Isnin, 25 April 2011

Malang Tidak Berbau


Satu pagi burung berkicau riang. Unggas2 berterbangan dan berpasang pasangan. Begitu indah pagi itu terasa seperti ingin membuat lirik lagu. Aku bergerak perlahan menuju perhentian bas membawa beg. Sesambil itu, aku melihat jam tangan. Gelisah menunggu bas yang tidak kunjung tiba. Dalam keadaan fatamorgana, satu objek bergerak dengan laju dan berhenti tepat2 di depan aku. Tiba tiba......

“Woi! Nak pergi mana!?”   Suara tak merdu bergema , bingit kedengaran. Terperanjat beruk dibuatnya. Tak pasal-pasal aku memeluk tiang dan kedua kaki di atas bangku. Posisi yang agak mengaibkan jika terlihat oleh anak dara atau bakal ibu mertua. Aku masih terdiam terkejut.

“Kau nak pergi mana woi? Siap bawak beg?” Kali ini tidak lagi menggunakan pembesar suara. Tingkap objek itu diturunkan. Kelihatan Asan Longgok tersengih dengan kacamata senja tersangkut atas kepala. “Apa barang peluk tiang? Sunyi ke? Ahak ahak ahak!”

“Celaka kau Asan! Tak ada adab!” Aku memaki hamun sambil melegakan kembali otot yang masih kejang. Dasar remaja akhir zaman, tak reti jaga budi bicara. Tahun 2041 ni tak ramai dah yang rajin bagi salam dan bertanya khabar sebelum berborak.

“Nak pergi mana Din? Meh la aku hantar. Bas mogok la hari ni. Kerajaan nak tarik subsidi pakaian seragam." Asan Longgok beria-ia mengajak naik Kancil modified pemberian atuknya. Memang ganas betul modifikasi yang Asan longgok buat. Tayar jenis boleh masuk dalam. Popular betul  teknologi kereta terbang tanpa sayap sekarang. Mengalahkan teknologi kereta bersayap 15 tahun yang lalu. Masalah jem trafik sudah dapat dikurangkan. Cuma masalah udara jem udara sahaja yang kian meningkat.

Aku naik dengan kagum. Asan Longgok baru umur 23 tahun sudah ada kereta. Walaupun kereta antik pusaka. Aku yang sudah berumur 25 tahun ini masih belum mampu membeli kereta. Zaman ultracyber ini, gaji RM32,000 sebulan pun tak cukup, walaupun hidup bujang. Aku masih tak percaya cerita ayah yang gaji pertamanya ketika tamat ijazah pada tahun 2003 adalah RM1200 sebulan. Zaman ini, Rm1200 hanya cukup untuk beli sardin dua tin.

“Aku nak pergi Langkawi kejap, nak tutupkan akaun ayah aku. Dulu masa dia belajar sana ada bukak akaun”  Entah apa bodoh bank tu, tak boleh tutup cara online. Alasan dia, ayah aku dulu buat masa zaman belum ada online banking. Masih pakai buku. Jadi, mereka tak boleh ubah dalam sistem. Sistem kepala hangguk dia. Dah berpuluh tahun Malaysia maju, sistem pun tak boleh upgrade?

“Lepas pergi langkawi, kau ada plan tak?” Tanya Asan Longgok sambil menurunkan kacamata senja ke batang hidung.

“Tak ada, balik rumah terus kot. Kenapa?” Aku bertanya sambil pakai talipinggang keledar.

“Ok, tak apa. Ikut je lah.” Ujar Asan Longgok sambil masuk gear T (untuk terbang) dan kemudian tekan pedal minyak sampai mencecah lantai. Tak sayang enjin langsung. Mentang-mentang dapat kereta pusaka.

“Atuk kau tak marah ke kau modified Kancil dia sampai jadi macam ni?” Aku bertanya menghilangkan bosan. Asan longgok boleh pulak pasang lagu klasik Justin Bieber dalam kereta. Lagu tu pun aku cam sebab mak aku suka pasang senyap-senyap masa ayah tak ada. Ayah memang pantang dia dengar lagu pakcik tu. Sudah 4 keping pemain MP6 mini yang ayah campak ke sungai sebab terselit lagu Justin Bieber.

“Takpe, atuk aku tu dah 100 tahun umur dia. Mata tak nampak dah. Setiap kali aku balik, aku terus senyap-senyap keluarkan tayar sebelum masuk parking.” Habis sahaja Asan Longgok menjawap, kami sudah pun sampai di Langkawi. 5 minit dah sampai dari KL. Aku tak boleh bayang ayah cerita dulu dia naik bas 5 jam pun baru sampai Kuala Perlis. Belum naik feri lagi ke Langkawi. Sekarang pun Feri dah jadi hiburan kanak-kanak sahaja untuk keliling pulau.

Selesai urusan bank dan maki hamun tak puas hati, kami kembali naik kereta. Asan Longgok buka mulut bertanya. “Kau free kan? Jom ikut aku.”

“Ke mana?” Aku bertanya kembali. Asan Longgok ni bukan boleh dipercaya sangat, macam dua bulan lepas, kata nak pergi tengok wayang sekejap. Akhirnya meleret pergi main snuker dan tengok orang lumba haram.

“Sekejap je, pergi cari durian. Nenek aku nak buat tempoyak…” Asan Longgok terpalih arah. Matanya memandang dua gadis comel memakai baju ketat keluar dari bank.

“Cari durian? Kat mana?” Aku bertanya sangsi. Sudah susah nak dapat durian sekarang ni. Semenjak ada loji nuklear di Pahang, Industri durian negara kian pupus. Habis semua durian mutasi tak boleh makan. Tengok rupa pun dah takut. Kulit lutsinar, isi macam muntah kucing. Yang keturunan Musang King pun sudah jadi pelik. Warna hijau fluorescent. Industri tanaman durian menjadi industri terlarang.

Asan Longgok masih asyik memandang gadis berbaju ketat sambil merakam guna kamera kacamata. Mulut ternganga, telinga bergerak-gerak.

“Kat mana woi?!” Aku bertanya garang sambil mengkarate leher Asan Longgok. Asan kembali sedar ke persoalan.

“Kat Filipina la! Dekat sikit. Brazil jauh sangat. Takut lambat nanti.” Huh, Filipina jugak. Ini semua AFTA punya pasal.

“Cukup ke bahan bakar ni?” Aku soal bukan apa, aku malas nak tersadai tengah udara nanti. Kancil si Asan Longgok ni bukan ikut sangat spesifikasi keselamatan antarabangsa. Payung terjun pun beli pasar malam punya.

“Ada. Aku dah ready dari malam tadi.” Kata Asan Longgok sambil buka bonet belakang. Dia maksudkan dua guni kulit pisang. Semenjak saintis pencinta alam menjumpai teknologi menggantikan bahan bakar dengan kulit pisang terpakai, NGV pun sudah tidak laku. Petronas sudah mula perniagaan berasaskan pisang seperti kerepek dan cekodok. Petrol hanya digunakan oleh roket-roket persiaran ke planet lain.

“Isi seguni dulu, nak balik nanti baru isi seguni. InsyaAllah cukup.” Kata Asan Longgok sambil isi kulit pisang dalam tangki pembakar. Asan Longgok ini pun satu. Entah mana petua sesat dia pakai, tambah ubat gegat dalam tangki bahan bakar. Lagi jimat katanya.

Sambil itu, aku pun ambil telefon bimbit. Dengan pantas, aku muat turun passport masuk dalam telefon bimbit. Mana lah nak tahu nak pergi sampai Filipina, pasal tu biar je Passport tinggal tadi. Sempat juga aku guna Bluetooth masak nasi. Terlupa pagi tadi mak dah pesan sebelum pergi kursus haji. Nanti mengamuk pula ayah tak dapat nasi. Moden tetap moden, Melayu tetap melayu. Wajib makan nasi.

“Ok, lets go!” GPS diset, nama Mindanao ditaip. Dengan automatik kami memecut ke Filipina. Mindanao menjadi pusat utama pengeluar durian serantau Asia. Thailand sudah 12 tahun tewas. Semenjak kantui durian Siam banyak letak dadah.

Kali ini Aku yang mengawal radio. Aku memilih lagu dari album yang lebih fusion. Dewangga Sakti remix oleh DJ Cosmic Hahn, anak kepada Joe Hahn. Tergoyang-goyang lutut kami mendengar lagu. Lebih kurang sejam kemudian kami sampai ke Mindanao. Itupun sebab sangkut sekejap di imigresen. Lama juga kena soal sebab beg yang aku bawa ada tampal patches Hamas. Bila pegawai tu Tanya, aku ni teroris ke tak? Mana dapat beg ni? Aku pun cakap tak tahu. Itu pun beg Ayah aku masa muda dulu. Nasib baik aku lepas ujian sinaran kejujuran.

Sampai di Mindanao International Durian Market (MIDC) kami terus mencari durian yang sesuai dibuat tempoyak. Aku pun beli sedikit untuk makan di rumah. Dah terbayang dah, buat sambal tempoyak colek, makan dengan nasi panas, ikan goreng, pucuk ulam raja. Mak mesti suka. Dah lama tak dapat tempoyak asli ni. Tempoyak import yang ada di pasar Gombak itu banyaknya palsu. Banyak tambah gula dengan isi pisang. Dasar peniaga menipu.

Setelah membayar dengan cip kredit yang memang siap diimplan di lengan, kami pun mula menyusun durian dua bakul dalam Kancil Asan Longgok. Memang padatlah ruang tempat duduk belakang itu. Bau tak usah cerita. Berapa banyak ketulan gel nyah bau berperisa arang diletak pun masih tak dapat hilangkan habis bau durian. “Takpe, balik nanti aku spray perisa pandan pulak” Kata Asan Longgok yakin.

Sebelum pulang, kami isi dahulu tangki pembakar dengan baki kulit pisang yang ada. “Ada baki sikit ni.” Kata Asan Longgok.

“Aku nak singgah rumah kakak aku kejap boleh tak? Nak bagi sikit tempoyak ni. Kakak aku tak ada internet, tak boleh bagi pakai emel. “ Aku mintak izin Asan Longgok. Maklumlah, budiman. Tatasusila kena jaga.

“Kakak kau yang kat Damansara tu?” Asan Longgok serkap jarang.

“Tak, Kak Ain yang kat Meru, Klang.”

“Boleh, tadahal!” Asan Longgok mula hidupkan enjin. GPS di set kembali, ke arah destinasi rumah kakak aku. Kali ini Asan Longgok yang pilih lagu. Dia bantai dengar lagu yang lebih dan meleleh. Apa punya selera la zaman ultracyber ni layan Hujan? Dulu lain lah, diorang main rancak. Ni sekarang semua dah tua, lagu pun dah selera tua. Dato’ Noh tu pun dah mula nyanyi bisik-bisik sahaja. Lebih banyak bunyi kerincing dari bunyi gitar.

Tak sampai dua minit. Aku pun tertidur.

……………………………………………………………..

“Kita dah sampai ke weh? Apasal rumah akak kau lain macam? Bila akak kau bela gajah?” Suara tak sedap Asan Longgok memang berjawa membuat aku terjaga dari tidur.

“Kita kat mana ni? Macam lain je ni. Kau ni betul ke tak San?” Aku bertanya sambil tangan gosok-gosok mata.

“Betul la ni, aku sendiri pilih Meru tadi kat GPS nih!” Asan mula kurang yakin.

“Bak sini tengok GPS tu! “ Aku mencari kepastian sambil mencabut GPS dari cermin depan.

“KELEPAP!” Aku hentak belakang tengkuk Asan Longgok pakai siku. “Aku cakap MERU KLANG la!”

“Aku pilih MERU la tadi sial! Sakit la woi!” Asan Longgok mula mempertahankan fakta.

“Memanglah, ini Meru, tapi MERU KENYA! Bukan MERU KLANG! Itu lah, banyak lagi tengok benda lagha! Kan dah lembab otak!” Aku membebel sambil menunjal kepala Asan Longgok. Bahan bakar pun sudah habis.

“Mana kita nak cari kulit pisang?!” Semenjak Kenya menjadi negara metropolitan cyber, segala ladang-ladang tanaman digantikan dengan induk cybercities, pusat server dan koridor raya. Binatang seperti gajah dikekalkan sebagai lambang nasionalisma negara. Akan tetapi semua gajah hanya diberi makan guna pil. Segala bahan bakar organik hanya boleh didapati di sempadan negara.

Dengan peluh membasahi satu badan, kami menolak Kancil penuh durian ke sempadan Kenya.



3 ulasan:

KePOMPOM berkata...

aduih tergelak2 aku baca kat opis.. sebbaik seblah xde org

Haffis82 berkata...

jauh no menolak kancil sampai kenya?

Tanpa Nama berkata...

bro...cite lu sikit pnye ngarut tp mampu wak aku gelak....hahahaha...
kipidap!