Khamis, 8 Disember 2011

Cerpen Indie 21: Loh Mahfuz

Ramli bangkit, berjalan perlahan menuju ke balkoni. Ramli mula termenung. Dia menggeliat. Kemudian, betulkan ikatan kain tuala di pinggang yang hampir terlucut. Ramli sambung termenung, memandang matahari.

Nafasnya ditarik dalam-dalam, dan dihembuskan lega. Lega dan puas. Ramli berniat membakar rokok. Kemudian niatnya terbatal apabila terpandang susuk tubuh yang masih terbaring diam dalam selimut di atas katil.

"Layla tak suka bau rokok." getus hati Ramli.

Ramli kembali pada posisi termenungnya, dengan siku tersangkut di tembok. Dia sambung tersenyum puas. Puas dengan prestasinya di ranjang, dan puas dengan kejayaannya memiliki wanita idaman hatinya. Kepuasan berganda. Sekarang, tiada satu entiti pun dalam dunia ini dapat meleburkan ikatan mereka.

Sedang asyik termenung, pinggang Ramli dirangkul dari belakang. Ramli agak terkejut, tapi dia hanya berlagak biasa, dan menyembunyikan keterperanjatannya kerana dia mempunyai ilmu persilatan yang tinggi.

"Awal bangun?" Layla yang bersarungkan jubah hotel mengeratkan lagi rangkulan di pinggang Ramli.

"Terbangun..." Ramli senyum, dan pandang wajah Layla.

"Kau tak kisah apa orang kata kita kahwin lari ni? Tak kisah buah mulut orang?" Ramli bertanya soalan bodoh, sedangkan masa sebelum bernikah, tak fikir pun.

"Tak, aku tahu kau sayang aku. Kau akan jaga aku selama-lamanya. Orang lain tak tahu. Lantak lah apa orang lain nak kata. Yang penting kita bersama." Panjang lebar jawapan Layla. Hampir terlelap Ramli dibuatnya.

"Ya, aku sayangkan kau. Dari dulu sayang aku tak pernah hilang. Aku tak akan sia-siakan diri kau." Luah ramli sambil memeluk kembali tubuh Layla.

Dicapainya kedua tangan Layla, dan dikucupnya penuh kasih sayang.

Tangan Layla yang selama ini lembut dan halus tiba-tiba terasa kasar dan berbau minyak atar.

"Woi! Gila apa cium tangan aku ni, bodoh!"

Ramli tersentak. Matanya terbuka luas.

"Astaghfirullah...! Sempat lagi kamu nak mengigau? Bangang tak sudah kamu ni! Orang tengah menikah tu!" Haji Rizal menjerit secara berbisik keras. Haji Rizal menjegilkan mata, memandang muka Ramli. Ramli masih buat muka toya macam biasa.

Ramli kembali ke alam nyata. Dia mula awas dengan keadaan sekeliling. Seluruh isi rumah sedang berdebar, memusatkan perhatian menanti tutur kata dari pengantin lelaki.

Ramli mula sedar, realiti itu amat pahit. Matanya mula bergetar-getar.

Di celah-celah keramaian manusia, kelihatan Hafis dan Rudeen saling pandang-memandang, bermain mata. Kehadiran Rudeen adalah rahmat penghapus onar hari itu. Jika hanya Hafis bersendirian menghantar Layla pulang, mungkin sekalian hadirin di kenduri itu akan menanggung dosa fitnah atau umpat. Akan tetapi, Rudeen yang turun dari tempat duduk sebelah pemandu, mematikan akal sikap segelintir manusia yang dah memang terbiasa bersangka buruk sebelum terbukti kebenaran.

Keluarga dan mereka yang rapat, sudah masak dengan perangai Layla. Dia memang gemar menghilangkan diri jika ada apa-apa acara yang besar berkenaan dirinya. Hari mahu masuk darjah satu, dia menyorok di bawah rumah. Hari keputusan UPSR, dia bersembunyi di belakan tong gas kedai Pak Kasim. Hari khatam Al-Quran, diadijumpai berpeluh-peluh menyorok dalam bonet kereta datsun ayahnya.  Hari  keputusan SPM, dia nyaris naik bas nak pergi Langkawi. Jadi, mereka memang tidak banyak soal akan tindakan Layla menghilang Hari itu. Daripada sibuk mencari penjelasan, lebih baik majlis disegerakan. Lagi segera, lagi awal boleh makan kenduri, dan kemas rumah.

Izwan masih ligat dengan pelbagai posisi untuk menangkap gambar. Sebagai penangkap gambar rasmi hari itu, dia ternyata menampilkan kesungguhan yang jitu, demi memndapatkan hasil yang layak dipanggil mahakarya. Sampai terbaring-baring dia di sisi Tok Kadi. Ketawa kecil masyarakat yang diperhati, langsung tidak diambil peduli.

"Sah!" Hadi berjaya membalas lafaz nikah dengan satu pernafasan yang lancar.

"Alhamdulillah...' 

Hadirin mula mengangkat tangan mengaminkan doa. Rsmli turut sama mengangka tangan. Bukan niat utamanya bersyukur ke hadrat ilahi. Lebih ke arah menyembunyikan matanya yang mula berkaca-kaca dan air mata hampir melimpah. Hatinya yang berderai, tiada siapa yang peduli.

Sambil cuba menghilangkan sedu, Ramli mengalih pandang. Dengan tangan cuba menyembunyikan wajah, dia masih berdegil cuba memandang Layla yang sudah sah bergelar isteri orang. Hatinya makin berderai. Pemandangan mula suram.

Tiba-tiba, Ramli terkesima. Dia baru perasan dengan kewujudan satu susuk tubuh yang duduk di belakang Layla. Seorang gadis comel sedang memandangnya. Mata mereka bertentangan seketika. Ramli kaget, dan mula mengesat air mata. Sudah lama kah gadis itu memerhatikan Ramli? Ramli malu sendiri. Gadis comel itu mula mengukir senyum. Hati ramli yang berderai, bagai bersatu kembali.

Siapa gerangan gadis itu?

Akan disambung oleh : Norizwan Azlan