Isnin, 3 November 2008

Kelana Bujang di Pasar Budaya ( setelah “Belum Selesai” )

Hari Khamis 23 Oktober yang lalu, setelah mendapat status “Belum Selesai” dari penyelia projek saya, Puan Masyura, saya pun menghela nafas kelegaan berbau anggur muda. Kali ini, dapatlah saya menumpukan perhatian sepenuhnya untuk menghadapi perperiksaan akhir saya di Uniten. Ya, memang yang terakhir.. moga-moga jangan ada lah berlaku aral yang melintang… amin…



Tiba sahaja di bilik, senyuman kelegaan tadi masih terukir dibibir. Walaupun ini bermakna saya hanya akan tamat pelajaran pada semester hadapan, akan tetapi, saya sudah habis kesemua sukatan mata pelajaran yang memerlukan perperiksaan. Masih ada lebih kurang seminggu sebelum untuk saya menghadapi kertas pertama perperiksaan semester ini. Sedang asyik tersenyum, saya pun terbaring. Sedang asyik terbaring, saya memerhatikan kepulan awan di langit. Sedang asyik memerhati, saya terlelap…



Jam sudah menunjukkan pukul 4.00pm. Setelah terjaga, akal separa sihat saya mula ligat meminta-minta supaya atmosfera suasana bertukar segera. Saya memerlukan kelainan. Saya terus mengemas secara ala kadar untuk berkelana. Lantas, dengan angkuhnya saya memerintahkan Zul menghantar saya ke stesyen Komuter di Serdang.

Dalam perjalanan ke Komuter, saya mula merancang perjalanan.




Kali ini, saya menetapkan hala tuju saya supaya merayau di Pasar Budaya dan sekitarnya. Dalam perjalanan yang pendek itu juga, saya telah menetapkan untuk berbuka puasa dengan santapan dari Burger King. Terliur pula apabila teringatkan hidangan yang sudah amat lama tidak saya sentuh itu. Ya, tema perjalanan kali ini, “Anarkapitalis”



Setelah tiba di stesyen Serdang, saya membeli tiket ke stesyen Kuala Lumpur dan dengan rakusnya, merebut peluang masuk ke dalam gerabak tanpa mengira adab dan tata susila. Masuk, dan sebagai pakar yang kurang bertuah, saya dapat berdiri sambil sebelah tangan bergayut pada pemaut. Perjalanan menuju Kuala Lumpur tidak terasa lama, akibat khayal dengan dendangan lagu-lagu Radiohead, The Cure, Dashboard Confessional, Haste The Day, M.Nasir, Marsha AF4 dan pelbagai lagi yang diputarkan dari telefon bimbit saya.





Melangkah turun sahaja dari gerabak, saya mulakan langkah sambil tersenyum, menuju ke Pasar Budaya. Ya, senyuman saya dari tengahari tadi masih tidak pudar dari bibir mongel ini. Perjalanan diteruskan melalui lorong-lorong sunyi menuju ke Pejabat Pos Besar.


Hmm, terdapat satu kenangan di situ. Itu lah tempat pertama saya mencari kerja setlah saya tamat SPM pada 9 tahun yang lalu. Pengalaman manis mencari kerja itu masih terlekat di celahan sel otak saya.



Saya terkaget sebentar di hadapan bangunan Dayabumi. Saya masih teringat, itu lah tempat riadah kebanggaan abang sepupu saya yang saya kategorikan paling ‘rock’ ketika saya masih kecil, 15 tahun yang lalu. Saya cuba mencari peta daerah Kesultanan Gombak dari sfera hitam gergasi itu.



Perjalanan diteruskan lagi menerusi lorong-lorong sunyi dan menaiki jambatan menuju ke Pasar Budaya. Dalam perjalanan, sempat saya tatapi hasil seni stensil vandalisma dan contengan-contengan dinding yang tidak menyakitkan mata cantik saya.




Langkah berlalu, meninggalkan contengan menuju terus ke Pasar Budaya yang sudah agak lama tidak saya jejak dan lepak. Dalam tahun 2008, rasanya hanya 2 kali sahaja saya sempat menghabiskan masa lapang saya merayau dalam Pasar Budaya. Agak berbeza ketika zaman saya sekolah menengah dan di kolej dahulu.




Suasana dalam Pasar Budaya juga sudah terlalu banyak bezanya dan kesan evolusinya begitu drastik dalam tempoh 10 tahun. Sudah tiada lagi restoran mamak, sudah tiada lagi medan selera murah di tingkat 3, sudah tiada lagi lelaki-lelaki penyumbangleweng homoseksual yang senantiasa mencari mangsa di tandas tingkat bawah. Sudah muncul perniagaan-perniagaan “franchise” ala kapitalis bergaya seperti ‘Secret Recipe’ dan ‘Old Town White Coffee’. Terlalu banyak yang telah berubah dan berevolusi mengalahkan ular sawa bersalin kulit.




Saya tidak menghabiskan masa agak lama merayau dalam kompleks Pasar Budaya kerana saya mula terasa bosan dan mula meneruskan perayauan ke kompleks Galeri Annexe di bahagian belakang Pasar Budaya. Di sana, Festival Darurat sedang rancak berlangsung. Terdapat pelbagai persembahan dan pameran sudah siap terancang dan dijadualkan. Kali terakhir saya datang ke sini adalah ketika menghadiri “gig” yang turut disertai kugiran ‘Raja Singa’ dari Indonesia.




Saya naik ke tingkat atas untuk menikmati pameran. Saya memilih untuk menaiki lif kerana terdapat memori manis saya yang ada kena mengena dengan keujudan lif itu ketika saya masih di tingkatan 4, 10 tahun yang lalu.




Rupanya terdapat juga tayangan istimewa filem dokumentari terbaru arahan Fahmi Reza, Revolusi ’48 secara percuma pada malam itu jam 8.30pm. Ianya istimewa kerana turut disertai oleh penerangan dari Fahmi Reza sendiri setelah tamat tayangan.



Oleh kerana jam di telefon bimbit saya sudah menunjukkan angka 6.45pm, saya berhenti menikmati pameran-pameran unik penuh informasi itu. Ini adalah kerana saya sudah berniat tekad untuk berbuka puasa dengan hidangan kapitalis ‘Burger King’. Saya perlu lekas kerana waktu berbuka akan tiba sebelum pukul 7.00pm. Saya mempercepatkan langkah saya turun dari kompleks Annexe itu.




Dengan nafsu mutmainnah yang makin memuncak, tempo langkah saya dipercepatkan menuju ke restoran ‘Burger King’ yang terletak bersebelahan dengan Masjid Jamek Kuala Lumpur. Dengan air liur yang berjaya dikawal dari meleleh melepasi batasan bibir, saya mula beratur dan membuat pesanan. Ternyata, percaturan nekad saya pada hari itu kurang berkesan. Ketika azan sudah jelas berkumandang dari corong pembesar suara Masjid Jamek, saya masih lagi berdiri kaku menanti pesanan. Saya hanya berbuka dengan menelan air liur kelat yang terkumpul sahaja.



11 minit menanti, barulah pesanan selamat dihidang. Dengan sedikit keceriaan yang masih ada, saya mencari tempat yang agak terasing bagi membolehkan saya menikmati hidangan dengan penuh tekun dan tekad. Sambil makan, mata memerhatikan warga kota yang ramai dan sibuk berkeliaran di luar restoran. Mata juga liar-liar jinak memerhatikan gadis-gadis manis yang mengunyah comel ketulan burger meraka. Saya juga rancak menguyah, akan tetapi kunyahan saya tidak kelihatan comel langsung.



Setelah selesai makanan tanpa sisa baki, saya pun keluar dari restoran bertingkap besar itu. Dengan perut penuh dan berkocak-kocak bunyi air, saya mula berjalan kembali. Terperasan pula saya gerai penjual yong tau fu. Menyesal pula rasanya makan burger mahal tadi. Kan elok kalau saya makan benda itu sahaja, boleh la jimat sikit. Ya, memang jimat, lepas tu masuk hospital, padan muka! Terlupa pulak saya alah teruk dengan beberapa puak makanan laut. Naya sahaja nanti…


Fuh, kenyangnya ya Allah… Dah kenyang, baru teringat Allah. Saya terus melangkah menuju ke Masjid Jamek untuk solat Maghrib. Saya kena cepat kerana waktu Isyak pula hampir tiba. Andai saya dapat bayangkan betapa azabnya siksa bagi mereka yang melengah-lengahkan solat, pasti saya tidak selalu lalai sebegini. Tapi, saya bukannya sengaja lalai, Cuma terlambat pasal sibuk makan berbuka. Huh! Banyak la alasan… Menyampah pulak dengan kenyataan diri sendiri.



Selesai beriktikaf sendiri di rumah Allah, saya meneruskan perjalanan, menyusuri tebing sungai, kembali ke arah Pasar Budaya.



Memang pada niat asalnya saya ingin singgah ke kompleks Annexe, untuk menyaksikan tayangan Revolusi ’48. Akan tetapi, saya rasa risau tayangan akan tamat lambat, dan saya ketinggalan bas untuk pulang. Tak mengapa, revolusi boleh lain kali. Saya terus melangkah naik ke atas bas yang memang sudah agak lama saya tak sentuh pun. Selamat tinggal Pasar Budaya! Tata~



1 ulasan:

K.I.T.A berkata...

bob..ko tau kite paling suke
Pasar Seni a.k.a CM.
kalau cuti jer,kite suke ke sana.

CM dah jadi tempat lepak kite
sejak form 2 sampai sekarang.
Citenyer sebab kite nie pelajar
Tuisyen kasturi.

Dulu,lagi la..Mamak dekat guardian
tu da tau kite nak per."Teh tarik
dgn nasi lemak"

Rasa Tak Nak balik
Tengok abang-abang CM tu melukis.
lagi pun CM tu da jadi sebahagian
hidup kite.Banyak Memori.