Saya ada janji mahu lepak berborak malam itu. Sebelum solat maghrib, saya sudah siap mandi.
Setelah usai solat, macam rutin biasa, doedoran disembur, dan pakaian lepak disarung. Selalunya seluar jeans dan kemeja-t. Semestinya tanpa kolar. Saya tidak memilih sangat aspek pemakaian. Asalkan nampak remaja dan tidak berbau.
Bercermin pun ala kadar, semata-mata untuk melaraskan susur atur rambut.
Setelah puas dengan penampilan remaja bebas, selipar disarung dan pintu rumah dikunci. Keselamatan rumah senantiasa penting dalam kehidupan, berikutan indeks jenayah yang kian meningkat.
Seperti lumrah manusia biasa, masuk sahaja dalam lif, saya bersandar di dinding belakang sekali, dan memandang pintu lif. Bersendirian dalam lif, saya memikirkan sedikit tentang masa hadapan. Tiba-tiba, lif berhenti di tingkat 5. Pintu lif terbuka dengan kelajuan sederhana.
Brader misteri yang saya tegur beberapa minggu yang lalu muncul dan masuk ke dalam. Sikit pun saya tak jangka kehadiran beliau.Tergamam seketika.
Brader itu masuk, memandang saya sekali imbas. Saya melemparkan senyuman mesra, brader itu angguk kepala lalu kembali berdiri menghadap pintu lif.
Saya menghela nafas lega, tapi tak lama.
Beberapa saat kemudian, brader misteri itu menoleh kembali kepada saya. Matanya merenung tajam ke arah kemeja-t saya. Kemeja-t hitam dengan logo besar kugiran Earth Wind & Fire.
"Eh, ini lambang Firaun ni kan?" Brader itu berkata, dengan nada serius. Sambil menunjuk ke arah gambar di kemeja-t saya. Brader itu yang masih mengekalkan riak wajah serius memandang muka saya.
Saya masih mengekalkan riak wajah manis, sambil cuba menjawab "Eh, bukanlah bang. Lain ni. Ini..."
"Betul lah ni.. lambang Firaun ni!"
Tak sempat saya membela diri, brader itu sudah menambahkan pendakwaannya. Saya terkelu.
"Ting!"
Lif sampai tingkat bawah. Lantas brader misteri meninggalkan saya terkebil-kebil seorang diri.
Bersambung...
1 ulasan:
Brother,
Cerita-cerita dalam blog you menarik.Ingin terbitkannya dalam bentuk buku. Hubungi saya.
Catat Ulasan