Selasa, 27 April 2010

2 Mei 2010 : Kugiran Sedap Buat Pertunjukan


Emosa Pendosa. Pernah dengar? Rugi tak datang tengok.

Vokalis Emosa Pendosa handal gilababi punya. Badan tegap, perut ketak-ketak.

Siapa mahu saksikan sendiri, sila datang.

2 Mei 2010, 1.00pm (tapi selalunya mula selepas pukul 2.00pm)
AHAD! Bukan SABTU!(mereka salah taip pada iklan. Apa nak jadi...?)

Tempat : MyEVO Clubhouse, Pandan Indah.
Bayaran : RM 15.00





Isnin, 19 April 2010

Hasutan Syaitan Tewas

Saya bangun pagi dengan kadar kemalasan yang menebal. Setebal selimut hangat yang membaluti tubuh. Pagi Isnin memang selalunya tidak memberangsangkan, kecuali Isnin hari raya.

Akan tetapi, mungkin kerana bakat, saya buka mata melawan hasutan syaitan.

Saya sengih kemenangan.

Bangun, lekas capai tuala, dan pergi mandi. Gosok gigi juga terasa amat mudah. Bersiap depan cermin, terasa lebih kacak dari hari-hari lain.

Baju yang disarungkan juga terasa cantik dan tak perlu digosok. Sekejap sahaja saya sudah siap lengkap untuk ke pejabat. Tak perlu lagi diiringi dengan lagu-lagu pembakar semangat seperti pagi-pagi sebelumnya.

Melangkah keluar dari bilik, berjalan tegak dan berlapang dada. Sekejap sahaja sudah sampai ke kereta. Masuk kereta, sekali pusing kunci sahaja, enjin sudah berderum bunyi gagah. Oh, minyak tinggal sedikit. Tak bergaya lah macam ni.

Saya memecut deras dengan memakai kacamata senja, menuju ke stesyen minyak kegemaran. Sampai sahaja, gadis manis penjaga kaunter tersenyum kepada saya. Pelik juga, tak perasan selama ini ada gadis semanis itu menjaga kaunter stesyen itu.

Saya mula untuk mengisi minyak. Saya ambil satu botol air mineral, buka tutup botol dan mula isi minyak.

Eh! Apa hal saya isi minyak dalam botol air mineral?!

Saya terkejut lalu buka mata.

Mimpi rupanya...

Kelam kabut sudah lambat. Pergi mandi, hampir terlanggar Pokcik yang sudah siap mahu pergi kerja.

Memang sah lambat hari ini!

Terbayang Syaitan tersengih puas...

Isnin, 12 April 2010

Jerawat

Pagi itu, tekak saya gatal mahu neslo.

Setelah selesai menghidupkan komputer, saya masuk ke pantry pejabat, dan mula mengambil satu cawan nampak mahal berwarna hitam.

"Kak!" Saya tegur kakak pembancuh teh.

"Minum Di? Nak akak buat?" Kakak pembancuh teh bertanya kepada saya.

"Terima kasih kak, saya bancuh sendiri ye..." Saya menolak sopan. Saya memang tak pernah mahu jika kakak pembancuh teh mempelawa mahu membancuh air untuk saya. Bukan sombong ya, cuma saya tak sanggup.

Lantas, saya terus mengeluarkan jurus-jurus pembancuhan neslo teragung. Begitu cermat dan cekap. Tiada satu sukatan pun yang tercicir.

"Sibuk ke Di?" Kakak pembancuh teh menyambung perbualan,..

"Sibuk gak la Kak..." Saya balas sambil tangan kiri kemas memegang cawan hitam nampak mahal, dan jari-jemari kanan mengayun camca dalam radius yang paling tepat.

"Ha, ada jerawat tu. Jerawat pemanis tu." Peka sungguh kakak pembancuh teh itu. Saya sendiri pun hampir tak sedar ada jerawat baru tumbuh di atas bibir belah kiri.

"Ada rindu orang ke?" Kakak pembancuh teh cuba serkap jarang.

"Hahahaha! Mana ada kak, biasa je ni" Saya ketawa sambil beredar ke meja saya.

"Tekanan kerja lah kak oi..." Saya cakap dalam hati sambil menghirup neslo panas.

Saya tipu separuh... haha.


Selasa, 6 April 2010

Sukarela terjebak dengan budak budak

Sudah lama saya tidak terjebak dalam produksi teater.

Beberapa hari yang lalu, kenalan teater saya, Yusrika mempelawa saya membantu dan turut serta dalam produksi teater Rakan Muda beliau.

Saya sebagai peminat seni, tak berfikir panjang. Jadi terus setuju, walaupun program Rakan Muda. Sudah nama pun Rakan Muda, dah tentu yang masuk semua budak-budak sekolah lagi.

Saya diminta untuk membantu mereka menghayati muzik mereka sendiri. Jadi, pada hari Ahad lepas, saya menjebakkan diri bersama mereka.

Pada mulanya, saya hanya diam dan memerhatikan mereka sambil raut wajah serius membaca akhbar lama. Saya tidak banyak cakap kerana Yusrika sudah menjemput seorang aktivis teater, Eddy membantu beliau dalam aspek lakonan. Saya tak mahu masuk campur sangat.

Semakin lama, saya menghampiri pelakon-pelakon itu seorang demi seorang. Saya bercakap dengan nada selesa, supaya mereka selesa bersama saya. Terasa janggal mereka memanggil saya Abang. Tapi, apakan daya, mereka baru berumur rata-rata 16 tahun.

Gila beza umur! lebih 11 tahun!

Kira ok lah mereka tak panggil saya Pakcik. Kalau mereka panggil saya Pakcik, sia-sia kena pelempang. Budak sekolah, tak budak sekolah. Peduli apa.

Memang apa yang saya saksikan, mereka tidak menjiwai lagu mereka sendiri. Lagu mereka sedap juga sebenarnya. Jadi tak apa, saya akan ikhtiarkan apa yang termampu untuk membantu mereka. Seronok juga melihat remaja-remaja berbakat dan minat seni ini.

Sebelum saya pulang mereka salam saya cium tangan. Bertambah lagi rasa janggal dalam diri. Saya harap mereka akan terus minat seni. Jangan hisap dadah dan buang anak ok!

Menyendol Yang Kecundang

Petang itu saya ada mesyuarat di TTDI. Sepatutnya mesyuarat itu pagi, tapi sudah ditunda ke waktu petang sebab pihak pelanggan tiba-tiba ada hal lain.

Penat saya berangan untuk makan nasi di rumah Gombak waktu tengahari. Segala angan-angan hanya tinggal kenangan. Saya masuk pejabat awal, tanda protes. Masuk pejabat, semua kerja saya siapkan dengan rakus tapi rapi. Rakan sekerja saya tak berani kacau saya bila saya berwajah serius.

Tepat pukul 12, saya terus tegas ajak Pokcik dan Apis makan tengahari di kedai bawah pejabat. Terasa sangat angkuh dan dungu jika saya makan secara berseorangan. Kunyah nasi dan lauk agak laju kerana mengejar masa.

Selesai solat Jumaat, tak sempat bersalaman dengan jemaah kiri kanan, saya memecut deras menuju ke TTDI. Dengan satu set laporan bernilai RM 250,000 selamba saya sumbat dalam bonet Ben. Terasa sekejap sahaja sudah sampai ke TTDI.

Mesyuarat sepatutnya bermula pada jam 3.00 petang. Saya sampai awal 5 minit, dan terus ke pejabat pelanggan. Jumpa pelanggan, hantar laporan dan invois, bercakap pun apa yang perlu sahaja. Walaupun dalam hati ada niat kuat mahu berbual fasal cuaca Malaysia.

Mesyuarat ringkas dan padat. Tamat dalam masa hanya 15 minit. Saya suka sangat. Saya terus pecut deras ke Gombak sebelum jalan jem. Dalam perjalanan saya sempat mesej Shaz mengajak beliau menyendol.

Sampai di Gombak, saya hantar komputer riba dahulu ke rumah dan menghadap Ayahanda sebentar. Tak sempat duduk, saya terus keluar rumah untuk menyendol bersama Shaz. Hanya sempat mencabut kemeja. Apa kelas lepak menyendol pakai kemeja kerja?

Saya ikut jalan sukar menuju ke rumah Shaz. Shaz sudah siap wangi-wangi macam mahu pergi Disneyland. Saya memang tak segan dengan imej rock kontemporari bersederhana.

Kami bercadang mahu menyendol di Setiawangsa, kerana ada ura-ura menyatakan cendol dan rojak di sana antara yang terbaik di pasaran. Untuk tidak buang masa, kami siap ikut jalan yang ada tol.

Dalam perjalanan, hujan turun dengan sangat lebat. Aduh! Terbatal niat murni mahu menyendol. Lampu dipasang kerana saya memang lemah bab memandu dalam hujan lebat. Kami mengalih haluan ke Wangsa Walk kerana saya tak pernah pergi sana. Hendak melawat kawasan baru lah gamaknya...

Sampai ke dalam Wangsa Walk yang indah rupa dari nilai itu, Shaz mengidam mahu makan kek. Kami pun masuk ke sebuah kedai kek yang terkemuka. Memang terkenal bagi warga urban. Saya jarang pergi. Shaz memesan sepotong kek dan secawan kopi. Saya minum satu air coklat sejuk ada krim berharga RM 7.50. Mentang-mentang gaji masih baru masuk, memang tak berkira ketika memesan. Lagipun, hari itu Shaz bermurah hati belanja saya.

Selesai makan dan mengumpat, kami merayau pusing-pusing cuci mata. Tapi kekurangan gadis di Wangsa Walk menyebabkan saya lebih cenderung untuk berjalan sambil berborak sahaja. Puas merayau, kami pun mahu melangkah pulang ke ibubapa masing-masing.

Keluar sahaja dari kompleks Wangsa Walk, Shaz bersuara terkejut tapi merdu.

"Eh, lampu kereta tak tutup!"

Saya mula tak keruan.

Aduh! Aduh! Aduh!

Ben merajuk, lalu tak mahu hidup. Jumper pun tak ada. Abang pengawal keselamatan yang prihatin hanya dapat membantu berbual dengan saya.

Saya telefon Fadhil.

Sebagai jaguh rempit sejati, Fadhil datang dari pejabat beliau di Bangsar dalam 25 minit di waktu puncak.

Akhirnya, mekanik terpaksa dipanggil. Terbang RM25. Saya hantar Shaz pulang dengan lewat dan redha...