Ahad, 15 April 2012

Cerpen Indie : Sukan Kebuluran (Parodi The Hunger Games)

Tahun 2164 Masihi. 74 tahun setelah tamat perang, Semenanjung Malaysia berubah menjadi Malaya Baru setelah Borneo keluar membentuk negara sendiri. Putrajaya masih kekal menjadi wilayah pemerintahan, 11 negeri yang lain menjadi negeri-negeri jajahan takluk. Bagi mengekalkan kestabilan dan kesetiaan, setiap negeri diwajibkan menghantar wakil remaja mereka yang berumur di antara 12-18 tahun untuk bermain satu sukan bodoh dan membunuh yang dinamakan Sukan Kebuluran.

Katijah Abidin termenung memandang keluar tingkap monorel. Perjalanan dari Melaka terasa agak membosankan. Pemndangan agak suram berlatarkan kesan perang dengan pemulihan yang lembab. Di bahagian kantin monorel, kelihatan rakan senegeri Katijah, Petra Mallick, seorang remaja berketurunan India Muslim, anak tauke warung roti canai.

Petra dengan mulut masih mengunyah karipap subsidi, sibuk bertanyakan tips-tips dan petua dari yang telah dilantik kepada pasukan mereka, Hamid Abu Nazir. Hamid adalah bekas juara Sukan Kebuluran 24 tahun yang lalu. Hamid hanya ambil endah-tak endah, mungkin sibuk atau mabuk meminum arak subsidi. Buruk betul rupa orang Melayu mabuk. Mata Hamid lebih tertumpu pada filem yang ditayangkan di kaca televisyen. Akhir zaman sebegitu, soal halal dan haram dianggap subjektif dan hanya penting untuk soalan perperiksaan. 

"Alah, lu orang tak payah kecoh sangat. Nanti dah sampai karang ada lah tuisyen. Buat rilak-rilek je." Itu sahaja pesan dari Hamid sebelum dia sambung tengok filem.

Katijah terasa agak kecewa dengan nasib yang menimpa dirinya. Akan tetapi, jika difikirkan semula, dia tidak boleh menyalahkan nasib sepenuhnya. Silap dia juga beria-ia menggaru ketiak sehingga pegawai pemilih menyangka dia mengangkat tangan untuk menawarkan diri menyertai Sukan Kebuluran. Dalam renungan, dia menahan terbayang adik dan ibunya di Melaka. Semoga cukup makan dan minum. Tidak dilupakan teman istimewanya Jali Harun yang setia bersamanya saat susah dan senang, juga rakan bersama memburu burung wak-wak.

Tiba di Putrajaya, pemandangan agak asing bagi remaja Melaka seperti Katijah dan Petra. Segalanya begitu indah dan gah. Setiap bangunan kelihatan begitu canggih. Pemandangan begitu hanya pernah mereka lihat dari kalendar atau poster propaganda kerajaan pusat.

Setiap peserta dari kesemua 11 negeri-negeri jajahan takluk mula diriaskan dan dipakaikan dengan pakaian yang mewah dan cantik-cantik belaka. Turut menyertai mereka adalah sepasang wakil dari Putrajaya sendiri yang agak bongkak dan takbur. Sambil makan malam, mereka diberikan taklimat mengenai kelas latihan dan persediaan sebelum berlangsungnya Sukan Kebuluran nanti. Sukan Kebuluran juga akan ditayangkan secara  langsung ke seluruh kawasan jajahan. Petra dengan gelojoh melantak kambing panggang. Sebelum ini baginya makanan paling sedap hanyalah roti canai cicah kuah dhal sayur. 

Sesi latihan begitu rancak dan sengit sekali. Setiap peserta berdisiplin dan bersungguh-sungguh menonjolkan bakat dan kehebatan masing-masing. Segala kesungguhan yang ditonjolkan adalah penting demi meraih tajaan dari syarikat-syrarikat kapitalis yang senantiasa mencari peluang mudah.bagi memasarkan nama dan produk mereka.

Sukan Kebuluran pun bermula dengan penuh meriah dah gah. Maka bermulalah sesi bunuh-membunuh antara kesemua 24 remaja yang baru kenal dunia itu. Sepanjang kesukanan, sudah ramai angka yang terkorban. Mayat mula membusuk dan bersepah. Darah dan daging manusia kelihatan bersepah di sekitar kawasan. Segala keganasan itu dipertontonkan sebagai hiburan secara langsung kepada seluruh rakyat jelata. Alhamdulillah, berkat aktiviti Katijah memanah dan memburu burung wak-wak dari kecil membantunya untuk terus hidup sepanjang tempoh acara sukan.

Dalam tempoh huru-hara sebegitu, pelbagai situasi boleh terjadi. Hendak dijadikan cerita, perasaan mula berputik antara Katijah dan Petra. Entah perasaan cinta, atau perasaan nafsu. Mereka sendiri bertambah keliru dan tidak mengerti. Mungkin kerana Petra pernah memberi Katijah sisa roti canai, suatu masa dahulu. Dalam detik-detik terakhir permainan, hanya tinggal mereka berdua yang masih bernyawa. Dengan persaan asmara atau nafsu yang kian membara, mereka mula berpelukan, dan akhirnya berkucup mulut. 

Mereka sedar, segala aksi mereka juga dipertontonkan kepada seluruh rakyat jelata. Akan tetapi mereka lupa aksi mereka juga turut dipertontonkan kepada rakyat negeri Melaka. Bapa Petra kecewa kerana berharap Petra berkahwin dengan gadis berketurunan India Muslim juga. Yang paling hancur luluh adalah hati Jali Harun yang turut menonton dari televisyen skrin besar di Dataran Pahlawan. 

Dalam kekecewaan dan hati yang remuk ibarat terhempas ke batu tajam, Jali tetap tampak hebat berdiri menahan air mata dari berlinangan. Ini tidak boleh jadi. Sebagai anak yatim piatu, hanya Katijah dan keluarga sahaja yang ada dalam hidup Jali. Segala kesetiaan Jali selama ini ibarat tidak ada ertinya lagi. Dalam kekecewaan itu, sempat juga akal Jali ligat berfikir. Ada dua pilihan yang mula difikirkan.

Pertama, menyertai jemaah tabligh dan pergi ke India untuk belajar dan memulakan kerja dakwah.

Atau pilihan kedua, mula mengurat Rima Ros, sabar menanti sehingga 6 tahun kemudian untuk menikahinya. Rima Ros adalah adik Katijah yang masih berusia 12 tahun.

Jali mengurut janggut sambil serius berfikir masa depannya.


Cerpen parodi yang lain:


Gunx: Bunohan (versi Pahang)
Zalila: Tombak Rindu