Sabtu, 30 April 2011
Kisah saya dan bank: Dendam kesumat III
Kisah saya dan bank: Dendam kesumat II
Kisah saya dan bank: Dendam kesumat I
Sabtu, 13 Jun 2009
Petang Jumaat yang tiada timbangrasa
Saya mula sedar yang saya sangat lapar hanya apabila keluar dari pejabat. Masa dalam pejabat, tak terasa lapar. Mungkin saya sudah terkena penyakit khayal berkerja.
Petang itu saya ikut dan Pokcik pergi ke Kuala Lumpur menaiki komuter. Pokcik nak pulang ke kampung halamannya di Pantai Timur. Saya nak pulang ke tanah air saya di Negara Gombak. Dari dalam komuter lagi saya sudah terasa sangat letih dan lapar. Perut sudah mula mendendangkan lagu dangdut. Ini mungkin gara-gara hanya memakan tosei di tengahari. Mana tahan, perut Melayu obesiti seperti saya dengan tosei sahaja.
Sampai sahaja di stesyen Kuala Lumpur, saya berpisah dengan Pokcik. Saya berjalan bersendirian menuju ke Pasar Budaya untuk naik bas. Perjalanan ke Pasar Budaya terasa begitu berat kerana membawa dua biji komputer riba berjalan ternyata amat membebankan. Satu komputer saya, satu komputer pejabat. Sudahlah begitu, perut pun lapar. Masa seperti begini, saya memang tiada mood dan malas nak berfikir. Andai ada orang cuba merompak saya, memang orang itu silap besar. Masa beginilah saya akan mengamalkan ilmu persilatan sesat saya.
Sampai di Pasar Budaya, saya singgah dahulu di surau untuk solat Asar. Memang terasa sangat letih untuk naik tangga dengan beban sebegitu. Setiap langkah pasti akan disertai dengan pernafasan lesu yang tidak bermaya.
Hu.. Hu.. Hu..
Terasa seperti berzikir sufi pula. Saya pun tidak faham sangat fasal zikir hu ni. Saya main cakap sahaja.
Setelah selesai solat, saya pun bergerak keluar untuk menaiki bas ke negara Gombak. Saya berjalan dengan perut yang masih bersenandung. setiap langkah terasa sangat berat. Irama lagu yang keluar dari earfon saya masih tidak berjaya menghilangkan rasa lapar. Saya ternampak satu pemandangan yang agak menggiurkan. Saya tiba-tiba berselera.
Ada orang jual jagung rebus, dan ada orang jual keropok lekor. Mulut saya terkecur tiba-tiba. Wujud konflik dalaman untuk saya memilih sama ada jagung atau keropok lekor. Dan menggunakan penaakulan mantik saya yang masih tajam, keropok lekor menjadi pilihan.
Saya membeli keropok lekor seringgit dan duduk di bawah pokok sambil menanti bas tiba.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya mula mengunyah keropok lekor yang menggugat nafsu saya tadi.
Perghhh! Tak sedap langsung!
Ternyata penaakulan mantik saya tidak boleh dipercayai.
Tapi saya sebagai seorang yang tidak suka amalan membazir, menghabiskan sahaja keropok lekor itu sambil merungut dalam hati. Saya cek duit dalam dompet. Nak asingkan duit untuk tambang. Nasib baik masih ada duit.
Tiba-tiba datang seorang lelaki berjumpa saya
"Bang, saya nak mintak tolong bang, saya tak cukup 60 sen je lagi nak naik bas."
Seorang lelaki muda dalam lingkungan awal 20an.
"Gua tinggal seringgit je brader.."
Saya jawab dengan nada rockers.
Memang betul saya sudah tiada duit. Walaupun saya berpakaian kemas ala-ala pejabat waktu itu, saya masih miskin. Saya hanya ada RM2 untuk tambang bas, dan RM1 dalam bentuk duit syiling dua posen dua posen. Kalau saya tidak letih dan lapar, saya sanggup mengorek duit syiling saya untuk diberi pada saudara itu. Tapi saudara itu silap masa.
Saya memang tidak bertimbangrasa langsung pada petang itu.
Bas sampai, saya terun mengangkat buntut naik bas. Saya pilih kerusi solo yang paling sedap. Saya terus duduk dan kembali mendengar lagu dari telefon bimbit. Saat-saat sebegini, tak berselera langsung saya hendak mendengar lagu dangdut dari bas Metro. Saya sengaja pilih kerusi solo supaya tiada orang menganggu keperdudukan saya.
Ketika bas sampai di kawasan SOGO, lebih ramai orang memenuhi bas. Tapi satu orang pun saya tak pelawa untuk duduk di kerusi saya. Tak kiralah orang tua ke, awek cun ke, kanak-kanak ke, semua saya pedulikan. Saya hanya duduk melayan lagu dan perasaan.
Saya memang tidak bertimbangrasa langsung pada petang itu.
Sampai sahaja di Negara Gombak, saya terus berjalan menuju ke rumah. Selalunya perjalanan hanya mengambil masa satu lagu sahaja. Tapi kali ini dua lagu sampai habis. Mungkin kerana keletihan dan kelaparan, gerak geri langkah menjadi sangat perlahan. Sampai sahaja di rumah, saya terus mandi dan makan nasi. Setelah itu saya duduk dihadapan televisyen.
Cicak menelefon saya. Malam itu ada Mesyuarat Jumaat.
Tiba-tiba saya kembali menjadi bertimbangrasa. Hilang segala keletihan dan kelesuan... :)
Jumaat, 12 Jun 2009
Mesyuarat pagi Jumaat. Terkedu di tengahari
Nasib baik hari itu kena Solat Jumaat. Mesyuarat Bos besar tamatkan pada jam 1.10pm. Ikmal terus mengajak saya pergi solat Jumaat. Kalau nak makan dulu memang tak sempat lah, Dah suntuk sangat. Kami ingin mencuba solat jumaat di surau bomba Cyberjaya. Surau itu ada buat solat Jumaat. Kami yang dalam keadaan lapar pun pergi ke balai bomba itu. Orang gaka ramai dan mula berpusu-pusu. Masuk sahaja ke pagar balai, saya ternampak sesuatu yang mencurigakan.
Di surau itu ada disediakan makanan seperti biskut bertin-tin, buah-buahan sperti tembikai dan nenas. Air pun ada. Bukan sejenis beb, ada air milo ais, ada oren, ada air mangga. Biskut pun bukan bodoh-bodoh punya biskut. Ada biskut krim, ada biskut coklat, ada wafer kampungan.
Pergh... Indah... Terasa indah...
Ketika orang lain berpusu-pusu nak mengambil wuduk, saya berpusu-pusu nak makan biskut. Memang masyuk... Makan biskut, wafer kekampungan dan minum milo ais. Rasa macam terjumpa oasis di padang pasir. Sebelah tangan pegan biskut, sebelah tangan pegang milo, mulut pula gigit wafer... Agak buruk rupa juga saya waktu itu. Peduli apa.
Selepas tersendawa, barulah ada semangat nak ambil wuduk. Ketika saya sedang beratur untuk mengambil wuduk, satu kejadian telah membuat saya terkedu.
Saya terperasan dari jauh ada dua orang perempuan masuk ke dalam kawasan balai. Saya sangkakan perempuan muda baby-t dan berjeans potongan ketat itu mahu makan biskut seperti saya. Rupa-rupanya terus masuk dan duduk di alam saf. Duduk mendengar kutbah Jumaat. Bila saya perhatikan betul-betul, baru saya perasan.
Lah, mak nyah rupanya!
Ini bukan biasa-biasa punya mak nyah. Ini mak nyah yang sudah ada payu dara! Sekali pandang memang tak perasan beb. Tak terperanjat abang yang di sebelah? Saya tengok ada juga brader-brader yang pandang serong. Memang agak serong lah mata brader tu. Saya rasa ini pertama kali saya tengok mak nyah solat Jumaat. Rosemarie pun saya syak tak pernah pergi. Pemalas mak nyah sorang tu.
Lepas solat Jumaat, Ikmal dan saya pergi kedai mamak dengan tujuan nak makan tengahari secara aman. Ikmal makan nasi kandar. Saya makan tosei sahaja pasal kenyang makan wafer dan biskut tadi. :)
Lah,
Ahad, 31 Mei 2009
Bawak Cicak bercanda dengan Yasmin Ahmad di finas selepas Talentime
"Bila mau tengok wayang free?" terdengan suaranya yang aktif.
Nampak sangat Cicak teruja bila saya ajak dia tengok tayangan filem Talentime secara percuma di Finas.
"Awal lagi beb, baru pukul 10. Dia pukul 2 la" Saya jawab dengan suara belum aktif.
"Tiu! tido lagi ka? Bangun la mandi! jom jalan-jalan dulu!"
Saya terus bangun dengan mata buka suku. Sementara mencari ilham nak mandi, sempat juga saya periksa e-mel dan main internet. Akhirnya, jam 11, ketika saya sedang sembur deodoran, Cicak pun sampai.
"Mana nak pergi?"
Dia yang kejutkan saya pagi-pagi, dia pulak yang tanya saya cadangan. Nasib baik akal saya agak ligat setelah selesai mandi.
"Jom lah, kita pergi jalan-jalan kat Giant Hulu Klang dulu. Aku ingat nak carik gel rambut"
"Ok gak tuh. Aku pun nak carik gunting nak trim misai."
kami pun pergi lah ke Giant. Nasib kami baik. Hari itu ada jualan runtuh. Saya beli gel rambut berharga hanya RM 2. Set berus gigi 2 batang campur setiub ubat gigi pun hanya RM 5. Memang sesuai dengan gaya hidup sederhana saya. Saya bayar pun sambil senyum-senyum.
"Lapar laa." Kata Cicak yang berdiri di hadapan iklan nasi ayam KFC.
"Tiba-tiba teringin nak makan nasi ayam." Kata Cicak lagi sambil urut-urut dagu.
"Huh! harga tak berbaloi langsung!." Kata Cicak bila terbaca harga yang terpampang di dada iklan itu.
"Tu lah, baik kita pergi tempat lain..." Saya sebagai sekutu kuat, mengiakan sahaja.
"Jom lah pergi Mancongkam. Tekak aku mengidam nak makan ayam nih!" Cicak membuat cadangan bernas.
"Jom!" Kami berjalan ke kereta dengan langkah yang agak kengkang kerana nak cepat.
Di Mancongkam, Cicak makan nasi goreng hailam ayam rangup. Saya makan nasi ayam biasa. Tapi sayang, nasi ayam di Mancongkam sudah tidak semancongkam dulu. Dah jadi menyampah pula. tak beberapa sedap. Tapi saya yang menghormati rezeki tidak bersungut di hadapan rezeki dan menghabiskan sahaja hidangan.
Selesai makan dan menyedut air minuman sampai habis, Jam sudah menunjukkan pukul 1. Kami sebagai peminat filem percuma, terus mahu pergi ke Finas. Kami tak mahu masuk lambat dan kami tidak mahu berebut tempat. Kami percaya ada dua benda utama yang membuat bangsa jatuh. Tak tepati masa dan rasuah.
Ternyata kami berdua adalah orang yang pertama sampai di Finas untuk menonton Talentime. Kami pun mula duduk di sofa lob dan melihat-lihat sekeliling. Sempat juga kami mengurat gadis-gadis yang berseluar trek. Kami syak mereka adalah penari atau ada latihan lakonan. Tapi satu pun tak terima penguratan kami. Mungkin kami guna salah teknik.
Agak bosan menurat, kami pun berbual-bual dengan makcik pengawal yang bertugas. Kami bernasib baik tidak dihalau oleh makcik itu. Ternyata makcik itu seorang yang peramah. Makcik itu juga cakap, di rumah pameran Finas Jalan Pahang juga ada tayangan percuma marathon filem seram. Jadi kami tak pasal-pasal dah ada rancangan untuk hari esok.
Jam tiba-tiba menunjukkan pukul 1.33. Saya syak azan Zuhur sudah pun berkumandang. Jadi saya dan Cicak ke surau untuk solat. Selesai solat, kami kembali melangok di dalam lobi.
"Dah boleh naik dah dik..." Makcik pengawal bagitahu kami.
Kami pun berlari-lari anak naik tangga, dan masuk ke dewan tayangan. Sampai di dalam, baru ada tak sampai 10 orang. Kami duduk di tempat yang paling strategik, dan duduk diam tak sabar. Sementara menanti tayangan Talentime, kami ditayangkan dengan satu dokumentari mengenai tarian singa di Malaysia. Baru saya tahu, Malaysia mempunyai pasukan tarian singa yang paling hebat di Malaysia.
Setelah habis cerita tarian singa itu, barulah Talentime ditayangkan. Saya agak kecewa dengan kualiti sistem bunyi dalam panggung itu. Nasib baik ada seorang amoi duduk di sebelah saya. Itu membuatkan saya jadi tenang dan tidak mengamuk. Dia cantik.
Memang sedap cerita Talentime tu. Dalam banyak-banyak adegan, saya paling suka adegan pakcik Mahesh termenung di kedai kain ketika teringatkan kekasih lamanya yang sudah meninggal dunia. Mantap! Lagi satu, adegan Mahesh mintak maaf dari ibu dia setelah kena hentam. Gaya Mahesh menyembah ibunya dan dialog bisu beliau membuatkan hati saya tersentuh. Dia sanggup memilih ibunya walau dia tahu dia takkan dapat melupakan kekasihnya. Dia nak mak dia ajar dia supaya dapat lupa pada kekasih. Terima kasih pada sarikata. Mantap lagi!. Adegan yang paling ekstrefehm adalah apabila Hafiz menyanyi pada pertandinga akhir, dan tiba-tiba Kahoe masuk dan dia sambut dengan main Er Hu. Ultra mantap beb! Air mata saya mengalir. Korang tak tengok, korang mana tau. Tapi saya cepat-cepat lap mata dan buat-buat bersin supaya amoi sebelah saya tu tak perasan.
Saya perasan Yasmin ahmad duduk di belakang saya bersama beberapa pelakon filem itu. Tapi saya buat 'dek' je, supaya saya tampak matang dan utuh. Setelah tamat tayangan, baru saya perasan ada beberapa kawan saya dari Uniten pun datang. Saya pun pergi duduk bersama mereka untuk mendengar sesi diskusi bersama Yasmin Ahmad.
Ketika sesi diskusi, saya sempat bertanya soalan. Terasa teruja pula saya. Paan juga sempat bertanya soalan. Paan mesti berterima kasih kepada Ibu Azean Irdawaty, kerana Ibu Azean yang perasan paan ada benda nak tanya. Sebab masa tu sebenarnya dah habis sesi. Paan pun kawal pernafasan masa nak bertanya soalan. Yasmin Ahmad menyangka kami adalah pelajar perfileman dan mengajak kami sambung berbual-bual setelah selesai diskusi dan jamuan petang.
Saya ajak kawan-kawan saya makan di berandah luar sahaja. Kami pun berbual sambil minum kopi di berandah. Memang asyik berbual jika ada kopi . Sebijik macam dekat kedai kopi. Setiap minit, kami sempat menjeling ke meja Yasmin di dalam. Saya akan pastikan yang kami tidak akan terlepas peluang berbual bersama.
Ketika jam sudah pukul 7.00, barulah kami perasan yang meja Yasmin bersama Ibu Azean sudah berkurang pelawat. Kami pun beramai-ramai menyerbu ke meja itu untuk berbual.
Saya sempat bersalaman dengan Ibu Azean dan Yasmin Ahmad. Saya terasa terharu kerana Yasmin mencium tangan saya gaya seperti orang Johor menyalam orang yang lebih tua di Hari Raya. Saya pun keliru sama ada saya terharu atau pelik atau terperanjat.
"Pung! Pang! Pung! Pang!.. Bla... Bla.. Blaa.." Kami berbual.
Memang seronok berbual dengan Ibu Azean dan Cik Yasmin. Saya terasa seperti cendikiawan. Macam-macam topik kami bualkan. Dalam perbualan juga, saya mengerti Yasmin bukanlah seorang Pluralist. Banyak juga kami sempat bualkan sehinggakan Yasmin Ahmad menyangkakan saya anak murid Faisal Tehrani. Itu sudah kali ketiga Yasmin Ahmad tersalah sangka.
Pertama, disangkakannya kami pelajar perfileman. Kedua, disangkakannya. kami merokok di berandah. Ketiga, disangkakannya kami anak murid Faisal Tehrani.
Ternyata kami bukan ketiga-tiganya.
Perbualan pun terhenti kerana Yasmin mahu solat. Kami sambung berbual dengan Ibu Azean sebelum berangkat pergi. Kami meninggalkan Finas setelah selesai solat Maghrib.
Keluar dari Finas, saya pun ajak Cicak ke majlis BBQ sahabat saya yang baru pulang dari San Francisco setelah 8 tahun tak balik Malaysia.
Rabu, 29 April 2009
Malam yang dingin, hati pun kena dingin.
"Aku masih malang lah, Aku kena langgar tadi" Daus tunjuk bahagian tepi keretanya yang kemik dan calar-balar kena langgar.
Kesian Daus.
Jam baru pukul 6.55pm. Kami hendak merayau-rayau di kompleks Pertama, kerana Daus nak cari pengecas telefon bimbitnya. Saya hanya mengikut kerana hobi.
"Nak gerak sekarang ke?" Daus tanya sambil usik-usik kesan kemik.
"Jom lah gerak. Kita Maghrib kat KL je" Saya takut nanti jalan jem, tak puas pula merayau.
Dalam perjalanan, telinga kami asyik dihidangi dengan lagu-lagu bising. Baru lah bersesuaian dengan gaya ganas kami pada hari itu. Masing-masing berpakaian serba hitam, naik kereta hitam, siap ada kemik dan calar-balar.
"Kita nak parking kat mana ek?" Daus tanya.
"Kat Maju Junction macam ok" Saya jawab sambil urut-urut janggut.
"Nak parking luar ke dalam?" Daus urut-urut dagu. Janggut dia macam tak ada je.
"Kat luar la.. baru la samseng!"
"Hmmh!" Daus mendengus ganas, dan terus meletak kereta di luar Maju Junction.
"Skreet!" Ada bunyi tayar kuat sikit masa Daus letak kereta. Ada bau tayar terbakar sikit. Saya pandang Daus, Daus pandang saya. Kami angguk sama-sama. Terasa cukup ganas.
Kami buka pintu kereta dengan angkuh, keluar dari kereta dan pandang keliling.
"Kita Maghrib dulu dalam Maju Junction"
Walaupun samseng dan angkuh, solat kena jaga. Baru sahaja nak meninggalkan kereta, saya ternampak polis depan pintu Maju Junction. Jadi kurang samseng dan angkuh sedikit.
"Weh Daus. Polis la, takpe ke parking sana tadi?"
"Ah, jangan peduli lah!" Daus masih tetap dengan gaya samseng.
Saya pun kembali samseng. Kami terus berjalan, gaya langkah maskulin sejati, berpakaian serba hitam. Muka tak senyum langsung.
Berjalan terus, menuju ke pintu masuk kompleks.. Daus sempat menjeling polis itu sambil menyarung jaket hitamnya. Betul-betul macam dalam cerita 'Young And Dangerous'. Perjalanan diteruskan dengan yakin, dan rambut pun meliuk ditiup angin sepi malam. Kami sudah begitu hampir dengan pintu masuk. Tiba-tiba...
"BEDEBAMMM!"
Kami berdua melekat di dinding kaca. Kaki sebelah dah terangkat. Polis yang Daus jeling tadi sudah sedia tangan di pinggang, mahu keluarkan pistol. Kami terkebelakang sedikit.
"Ok ke ni?" Abang polis itu bertanya. Hampir tergelak
"Ok, ok.." Kami sengih menjawab sambil terkial-kial mencari pintu sebenar. Orang ramai yang ada di pintu sebenar pun tersengih-sengih memandang kami berlari masuk.
"Gigi aku ok tak?" Tanya daus sambil senyum tayang gigi.
"Ada sumbing sikit. Patah" Saya jawab sambil gosok-gosok hidung yang pedih.
"Tak patut betul diorang kan? Berdenyut tu..." Daus usik-usik gigi.
Bedebah! Siapa ajar buat dinding kaca terang sangat lepas itu tak tampal pelekat? Mana nak nampak! Cis! Cilakak! Tak pasal-pasal kami berdua jatuh air muka melekat dekat dinding kaca. Ingatkan pintu!!!
Malam itu hanya saya seorang yang senyum pada amoi kedai telefon. Daus senyum jugak. Tapi tutup mulut.
Ahad, 8 Mac 2009
Apa - apa hal pun, lari dulu!
Tapi malam itu kami keluar awal, kerana Cicak mengajak saya meneman beliau mencari rumah sewa.
Maklumlah, beliau bakal bergelar suami.
Dalam perjalanan, kami singgah di stesyen minyak Shell di Batu 4, Jalan Gombak.
"Henset ni kena bawak, tak boleh tinggal kat dashboard beb, bahaya. Nanti kena ragut"
Cicak bersuara sebelum dia keluar kereta dan masuk ke dalam kedai untuk membayar duit minyak.
Saya hanya tersenyum sambil meneruskan siulan lagu "Senandung Raja Singa" oleh Jamrud, sambil tangan bergendang-gendang mengetuk dinding pintu kereta. Seperti biasa, saya hanya menanti dalam kereta.
Sedang asyik bergendang, tiba-tiba terdengar pembesar suara stesyen itu dipasang kuat.
Kedengaran seperti ada perbualan kasar kedengaran. Saya sangkakan ada pelanggan di pam bergaduh dengan pekerja di kaunter.
Tiba-tiba, saya yang masih asyik bergendang, ternampak Cicak sedang berjalan pantas keluar dari kedai Shell, sambil tersengih dan kening terangkat-angkat. Memang pantas beliau berjalan, seperti berlari-lari anak.
Ada sesuatu di tangan kiri Cicak.
Cicak terus masuk dalam kereta, menghidupkan enjin sambil mulut beliau terkumat-kamit.
"Lari.. Lari.. Sikit lagi je beb.. Selamatkan diri"
"Weh! kata nak isi minyak? Apsal ni?"
Setelah enjin dihidupkan dengan pantas, Cicak bergegas beredar, memecut dari kawasan Shell itu. Mulutnya bersuara kembali.
"Keluar parang beb, Mamat sebelah aku tu. Aku baru je nak bayar kat kaunter. Lepas tu dia mintak duit kaunter."
"Hah?! Ada perompak ke? Biar betul?"
"Betul beb... Parang beb... Real punya! Tara tipu punya! Aku undur slow-slow, sampai pintu aku terus cabut!"
"Rompak betul ni? Aku telefon polis lah"
"Betul! Betul! Telefon! Telefon!"
Dalam masa saya menelefon polis, kami hampir sampai di stesyen minyak BHP Jalan Pahang.
Tiba-tiba terperasan sesuatu yang dibawa Cicak tadi. Atas dashboard.
"Eh.. Ni dah bayar ke belum?"
"Gila ko, mana nak teringat. Aku dah fikir nyawa je tadi."
"Habis tu?"
"Bukak je la, bedal dulu. Esok kita bayar"
Dengan pantas, saya pun membuka bungkusan keropok Twisties itu... Rezeki beb.
Isnin, 19 Januari 2009
RM 180 - RM 200 - RM 10
Di Low Yat, saya hanya akan masuk dan bertanya di keda-kedai yang saya percayai sahaja. Sagak teliti dan memilih dalam hal-hal yang melibatkan duit dan teknologi.
Kedai yang pertama, saya dilayan oleh lelaki yang mungkin datang dari Bangladesh.
"Tukar DVD, RM 180"
"Original ke?"
"Sama saja.. semua bole masuk"
Saya tak yakin langsung. Mengheret Soraya ke kedai kedua. Sebuah kedai yang agak terkenal dalam bidan pembaikpulihan komputer.
Sampai di sana, agak ramai pelanggan yang sedang menanti servis. Saya juga cuba mencelah masuk dan mencari pembantu kedai yang tidak sibuk.
Saya agak dia adalah orang Nepal kerana sepatah haram saya cakap, dia tak faham. Bahasa Melayu tak faham, Bahasa Inggeris lagi la tunggang terbalik jadinya. Akan tetapi, pembantu kedai itu masih menyimpan niat murni untuk membantu.
Dia membawa saya ke ruang lain untuk bertemu dengan kawannya yang lebih pakar.
Sekali pandang, dan mendengar gaya percakapan, saya sudah tahu dia dari Burma. Kerana saya pernah berkawan dengan orang Burma.
"this might be the motherboard" Agak pekat pelat Burmanya.
"how much to repair the motherboard?"
"RM 200"
"Are you sure it is the motherboard?" Saya bertanya dengan sangsi.
"Don't worry, I'll try to change the DVD first, if not OK, I'll change the motherboard"
"Ok, I'll come back later"
Saya mengambil semula laptop itu dan mencari lagi kedai yang sesuai.
Naik ke tingkat atas, kelihatan ada lagi beberapa kedai yang menawarkan perkhidmatan membaiki laptop.
Di hadapan mata, ada dua kedai. Saya bertanya Soraya, tuan empunya laptop.
"Nak yang mana? kiri ke kanan?"
"Yang kanan, muka macam tak reti. Yang kiri, muka macam penipu"
Jawapan yang meyakinkan saya untuk mencari kedai lain pula.
Baru sahaja beberapa langkah berundur, saya terpaling ke sebuah kedai kecil. Pekerja di situ mempunyai wajah yang agak meyakinkan.
"Bang, nak beli laptop ke?"
"Tak, sini boleh repair laptop tak?"
"Boleh je, masuk la, kita cek dulu"
Tak sampai 10 minit, masalah sebenar telah dikenalpasti. Bukan masalah besar pun, cuma ada penahan skru yang longgar. Dengan mudahnya abang itu perbetulkan dan siap.
"berapa ringgit bang?"
"RM 10 je... "
Baru lah saya tahu bagaimana nak menggodek DVD dalam laptop. Menyesal saya tak belajar sendiri. Tapi takpe, kali ni saya dah tahu. Lepas ni tak payah hantar kedai lagi. Nyaris-nyaris hilang RM 200.
Ini membuatkan saya teringat sepotong lagu dari Marjinal, "Belajar Sama Sama"
" Semua orang itu guru, alam maya sekolahku "
Oh ya, Hari ini itu saya bertekad akan cari dan beli album Marjinal!.
Setelah selesai membayar RM 10, kami pun pergi ke tingkat atas, kerana setiap kali Soraya datang di situ, dia pasti mahu menikmati tauhu fa di tingkat atas... :)
Selasa, 23 Disember 2008
Menziarahi Kerabat Astena
16 Disember yang lalu, saya sudah siap mandi dan memberus gigi agak awal pada hari itu. Saya telah dipelawa untuk bersama-sama memeriahkan Kerabat Astena yang membuka gerai kelab di Medan Selera Upten.
Pokcik sudah bersiap dengan lebih awal. Pada jam 6pm, dia sudah siap menanti di gerbang kondominium bersama keretanya. Saya pun lantas bersiap dan turun kebawah. Keluar sahaja dari pintu lif, saya agak terkejut dengan kewujudan asap berkepul-kepul memenuhi segenap ruang. Saya agak cemas, adakah bencana kebakaran sedang berlaku?
Oh, rupa-rupanya hanya semburan nyamuk yang agak hebat sedang giat dijalankan. Ada kes denggi agaknya. Saya pun meneruskan perjalanan melangkah ke pintu gerbang.
Sampai sahaja di Uniten, saya melepaskan rindu dengan bertegur sapa dengan sahabat-sahabat yang masih aktif dalam Uniten, terutamanya ahli Kerabat Astena. Mereka sedang sibuk menghias gerai ibarat menghiasi pelamin untuk majlis persandingan.
Setelah solat Maghrib, saya mahu menyambung tugas menyibuk, menayang muka di gerai kelab. Akan tetapi, Paan telah menculik saya dan membawa saya ke Dewan Seri Sarjana (MPH) untuk menemani beliau bertemu dengan ahli-ahli dari Rumah Teater Astena. Saya juga agak teruja melihatkan agak ramai pelapis-pelapis baru untuk mewarisi Rumah Teater Astena.
Selesai perbincangan bersama Rumah Teater Astena, kami terus kembali ke Upten. Sampai sahaja, saya diajak pula Mastot untuk makan malam bersama. Kami pun menempah makanan dan duduk berbual sambil menanti makanan siap dimasak. Malang sungguh, agak lewat makanan siap. Tapi, tak mengapa, lebih banyak tempoh untuk kami berbual.
Selesai makan, saya dan Pokcik pun meminta diri untuk pulang, ini adalah kerana kami perlu pulang sebentar ke rumah saya di Gombak bagi mengambil segala barang-barang penting yang dengan sewenang-wenangnya saya tertinggal tempoh hari.. he he he he.
Isnin, 3 November 2008
Kelana Bujang di Pasar Budaya ( setelah “Belum Selesai” )
Hari Khamis 23 Oktober yang lalu, setelah mendapat status “Belum Selesai” dari penyelia projek saya, Puan Masyura, saya pun menghela nafas kelegaan berbau anggur muda. Kali ini, dapatlah saya menumpukan perhatian sepenuhnya untuk menghadapi perperiksaan akhir saya di Uniten. Ya, memang yang terakhir.. moga-moga jangan ada lah berlaku aral yang melintang… amin…
Tiba sahaja di bilik, senyuman kelegaan tadi masih terukir dibibir. Walaupun ini bermakna saya hanya akan tamat pelajaran pada semester hadapan, akan tetapi, saya sudah habis kesemua sukatan mata pelajaran yang memerlukan perperiksaan. Masih ada lebih kurang seminggu sebelum untuk saya menghadapi kertas pertama perperiksaan semester ini. Sedang asyik tersenyum, saya pun terbaring. Sedang asyik terbaring, saya memerhatikan kepulan awan di langit. Sedang asyik memerhati, saya terlelap…
Jam sudah menunjukkan pukul 4.00pm. Setelah terjaga, akal separa sihat saya mula ligat meminta-minta supaya atmosfera suasana bertukar segera. Saya memerlukan kelainan. Saya terus mengemas secara ala kadar untuk berkelana. Lantas, dengan angkuhnya saya memerintahkan Zul menghantar saya ke stesyen Komuter di Serdang.
Dalam perjalanan ke Komuter, saya mula merancang perjalanan.
Kali ini, saya menetapkan hala tuju saya supaya merayau di Pasar Budaya dan sekitarnya. Dalam perjalanan yang pendek itu juga, saya telah menetapkan untuk berbuka puasa dengan santapan dari Burger King. Terliur pula apabila teringatkan hidangan yang sudah amat lama tidak saya sentuh itu. Ya, tema perjalanan kali ini, “Anarkapitalis”
Setelah tiba di stesyen Serdang, saya membeli tiket ke stesyen Kuala Lumpur dan dengan rakusnya, merebut peluang masuk ke dalam gerabak tanpa mengira adab dan tata susila. Masuk, dan sebagai pakar yang kurang bertuah, saya dapat berdiri sambil sebelah tangan bergayut pada pemaut. Perjalanan menuju Kuala Lumpur tidak terasa lama, akibat khayal dengan dendangan lagu-lagu Radiohead, The Cure, Dashboard Confessional, Haste The Day, M.Nasir, Marsha AF4 dan pelbagai lagi yang diputarkan dari telefon bimbit saya.
Melangkah turun sahaja dari gerabak, saya mulakan langkah sambil tersenyum, menuju ke Pasar Budaya. Ya, senyuman saya dari tengahari tadi masih tidak pudar dari bibir mongel ini. Perjalanan diteruskan melalui lorong-lorong sunyi menuju ke Pejabat Pos Besar.
Hmm, terdapat satu kenangan di situ. Itu lah tempat pertama saya mencari kerja setlah saya tamat SPM pada 9 tahun yang lalu. Pengalaman manis mencari kerja itu masih terlekat di celahan sel otak saya.
Saya terkaget sebentar di hadapan bangunan Dayabumi. Saya masih teringat, itu lah tempat riadah kebanggaan abang sepupu saya yang saya kategorikan paling ‘rock’ ketika saya masih kecil, 15 tahun yang lalu. Saya cuba mencari peta daerah Kesultanan Gombak dari sfera hitam gergasi itu.
Perjalanan diteruskan lagi menerusi lorong-lorong sunyi dan menaiki jambatan menuju ke Pasar Budaya. Dalam perjalanan, sempat saya tatapi hasil seni stensil vandalisma dan contengan-contengan dinding yang tidak menyakitkan mata cantik saya.
Langkah berlalu, meninggalkan contengan menuju terus ke Pasar Budaya yang sudah agak lama tidak saya jejak dan lepak. Dalam tahun 2008, rasanya hanya 2 kali sahaja saya sempat menghabiskan masa lapang saya merayau dalam Pasar Budaya. Agak berbeza ketika zaman saya sekolah menengah dan di kolej dahulu.
Suasana dalam Pasar Budaya juga sudah terlalu banyak bezanya dan kesan evolusinya begitu drastik dalam tempoh 10 tahun. Sudah tiada lagi restoran mamak, sudah tiada lagi medan selera murah di tingkat 3, sudah tiada lagi lelaki-lelaki penyumbangleweng homoseksual yang senantiasa mencari mangsa di tandas tingkat bawah. Sudah muncul perniagaan-perniagaan “franchise” ala kapitalis bergaya seperti ‘Secret Recipe’ dan ‘Old Town White Coffee’. Terlalu banyak yang telah berubah dan berevolusi mengalahkan ular sawa bersalin kulit.
Saya tidak menghabiskan masa agak lama merayau dalam kompleks Pasar Budaya kerana saya mula terasa bosan dan mula meneruskan perayauan ke kompleks Galeri Annexe di bahagian belakang Pasar Budaya. Di sana, Festival Darurat sedang rancak berlangsung. Terdapat pelbagai persembahan dan pameran sudah siap terancang dan dijadualkan. Kali terakhir saya datang ke sini adalah ketika menghadiri “gig” yang turut disertai kugiran ‘Raja Singa’ dari Indonesia.
Saya naik ke tingkat atas untuk menikmati pameran. Saya memilih untuk menaiki lif kerana terdapat memori manis saya yang ada kena mengena dengan keujudan lif itu ketika saya masih di tingkatan 4, 10 tahun yang lalu.
Rupanya terdapat juga tayangan istimewa filem dokumentari terbaru arahan Fahmi Reza, Revolusi ’48 secara percuma pada malam itu jam 8.30pm. Ianya istimewa kerana turut disertai oleh penerangan dari Fahmi Reza sendiri setelah tamat tayangan.
Oleh kerana jam di telefon bimbit saya sudah menunjukkan angka 6.45pm, saya berhenti menikmati pameran-pameran unik penuh informasi itu. Ini adalah kerana saya sudah berniat tekad untuk berbuka puasa dengan hidangan kapitalis ‘Burger King’. Saya perlu lekas kerana waktu berbuka akan tiba sebelum pukul 7.00pm. Saya mempercepatkan langkah saya turun dari kompleks Annexe itu.
Dengan nafsu mutmainnah yang makin memuncak, tempo langkah saya dipercepatkan menuju ke restoran ‘Burger King’ yang terletak bersebelahan dengan Masjid Jamek Kuala Lumpur. Dengan air liur yang berjaya dikawal dari meleleh melepasi batasan bibir, saya mula beratur dan membuat pesanan. Ternyata, percaturan nekad saya pada hari itu kurang berkesan. Ketika azan sudah jelas berkumandang dari corong pembesar suara Masjid Jamek, saya masih lagi berdiri kaku menanti pesanan. Saya hanya berbuka dengan menelan air liur kelat yang terkumpul sahaja.
11 minit menanti, barulah pesanan selamat dihidang. Dengan sedikit keceriaan yang masih ada, saya mencari tempat yang agak terasing bagi membolehkan saya menikmati hidangan dengan penuh tekun dan tekad. Sambil makan, mata memerhatikan warga kota yang ramai dan sibuk berkeliaran di luar restoran. Mata juga liar-liar jinak memerhatikan gadis-gadis manis yang mengunyah comel ketulan burger meraka. Saya juga rancak menguyah, akan tetapi kunyahan saya tidak kelihatan comel langsung.
Setelah selesai makanan tanpa sisa baki, saya pun keluar dari restoran bertingkap besar itu. Dengan perut penuh dan berkocak-kocak bunyi air, saya mula berjalan kembali. Terperasan pula saya gerai penjual yong tau fu. Menyesal pula rasanya makan burger mahal tadi. Kan elok kalau saya makan benda itu sahaja, boleh la jimat sikit. Ya, memang jimat, lepas tu masuk hospital, padan muka! Terlupa pulak saya alah teruk dengan beberapa puak makanan laut. Naya sahaja nanti…
Fuh, kenyangnya ya Allah… Dah kenyang, baru teringat Allah. Saya terus melangkah menuju ke Masjid Jamek untuk solat Maghrib. Saya kena cepat kerana waktu Isyak pula hampir tiba. Andai saya dapat bayangkan betapa azabnya siksa bagi mereka yang melengah-lengahkan solat, pasti saya tidak selalu lalai sebegini. Tapi, saya bukannya sengaja lalai, Cuma terlambat pasal sibuk makan berbuka. Huh! Banyak la alasan… Menyampah pulak dengan kenyataan diri sendiri.
Selesai beriktikaf sendiri di rumah Allah, saya meneruskan perjalanan, menyusuri tebing sungai, kembali ke arah Pasar Budaya.
Memang pada niat asalnya saya ingin singgah ke kompleks Annexe, untuk menyaksikan tayangan Revolusi ’48. Akan tetapi, saya rasa risau tayangan akan tamat lambat, dan saya ketinggalan bas untuk pulang. Tak mengapa, revolusi boleh lain kali. Saya terus melangkah naik ke atas bas yang memang sudah agak lama saya tak sentuh pun. Selamat tinggal Pasar Budaya! Tata~
