
Bila masa sekolah, asyik tak nak sekolah. Nak balik rumah.

Pagi Jumaat yang lalu, kami ada pembentangan untuk tugasan yang telah diberikan oleh Dr. Siti Salbiah. Pada awalnya, hanya saya dan Aliaa yang sepatutnya membentangkan. Akan tetapi, kerana kurang yakin dengan diri sendiri, saya telah mengheret Pokcik sekali dalam pembentangan kami.
Saya agak kucar-kacir untuk pembentangan hari itu kerana sudah lebih 4 bulan saya tidak melakukan pembentangan di hadapan pelajar sekelas. Pagi itu saya siap memakai kemeja dan kasut. Ini adalah kali pertama saya memakai kemeja dan kasut ke kelas untuk semester ini. Andai ibu saya tahu, pasti dia gembira.
Pembentangan pada awalnya berjalan agak lancar, walaupun saya agak gugup, akan tetapi, bahana menerpa apabila sampai ke pertengahan. Suara saya tiba-tiba hampir hilang akibat tekak yang juga tiba-tiba mengering.
Sebelum memalukan diri saya dengan bersuara ibarat kartun, Terus saya menyerahkan tugas pembentangan kepada Pokcik. Pokcik menyambut tugasan itu dengan pantas dan ribuan carutan bertalu-talu. Hehehehehehe..
Kekalutan kami diperhatikan seluruh kelas termasuk separuh dari ahli kumpulan kami. Mereka kelihatan tersengih geli hati melihat gelagat kami... Siaplah korang nanti, tunggu tugasan berikutnya... Kah Kah Kah Kah...
Semalam, kami bersama-sama membuat tugasan subjek SISP di makmal komputer tingkat 4 di bangunan COIT. Belum lagi siap kerja, perut kami sudah mula berkeroncong sehingga membuatkan tubuh kami menggigil kelaparan.
Lantas, kami semua bersetuju untuk pergi mengisi kekosongan ruang gastros kami. Oleh kerana Jaja ingin mencuci keretanya yang sudah agak keterlaluan kotornya, kami bersetuju untuk menaiki kereta jaja untuk makan sambil mencuci kereta. Ketika kami hampir masuk ke dalam kereta, saya terperanjat kerana menyangkakan ada kucing dalam kereta Jaja.
Rupa-rupanya, ia hanyalah salah satu dari koleksi mainan berbulu milik Jaja... fuh.. agak penuh kereta beliau dengan makhluk-makhluk seperti itu. Hampir hilang Pokcik ditenggelami oleh makhluk-makhluk itu.
Saya rasa, Jaja patut baca blog ini, demi kebaikannya... hehehehehe.
“Weh, ko dah print kad nama tu?” Ujar Pokcik yang masih belum menggosok gigi, memecahkan kesunyian pagi Rabu itu sambil menjenguk masuk ke bilik saya.
“Nak print ah ni...” saya juga yang masih belum menggosok gigi menjawab.
Jam sudah menunjukkan pukul 11.00am. Menurut jangkaan kasar kami, masih ada satu jam sahaja untuk kami menyiapkan kad nama yang diarahkan Puan Sulfeeza sebelum pergi ke kelas pada jam 12.00pm. Bukan kerana saya malas ingin menyiapkan kerja itu lebih awal, tetapi oleh kerana kesibukan saya bersama kelab, membuat persiapan untuk booth kami di bazaar kelab mengakibatkan saya terleka tentang kerja yang sepatutnya mudah ini.
Sambil Pokcik mandi, saya terus menyiapkan kad nama itu. Saya juga membantu bekas kapten saya, Syida untuk mencetak kad beliau kerana dia tiada pencetak berwarna. Selesai sahaja, saya pun bergegas mandi tanpa bernyanyi ketika mandi. Segalanya berlaku dengan huru-hara dan pantas.
Pokcik sudah keluar dulu dan memanaskan enjin keretanya yang diletakkan di tepi dewan Seri Saujana. Saya beransur kemudian ke
“Ko taknak beli makan dulu ke? Karang lapar... kita kelas sampai pukul 4” Saya
Dengan mengunyah sambil di dalam perjalanan, kami meluncur deras, menerusi jalan yang basah menuju ke bangunan COIT. Kami sampai ke kelas pada jam 11.55am. Masih ada masa untuk kami menghabiskan susu soya kami. Sambil menikmati hirupan terakhir, kami agak pelik kerana tiada seorang pun budak dari kelas kami menanti di hadapan kelas. Jam sudah tepat pukul 12.00pm dan pintu kelas masih berkunci.
“Postpone ke?” Saya bertanya.
“Takkan ah, takde email pun... tukar tempat kot, kelas dia...” Pokcik
Lantas, Pokcik terus mengSMS Jaja untuk bertanya kelas di mana, tetapi tiada jawapan. Saya pula terus menelefon Aliaa dan tetap tiada jawapan. Kami mula menyangka bahawa kelas pun sudah bermula dan mereka takut untuk membalas soalan dan panggilan kami.
Kami terus pergi ke tingkat 1 pula kerana disitulah kemungkinannya perubahan lokasi kelas kami. Penerokaan kami menghampakan dan kami tetap tidak menjumpai kelas Dr. Siti Salbiah. Kami nekad untuk mencarinya di pejabat di tingkat 6.
Sampai sahaja, kami lihat Dr. Siti Salbiah sedang enak berbual di telefon. Kami agak angin dan amarah kerana beliau membatalkan kelas tanpa notis kepada kami. Baru sahaja kami hendak meluru masuk ke dalam biliknya, tiba-tiba langkah saya terhenti dan terus menghentikan langkah Pokcik sekaligus.
“Weh, kelas kita besok la..” Saya mula teringat sambil tersengih.
Pada mulanya, Pokcik tidak percaya, namun setelah kami pergi ke makmal komputer di tingkat 4, barulah terbukti, kami salah jadual pada hari itu. Itu lah, entah apa yang kami fikir... sampai jadual kelas kami yang comel itu pun tidak kami ingat... hehehehehe