Rabu, 23 Disember 2009

Jumaat yang garang

"Weh! Esok pagi kita semayang kat As-Syakirin! Kita kenang kembali zaman kegemilangan 10 tahun dulu! Lepas tu bole la kita lepak minum minum!"

Kata-kata semangat yang dilontarkan Najib ketika berbual dengan saya di Facebook, membuatkan saya tidur dengan keterujaan malam itu. Bukan senang nak jumpa Najib yang sudah beranak satu itu. Macam tak percaya Najib sudah ada anak. Kaki juga bergoyang-goyang tanda keriangan. Sampai terkeluar-keluar kaki dari dalam selimut.

Akibat terlalu teruja, pagi itu saya bangun tidur pukul 11.30 pagi. Itu pun sebab Mak sudah mula garang suruh saya makan nasi lemak yang Ayah beli dari pagi tadi. Takut nanti kalau basi tak makan. Itulah bahananya kalau kuat merayau malam, dan tidur selepas Subuh. Jika Ayah dapat tahu nasi lemak yang dibelinya dibiarkan basi, pasti Ayah akan mengamuk dengan garangnya. Sebelum terjadi

Keluar dari bilik, dengan hanya membasuh tangan dan bibir, saya terus menghadap nasi lemak sambil menonton TV. Memang asyik makan nasi lemak sambil mata terpaku pada TV. Walaupun cerita yang ditayangkan tak sedap langsung, tapi masih tekun menonton. Itulah dia bahana menonton TV. Lagha~lagha.

Selesai makan, saya masuk bilik dan capai tuala yang terselit di pintu almari dengan gaya spiderman. Nyaris-nyaris nak kopak pintu almari dibuatnya. Saya lupa tahap keberatan saya. Sebelum saya berlansung ke acara mandi sambil nyanyi-nyanyi, sempat juga tangan ini menyentuh komputer di lantai. Ada Apistopis di talian maya. Saya ambil kesempatan ajak Apistopis pergi masjid As-Syakirin Jumaat itu. Nasib baik isteri Apistopis kerja di luar kawasan Selangor. Jadi, isteri Apistopis tak cuti. Apistopis bujang hari itu. Bolehlah beliau berpeleseran bersama saya. Tak takut bini konon... Huh!

Tangan belah kiri juga sibuk menghantar pesanan ringkas kepada Nikman, Adi Kuyup dan Usop. Nak pelawa mereka sekali. Sayang seribu kali sayang, Nikman sibuk nak pergi Bandung, Adi Kuyup ada seminar apa benda ntah, Usop pula ada di Terengganu. Susah betul nak ajak pergi masjid.

Selesai mandi wajib, eh.. mandi sunat Jumaat, dengan pantas saya bersiap. sekejap sahaja sudah tampak kacak dan beriman. Dengan tak payah panaskan enjin, saya memacu deras. Sebelum itu saya singgah dahulu ke masjid Simpang tiga nak hantar Ayahanda. Bila Ayah sudah naik tangga dengan selamat, pecutan dengan pantas menuju ke masjid As-Syakirin.

Dengan langkah yang bijak, saya memilih tempat letak kereta di bawah pokok. Barulah kereta tak panas. Sampai sahaja di masjid saya cuba hubungi Najib.

Telefon tak berjawab, pesanan ringkas juga tidak berbalas. Perangai yang betul-betul tidak senonoh. Dalam kegeraman memicit butang telefon, Apistopis pula hubungi saya. Sejuk sedikit hati dibuatnya.

"Ko kat mana bat?" Apistopis tanya.

"Kat tempat wuduk weh." Padahal saya masih terhegeh-hegeh nak menuju masuk ke kawasan masjid. Hari Jumaat pun nak temberang.

Selesai berwuduk, baru saya jumpa Apistopis.

Astaghfirullah... Dekat sepuluh tahun rasanya tak berjumpa. Kali terakhir selepas habis SPM. Apistopis masuk matriks, saya huru hara di utara tanah air.

Apistopis masih tak berubah rupa bentuk dan perangainya. Walaupun sudah berkahwin dan berkerjaya. Kereta pun sudah habis bayar. Isterinya juga dengar khabar lagi sedikit sahaja hendak beranak.

Lawaknya masih sinis dan di luar jangkaan.

"Jom Pis, kita semayang kat tingkat atas. Baru rasa macam budak jahat." Saya ajak Apistopis.

"Jom. Mana yang lain-lain?" Apistopis tanya sambil selitkan rambut bawak kopiah.

"Tak boleh harap..." Saya jawab sambil mencebik manja.

Apistopis ketawa gaya beliau.

Sampai di atas, kami lebih banyak diam mengenang nostalgia. Keliling kami kesemuanya budak budak tak cukup umur. Masih ada seorang brader garang yang menjaga disiplin kanak-kanak. Takut juga tengok brader garang itu, walaupun orang yang berbeza dari brader garang 10 tahun yang lalu.

Selesai solat Jumaat, kami turun. Saya cuba lagi menghubungi Najib. Kali ini dapat.

"Alamak, mana bro?" Najib menjawab sambil gelak gelak.

"Masjid la weh! Ko tak semayang ke?" Saya mula garang.

"Haha, terbabas la bro!" Jawab najib gaya remaja akhir zaman.

"Cilakak! jom lepak!" Macam pantun pula saya marah.

"Ok, lepak mana? Mana ek nak lepak kat Gombak tengahari macam ni?" Najib timbulkan persoalan.

"Hmm.. ok lah! kita lepak kopitiam. Boleh borak-borak MLM!" Najib jawab sendiri, tak sempat saya menyampuk.

Saya dengan Apistopis bergerak dengan kenderaan masing-masing ke kopitiam tersebut. Zaman kami sekolah dahulu, manalah ada kopitiam. Kalau ada pun, bukannya kami mampu. Nak beli air batu campur pun bersimpan duit.

Sampai sahaja, kami terus pesan makanan dan minuman yang sedap-sedap. Semuanya mengikut nafsu tanpa berkira. Memang nafsu menguasai segala-galanya. Memang terasa hebat lepak di kopitiam memakai kain pelekat.

Selesai sahaja memesan makanan, Ayahanda telefon suruh jemput. Alamak! Macam mana boleh lupa? Sepantas kilat, saya tinggalkan majlis sebentar untuk menghantar Ayahanda pulang dengan selamat.

Setibanya kembali, Najib dan Apistopis sudah habis makan. Mereka menghirup kopi mahal dengan bergaya. Makanan saya juga sudah sejuk. Tapi tak mengapa, saya memang tak berkira orangnya.

Sambil makan, kami berbual-bual. Najib menceritakan bagaimana beliau putus cinta dengan sembilan orang kekasih sebelum beliau akhirnya berkahwin dan beranak satu. Saya dengar dengan kagum. Semasa beliau sekolah, jangankan kekasih, perkataan "cinta" pun beliau ludahkan sahaja.

Apistopis juga sudah mempunyai kerjaya yang stabil, seorang isteri yang hampir bersalin, dan kereta juga sudah habis bayar.

Saya? Malas nak cerita.

"Sedap jugak ada facebook ni kan? Walaupun macam agen Yahudi, tapi tak sangka kita boleh jumpa balik." Saya berbicara gaya pintar.

"Tu la pasal..." Najib menyampuk sambil menghembus asap rokok.

"Tapi jangan risau la, takde facebook pun kita mesti jumpa punya..." Apistopis cakap setelah meletakkan gelas.

"Kalau tak jumpa sekarang pun, kita mesti boleh lagi jumpa kat padang mahsyar..."

Lawak Apistopis memang masih mengejut.


Khamis, 17 Disember 2009

Petua Keselamatan Biasa

Malam itu Cicak mengangkut saya merayau malam.

Sengaja kami nak mencuba keterujaan naik kereta Kenari Cicak yang sudah tukar tayar besar dan spring. Dia punya ketinggian sudah mengalahkan kereta Kembara. Hampir sama taraf dengan gadis penjaga tol.

Sampai di suatu simpang, rupa-rupanya ada pemeriksaan lalulintas oleh pihak polis.


"Fuh, nasib baik aku pakai tali pinggang keledar." Kata saya dengan siku terkeluar di tingkap.

Cicak memang tidak gemar pasang penghawa dingin. Dia takut sejuk.

"Kita pakai sepatutnya pakai tali pinggang keledar bukan sebab takut polis." Cicak tiba-tiba bersuara dengan tangan kemas di stereng.

"Huh?" Saya bersuara nafas pendek.

"Kita pakai tali pinggang keledar untuk keselamatan." Cicak bercakap gaya pakar motivasi, dengan sebelah tangan membetulkan kolar dan kening sedikit terangkat.

Saya buat buat sibuk kuatkan radio.