Memaparkan catatan dengan label Ben. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ben. Papar semua catatan

Khamis, 21 Oktober 2010

Solidariti Kancil

Satu pagi di tahun 2009

"Kau dah nak pergi kerja?"
Suara Pokcik yang baru keluar dari bilik dan masih belum gosok gigi, menegur saya yang sedang mengamati wajah sendiri di hadapan cermin.

"Ha'ah.."
Puas mengamati struktur kesempurnaan wajah, saya memasukkan baju ke dalam seluar gaya kemas. Seluar saya rendahkan ke bawah pusat. Biar terselit di bawah lipatan perut, asal tidak nampak terlalu skema di mata masyarakat.

"Gerak dulu Cik!"
Pokcik ditinggalkan sepi di dalam bilik mandi. Harap-harap dia tidak sambung tidur. Saya masih mentah dalam bidang pemanduan ke pejabat. Jadi saya bergerak agak awal dari rumah. Dengan lafaz bismillah disulam tiga kali takbir, tiga kali solawat, enjin kereta pun dihidupkan. Setelah lagu Breakfast at Tiffany's diputarkan, pedal minyak BEN pun ditekan sopan.

Saya memandu dengan kelajuan bawah paras had laju kebangsaan, akibat masih kekok memandu. Maklumlah, sudah hampir 5 tahun tidak memandu, masih belum ada keberanian penuh. saya memandu tenang di lorong tengah di lebuhraya.

Tiba-tiba muncul satu perasaan kurang senang. Oleh kerana mempercayai daya intuisi, saya menjeling ke arah cermin pandang belakang. Ada satu kereta import mencucuk rapat dari belakang.

Saya pun menambah kelajuan, kerana menyangka bahawa saya memandu terlalu perlahan. Semakin laju saya bawa, semakin rapat kereta itu mencucuk. Apa masalahnya? Padahal saya di lorong tengah. Jadi, sebagai pemandu berhemah, saya pun masuk ke lorong kiri yang kosong..

Setelah selamat di lorong kiri, saya memerhatikan kereta yang laju mencucuk tadi. Masih laju nampaknya. Di belakang kereta itu, saya perasan satu kelibat kereta kancil warna biru pekat. Wajah pemandunya cukup saya kenal. Dengan selamba, siku kanan terkeluar dan memetik abu rokok, berambut kerinting, Pokcik mencucuk kereta yang mencucuk saya tadi. Saya tersengih girang sambil tangan kanan menunjukkan isyarat ibu jari "bagus". Dendam dibalas tunai.

"Geram aku tengok mamat tu cucuk kereta kau sial. lorong tengah pulak tu"
Bicara Pokcik ketika kami makan nasi menghadap tv malam itu. Jangan main-main dengan solidariti kami. Haha...

Oh ya, Pokcik sudah ada blog sendiri akhirnya.. cuba klik sini..



Selasa, 6 April 2010

Menyendol Yang Kecundang

Petang itu saya ada mesyuarat di TTDI. Sepatutnya mesyuarat itu pagi, tapi sudah ditunda ke waktu petang sebab pihak pelanggan tiba-tiba ada hal lain.

Penat saya berangan untuk makan nasi di rumah Gombak waktu tengahari. Segala angan-angan hanya tinggal kenangan. Saya masuk pejabat awal, tanda protes. Masuk pejabat, semua kerja saya siapkan dengan rakus tapi rapi. Rakan sekerja saya tak berani kacau saya bila saya berwajah serius.

Tepat pukul 12, saya terus tegas ajak Pokcik dan Apis makan tengahari di kedai bawah pejabat. Terasa sangat angkuh dan dungu jika saya makan secara berseorangan. Kunyah nasi dan lauk agak laju kerana mengejar masa.

Selesai solat Jumaat, tak sempat bersalaman dengan jemaah kiri kanan, saya memecut deras menuju ke TTDI. Dengan satu set laporan bernilai RM 250,000 selamba saya sumbat dalam bonet Ben. Terasa sekejap sahaja sudah sampai ke TTDI.

Mesyuarat sepatutnya bermula pada jam 3.00 petang. Saya sampai awal 5 minit, dan terus ke pejabat pelanggan. Jumpa pelanggan, hantar laporan dan invois, bercakap pun apa yang perlu sahaja. Walaupun dalam hati ada niat kuat mahu berbual fasal cuaca Malaysia.

Mesyuarat ringkas dan padat. Tamat dalam masa hanya 15 minit. Saya suka sangat. Saya terus pecut deras ke Gombak sebelum jalan jem. Dalam perjalanan saya sempat mesej Shaz mengajak beliau menyendol.

Sampai di Gombak, saya hantar komputer riba dahulu ke rumah dan menghadap Ayahanda sebentar. Tak sempat duduk, saya terus keluar rumah untuk menyendol bersama Shaz. Hanya sempat mencabut kemeja. Apa kelas lepak menyendol pakai kemeja kerja?

Saya ikut jalan sukar menuju ke rumah Shaz. Shaz sudah siap wangi-wangi macam mahu pergi Disneyland. Saya memang tak segan dengan imej rock kontemporari bersederhana.

Kami bercadang mahu menyendol di Setiawangsa, kerana ada ura-ura menyatakan cendol dan rojak di sana antara yang terbaik di pasaran. Untuk tidak buang masa, kami siap ikut jalan yang ada tol.

Dalam perjalanan, hujan turun dengan sangat lebat. Aduh! Terbatal niat murni mahu menyendol. Lampu dipasang kerana saya memang lemah bab memandu dalam hujan lebat. Kami mengalih haluan ke Wangsa Walk kerana saya tak pernah pergi sana. Hendak melawat kawasan baru lah gamaknya...

Sampai ke dalam Wangsa Walk yang indah rupa dari nilai itu, Shaz mengidam mahu makan kek. Kami pun masuk ke sebuah kedai kek yang terkemuka. Memang terkenal bagi warga urban. Saya jarang pergi. Shaz memesan sepotong kek dan secawan kopi. Saya minum satu air coklat sejuk ada krim berharga RM 7.50. Mentang-mentang gaji masih baru masuk, memang tak berkira ketika memesan. Lagipun, hari itu Shaz bermurah hati belanja saya.

Selesai makan dan mengumpat, kami merayau pusing-pusing cuci mata. Tapi kekurangan gadis di Wangsa Walk menyebabkan saya lebih cenderung untuk berjalan sambil berborak sahaja. Puas merayau, kami pun mahu melangkah pulang ke ibubapa masing-masing.

Keluar sahaja dari kompleks Wangsa Walk, Shaz bersuara terkejut tapi merdu.

"Eh, lampu kereta tak tutup!"

Saya mula tak keruan.

Aduh! Aduh! Aduh!

Ben merajuk, lalu tak mahu hidup. Jumper pun tak ada. Abang pengawal keselamatan yang prihatin hanya dapat membantu berbual dengan saya.

Saya telefon Fadhil.

Sebagai jaguh rempit sejati, Fadhil datang dari pejabat beliau di Bangsar dalam 25 minit di waktu puncak.

Akhirnya, mekanik terpaksa dipanggil. Terbang RM25. Saya hantar Shaz pulang dengan lewat dan redha...

Khamis, 25 Mac 2010

Ayah dan Ben


Ayah memang kamcing dengan Ben.

Kalau ada Ben, memang Ayah macam ada geng baru.

Pergi masjid waktu Subuh bawa Ben, pergi ronda kampung bawa Ben, pergi kenduri bawa Ben, pergi kedai pulut bawa Ben, pergi pejabat Penghulu bawa Ben, pergi jumpa YB bawa Ben, pergi jumpa Pak Ayem pun bawa Ben.

Pergi mesin rumput sahaja tak bawa Ben. Sebab perut Ben kecil.

Nak bawa anak sulung dia? Nak kejut pagi pun susah.


Gambar : Ben tolong ayah bakar sampah

Jumaat, 8 Januari 2010

Kronologi hiburan bunyi-bunyian dalam Ben

Ketika majlis penyerahan kuasa Ben ke tangan saya, saya dapat Ben dalam keadaan yang agak sunyi. Radionya boleh hidup, tapi hanya mengeluarkan bunyi yang seakan-akan cuba berinteraksi dengan makhluk asing dalam filem hollywood.

Untuk memecah kesunyian dan mengelak dari berinteraksi dengan makhluk asing, saya menyanyi sendiri. pelbagai lagu yang saya nyanyikan dengan lirik yang berterabur dan pelbagai rentak. Nak bersiul, saya tak reti. Alhamdulillah saya tak reti bersiul. Kalau tidak, saya juga mungkin menjadi pemangkin dalam kemarakan api neraka. Masa saya sekolah rendah dahulu, ustazah ada cakap bersiul itu amalan iblis, dan setiap siulan akan menyemarakkan api neraka.

Setelah saya semakin bijak, saya menggunakan telefon bimbit saya untuk memutarkan lagu. Nasib baik telefon bimbit saya ada pembesar suara yang hebat dan lagu dalamnya bersepah-sepah. Hilang sedikit kesunyian. Dengan telefon diletakkan di atas papan pemuka, dan dipasang kuat-kuat. Boleh lah, daripada dengar bunyi ekzos sahaja. Bunyi ekzos dah lah majam enjin kapal terbang. akan tetapi, bateri telefon bimbit saya akan cepat habis.

Saya semakin bertuah, apabila saya bangun pagi di suatu tengahari yang terik, Ayah bawa Ben pergi mana entah, saya pun tak beberapa periksa. Bila Ayah pulang, tahu tahu Ben sudah ada bunyi. Ben sudah dilengkapi dengan radio yang juga boleh main CD. Memang seronok tak terkata. Setiap kali pergi pasaraya atau pasar malam, mesti beli CD lagu yang murah-murah. Macam tak percaya ada jual CD lagu Radiohead dengan The Cure RM 1.00 sekeping. Tapi album yang merepek lah. Tak sampai sebulan, saya sudah ada koleksi 20 keping CD.

Setelah bosan dengan hanya radio dan putaran lagu dari CD, saya mula rindu pada koleksi-koleksi MP3 saya. Lalu, hasil ketekunan saya menyimpan wang, saya berjaya membeli sebuah modulator FM pemain MP3 yang paling murah di pasaran! Wah!




Saya beli juga sebuah pemacu kilat berkapasiti 2 gig bagi dipenuhkan dengan pelbagai lagu kesukaan saya.

Dari Malaysia ada Search, Wings, BPR, Amy Mastura, Butterfingers, Senario, Raihan, Salih Yaakob, M.Nasir, Sicksiderz, Zainal Abidin dan pelbagai lagi.

Dari Indonesia antaranya ada Dewa19, Gigi, Opick, Padi, Marjinal, Ari Wibowo, Ari Lasso, Meggy Z, Nike Ardilla, Kuburan, Agnes Monica, Amigos, dan tidak ketinggalan Ebet G Ade.

Dari negara orang putih pula ada wakil dari Weezer, The Cure, Radiohead, Silverstein, Bullet For My Valentine, The Misfits, Fall Out Boy, Tupac, Comeback Kids, From Autumn To Ashes, dan ada lagi banyak yang tak pernah dengar di radio Malaysia. Memang berterabur selera saya jika cerita bab muzik kan?

Memang syok betul apabila sambil memecut, sembil berduet dengan Ben menyanyi lagu Derap Komando kuat kuat dengan tangan mengetuk stereng macam ketuk drum.... Perghh!

Isnin, 30 November 2009

Saya dan Ben


Dahulu saya adalah pejalan kaki yang tegar.
Berjalan kaki dengan saya memang terlalu kamcing ibarat bersaudara.
Tidak terniat langsung untuk saya memandu kereta, apatah lagi memiliki sebuah kereta.

Akan tetapi, semenjak saya bekerja di Kota Cyber, semuanya mula berubah sedikit demi sedikit.

Daripada saya diangkut gadis gadis, sekarang saya pula yang membawa gadis gadis termasuk para jejaka merayau.

Kalau dahulu, menaiki kenderaan awam sudah seperti darah daging walaupun tak ngam, tapi sekarang hendak menaiki kenderaan awam pun hampir kekok.

Kalau dahulu saya tidak hairan langsung mengenai harga minyak, sekarang stesyen minyak pun saya memilih. Siap ada kad keahlian.

Semuanya gara-gara Ben.

Ben adalah kenderaan rasmi kepada para pelopor Kultus Haram Teratai Hitam, dan saya warisi dari penjagaan Bendahari Agung Amir Azizi.


Dibayarkan penuh oleh Ayahanda :)

Biasalah, masih papa asal bergaya kan?