Isnin, 19 April 2010

Hasutan Syaitan Tewas

Saya bangun pagi dengan kadar kemalasan yang menebal. Setebal selimut hangat yang membaluti tubuh. Pagi Isnin memang selalunya tidak memberangsangkan, kecuali Isnin hari raya.

Akan tetapi, mungkin kerana bakat, saya buka mata melawan hasutan syaitan.

Saya sengih kemenangan.

Bangun, lekas capai tuala, dan pergi mandi. Gosok gigi juga terasa amat mudah. Bersiap depan cermin, terasa lebih kacak dari hari-hari lain.

Baju yang disarungkan juga terasa cantik dan tak perlu digosok. Sekejap sahaja saya sudah siap lengkap untuk ke pejabat. Tak perlu lagi diiringi dengan lagu-lagu pembakar semangat seperti pagi-pagi sebelumnya.

Melangkah keluar dari bilik, berjalan tegak dan berlapang dada. Sekejap sahaja sudah sampai ke kereta. Masuk kereta, sekali pusing kunci sahaja, enjin sudah berderum bunyi gagah. Oh, minyak tinggal sedikit. Tak bergaya lah macam ni.

Saya memecut deras dengan memakai kacamata senja, menuju ke stesyen minyak kegemaran. Sampai sahaja, gadis manis penjaga kaunter tersenyum kepada saya. Pelik juga, tak perasan selama ini ada gadis semanis itu menjaga kaunter stesyen itu.

Saya mula untuk mengisi minyak. Saya ambil satu botol air mineral, buka tutup botol dan mula isi minyak.

Eh! Apa hal saya isi minyak dalam botol air mineral?!

Saya terkejut lalu buka mata.

Mimpi rupanya...

Kelam kabut sudah lambat. Pergi mandi, hampir terlanggar Pokcik yang sudah siap mahu pergi kerja.

Memang sah lambat hari ini!

Terbayang Syaitan tersengih puas...

2 ulasan:

..nOWa.. berkata...

melantong!

Linglung berkata...

keh keh keh..
syaitan memang menyusahkan hidup