Selasa, 23 Disember 2008

Menziarahi Kerabat Astena

16 Disember yang lalu, saya sudah siap mandi dan memberus gigi agak awal pada hari itu. Saya telah dipelawa untuk bersama-sama memeriahkan Kerabat Astena yang membuka gerai kelab di Medan Selera Upten.


Pokcik sudah bersiap dengan lebih awal. Pada jam 6pm, dia sudah siap menanti di gerbang kondominium bersama keretanya. Saya pun lantas bersiap dan turun kebawah. Keluar sahaja dari pintu lif, saya agak terkejut dengan kewujudan asap berkepul-kepul memenuhi segenap ruang. Saya agak cemas, adakah bencana kebakaran sedang berlaku?



Oh, rupa-rupanya hanya semburan nyamuk yang agak hebat sedang giat dijalankan. Ada kes denggi agaknya. Saya pun meneruskan perjalanan melangkah ke pintu gerbang.

Sampai sahaja di Uniten, saya melepaskan rindu dengan bertegur sapa dengan sahabat-sahabat yang masih aktif dalam Uniten, terutamanya ahli Kerabat Astena. Mereka sedang sibuk menghias gerai ibarat menghiasi pelamin untuk majlis persandingan.



Setelah solat Maghrib, saya mahu menyambung tugas menyibuk, menayang muka di gerai kelab. Akan tetapi, Paan telah menculik saya dan membawa saya ke Dewan Seri Sarjana (MPH) untuk menemani beliau bertemu dengan ahli-ahli dari Rumah Teater Astena. Saya juga agak teruja melihatkan agak ramai pelapis-pelapis baru untuk mewarisi Rumah Teater Astena.




Selesai perbincangan bersama Rumah Teater Astena, kami terus kembali ke Upten. Sampai sahaja, saya diajak pula Mastot untuk makan malam bersama. Kami pun menempah makanan dan duduk berbual sambil menanti makanan siap dimasak. Malang sungguh, agak lewat makanan siap. Tapi, tak mengapa, lebih banyak tempoh untuk kami berbual.


Selesai makan, saya dan Pokcik pun meminta diri untuk pulang, ini adalah kerana kami perlu pulang sebentar ke rumah saya di Gombak bagi mengambil segala barang-barang penting yang dengan sewenang-wenangnya saya tertinggal tempoh hari.. he he he he.

Tiada ulasan: