Memaparkan catatan dengan label bank. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bank. Papar semua catatan

Sabtu, 30 April 2011

Kisah saya dan bank: Dendam kesumat III

Kisah 3
Tahun 2011, baru sahaja berlaku petang tadi.

Saya, Idzuan dan Harry (rakan sepejabat) baru pulang dari kenduri Mimi (bekas rakan sepejabat) di Batu Gajah, Perak. Kami semua naik kereta Idzuan. Kami berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R) Tapah untuk kencing, solat dan minum. 

Saya hanya ada RM 4.00 dalam dompet. Setelah usai solat, saya pun singgah di ATM Maybank di kawasan R&R itu. Dengan niat yang ikhlas, saya mahu keluarkan duit beberapa ratus untuk kegunaan belanja dan juga hendak bayar duit main kutu-kutu bila pulang di rumah nanti. 

Percubaan mencucuk kad juga agak susah. Saya mula terasa tak sedap hati. Setelah beberapa kali cucuk baru kad masukKetika saya sedap melihat baki akaun, tiba-tiba datang seorang kakak menegur saya. 

"Dik, jangan pakai mesin tu! Dah 10 kad dia telan!"

"Haa?" Saya terpinga-pinga tidak faham.

"Kad akak dah kena telan tadi. dah 10 orang, kad dia kena telan. Batalkan cepat dik!" 

Saya yang agak terkejut lantas menekan butang 'BATAL'. Akan tetapi, malang datang menimpa. Kad saya kena telan juga.

"Akak terlambat nak bagitahu, ingatkan adik tak masuk kad lagi." Akak itu bercerita dengan wajah sugul. Ada beberapa brader-brader keliling juga berwajah sugul, mengatakan kad mereka kena telan.

"Cepat dik, telefon bank sekarang!"

Saya mula runsing kerana esok dan isnin adalah cuti umum. Saya makin panas hati kerana tiada apa-apa tanda atau notis mengatakan mesin itu rosak, padahal sudah 10 orang kad mereka kena telan. Saya yang panas hati, lalu mengangkat satu tong sampah dan meletakkan tong itu di hadapan mesin, supaya tiada orang lain kad tertelan lagi. 

Dengan marah, saya menelefon bank, sambil berlalu meninggalkan sekumpulan manusia malang itu. Walaupun marah, saya masih berhemah ketika menelefon. Tak ada gunanya marahkan operator telefon, masalah tidak akan selesai. Mereka bertugas membantu kita, jadi untuk apa kita marahkan mereka?

Panggilan terputus ketika saya menelefon. Saya tidak perasan Idzuan yang memanggil-manggil saya dari jauh. Maklumlah, saya lemah dalam multitasking. Lalu saya menghampiri tempat di mana Idzuan dan Harry sedang lepak minum. Harry menyuruh saya membeli minuman untuk menenangkan fikiran.

Kemudian, pihak bank menelefon saya kembali. Saya ada dua pilihan, sama ada menanti kad saya dipulangkan ke cawangan Cyberjaya dalam masa seminggu, atau pergi ke cawangan KLCC/Pavillion besok pagi untuk ambil kad baru. Akan tetapi, untuk ambil kad baru kena bayar RM12.00.

Memandangkan Ahad dan Isnin cuti umum, saya perlu ambil kad dengan segera untuk ambil duit. Gila apa cuti tak ada duit? Bil nak bayar, kereta nak bayar, kutu-kutu nak bayar, nak lepak berborak lagi, duit minyak lagi. Pakai duit semua tu. Bukan pakai sampah.

Jadi, esok pagi, saya akan naik tren pergi KLCC bawa kapak. Imej garang kena jaga.

Terima kasih Harry sebab belanja minum, terima kasih Idzuan sebab hantar saya balik sampai depan rumah.

Persoalannya, saya yang berdendam dengan bank, atau bank yang berdendam dengan saya?

klik untuk KISAH 1 & KISAH 2

Tamat...

Kisah saya dan bank: Dendam kesumat II

Kisah 2
Tahun 2007, saya sedang belajar di Uniten. Umur saya sudah hampir mencecah 25 tahun. Ketika ini saya lebih merendah diri dan agak bertanggungjawab. Kali ini saya sudah tidak meminta duit dari mak dan ayah. Saya hidup bergantung sepenuhnya dari baki PTPTN. Jadi saya adalah seorang yang paling jimat. Cuma sesekali, mak senyap-senyap memasukkan duit untuk saya. Kali ini saya adalah pengguna bank CIMB.

Hari itu, saya sudah kehabisan duit dan bekalan makanan (saya rajin masak juga). PTPTN masuk agak lambat semester itu. Dalam bank ada dalam 1-2 ratus lagi. Saya tidak gusar sangat kerana saya memang pandai berjimat. Jadi, setelah habis kelas, saya meminta sahabat saya, Pokcik menghantar saya ke bank untuk mengambil duit. Ketika itu, ATM CIMB yang berdekatan hanya ada di pusat latihan CIMB belakang Uniten.

Dengan ikhlas, saya mencucuk kad. Nasib saya malang, kad ditelan. Saya yang terdesak, mula panik dan hilang kawalan emosi. Lalu saya mengamuk sambil menumbuk mesin ATM itu berkali-kali. Akhirnya datang seorang pengatwal keselamatan bertanyakan masalah saya.

Pengawal keselamatan itu dengan sopan menyuruh saya menelefon talian bantuan yang tertera di dinding. Di dinding juga ada satu telefon berwarna putih tertera tulisan "KECEMASAN". Lalau saya ambil telefon putih, tekan punat "sambungan ke kecemasan". Tiada yang menjawab, lalu saya mengamuk lagi menekan-nekan punat dail sambil mendengus ibarat singa. 

"Bang, telefon tu tak boleh pakai, kena pakai telefon sendiri." Kata pengawal keselamatan itu lagi menenangkan saya.

Saya keluar dari ruang bank, dengan hati yang panas, menelefon bank. Bertambah panas hati kerana talian itu tidak percuma.

Akhirnya, pihak bank berkata kad akan dipulangkan ke cawangan di mana saya mendaftar bank dalam masa satu minggu. Dengan marah dan kecewa, saya masuk kembali dalam kereta Pokcik.

Alhamdulillah, Tuhan kurniakan saya sahabat bernama Pokcik meminjamkan saya duit untuk teruskan hidup selama seminggu.

Bersambung...

Kisah saya dan bank: Dendam kesumat I

Hari ini saya panas hati. Hari ini menggamit memori hitam saya, semenjak 11 tahun yang lalu, melalui 3 kisah.

Kisah 1
Tahun 2000, saya ketika itu masih belajar di Kolej Lagenda Langkawi. Kampus kami adalah sebuah chalet lama yang diubahsuai menjadi kolej. Terletak di Jalan Kuala Muda, berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. 

Ketika itu, saya adalah seorang yang boros dan kuat berbelanja. Jadi, tidak dinafikan saya selalu kehabisan duit belanja. Saya juga seorang yang tidak reti malu ketika itu, dan selalu meminta wang dari mak dan ayah bila duit habis. 

Zaman itu, saya tidak kenal bank lain. Saya adalah pelanggan tetap Bank Simpanan Nasional (BSN) dari darjah 6. Ketika itu umur saya sudah 18 tahun, tetapi saya masih tidak ada kad ATM. Saya akui, saya adalah seorang yang tidak begitu peka waktu itu. Bank BSN yang paling dekat adalah di Padang Mat Sirat. Kira-kira 2.5km dari Kolej. 

Hendak dijadikan cerita, hari itu duit saya sudah habis. Bekalan mi segera pun sudah habis. Jadi, saya yang manja dan mengada-ngada pun meminta mak memasukkan duit. Esok harinya, saya pun menanti mak memasukkan duit. Mak menelefon mengatakan ayah sudah memasukkan duit pada waktu makan tengahari. Lebih kurang pada jam 1.00pm. 

Lantas, saya pun siap dan mandi, sambil mengajak Hakim Penyu dan King Fendy. Dua rakan sebilik saya yang juga tidak ada duit. Kami berjalan kaki menuju ke BSN Padang Mat Sirat. Kami tidak naik teksi kerana kami tak ada duit. Di situ tiada bas.

Kira-kira pukul 3.30pm, kami pun sampai di BSN. Saya dan King Fendy terus masuk kedalam dan mengisi borang. King Fendy siap dahulu, dan beratur di kaunter. Malang buat King Fendy, rupanya ibu-bapa beliau tidak memasukkan duit lagi. 

Giliran saya pula di kaunter. Malang pula bagi saya, saya tertinggal kad pengenalan. Hendak patah balik? mesti tak sempat. BSN tutup pukul 4.00pm .Kami berdua keluar dengan seribu sumpahan dan carutan terkeluar dari bibir. King Fendy terjelepuk di bangku hentian teksi dengan senyum tawar. Saya sudah terbaring juga di hentian teksi dengan tangan di dahi, mata berkaca-kaca.

Paling malang, esoknya bank tutup dua hari sebab cuti umum. Saya lupa cuti apa. Akhirnya saya dan King Fendy pinjam duit Hakim Penyu seorang RM5.00 (Hakim bukan ada duit sangat, dalam bank hanya ada RM30), buat beli mi segera... Alhamdulillah Tuhan kurniakan kami Hakim Penyu.

Bersambung....