Memaparkan catatan dengan label kerja. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kerja. Papar semua catatan

Rabu, 27 Oktober 2010

Bila tak menentu


Bila masa sekolah, asyik tak nak sekolah. Nak balik rumah.
Bila tak sekolah, tak nak duduk rumah.
Bila dah mula seronok di sekolah, tak nak balik rumah.
Bila balik rumah, sibuk nak pergi sekolah.

Bila habis sekolah rendah, sibuk nak masuk asrama.
Bila dapat masuk asrama, sibuk nak keluar asrama.
Bila dah sedap duduk asrama, kena buang asrama.
Bila kena buang asrama, sibuk nak merayu masuk asrama.

Bila sekolah menengah, malas balik rumah.
Bila duduk rumah, haram tak ingat sekolah.
Bila masa sekolah, tak sabar nak habis belajar.
Bila habis SPM, tak sabar nak sambung belajar.

Bila dapat sambung belajar, sibuk memilih kursus.
Bila dapat kursus kehendak, sibuk nak pilih kelas.
Bila dapat kelas yang nak, sibuk tak pergi kelas.
Bila kena bar masuk periksa, sibuk merayu nak ambil periksa.

Bila masuk universiti, perangai tak ubah-ubah.
Bila waktu patut belajar, sibuk nak bersosial.
Bila waktu bersosial, borak cerita pasal cita-cita.
Bila ada cita-cita, sibuk nak habis belajar.

Bila habis belajar, sibuk nak cari kerja.
Bila cari kerja, mulut manis masa temuduga.
Bila dapat kerja, mengular perkara biasa.
Bila sibuk kerja, kelam-kabut nak berhenti kerja.

Aduh!


Isnin, 19 April 2010

Hasutan Syaitan Tewas

Saya bangun pagi dengan kadar kemalasan yang menebal. Setebal selimut hangat yang membaluti tubuh. Pagi Isnin memang selalunya tidak memberangsangkan, kecuali Isnin hari raya.

Akan tetapi, mungkin kerana bakat, saya buka mata melawan hasutan syaitan.

Saya sengih kemenangan.

Bangun, lekas capai tuala, dan pergi mandi. Gosok gigi juga terasa amat mudah. Bersiap depan cermin, terasa lebih kacak dari hari-hari lain.

Baju yang disarungkan juga terasa cantik dan tak perlu digosok. Sekejap sahaja saya sudah siap lengkap untuk ke pejabat. Tak perlu lagi diiringi dengan lagu-lagu pembakar semangat seperti pagi-pagi sebelumnya.

Melangkah keluar dari bilik, berjalan tegak dan berlapang dada. Sekejap sahaja sudah sampai ke kereta. Masuk kereta, sekali pusing kunci sahaja, enjin sudah berderum bunyi gagah. Oh, minyak tinggal sedikit. Tak bergaya lah macam ni.

Saya memecut deras dengan memakai kacamata senja, menuju ke stesyen minyak kegemaran. Sampai sahaja, gadis manis penjaga kaunter tersenyum kepada saya. Pelik juga, tak perasan selama ini ada gadis semanis itu menjaga kaunter stesyen itu.

Saya mula untuk mengisi minyak. Saya ambil satu botol air mineral, buka tutup botol dan mula isi minyak.

Eh! Apa hal saya isi minyak dalam botol air mineral?!

Saya terkejut lalu buka mata.

Mimpi rupanya...

Kelam kabut sudah lambat. Pergi mandi, hampir terlanggar Pokcik yang sudah siap mahu pergi kerja.

Memang sah lambat hari ini!

Terbayang Syaitan tersengih puas...

Isnin, 12 April 2010

Jerawat

Pagi itu, tekak saya gatal mahu neslo.

Setelah selesai menghidupkan komputer, saya masuk ke pantry pejabat, dan mula mengambil satu cawan nampak mahal berwarna hitam.

"Kak!" Saya tegur kakak pembancuh teh.

"Minum Di? Nak akak buat?" Kakak pembancuh teh bertanya kepada saya.

"Terima kasih kak, saya bancuh sendiri ye..." Saya menolak sopan. Saya memang tak pernah mahu jika kakak pembancuh teh mempelawa mahu membancuh air untuk saya. Bukan sombong ya, cuma saya tak sanggup.

Lantas, saya terus mengeluarkan jurus-jurus pembancuhan neslo teragung. Begitu cermat dan cekap. Tiada satu sukatan pun yang tercicir.

"Sibuk ke Di?" Kakak pembancuh teh menyambung perbualan,..

"Sibuk gak la Kak..." Saya balas sambil tangan kiri kemas memegang cawan hitam nampak mahal, dan jari-jemari kanan mengayun camca dalam radius yang paling tepat.

"Ha, ada jerawat tu. Jerawat pemanis tu." Peka sungguh kakak pembancuh teh itu. Saya sendiri pun hampir tak sedar ada jerawat baru tumbuh di atas bibir belah kiri.

"Ada rindu orang ke?" Kakak pembancuh teh cuba serkap jarang.

"Hahahaha! Mana ada kak, biasa je ni" Saya ketawa sambil beredar ke meja saya.

"Tekanan kerja lah kak oi..." Saya cakap dalam hati sambil menghirup neslo panas.

Saya tipu separuh... haha.


Rabu, 3 Februari 2010

Kenapa saya sibuk sekarang? Sebab 2


Siang hari saya sibuk siapkan kerja. Memang saya tengah banyak kerja. Siapa nak tolong siapkan? Jom. Tapi cuma dapat ganjaran pahala. Cukup tak?

Jumaat, 30 Oktober 2009

Pernahkah saya kawin dengan makcik anda? Bahagian 2

Saya terpaksa cabut awal dari pejabat petang itu.

Nak pergi Putrajaya sebab ada urusan dengan Tabung Haji. Biasalah... hardcore hardcore jugak. Akhirat kena jaga. Rukun Islam tu.

Pukul 2.57pm saya sudah mula memerhati kiri dan kanan. Memerhati keadaan keliling sama ada selamat atau tidak untuk saya cabut awal. Bukan saya sengaja mahu mengular. Tapi sebab pejabat urusan Tabung Haji yang hanya buka di waktu pejabat. Macam mana saya nak pergi tanpa ponteng? Salah siapa? Bila keadaan sudah tidak mencurigaka, saya mula bungkus barang dan cabut dengan gaya menyelinap. Terasa macam perisik handalan.

Ketika dalam perjalanan hendak ke tempat saya meletakkan Ben, saya bertembung dengan Pengurus Akaun pejabat saya.

Aduh, macam mana boleh ada Pengurus Akaun di tempat letak kereta ni? Tak pernah dibuat orang isi masa lapang dekat tempat letak kereta. Hobi baru ke?

"Eh, nak kemana?" Pengurus Akaun tanya.

Saya dah mula sengih-sengih nak selindung perasaan cuak.

"Nak pergi Tabung Haji" Selamba saya jawab. Tak berani nak menipu sebab Pengurus Akaun muka dia gaya orang alim.

"Oh.. Bos ada kat atas?" Dia tanya lagi.

"Ada, dia dalam bilik. macam sibuk je" Saya jawab mesra.

Fuh, nasib baik dia cepat naik atas nak jumpa Bos Besar.Saya terus tambah kelajuan jalan kaki nak pergi dekat Ben.

Dalam Ben, saya pasang CD lagu The Cure, '4:13 Dream'. Saja nak layan sambil memandu cermat bersendirian. Kalau bawak orang lain sekali, tak boleh dengar lagu macam ni. Nanti mereka pening.

Sampai sahaja di Anjung Putrajaya, mudah sahaja saya mencari tempat yang sesuai untuk meletak Ben.

Dalam hujan renyai-renyai, saya berjalan kelajuan biasa masuk ke dalam bangunan. Terasa seperti babak bergaya dalam drama. Kasut kulit basah sedikit pun tak mengapa.

Masuk dalam Tabung Haji, saya dengan cermat dan cekap mengisi borang. Pengisian terhenti seketika kerana saya terlupa nombor kad pengenalan Soraya. Nasib baik ada teknologi yang bernama telefon bimbit. Dengan pantas pesanan ringkas dihantar dan jawapan diterima.

Selesai mengisi borang, saya mencari tempat yang paling strategik dan selesa untuk saya duduk. Memang strategik betul. Mudah untuk saya mengusya gadis kaunter yang manis rupawan.

Berhampiran saya ada seorang gadis remaja dalam lingkungan 15-16 tahun sedang mengawasi adik kecilnya yang lasak memanjat-manjat kerusi. Ibu mereka sedang berurusan di kaunter.

Agak sernok melihat gelagat kanak-kanak yang lasak, kerana selalunya kanak-kanak lasak ini selalunya cerdik akal fikirannya. Teringat semasa saya masih kecil dahulu. Memang lasak Ya Tuhan.

Agaknya, gadis remaja itu sudah tak terkawal kelasakan adiknya. Lalu dipegang erat adiknya seraya berkata.

"Dah! duduk diam, nanti pakcik tu marah karang! baru tau!"

Sambil menunjuk ke arah saya.

Cilakak punya budak! Pakcik?

Esok saya rasa macam nak cukur janggut dan dah tak nak pakai baju gaya pejabat.

Rabu, 28 Oktober 2009

Secangkir neslo semanis wajah

Pagi ini, saya antara yang paling awal datang ke pejabat.

Saya mencecah kaki kanan masuk pintu pejabat pada jam 8.59. Waktu paling aman dalam suasana pejabat ini. Pekerja lain biasanya hanya masuk pada jam 9.15. Kelebihan syarikat ini adalah waktu kerjanya yang sangat mudah lentur. "Flexible" dalam bahasa Inggerisnya. Ada juga yang perangai suka masuk lepas pukul 10 dan yang paling mantap datang sejurus selepas waktu makan tengahari. Yang tak datang terus pun ada. Buat kerja dari rumah je. Bos besar tidak beberapa kisah dengan kadar waktu masuk pejabat. Asalkan kerja mereka siap dan pelanggan tidak mengadu domba.

Bila datang awal, saya tak perlu bergegas-gegas. Tak perlu berhenti dahulu di hadapan pintu mengatur pernafasan. Tak perlu lap peluh di dahi pakai lengan baju. Masuk pejabat pun sambil tersenyum dan mengucapkan selamat pagi.

Selalunya watak watak yang mesti ada awal dalam pejabat sebelum saya adalah seorang eksekutif pentadbiran, seorang setiausaha bos besar, dan seorang kakak pembancuh teh.

Saya nak duduk tempat yang biasa saya duduk. Tapi sejak saya asyik kerja luar, tempat saya itu sudah menjadi rebutan. Ramai juga yang berebut tempat tu. Mungkin kerana ada nilai nilai estetika. Makwe pejabat pun suka berebut tempat itu. Apa yang sedap sangat ntah? Dah la kalau duduk tempat tu, kena jadi tukang picit butang remote pintu setiap kali ada tetamu datang.

Pagi ini saya dah malas nak berebut, walaupun saya datang awal. Lagipun atas meja itu dah ada botol air makwe pejabat. Mungkin dia dah cop tempat tu dari petang semalam. Saya beralah, saya duduk tempat yang makwe pejabat selalu duduk pulak. berhadapan dengan tempat rebutan.

Duduk kejap, semakin ramai watak pejabat yang masuk. Tapi tak beberapa ramai. Sebab ramai yang pergi Johor dan Kedah. Minggu ini saya tak pergi Johor. Tak dapat la saya tidur hotel 4 bintang, bedal sarapan mewah dan usya gadis Singapura. Bos suruh saya tinggal jaga pejabat. Apa-apahal kena berinteraksi dengan dia guna internet.

Rutin pagi, seperti biasa mesti memeriksa e-mel kerja dan e-mel peribadi. Takut-takut ada kerja semalam yang tak perasan. Kemudian disusuli dengan memeriksa Facebook. Memang sebagai remaja urban akhir zaman, memeriksa Facebook tidak dapat dipisahkan dari gaya hidup. Selalunya kakak pembancuh teh akan datang dan bertanya saya "Hadi, nak minum air apa? Akak buatkan."

Saya selalunya menolak dengan baik sebab saya lebih puas dengan bancuhan tersendiri.

Sudah puas membalas komen komen peminat di Facebook, tekak mula terasa masam, ibarat perlu dibasahi.

Ketika bangun untuk meninjau bilik makan, atau bahasa Inggerisnya, "pantry", saya tak jadi pergi dan duduk balik. Sebab kakak pembancuh teh sedang sibuk bergosip dengan makwe pejabat di dalam bilik makan, sambil makan nasi lemak sambal sotong. Kuat betul bau sotong dia. Hampir gatal saya dibuatnya.

Setelah beberapa ketika, saya nampak mereka mula membasuh bibir. Itu menunjukkan sudah tamat waktu bergosip bertemankan nasi lemak sambal sotong. Saya pun mula melangkah ceria menuju ke bilik makan. Sambil sambil itu cuba bersilu lagu cari jodoh oleh Wali Band. Tapi tak beberapa nak keluar bunyi sebab bibir saya longgar.

Sambil membancuh, saya berbual dengan kakak pembancuh teh. Kakak pembancuh teh memang suka berbual tak kira orang. Asalkan manusia agaknya. Tak pernah pula saya lihat dia berbual dengan almari ataupun mesin fotokopi. Kalau dia mula berbual dengan mesin fotokopi, pasti saya akan menelefon majalah Mastika atau Variasari.

Akhirnya, saya mendapat secangkir neslo bancuhan sendiri yang utuh, saya kembali ke meja.

Dengan nisbah 1 neskape : 2 milo : 1 susu pekat,
Tanpa gula,
Air panas menggelegak,
Dengan aroma kopi arabica,
Terasa seperti sedang menghirup kopi di pinggir tebing Casablanca.
Terasa enak neslo hangat mencemar kedinginan suhu.
Diperhatikan oleh gadis Maghribi.
Yang manis tersenyum memecah renungan.
Senyuman ikhlas diselindungi furdah.

Owh... bukan gadis Maghribi berfurdah sebenarnya. Cuma makwe pejabat yang duduk dekat depan.

Nampak mata sahaja pasal mulut terhadang oleh penghadang. Atau dalam bahasa Inggerisnya "Partition".




Jumaat, 11 September 2009

Rabak di pagi ramadan

Pagi ini saya masuk pejabat dengan mata yang rabak.

Ini semua malam tadi punya pasal.

Lepas berbuka semalam, ketika umat lain sibuk menjalankan ibadat tarawih, saya sibuk berlatih muzik bersama ahli kugiran. Berdentum dentam kesunyian malam inu dek kerana muzik kami.

Saya tak sempat tunggu sampai habis latihan sebab sudah janji dengan beberapa kawan lain untuk balik Gombak sekejap. Nak amik samping untuk majlis buka puasa dekat hotel. Biasalah, sekali sekala nak melaram juga. Pukul 11.45 malam saya sudah cabut meninggalkan studio. Daus dah mula membebel cakap cakap belakang macam biasa. nasib baik ada Fahmie yang memahami.

Dah dekat pukul 1.00 am baru saya sampai rumah Gombak dan amik samping. Nasib baik Mak belum tidur. Ayah pun tengok bola dekat TV. Bola negara mana entah. Tak pernah saya tengok.

Nasib baik kami tak jadi singgah bazaria larut malam Danau Kota. Masing masing dah bula keluar bunyi-bunyi mengantuk.

Kami terus bergerak pulang ke Seri Kembangan sambil berfikir untuk singgah di mana untuk makan. Tiba-tiba pula ramai yang lapar. Saya pun mengada-ngada nak lapar padahal sudah hentam kaw-kaw di hotel tadi.

Sampai Seri Kembangan, kami makan di satu kedai tom yam. Pedas betul masakan di situ. Sangat menyelerakan.

Habis makan, kami pulang ke rumah masing-masing. Saya sampai rumah pada pukul 2.55am. Daus dah membebel sederhana. Lepas berak, saya tidur pukul 3.10am. Lama juga saya berak. Ini semua hotel punya pasal.

Pagi tadi saya terkejut sebab daus bukak pintu bilik saya sambil jerit.

"Kau nak pergi kerja pukul berapa ni? Dah 7.30 dah ni!"

Kata daus sambil sikat rambut. Saya kelam kabut tarik tuala masuk bilik air. Mata pun bukak tak sampai suku je.

Nasib baik pagi tadi saya dah janji nak pergi kerja dengan Iwan. Jadi, Iwan yang bawak Ben. Saya duduk sebelah dengan kepala mamai. Menyanyi pun dengan lirik yang berterabur.

Sampai pejabat, saya selamba bukak komputer sambil senyum-senyum nak hilangkan mengantuk. Tiba-tiba nampak kelibat Iwan depan pintu pejabat. Apakejadah dia singgah pejabat saya pagi-pagi buta? Pejabat dia tak best ke?

Sekali, saya tertinggal telefon dalam kereta rupanya. Terima kasih Iwan sebab rajin jalan kaki pergi pejabat saya hantar telefon.

Jam sudah menunjukkan pukul 9.30. Saya sudah semakin tak larat. Mata pun dah macam orang salah guna dadah. Saya nekad keluar pejabat nak pergi surau untuk menjalankan ibadat tidur sekejap.

Sekali, Kak Maznah pun sama keluar pejabat sekali dengan saya. Kak maznah nak pergi pejabat lain yang sama jalan dengan halatuju dengan saya. Saya pun berjalan sama dengan dia. Tapi saya buat-buat nak pergi tandas. Sambil berjalan, kami berborak. saya pun layan dia berborak sambil berfikir macam mana nak melencong turun ke surau tingkat bawah.

Nasib menyebelahi saya. Tandas tingkat saya sedang dicuci. Ada alasan nak melencong turun ke bawah. saya sudah terbayang kebahagiaan sejagat.

Masuk sahaja dalam surau, sekali ramai lah pulak manusia yang solat Duha. Saya hampir kecewa. Lalu, saya pun ambil wuduk, dan turut solat. Tapi saya solat Subuh. Pagi tadi sudah sah saya terlajak waktu Subuh.

Selesai solat, saya mula duduk berteleku dan berdoa...

Tiba-tiba saya terasa gelap dan sudah berada di alam lain. Alam apa?

20 minit kemudian, saya sudah masuk pejabat dengan tidak mengantuk :)

Jumaat, 12 Jun 2009

Mesyuarat pagi Jumaat. Terkedu di tengahari

Kalau dahulu masa saya menganggur, saya selalu menghadiri Majlis Mesyuarat Jumaat. Tapi hari Jumaat yang lalu, tiba-tiba ada mesyuarat tergempar untuk kumpulan projek kami di pagi Jumaat. Agak lama juga mesyuarat itu. Bukan satu mesyuarat, tapi dua! Habis sahaja mesyuarat pertama, terus disambung dengan mesyuarat kedua. Saya yang memang mengamalkan gaya hidup tanpa sarapan sudah mula terasa kebulur. Perut pun ada getar-getar sikit.

Nasib baik hari itu kena Solat Jumaat. Mesyuarat Bos besar tamatkan pada jam 1.10pm. Ikmal terus mengajak saya pergi solat Jumaat. Kalau nak makan dulu memang tak sempat lah, Dah suntuk sangat. Kami ingin mencuba solat jumaat di surau bomba Cyberjaya. Surau itu ada buat solat Jumaat. Kami yang dalam keadaan lapar pun pergi ke balai bomba itu. Orang gaka ramai dan mula berpusu-pusu. Masuk sahaja ke pagar balai, saya ternampak sesuatu yang mencurigakan.


Di surau itu ada disediakan makanan seperti biskut bertin-tin, buah-buahan sperti tembikai dan nenas. Air pun ada. Bukan sejenis beb, ada air milo ais, ada oren, ada air mangga. Biskut pun bukan bodoh-bodoh punya biskut. Ada biskut krim, ada biskut coklat, ada wafer kampungan.

Pergh... Indah... Terasa indah...

Ketika orang lain berpusu-pusu nak mengambil wuduk, saya berpusu-pusu nak makan biskut. Memang masyuk... Makan biskut, wafer kekampungan dan minum milo ais. Rasa macam terjumpa oasis di padang pasir. Sebelah tangan pegan biskut, sebelah tangan pegang milo, mulut pula gigit wafer... Agak buruk rupa juga saya waktu itu. Peduli apa.

Selepas tersendawa, barulah ada semangat nak ambil wuduk. Ketika saya sedang beratur untuk mengambil wuduk, satu kejadian telah membuat saya terkedu.

Saya terperasan dari jauh ada dua orang perempuan masuk ke dalam kawasan balai. Saya sangkakan perempuan muda baby-t dan berjeans potongan ketat itu mahu makan biskut seperti saya. Rupa-rupanya terus masuk dan duduk di alam saf. Duduk mendengar kutbah Jumaat. Bila saya perhatikan betul-betul, baru saya perasan.

Lah, mak nyah rupanya!

Ini bukan biasa-biasa punya mak nyah. Ini mak nyah yang sudah ada payu dara! Sekali pandang memang tak perasan beb. Tak terperanjat abang yang di sebelah? Saya tengok ada juga brader-brader yang pandang serong. Memang agak serong lah mata brader tu. Saya rasa ini pertama kali saya tengok mak nyah solat Jumaat. Rosemarie pun saya syak tak pernah pergi. Pemalas mak nyah sorang tu.

Lepas solat Jumaat, Ikmal dan saya pergi kedai mamak dengan tujuan nak makan tengahari secara aman. Ikmal makan nasi kandar. Saya makan tosei sahaja pasal kenyang makan wafer dan biskut tadi. :)

Lah,

Berkerja memang letih ke?


Semenjak bekerja, saya sudah mula hidup mengikut aturan alam. Tidur awal, lepas Subuh dah tak tidur balik. Takut terlajak. Ada juga terasa rindu dengan aktiviti merayau malam, rindu dengan Majlis Mesyuarat Jumaat. Tapi hujung minggu masih ada. Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Jumaat pun memahami dan menyokong tindakan saya yang berhijrah keluar dari Gombak untuk mencari rezeki. Janji, ada masa kita sambung mesyuarat.

Hari-hari pergi kerja, mesti ada kerja. Kalau dulu masa saya kerja juruteknik, saya lebih banyak bergerak dan pergi memperbaiki komputer. Sekaran, saya lebih banyak memerap dalam pejabat, memerah otak. Banyak nak kena baca, kena buat analisa, kena buat terjemahan. Banyak mesyuarat juga. Berbeza dengan Majlis Mesyuarat Jumaat juga ya. Masa mesyuarat kena betul-betul tumpu perhatian. Kena catit nota. Takut nanti ada yang tak faham. Mesyuarat kalau pejabat punya, tak ada makan-makan macam mesyuarat kerajaan. Kalaua mesyuarat kerajaan syok sikit. Selalunya ada karipap.

Awal-awal dulu agak semeheh juga duduk dalam pejabat ni. Bosan betul. Tak ada gadis untuk menyedap mata memandang. Kalau nak usya gadis, kena tunggu waktu makan tengahari. Itu pun kena betul dengan masa. Kalau terturun awal pun tiada gadis juga. Tapi baru tahu rupanya masih ada gadis cun dalam pejabat. Tak tahu awal-awal sebab masa tu dia kena kerja luar. Sekarang pula dia asyik ada dalam pejabat. Duduk depan mata saya pula tu. Adakah ini rezeki atau jodoh? Saya malas nak fikir sangat. Yang penting sedap mata memandang. Tapi saya masih juga usya-usya gadis-gadis di kafeteria waktu makan tengahari.

Kerja banyak, kerja pula kena buat betul-betul. Tak boleh dah nak hentam keromo. Tak professional la macam tu. Alhamdulillah, saya tak bosan dengan kerja sebegini. cuma letih sahaja. Tidur pun dah selalu awal. Paling melampau macam siang tadi. Sampai rumah, saya solat Asar kejap. Lepas tu, konon-konon nak main internet, nak usik-suik blog sikit sambil menanti waktu Maghrib. Tau-tau saya dah pengsan. Jam 4.00am baru bangun. Maghrib pun sudah entah kemana.

Antara benda yang paling jarang saya buat, tapi saya kena buat sekarang adalah menggosok baju dan seluar. Apa boleh buat, bidang kerja seperti saya sekarang ini memang kena berpakaian kemas. Har-hari kena pakai kemeja dan seluar slek. Kasut pun kasut kulit sahaja. Tali leher, walau tak pakai hari-hari, tapi kena sentiasa sedia bawa. Takut kena jumpa orang luar dan tiba-tiba ada mesyuarat dengan orang besar Kerajaan. Memang lari dari gaya kehidupan saya yang biasa. Kepada sesiapa yang mengenali saya, mesti terkejut beruk kalau terserempak saya di waktu pejabat. Ha ha ha!

Oh ya, saya sudah makin pakar membancuh air Nescafe sendiri....

Selasa, 9 Jun 2009

Hari pertama bergelar pekerja

Saya bangun awal pada hari itu. Tak sabar-sabar rasanya nak mula berkerja. Saya bangun sebelum penggera telefon bimbit saya sempat berbunyi. Begitu mudah saya membuka mata dan menggeliat. Ada sedikit rasa malas, tapi saya terajang perasaan itu masuk ke bilik Daus. Biar Daus sahaja yang malas.

Saya solat Subuh dahulu baru mandi. Maklumla, nak kasi keadaan badan bersedia sebelum dicurahi dengan kesejukan air pancut rumah kondominium mewah atas bukit ni. Kalau belum bersedia, boleh terencat semua urat saraf dibuatnya.

Walaupun saya sudah bekerjaya, namun saya masih belum mampu untuk meletak jawatan sebagai pejalan kaki tegar. Saya masih tiada kenderaan beroda, melainkan tempat gantung baju beroda. Pagi itu Pokcik memecut laju menghantar saya. Pokcik memecut kerana tidak mahu ketinggalan makan sarapan percuma di tempat dia kursus.

Sampai sahaja di pejabat, saya terpaksa menunggu orang lain membukakan pintu. Saya masih belum ada kata kekunci dan cap jari saya masih belum direkodkan. Oh ya, pejabat saya canggih kerana mempunyai sistem biometrik sebagai kunci pintu. Saya risau juga kerana takut jika ada penjenayah atau musuh syarikat yang akan memotong jari saya kelak. Macam mana saya nak makan nasi gaya Melayu?



Sampai sahaja, Ikmal, rakan sekerja saya yang sama-sama melapor diri pada hari itu sudah duduk menanti bersendirian. Kami menanti pengurus sumber manusia yang agak lewat pada pagi itu. Sambil menanti pengurus itu sampai, kami sempat membaca berita semalam. Surat khabar baru masih belum sampai.

Setelah suai kenal, kami diletakkan di bawah penyelia masing-masing. Kami dimasukkan ke dalam kumpulan kerja yang berbeza. Tapi masih di bawah satu projek yang sama. Maklumlah, bidang kami lain-lain. Kami pun makan tengahari bersama sebelum kami mula diterangkan dengan lebih lanjut mengenai tugas-tugas kami. Awal betul kami makan pada hari itu. Pukul 11.30am. Terkejut juga lah perut saya. Tapi saya tetap utuh.

Setelah makan, saya diberikan sebuah komputer riba untuk kegunaan saya. Terasa kagum pula kerana mendapat subsidi seperti sedemikian. Saya terus diterangkan oleh ketua saya mengenai apa yang saya perlu selesaikan di peringkat awal projek ini. Saya dengar sambil mengangguk dan dahi agak dikerutkan tanda mendengar dengan serius.

Saya menyambung tugasan awal saya membuat analisa dan mengkaji situasi. Agak bosan juga kerana sebenarnya saya masih kabur dan terpinga-pinga. Pejabat itu juga sangat sunyi dan tiada bunyi lain kecuali bunyi kerja seperti orang menjawab telefon dan memicit papan kekunci. Yang paling bosan ialah tiada langsung gadis cun untuk saya mencuci mata. Wanita yang ada pun sudah mengandung atau sudah berumur. Kebanyakannya bertaraf isteri orang. Saya tidak akan menganggu isteri orang,

Sampai ke petang lah saya beraksi tekun di depan komputer. Nak berair mata rasanya. Akhirnya, jam 5.30, kami pun keluar dari pejabat untuk pulang. Seperti biasa, Pokcik memecut mengangkut saya.

Sampai sahaja di rumah kami, saya bercadang untuk menulis blog. Tapi saya lebih banyak berborak dengan Daus. Malam itu saya hanya makan roti disapu majerin. Tak berselera nk makan di kedai. Letih sangat rasanya. Lepas solat Isya' jam 9.00pm, saya terus pengsan di atas tilam yang empuk... Saya terasa letih ibarat atlit olimpik. He he he




Khamis, 21 Mei 2009

Kisah temuduga di pinggir kota pula

Petang itu, setelah pulang dari temuduga yang saya tak minat, saya bantai tidur lepas solat Zuhur.

Baik punya nyenyak, tiba-tiba satu panggilan masuk.

Setelah membetulkan nada suara, saya pun mengankat telefon. Saya buat-buat macam saya tak tidur. Tapi saya memang masih mamai.

Oh, saya ada lagi satu temuduga di sebuah institusi pengajian tinggi swasta. Pukul sepuluh, hari esok.

Jadi, Pagi tadi, awal-awal lagi saya dah bangun dan menggosok baju. Seluar pula saya pakai sahaja seluar semalam. Saya hanya ada sehelai seluar slack. Maklumlah, remaja liar. Sudah siap semua, saya pun pergi lah ke tempat yang dijanjikan.

Sampai sahaja, dengan muka bangga, saya masuk ke kawasan IPTS itu. Banyak juga gadis-gadis manis berkeliaran di sekeliling kawasan. Sambil berjalan, mata saya kejap-kejap curi-curi jeling dekat diorang. Saya sengaja jalan tahan nafas konon-konon biar perut nampak kecik sikit. Berjalan begitu terkawal sehinggalah saya masuk ke ruang lobi utama.

Saya pergi ke kaunter penyambut tetamu dan memberi salam. Wah, gadis penyambut tetamu juga begitu comel. Saya kawal nada suara supaya kedengaran berketerampilan.

"Saya Hadi, saya ada interview hari ini.." Saya memberitahu.

"Oh, Interview department apa ya?" Gadis itu menjawab sopan. Saya sambung senyum.

"IT department." Saya jawab sopan juga.

"Nanti kejap ye, dah isi borang?" Dia menghulurkan borang.

"Belum." Saya angkat kening sikit. Macam ada gaya berfikir. Baru lah nampak bijak sedikit.

"Encik Hadi isi borang dulu, dekat meja sana, nanti saya panggil" Gadis itu siap bagi pen sekali. Kali ini juga saya terlupa bawa pen. Gadis itu terus mengangkat gagang telefon dan membuat panggilan. Mungkin menelefon Pengurus Sumber Manusia.

Saya pun duduk kemas, dan mengisi borang.

Baru sahaja saya mahu menulis nama, tiba-tiba gadis itu memanggil saya.

"Encik Hadi..." Sungguh lembut suaranya.

Saya pun tangkas berdiri dan pergi ke kaunter semula. Gadis itu menghulurkan telefon kepada saya.

Saya pun mengangkat telefon itu.

"Ini Hadi ya?" Suara berbunyi.

"Ya saya." Saya jawab tegas, tapi sopan.

"Encik Hadi, sesi interview Encik Hadi hari esok la, jam 10 pagi."

"Ayo!" Saya terbuat bunyi komedi.

Saya bagi balik telefon dekat gadis itu, cabut tali leher, dan berlari balik rumah.

Malu beb, malu. Rugi pula tu. Saya telah rugi waktu tidur di pagi hari.

Sampai rumah, saya terus makan nasi sambil menelefon Jang Nara mengadu nasib.

Pengajaran: Lain kali pastikan anda cukup sedar untuk menjawab telefon.

Rabu, 20 Mei 2009

Kisah temuduga di kota

Azhar, seorang kawan lama saya sudah merekomen nama saya untuk bekerja di tempat dia kerja sekarang. Oleh kerana saya masih dalam status penganggur tegar saya setuju mencuba nasib. Gaji yang ditawarkan turut mengelabui mata saya. Gaji dua bulan sahaja sudah cukup untuk membeli sebuah kereta kancil. Tapi beli dari Amir.

Sampai sahaja di pejabatnya, saya terkenang kembali ketika saya masih belum bersara dari dunia anarkis. Pejabatnya terletak di tingkat 13 bangunan yang sama ketika saya dan Apis Kadak tengok gig RAMBO lima tahun yang lalu. Tahun 2004. Antara gig yang terbaik pernah saya hadiri.

Masuk sahaja ke pejabat, saya kena buka kasut. Nasib baik saya tak pakai stokin yang berwarna sebelah lain. Pagi itu saya nyaris memakai stokin sebelah lain kerana kelam kabut mencari stokin. Saya syak Halim mencuri stokin saya sejak beliau sudah dapat kerja.

Masuk sahaja, saya disambut oleh seorang gadis penyambut tetamu yang manis. Suasana sejuk pejabat menjadi lebih sejuk kerana hati saya pun menyejuk akibat sejuk mata memandang gadis itu. Saya diminta mengisi dahulu borang.

Alamak! saya terlupa membawa pen. Nasibbaik gadis penyambut tetamu itu memberi saya pinjam pen dia. Saya pun cepat-cepat isi borang sambil duduk meninjau keadaan dalam pejabat.

Setelah menanti beberapa minit, saya dipanggil masuk ke bilik mesyuarat intuk ditemuduga. Bos besar dan bos separuh besar sudah bersedia menanti untuk menemuduga saya. Bos besar, seorang lelaki, muka kerek dan garang. Bos separuh besar, perempuan muka tak garang. Saya syak mereka suami isteri.

"Ok tell me about yourself. Apa yang you boleh buat?" Maka sesi temuduga bermula.

"Pang.. pung.. pang.. pung.. kelebam.. kelebum.. tebaboo..." Berbuih mulut saya.

"Awak tau kan, awak dipanggil untuk jawatan programmer?" Bos besar tanya.

"Tau." Saya jawab ringkas dan padat.

"Tapi awak sikit pun tak tunjuk prove yang awak ni handal programming? Tak ada pun ciri-ciri yang menunjukkan awak betul-betul minat nak jadi programmer kat sini." Bos besar cakap lagi.

"Err.. err.. " Saya sengih.

"From what that I can see, saya rasa awak lebih sesuai jadi manager. Tapi kami belum nak tambah manager sekarang. Kami nak advance hardcore programmer" Bos tu cakap sambil tak sengih langsung.

"Err.. err.. " Saya sengih lagi.

"Saya panggil awak, sebab Azhar rekomen nama awak. Dia kata awak ni memang hebat dalam bab-bab programming. Sekarang macam mana?" Bos besar masih bercakap.

"Dulu saya memang hebat. Tapi 4 tahun dahulu. Sekarang saya dah minat lain." saya jawab selamba. Dah nampak sangat saya malas nak kerja situ dah.

"Sekarang awak terus terang dengan saya, awak minat ke tak nak jadi programmer? Advance tau, bukan main main macam trainee." Boss besar tanya serius.

Dalam sekilas itu, sempat saya terbayang detik-detik pahit saya menyiapkan projek akhir tahun. Saya menangis dalam hati bila terkenangkan kebencian saya pada pengaturcaraan. Saya juga terbayang kerja Azhar yang tak tentu masa kadang-kadang sampai malam. Hujung minggu juga adakalanya kena kerja. Mana sesuai dengan jiwa saya. Helang mana boleh terikat beb!

"Mintak maaf encik, saya rasa saya memang tak minat. Terima kasih"

Saya jawab ikhlas.

"Saya memang dah menyampah dengan coding-coding nih!"

Saya sambung dalam hati.

Tamat sahaja sesi temuduga, saya terus cabut tali leher, naik bas pergi Kuala Lumpur. Earfon dah cucuk dalam telinga, kali ni saya dengar lagu Weezer.

Saya turun bas betul-betul depan pejabat Paan KHTH. Ingat nak telefon dia ajak makan tengahari. Tapi saya lupa yang saya dah tak ada kredit. Jadi, saya berjalan kaki sorang-sorang sampai ke Maju Junction, saya beli air oren botol besar dalam Giant.

Oren Giant sekarang dah tak sedap.

Huh! Oh ye, saya baru teringat... Saya terlupa nak pulangkan pen gadis penyambut tetamu itu.. hehehe


Isnin, 27 April 2009

Temuduga yang menduga keimanan

Beberapa minggu sebelumnya, saya mendapat mesej dari Jabatan Tenaga Kerja Kuala Lumpur.

Mesej berbau manis itu meminta saya datang di satu sesi temuduga di Perpustakaan Kuala Lumpur. Tahu tak dekat mana? Dekat betul dengan Dataran Merdeka.

Ini satu peluang baik! Ada kemungkinan saya kerja kerajaan! Ada kemungkinan saya menjadi pegawai! Ada kemungkinan saya ada pencen di hari tua, klinik percuma, anak-anak pun senang, isteri pun boleh beranak secara percuma. Ceh, berangan sampai ke situ pulak.

Pagi itu saya bangun awal. Lepas Subuh, walau saya tidur balik, tapi saya tidur tak sampai sejam. Pukul 7.45am saya dah bangun. Walaupun saya balik dari merayau pada jam 3 pagi. Mata terasa segar secara semula jadi. Awal-awal lagi saya dah gosok kemeja belang-belang biru putih saya. Baru lah kacak dan berketerampilan.

Lepas mandi, saya pun mencukur misai dan kemaskan janggut sikit-sikit. Biar nampak matang dan bijaksana. dah siap wangi-wangi, sarung baju dan seluar, boxer pun saya pilih yang paling berketerampilan. Biar tambah keyakinan. Rambut pun taruk gel sikit, pastu tolak-tolak pakai jari je. Tak pakai sikat pun.

Sedang saya menyarung kasut kulit terpakai berjenama Doc Marten yang dibeli di bundle tahun lepas, tiba-tiba ayah keluar dari bilik.

"Kau nak kemana pagi-pagi ni?" Ayah tanya.

"Interview kerja kat Kolumpo." Saya jawab sambil keluarkan kaki seluar dari stokin. Macam mana boleh termasuk pun tak sedar.

"Ada duit tak?" Ayah tanya lagi.

"Ada!" Saya separa tipu.

Kemudian ayah masuk bilik dan hulur kat saya rm10. Saya sambut dengan senyuman ikhlas dan ucapan terima kasih.

Dengan tak bersarapan, saya terus keluar rumah tunggu bas. Semasa tunggu bas lagi, sudah ramai yang memandang-mandang saya. Maklumlah, mungkin mereka tak pernah lihat saya sekacak itu. Hari Sabtu pula tu. Selalunya saya hanya akan pakai baju hitam. Tapi, saya tidak pedulikan pandangan masyarakat waktu itu. Segala harungan akan saya tempuh.

Dalam bas, saya memandang ke luar tingkap, sambil jari mengetuk-ngetuk kerusi depan ikut rentak irama lagu yang berkumandang dari telefon berMP3 saya. Kepala otak masih lagi berangan-angan jika saya dapat kerja. Mana nak pergi bercuti, siapa kawan-kawan yang saya nak belanja makan, kedai mana nak pergi beli baju baru, bila nak rekod lagu baru. Kasut Macbeth dah berkali-kali terbang depan mata dalam khayalan tu.

Sampai sahaja dekat-dekat dengan Dataran Merdeka, saya pun tekan loceng untuk turun. Saya singgah dulu di kedai serbaneka untuk beli gula-gula bagi mengelakkan mulut berbau. Reputasi kena jaga beb. Sebotol air mineral juga tidak dilupakan. Bagi menjaga kuantiti air dalam tubuh.

Sampai sahaja, saya tengok dah agak ramai manusia beratur. Ada 5 kaunter semuanya. Kaunter 1 untuk mereka yang diberhentikan kerja. Kaunter 2 untuk siswazah menganggur. Kaunter 3 untuk mereka yang kurang upaya. Kaunter 4 untuk lepasan SPM, SPMV dan STPM. Kaunter 5 untuk yang tiada kelulusan.

Saya dengan bergaya beratur di kaunter nombor 2. Gadis yang menjaga kaunter itu memberikan saya borang dan beg kertas satu. Biasalah, benda-benda kerajaan kena isi borang. Banyak pula tu. Tiba-tiba ada satu ruangan "Jawatan yang dipohon/syarikat". Saya sudah mula pelik. Gadis yang menjaga di kaunter itu mula kelihatan tidak menarik pada saya. Gadis itu menerangkan yang saya perlu lihat iklan yang tertampal di dinding sebelah pameran untuk senarai jawatan dan syarikat.

Lah! Bukan kerja kerajaan ke?

Saya tak terus putus harapan... Saya pergi dan mencari-cari kerja dan syarikat yang sesuai.

"Jawatan Kosong : Eksekutif IT
Kelulusan : Degree/Diploma (Fresh Grad)
Gaji : RM 2000
Lokasi : Wangsa Maju"

Menarik...

"Umur : 19 - 24 tahun"

Bedebah! Saya tumbuk iklan pertama.

"Jawatan Kosong : Web Programmer
Kelulusan : Degree/Diploma
Lokasi : Kuala Lumpur"

Menarik lagi...

"Gaji : RM 1000 tetap"

Bedebah! Saya tumbuk juga iklan yang kedua. Gila apa RM 1000! Hutang PTPTN je dah RM 500 sebulan!.

Dan beberapa lagi iklan tak munasabah yang sempat saya tumbuk.

Kemudian...

"Jawatan Kosong : Eksekutif IT
Pengalaman : Minimum 1 tahun
Kelulusan : Degree/Diploma
Lokasi : Jalan TAR, Kuala Lumpur
Gaji : Boleh dirunding
Syarikat : XXX (Bukan nama sebenar)"

Dengan pantas saya menulis nama syarikat itu ke dalam borang. Tapi sebagai manusia bijak yang sudah beberapa kali terkena, saya mengambil langkah berhati-hati.

Saya masuk dahulu ke dalam pameran, dan mencari kaunter syarikat XXX itu.

"Kami agensi yang dipercayai! Kami juga menawarkan skin latihan graduan menganggur... bla bla bla.."

Saya lipat lengan baju, kemudian tumbuk iklan syarikat itu. Kemudian saya terajang meja urusetia dan terus pergi ke kedai nasi kandar.

"Ayam masala, sayur kobis, kuah campur tau ane!"

Saya makan dengan lahap.

Khamis, 4 Disember 2008

Kurcaci Kembali!


Owh, agak lama saya tidak merajinkan diri saya menulis di ruang siber ini. Maklumla, sibuk ada, malas ada, lupa ada, pendek kata cukup rasa dan alasan semuanya. Akhirnya, tamat sudah tempoh saya memerah otak dan keringat belajar dalam uniten. sudah senak rasanya otak ini dan cukuplah status 'Pelajar' itu saya pegang selama 20 tahun. Ibu Bapa saya juga sudah bosan untuk menjawab apabila ditanya anak sulungnya kerja apa... kah kah kah... itu belum lagi bila ada yang gatal mulut bertanya kepada ayah saya "Dah ada cucu ke?" hampeh.... hehehe.



Namun, secara teorinya, saya masih lagi bergelar pelajar, kerana saya masih belum bergelar graduan dan saya masih belum menyiapkan projek terakhir saya di universiti. Tapi tak apa, dengan kudrad dan semangat, saya pasti akan meneruskan perjuangan menyiapkan segala yang belum selesai itu. Huh! Kawan-kawan yang dikasihi, harap doakan projek saya selesai... mari kita berdoa sama-sama. Kepada yang tidak tahu berbahasa Arab, tidak mengapa, doa sahaja dalam bahasa ibunda masing-masing. Sesungguhnya, Allah s.w.t itu maha memahami. Ayuh! Mari kita menadah tangan... Kepada mereka yang bukan beragama Islam, harap senyap sebentar dan bertafakur... up!

" Ya Allah, semoga siap dan lulus lah hendaknya projek 2 Abdul Hadi yang belum selesai itu, semoga beliau lekas dapat kerja, cepat dapat kumpul wang, semoga beliau dapat merayau lebih jauh lagi dengan wang yang dikumpulkan itu. Walaupun dia tidak sebaik mana, Kau ampunkanlah segala dosa-dosa dan ketelanjurannya Ya Allah... Semoga beliau dapat mengejar cita-cita beliau. Semoga beliau ADA cita-cita. Semoga beliau diberkait dan dirahmati dengan Nur dari Mu Ya Allah... Rabbana atina fid dunya hasanah, Wa fil akhirati hasanah, Wakina Azabannar... Wasallallahu'ala saiyyidina Muhammad, Wa'ala aalihi wasallam, Walhamdulillahi Rabbal Alamin... Amin..."



Huh, banyak juga kesilapan yang telah terlanjur saya lakukan sepanjang saya bergelar pelajar ini. Akan tetapi, setiap kesilapan itu adalah pengajaran yang mahal bagi diri saya. Kursus yang tidak mungkin dapat ditawarkan oleh mana-mana institusi pengajian. Kepada sesiapa yang telah saya ganggu, yang saya lukakan hati atau fizikalnya, sesiapa sahaja yang saya ada berbuat dosa, kepada sesiapa yang masih marah dan membenci saya, maafkanlah hamba, hamba hanya insan yang selalu tersalah langkah dan tersilap bahasa. Raya Puasa sudah lepas, Raya Haji yang bakal tiba ini, saya akan minta maaf sekali lagi. Oh asyik meminta maaf sahaja, terasa seperti hobi pula meminta maaf ini. Apa laa...



Kini, saya tidak lagi duduk di dalam uniten. Selamat tinggal asrama Cendikiawan. Kini, saya tidak lagi terbaring atas katil sambil merenungi lagit biru dihiasi kepulan kapas awan menerusi tingkap bilik saya di cendikiawan. Oh Tuhanku, saya pasti akan merindui panorama indah yang selalunya akan menganugerahkan berketul-ketul ilham untuk saya terus berkarya. Kali ini, saya perlu mencari kotak dimensi yang baru. Suasana baru, pasti hasilnya akan berlainan barangkali.



Ya, Saya sudah melangkah keluar dari tanah Uniten. Pelbagai kenangan pahit, manis, maung yang melekat dan tertinggal di sana. akan tetapi, insyaAllah tiada satu pun yang akan tercicir dari memori usang saya ini. Ya, Uniten banyak merubah saya. Perubahan sikap, peribadi, gaya hidup saya memang mudah dikesan oleh mereka-mereka yang mengenali saya sebelum saya masuk Uniten. Akan tetapi, jatidiri saya tetap sama. Saya masih Abdul Hadi. Ya, mungkin bezanya saya sudah kelihatan bersara dari dunia anarkis, dan mula berlembut, menerima untuk makan McDonalds. Akan tetapi jiwa saya masih liar dan bebas. Masih...



Dalam tempoh kebelakangan ini, saya agak sibuk mencari kerja untuk membiayai hidup saya sementara saya selesai menyiapkan projek saya. Pelbagai jenis kerja yang saya pohon, dari kerja pengurusan sehinggalah kerja sokongan. Saya sudah menghadiri 2 kali temuduga. Ada juga yang terpaksa saya tolak atas sebab-sebab tertentu. Masih ada 2 lagi temuduga yang menanti untuk Jumaat ini dan Rabu yang akan datang. Semoga saya berhasil mendapat kerja selepas Raya Haji.



Kini, saya telah kembali ke Kelompok Kultus Haram. Kali ini. Pusat Kultus Haram terletak di Equine Park, Seri Kembangan. Suasana baru ini harapnya dapat membantu saya menghasilkan karya-karya yang lebih segar. Almari merah saya yang dipenuhi hiasan-hiasan hadiah pemberian di sisinya ibarat menjana otak saya untuk menghasilkan sesuatu yang lebih radikal dan mengejutkan.

Saya juga ditemani oleh muzik-muzik dan irama-irama suci dan ketuhanan yang saling bertali arus mengalir keluar dari corong pembesar suara sonic gear saya, mengilhami dan menenangkan fikiran kerdil yang adakalanya penuh serabut ini. Hehehehe... Novel-novel juga menemani dan ibarat meminta-minta supaya saya habis menelaah mereka. Sabar sayang, masih belum ada masa... hehehe.


Alhamdulillah, rumah Kultus Haram kali ini lengkap dengan sambungan internet jalur lebar. Ini ibarat rahmat yang memudahkan bagi saya. Senang untuk berhubung, bersosial, bekerja dan berkarya. Ya, saya saya masih menginap seorang dan mempunyai bilik sendiri di sini. Masih belum tidur berdua... kah kah kah kah!. Akan tetapi, adakalanya, mata saya agak pedih untuk tidur atas cadar yang mempunyai gambar kartun BEN10. Apa boleh buat, adik saya yang bagi, saya terima dengan senang hati... Kalau nak tumpang tidur, jemputla datang... tata~

Khamis, 19 Jun 2008

Kasut juga menjadi mangsa pemerkosaan asid bateri


Setelah beberapa hari, baru saya perasan kasut saya juga telah menjadi mangsa hakisan asid bateri yang tertumpah dahulu, ianya menjadi reput, pecah-pecah dan melepuh.. adeh deh...nak kena carik kasut baru la pulak.. adeh deh lagi sekali..

Prentation Praktikal

Akhirnya, semalam, kami berjaya melangsungkan majlis presentation kami di hadapan En. Mad Noh (Resscom) dan Mr. Dalbir (Uniten).




Kami sedang menayangkan hasil kerja kami, 'Kerusi Cinta Maya Elektronik'



Ternyata, MR. Dalbir orang yang ramah dan cool. Beliau telah membelanja kami minum pagi dan juga mengajak kami untuk berekspedisi apabila buka sem nanti. Yeh!

Rabu, 4 Jun 2008

Anugerah Kembang Semerbak

Jam 10.00am, seperti biasa, Pokcik menjemput saya di rumah.

“Weh, ada kredit? Mesej Zul, suruh dia bawak kunci. Abg Mat Noh Lambat hari ni” kata Pokcik.

Setelah sampai di lokasi pejabat, kami seperti biasa akan tersangkut dahulu di restoran bawah pejabat untuk pekena kopi atau teh tarik dahulu bersama Asyraf sebelum masuk kerja. Setelah Zul sampai dan membedal roti telurnya, kami pun menunggu dengan sabar supaya Zul membuka pintu grill bawah. Kami semua sudah tahu akibat yang perlu dihadapi. Zul tak tahu kerana beliau lari dari kerja semalam.

Apabila terbuka sahaja pintu bawah, tu dia.. semerbak bau menerpa dan menghempas wajah kami sehingga menyukarkan proses pernafasan kami. Terutama sekali Zul, kerana beliau berada di barisan hadapan sekali kelompok kami. Pasti beliau terbau kebusukan yang amat sangat melainkan beliau mengalami kecacatan hidung ataupun kecacatan otak untuk menafsir bau. Kami yang lain hanya ketawa mengekek-ngekek kerana kami sudah tahu tentang punca bau semekar sebuah kematian itu.

Ianya berpunca dari tahi kucing yang mungkin terkurung di tangga pejabat kami hujung minggu yang lalu. Bukan ada seketul atau dua ketul atau tiga ketul. Malah berketul-ketul di tingkat 1. Di tingkat 2 1/2 pun ada juga tahi kucing. Akan tetapi, ianya tidak berbentuk ketulan, tetapi ianya dalam bentuk lambakan. Lambakan bebentuk sama seperti tahi lembu, tetapi dalam skala saiz yang lebih mini. Adalah dalam sebesar piring diameternya.

Kami terpaksa menekup tangan di muka, dan bernafas menggunakan mulut beserta bunyi “pish posh” ibarat Darth Vader dalam Star Wars, untuk menempuh aroma itu sambil mendaki tangga 3 tingkat. Ketika untuk turun makan tengahari, saya telah mencuba satu eksperimen. Saya cuba menahan nafas dan berlari turun tangga tanpa bernafas. Yah, larian yang amat pantas supaya sempat saya sampai dibawah tanpa menyedut oksigen. Apabila sampai sahaja di tingkat 2, pandangan saya menjadi gelap tiba-tiba.

Ternyata eksperimen saya gagal sama sekali. Saya hampir pitam. Oksigen tidak sampai ke otak. Ini juga berjaya membuktikan yang saya masih ada otak. Saya terpaksa juga bernafas dengan oksigen busuk itu. Damn! Esok seseorang mesti dikorbankan untuk menyelesaikan tahi-tahi kucing itu! Hehehehhehehe..

Khamis, 29 Mei 2008

Kasi tunai itu cek

Pagi tadi, sebab Abang Mat Noh tiba lewat, jadi kami tiada kerja pada awal pagi. Sebab saya fikir tiada apa boleh dibuat, baik saya pergi bank untuk menunaikan cek elaun saya. Jadi kami semua berempat pun terus ke bank berhampiran. Sampai sahaja di bank, saya dipaksa untuk turun seorang diri dihadapan bank sebab Zul kata susah nak cari parking. Jadi dengan gaya pemegang cek yang berlagak, saya mula melangkah gagah masuk ke dalam bank. Saya sebenarnya sudah lebih 5 tahun tidak menunaikan cek. Apabila saya masuk, saya terus seperti orang yang pandai kononnya pergi ke bahagian mesin2 ATM kerana orang kata, sekarang untuk tunaikan cek, hanya perlu masukkan ke mesin sahaja.

Tapi malang pada hari ini, agak berbau… berbau kehampaan. Saya sampai sahaja di mesin tunai cek automatik, mesin itu rosak. Saya cuba juga menekan2 skrin hitam, dan berharap keajaiban dating dan memperbaiki mesin itu. Setelah mengeluh dan berputus asa, saya terpinga2 di bahagian borang2 dan terjenguk2 di celah2 ketiak orang2 yang sedang mengisi borang atas meja itu. Sehinggakan ada antara mereka yang mula risau dan menyimpan kembali duit mereka dengan selamat. Dalam kekalutan itu, mujur muncul seorang kakak menghampiri saya dan bertanya saya nak apa, dengan penuh sopan dan tata susila. Saya pun tersengih bodoh sambil menunjukkan cek di tangan.

“Nak cash kan la kak..”

“Oh, bukan sini dik, meh sini..” Kata kakak itu sambil membawa saya ke mesin tunai cek separa automatik di kawasan mesin2 tadi.

“Amik borang ni, lepas tu, isi, lepas tu masukkan dalam mesin ni”

Lor.. mesin jugak rupanya, tapi separa automatik.. Sesudah menulis borang dengan berhati-hati, ‘Gedegak gedeguk’ bunyi mesin tu menelan cek saya. Setelah siap saya pun bergerak keluar dari bank dengan wajah senyum manis kepuasan..

Tapi... huh! Saya kena berjalan keliling kawasan lebih kurang 5 blok untuk mencari mana budak2 ni parking...