Sabtu, 28 Januari 2012

Cerpen Reverse: Episod (n-2) - Jack Yang Mencabar

Apit masih tercungap-cungap. Sambil tercungap-cungap, dia gagahkan diri untuk bangun. Tercungap-cungap sambil tertiarap atas pasir memang boleh menyesakkan kerongkong. Situasi cemas melarikan diri sebelum melompat masa, masih mendebarkan. Apit bingkas duduk, memeriksa keadaan tubuh. 

"Alhamdulillah, sempurna." Seluruh anggota tubuh masih ada, tak ada secebis pun yang tercicir dalam perjalanan.

Sudah pelbagai zaman dan situasi sudah berjaya ditempuh dengan selamat. Hakikatnya dia mahu terus pulang, tapi asyik tersilap. Tidak dapat Apit pastikan sama ada dia yang salah memasukkan data, salah memicit butang, atau memang peranti mesin masa itu memang bangang.

Sambil menepuk-nepuk menyapu pasir keluar dari serata tubuh, Apit mula berjalan, cuba mencari tamadun. Cuaca dan angin dingin tanah England agak nyaman. Udara segar dan bunyi unggas liar menguatkan intuisinya bahawa Apit ada di zaman purba. Udara kering membuatkan tekak Apit mula dahaga. Perjalanan diteruskan sehingga sampai di suatu pekan.

Apit mencari restoran. Akan tetapi, di sebuah pekan di England zaman purba, memang susah mahu mencari restoran. Masyarakat zaman itu lebih gemar makan masakan di rumah. Apit terpaksa masuk ke dalam sebuah pub untuk minum.

Suasana di dalam bar itu agak sunyi. Mungkin masih terlalu awal untuk masyarakat di situ mengunjungi pub di siang hari. Apit memilih untuk duduk di hadapan bar, mudah untuk memesan minuman. Duduk di kaunter, Apit terus memesan gaya seperti pelanggan yang biasa datang.

"Bagi air teh satu. Gelas besar ya, letak ais"

Pelayan itu terasa agak pelik. "Air teh? Arak tak nak? Stout ke, beer ke?" Pelayan bar menyoal kembali.

"Tak, saya Muslim." Apit jawab tenang.

"Oh, OK, tak ada masalah." Pelayan itu terus bergegas ke dapur mencari teh.

Gelagat Apit menjadi perhatian seorang lagi pengunjung di pub itu. Pengunjung itu, seorang lelaki remaja Inggeris, bingkas bangun dari mejanya, dan berjalan menuju ke meja Apit sambil membawa minumannya.

"Hai, apa khabar? Aku dengar tadi kau cakap kau Muslim?" Remaja itu memulakan perbualan.

"Khabar baik. Ya, aku Muslim. Nama aku Hafis. Tapi lebih mesra dengan panggilan Apit. Nama kau siapa?

"Nama aku Jack. Jack Hardy. Selamat berkenalan." Sambil menghulurkan salam.
"Tapi dulu aku ada kawan sahabat pena dari Damsyik. Dia seorang Muslim juga, dia panggil aku Hadi Jack. Jadi, kau pun boleh panggil aku Hadi Jack. Amacam?"

Lalu, teh yang dipesan tadi pun sampai.

"Ais tak ada lah, zaman ni mana ada peti ais. Ni aku buat suam, kau minum lah elok-elok ya." Pesan pelayan bar itu.

Apit dan Hadi Jack mula berbual rancak. Ternyata, persamaan mereka adalah dalam bab pengembaraan dan cabaran. Apit mula menunjukkan minat apabila Hadi Jack menceritakan tentang ada gergasi yang zalim, duduk di atas awan, dan mempunyai pelbagai jenis harta karun yang berlebihan. Sebagai remaja sengkek, Hadi Jack menceritakan mengenai cita-citanya untuk meminta sedikit harta itu.

Hadi Jack juga menceritakan mengenai kacang ajaib yang telah berjaya ditanamnya selama ini. Dia belum pernah menggunakannya kerana masih tak ada orang yang nak teman dia naik ke atas awan sana. Apit mengangguk serius dan menyatakan dia memang berminat.

"Cantek! Aku pun dah lama tak memanjat ni." Kata Apit sambil menggeliat merenggangkan otot.

"Ok, habis minum ni, kita gerak." Sambil Hadi Jack menunjukkan isyarat dengan ibu jari.

Setelah habis minum sampai terbelahak, Apit mengikut Hadi Jack ke kebun belakang rumahnya, tempat di mana pokok kacang itu ditanam.

"Mak aih, besar betul, berapa lama kau tanam ni?" Apit soal dengan nada sedikit terkejut.

"Dalam sebulan lebih la, tapi dia satu malam je dah besar macam ni. Nama pun pokok ajaib. Kau jangan terkejut lebih pula. Dah jom panjat." Hadi membebel panjang sambil mula memanjat.

Apit turut akur, dan turut memanjat sekali.

Di pertengahan jalan, Apit sudah mula rasa lelah. "Jauh lagi ke Jack?"

"Tu, dalam beberapa puluh hasta je lagi. Kau ni kuat merungut lah. He he he" Hadi Jack semakin laju.

'Kuat betul pokok kau ni. Apa baja kau pakai?" Apit masih cuba melengahkan waktu.

"Baja organik. Berak aku sendiri je."

Hadi Jack menjawab malas. Tak tahu betul atau bohong. Tapi, jawapan itu berjaya membuat Apit diam dan terus laju memanjat.

Sampai di atas, Hadi Jack mula menyedut udara, melepaskan lelah. Apit siap tertunduk-tunduk lagi mengah. Nampak sangat orang bandar moden tipikal, stamina tak pernah cukup.

Terpampang di hadapan mereka, sebuah rumah. akan tetapi, tidaklah sebesar apa yang mereka bayangkan selama ini. Lebih kurang sebesar rumah teres dua tingkat di abad ke 21.

"Ini kau kata besar Jack?" Apit mula curiga.

""Tu lah, aku dengar cerita, besar macam istana. Haram, tak besar sangat pun weh." Hadi Jack mula kecewa.

Mereka berdua mula cuba menyelinap masuk, mula mencari, mana harta gergasi itu. Akan tetapi, jangankan gergasi, perabot dalam rumah itu pun tak ada lah sebesar mana. Siap nampak serba ringkas lagi segala hiasan dalamann rumah itu. tak ada tanda-tanda pun menunjukkan bahawa tuan rumah itu seorang penyimpan harta, atau seorang gergasi.

"Woi! Buat apa tu?!" Terdengar satu suara menyergah dari belakang.

Apit dan Hadi Jack terperanjat beruk. Mereka mula takut, dan berdiri tegak. Perlahan-lahan mereka memusing ke arah suara itu, dengan jantung yang berdegup kencang.

..........

"HAHAHAHAHAHA!"

Lelaki yang digelar gergasi itu ketawa pecah perut mendengar penjelasan Hadi Jack.

"Mana ada gergasi, mentang-mentang aku gemuk. Bodoh punya masyarakat. Dah memang nama keluarga aku Giant. Nama aku pun, Henry Giant. Eh, korang dah makan? Aku ada masak lebih tadi. Jom lah sekali." Ya, Henry Giant bukanlah gergasi sangat. Cuma agak obesiti susuk tubuhnya.

Apit dan Hadi Jack setuju.

"Err.. lauk kau ni halal ke tak?" Apit bertanya, masih curiga.

"Oh, kau Muslim ya? Jangan risau, aku vegetarian. Minyak pun pakai minyak sayuran sahaja."

Apit senyum lega.

"Kau ni, nama je Muslim. Tapi apa hal masuk rumah orang tak minta izin?" Henry Giant menyindir.

Apit senyum kelat.

..........

Selesai makan, mereka sambung berborak.

"Jadi, apa cerita harta karun yang kau simpan?" Hadi Jack membuka persoalan.

"Harta karun? Itu sahaja lah harta yang aku ada." Sambil menunjukkan pada satu bilik, yang penuh dengan buku-buku.

"Buku-buku tu semua aku kumpul dari satu dunia. Kebanyakan buku itu pun orang bagi percuma."

"Buku-buku buruk macam itu kau panggil harta?" Hadi Jack memperlekehkan minat Henry Giant.

"Patut lah kau bengap. Buku-buku tu memang nampak buruk, tapi ilmu dalam dia, tak ternilai kau tahu! Bla.. bla.. bla.. bla..." Henry Giant mula bersyarah panjang.

Apit sudah mula meneliti buku-buku yang tersusun kemas dalam bilik itu.

"Tengok kejap boleh?" Apit mula menelaah buku.

"Boleh, tapi jangan buka buku besar berkulit hijau tu. Itu buku sihir." Henry Giant memesan.

Tapi terlambat. Dengan muka bodoh, dia sudah buka pun buku itu.

Secara tiba-tiba seekor rasaksa yang ganas muncul, dan mengejar mereka. Kesemua mereka mula huru-hara, dan lari dengan perut yang penuh.

Apit lah yang paling kelam kabut, dia tak pernah tengok rasaksa sebegitu. Dia cuma mengharapkan keajaiban...

Bersambung dari blog Hafis

Bersambung ke blog:
Zalila
Gunx