah ke dalam dewan. Saya memilih tempat duduk yang paling ekslusif. Betul-betul di tengah-tengah. Supaya mendapat kepuasan tontonan yang terunggul. Saya duduk sebaris dengan Nik, Erny, Faris dan Os.

Pokcik, Lisya dan Najila duduk jauh sedikit kerana mereka lambat.

Dari tempat yang terbaik, apa yang saya dapat saksikan? Jadi, ini adalah komen rasmi saya, dengan seikhlas-ikhlasnya:

Mengenai Watak dan Lakonan:

Maria kanak-kanak -
Boleh tahan juga lakonan gadis ini. Vokal bagus. Agak menjadi watak kanak-kanaknya. Cuma yang agak terserlah adalah kurang penghayatan. Kanak-kanak sepatutnya lebih bersahaja. Boleh contohi si Toek dari Astena.

Maria (watak utama) -
Muka ada sedikit seperti Fazura. Bentuk tubuh boleh tahan. Apa facebook dia ya? Eh, ada kesitu pula. Lakonan? Kurang mantap, kurang penghayatan dan nampak sangat terlupa skrip. Pendek kata, kurang menjadi. Tahap emosi juga amat lemah. Tidak berjaya membuat saya, sebagai penonton merasai emosi beliau. Improvisasinya agak meleret juga. Ada benda sama yang kurang menarik diulang-ulang. Vokal boleh tahan. Muka masih cantik. Bentuk tubuh memang boleh tahan. Keh keh keh keh.

Johan (watak antagonis) -
Boleh berlakon, tetapi tidak mantap. Agak syok sendiri dan kelihatan sedikit gelabah. Paling tak sedap apabila babak akhir, ketika beliau hampir mati, dan badan berlumuran darah, masih sempat membuat lawak bodoh, keluarkan sikat dan sikat rambut. Itu bukan kelakar, itu bengap namanya. Ini sudah potong mood. Benda paling menjelikkan dalam teater adalah memotong mood penonton. Sepatutnya, mood serius dan mendebarkan itu hendaklah diteruskan sehingga mencapai klimaks. Sayang, saya hampir kagum dengan adegan itu pada awalnya. Lain kali jangan buat lagi ok.

Alex (teman lelaki) -
Hanya watak ini mengubat hati saya. Vokal memang mantap, suara sedap, tubuh pun tegap. Keh keh keh. Lakonan Sopek sebagai Alex memang menjadi. Penjelasan watak berkesan dan yang paling cantik adalah permainan tahap emosi. Saya sebagai penonton sekejap gembira, sekejap takut dan sekejap sedih. Cuma agak hambar ketika Alex pergi ke kelab malam. Watak Alex agak tenggelam di situ. Saya puji ikhlas bukan sebab Sopek sahabat saya tau. Nanti saya akan kritik beliau mengenai skrip pula.

Watak-watak lain -
Satu pesan saya, bila ada watak utama sedang menunjukkan peranan atas pentas, jadi watak di belakang jangan banyak beraksi. Nanti boleh memesongkan perhatian penonton. Saudara yang menyapu tu tak payah la nak sapu banyak-banyak kali. Orang yang berbual tu, jangan bising sangat. Tak payah makan betul-betul, sampai habis roti kacang tu. Saya yang menonton pun lapar juga. Terliur tahu...

Ketika adegan peragaan model, ada satu pelakon perempuan comel yang tidak serius. Beliau asyik tersenyum dan melambai-lambai kepada kawannya di kerusi penonton. Jangan buat sebegitu. Anda patut sedar, anda masih dalam cerita dan watak. Segala tindakan anda akan diperhatikan oleh penonton. Lagipun anda comel.

Ternyata watak abang pondan menyanyi dangdut agak menceriakan mengubat suasana yang amat bosan sehingga hampir terkeluar rangka dari badan.

Akan tetapi agak banyak juga kecacatan kecil yang boleh dimaafkan... Jangan risau, kita belajar sama-sama.

Mengenai Skrip dan Jalan Cerita:

Kesilapan pertama yang saya nampak adalah ketika watak Maria kanak-kanak. Pada mulanya dikatakan ibunya meninggalkannya entah kemana, tapi kemudian bordoa pula supaya roh ibunya ditempatkan bersama orang yang beriman. Perkataan 'roh' di situ menunjukkan Maria mengerti bahawa ibunya sudah meninggal dunia. Mungkin ada keciciran di skrip itu.

Pengolahan dan penggunaan ayat yang cantik, sangat sesuai untuk adegan-adegan monolog. Jika skrip sebegini dipadankan bersama level emosi yang kukuh, pasti berjaya menggamit jiwa penonton. Ternyata kurang penghayatan bagi watak masing-masing. Saya tahu benar memang sangat sukar bagi menulis skrip yang boleh difahami oleh pelakon, kerana hanya penulis sendiri yang benar-benar faham dengan apa yang ditulisnya. mungkin kerana itu, Sopek dapat menghayati skrip beliau. Jadi, saya mahu tanya Sopek, adakah sesi penghayatan watak dan skrip dijalankan sebelum pementasan?

Jalan ceritanya bagi saya amat biasa. Seperti drama swasta dan juga RTM. Mungkin itulah realitinya, akan tetapi apabila jalan cerita biasa, ditambah dengan lakonan yang lemah serta aturan pentas yang lembab akan menghasilkan satu kebosanan hakiki. Sepanjang pengalaman saya terlibat, berlakon, mengarah dan menonton teater, bagi saya jalan cerita tidak begitu penting. Bukan saya nak mengatakan yang saya ini pandai ya. Yang penting adalah pergerakan, mood dan emosi dalam jalan cerita.

Adakalanya jalan cerita teater itu adalah dimetaforakan ibarat kek. Tidak kira sama ada anda buat kek keju, atau kek pandan, atau kek coklat. Memang biasa dan ramai orang buat kek. Jenis kek juga pelbagai. Pergerakan jalan cerita, mood dan emosi, serta tahap lakonan adalah ibarat bahan resipi untuk kek itu. Jadi, bagaimanapun bentuk dan jenis kek, jika bahan resipinya kurang, ia akan jadi lebih tak sedap dari biasa. Faham kan?

Mengenai perjalanan dan prop pentas:

Ini adalah kegagalan muktamad. Maaf, kalau bunyi tajam menikam, tetapi itulah haqeqatnya. Saya berlaku jujur, ok. Segala mood hilang entah kemana akibat dari penukaran prop yang amat lembab. Saya menjadi sesat berkali-kali di tengah-tengah cerita.

Saya faham, memang agak sukar untuk mengubah prop pentas. Akan tetapi, proses pengubahan itu boleh dicantikkan dengan menambah skrip kepada krew pentas. Sebagai contoh, krew pentas boleh berbual atau bercerita fasal watak-watak utama sambil mengubah prop. Asalkan tidak bercanggah atau lari dari jalan cerita asal.

Antara babak yang menekankan perasaan adalah adegan di kelab malam. Terasa begitu meleret dan membuat air mata mengalir kebosanan. Hendak bernafas pun rasa sesak menanti adegan itu tamat.

Saya ingatkan sekali lagi, kelambatan akan mengubah mood penonton. Apabila mood berubah, kebosanan akan menghantui jiwa. Apabila bosan, penonton akan mula tidak selesa berada dalam dewan. saya sendiri nyaris-nyaris tertidur dan mahu keluar dewan akibat lapar. Diingatkan juga, kebanyakan penonton biasa tidak makan sebelum menonton. Keh keh keh.

Lampu -
Memang hancur. Saya sendiri maklum akan keadaan lampu pentas dewan perpustakaan. Jadi, lain kali jika mahu adakan pementasan di perpustakaan, sila elakkan banyak bermain dengan lampu. Dipesan juga supaya menutup papan tanda 'keluar' di kedua belah pintu tepi pentas dengan kertas hitam lain kali.

Bunyi -
Lagilah hancur astaghfirullahalazim...
Naik darah dibuatnya apabila mendengar lagu ibarat radio rosak.

Walaubagaimanapun, tahniah kepada produksi kerana berani menghasilkan dan berjaya mementaskan sebuah teater. Terus terang saya hargai usaha kalian, walaupun ada melekat rasa kecewa.

Terima kasih kepada Sopek kerana menjemput saya secara peribadi. Harap apa yang saya kritik di sini tidak disalahertikan. Niat saya ikhlas. Apa facebook pelakon watak Maria itu? Sila tinggalkan di bahagian komen di bawah tanpa segan silu.

Setelah habis menonton teater, saya dan kawan-kawan lain pergi makan di Chaiyo Bistro. Apabila saya kecewa, saya lapar. Malam itu saya makan tak beberapa ikut sunnah. Saya makan tiga pinggan, termasuk makanan kawan-kawan.

4 ulasan:

NaziaNaz berkata...

Hurmmm...cam tak best kan..

uptownkitz berkata...

hobin jang hobin.. kepada yg bkenaan sila lah take note apa yg d catatkan oleh abg Hadi ni ha.. mantan presiden ASTENA kowt, tbaeeeek.. solute!!! hup!!..
p/s satu bekas tu tak mcm pinggan bob, yg bekas sizzling tu.. mahal sket ohuk3..
p/s 2 orang dah kerja ni.. kasut syle..:) i loooike

Unknown berkata...

mmg mantop komen2 ko bobby! :D

abdul hadi berkata...

aku cuma bagi pendapat ikhlas.. hehehe