Sabtu, 30 April 2011

Kisah saya dan bank: Dendam kesumat II

Kisah 2
Tahun 2007, saya sedang belajar di Uniten. Umur saya sudah hampir mencecah 25 tahun. Ketika ini saya lebih merendah diri dan agak bertanggungjawab. Kali ini saya sudah tidak meminta duit dari mak dan ayah. Saya hidup bergantung sepenuhnya dari baki PTPTN. Jadi saya adalah seorang yang paling jimat. Cuma sesekali, mak senyap-senyap memasukkan duit untuk saya. Kali ini saya adalah pengguna bank CIMB.

Hari itu, saya sudah kehabisan duit dan bekalan makanan (saya rajin masak juga). PTPTN masuk agak lambat semester itu. Dalam bank ada dalam 1-2 ratus lagi. Saya tidak gusar sangat kerana saya memang pandai berjimat. Jadi, setelah habis kelas, saya meminta sahabat saya, Pokcik menghantar saya ke bank untuk mengambil duit. Ketika itu, ATM CIMB yang berdekatan hanya ada di pusat latihan CIMB belakang Uniten.

Dengan ikhlas, saya mencucuk kad. Nasib saya malang, kad ditelan. Saya yang terdesak, mula panik dan hilang kawalan emosi. Lalu saya mengamuk sambil menumbuk mesin ATM itu berkali-kali. Akhirnya datang seorang pengatwal keselamatan bertanyakan masalah saya.

Pengawal keselamatan itu dengan sopan menyuruh saya menelefon talian bantuan yang tertera di dinding. Di dinding juga ada satu telefon berwarna putih tertera tulisan "KECEMASAN". Lalau saya ambil telefon putih, tekan punat "sambungan ke kecemasan". Tiada yang menjawab, lalu saya mengamuk lagi menekan-nekan punat dail sambil mendengus ibarat singa. 

"Bang, telefon tu tak boleh pakai, kena pakai telefon sendiri." Kata pengawal keselamatan itu lagi menenangkan saya.

Saya keluar dari ruang bank, dengan hati yang panas, menelefon bank. Bertambah panas hati kerana talian itu tidak percuma.

Akhirnya, pihak bank berkata kad akan dipulangkan ke cawangan di mana saya mendaftar bank dalam masa satu minggu. Dengan marah dan kecewa, saya masuk kembali dalam kereta Pokcik.

Alhamdulillah, Tuhan kurniakan saya sahabat bernama Pokcik meminjamkan saya duit untuk teruskan hidup selama seminggu.

Bersambung...

Tiada ulasan: