Selasa, 6 April 2010

Menyendol Yang Kecundang

Petang itu saya ada mesyuarat di TTDI. Sepatutnya mesyuarat itu pagi, tapi sudah ditunda ke waktu petang sebab pihak pelanggan tiba-tiba ada hal lain.

Penat saya berangan untuk makan nasi di rumah Gombak waktu tengahari. Segala angan-angan hanya tinggal kenangan. Saya masuk pejabat awal, tanda protes. Masuk pejabat, semua kerja saya siapkan dengan rakus tapi rapi. Rakan sekerja saya tak berani kacau saya bila saya berwajah serius.

Tepat pukul 12, saya terus tegas ajak Pokcik dan Apis makan tengahari di kedai bawah pejabat. Terasa sangat angkuh dan dungu jika saya makan secara berseorangan. Kunyah nasi dan lauk agak laju kerana mengejar masa.

Selesai solat Jumaat, tak sempat bersalaman dengan jemaah kiri kanan, saya memecut deras menuju ke TTDI. Dengan satu set laporan bernilai RM 250,000 selamba saya sumbat dalam bonet Ben. Terasa sekejap sahaja sudah sampai ke TTDI.

Mesyuarat sepatutnya bermula pada jam 3.00 petang. Saya sampai awal 5 minit, dan terus ke pejabat pelanggan. Jumpa pelanggan, hantar laporan dan invois, bercakap pun apa yang perlu sahaja. Walaupun dalam hati ada niat kuat mahu berbual fasal cuaca Malaysia.

Mesyuarat ringkas dan padat. Tamat dalam masa hanya 15 minit. Saya suka sangat. Saya terus pecut deras ke Gombak sebelum jalan jem. Dalam perjalanan saya sempat mesej Shaz mengajak beliau menyendol.

Sampai di Gombak, saya hantar komputer riba dahulu ke rumah dan menghadap Ayahanda sebentar. Tak sempat duduk, saya terus keluar rumah untuk menyendol bersama Shaz. Hanya sempat mencabut kemeja. Apa kelas lepak menyendol pakai kemeja kerja?

Saya ikut jalan sukar menuju ke rumah Shaz. Shaz sudah siap wangi-wangi macam mahu pergi Disneyland. Saya memang tak segan dengan imej rock kontemporari bersederhana.

Kami bercadang mahu menyendol di Setiawangsa, kerana ada ura-ura menyatakan cendol dan rojak di sana antara yang terbaik di pasaran. Untuk tidak buang masa, kami siap ikut jalan yang ada tol.

Dalam perjalanan, hujan turun dengan sangat lebat. Aduh! Terbatal niat murni mahu menyendol. Lampu dipasang kerana saya memang lemah bab memandu dalam hujan lebat. Kami mengalih haluan ke Wangsa Walk kerana saya tak pernah pergi sana. Hendak melawat kawasan baru lah gamaknya...

Sampai ke dalam Wangsa Walk yang indah rupa dari nilai itu, Shaz mengidam mahu makan kek. Kami pun masuk ke sebuah kedai kek yang terkemuka. Memang terkenal bagi warga urban. Saya jarang pergi. Shaz memesan sepotong kek dan secawan kopi. Saya minum satu air coklat sejuk ada krim berharga RM 7.50. Mentang-mentang gaji masih baru masuk, memang tak berkira ketika memesan. Lagipun, hari itu Shaz bermurah hati belanja saya.

Selesai makan dan mengumpat, kami merayau pusing-pusing cuci mata. Tapi kekurangan gadis di Wangsa Walk menyebabkan saya lebih cenderung untuk berjalan sambil berborak sahaja. Puas merayau, kami pun mahu melangkah pulang ke ibubapa masing-masing.

Keluar sahaja dari kompleks Wangsa Walk, Shaz bersuara terkejut tapi merdu.

"Eh, lampu kereta tak tutup!"

Saya mula tak keruan.

Aduh! Aduh! Aduh!

Ben merajuk, lalu tak mahu hidup. Jumper pun tak ada. Abang pengawal keselamatan yang prihatin hanya dapat membantu berbual dengan saya.

Saya telefon Fadhil.

Sebagai jaguh rempit sejati, Fadhil datang dari pejabat beliau di Bangsar dalam 25 minit di waktu puncak.

Akhirnya, mekanik terpaksa dipanggil. Terbang RM25. Saya hantar Shaz pulang dengan lewat dan redha...

Tiada ulasan: