Memaparkan catatan dengan label suasana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label suasana. Papar semua catatan

Khamis, 29 Oktober 2009

Pernahkah saya kawin dengan makcik anda? Bahagian 1

Hari itu saya pulang agak awal dari tempat kerja. Sengaja saya pulang awal kerana malam itu saya sudah ada latihan kugiran. Jika saya lambat, nanti pemain drum saya marah. Kalau dia yang lambat tak mengapa.

Setelah selesai saya meletak Ben di tempat biasa, saya pun berjalan kaki menuju ke rumah. Agak jauh juga saya berjalan dan terpaksa menaiki tangga bukit, tapi saya tidak kisah kerana seronok memerhati alam sekitar dan menghirup udara petang. Boleh juga keluar peluh sedikit bagi menyesuaikan diri dengan gaya hidup eksekutif sihat.

Untuk sampai ke rumah saya, saya naik lif dan tekan butang nombor 14. Sampai sahaja tingkat 14, terdengar riuh kanak kanak bermain basikal di koridor. Saya tak marah. Biarlah kanak-kanak itu bermain di koridor. Dengan kadar jenayah melampau sekarang ini, kadangkala lebih elok biarkan kanak-kanak bermain di kawasan yang mudah untuk kita perhatikan.

Lagipun, memang elok kanak-kanak yang sedang menjalani tempoh pembesaran untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti sihat seperti bermain basikal dan berlumba lari. Otak mereka akan lebih cerdas dan badan mereka akan lebih sihat. Usah dibiarkan kanak-kanak terlalu manja di dalam bilik berhawa dingin bermain komputer dan permainan video. Silap-silap mereka akan menonton porno bersama kawan kawan sebaya. Ini lebih bahaya.

Sambil berjalan menuju pintu rumah, saya tersenyum melihat gelagat kanak-kanak itu bermain basikal di koridor. Memang seronok ketika masih kanak-kanak. Tak perlu nak fikir banyak. Yang penting bergembira.

Ketika saya membelok untuk membuka pintu pagar rumah, tiba tiba...

"Skreeeekkkk!!"

Bunyi brek kecemasan. Seorang kanak-kanak hampir melanggar saya dengan basikal.

Saya agak terkejut, lalu memandang kanak-kanak itu.

"Isyhhh.. Sibuk lah uncle ni!"

Kata kanak-kanak itu sebelum beredar.

Biadap punya budak! Tak lama lagi mesti jadi mat rempit hisap gam. Rasa nak hentak kepala budak itu ke dinding.

Kurang ajar panggil saya 'uncle'.


Ahad, 17 Mei 2009

Pasar malam penuh aksi, cinta, drama dan tragedi

Senja Selasa itu saya masih buat-buat sibuk di depan komputer.

Tiba-tiba Hawa masuk bilik saya, dah siap mandi. Selalunya susah nak tengok dia mandi kalau dia tak kerja.

"Jom pergi pasar malam. Nak beli yong tau fu"

Pasar malam? Saya sudah mula terbayangkan air jagung. Bukan kerana air jagung tu yang best sangat, tapi gadis yang menjual air jagung. Untung-untung hari ini hati gadis yang menjual air jagung itu terbuka untuk meminang saya sebagai kekasih sehidup semati.

"Ok! Lepas Maghrib kita pergi."

Saya lantas mencapai tuala dan pergi mandi. Sambil mandi saya menyanyi terjerit-jerit sebelum Mak menjerit marah saya dari dapur. Ada ke patut maghrib-maghrib melalak?

Lepas mandi, saya pun pakai seluar sukan dan t-shirt hitam. Sesuai betul dengan gaya jejaka penganggur yang berjalan kaki ke pasar malam. Walaupun Mak selalu marah saya pakai baju hitam. Senang kena langgar Mak kata.

Sampai sahaja di tapak pasar malam, sepert biasa, kena berjalan satu pusingan lengkap dahulu, memerhatikan sasaran dan mangsa-mangsa yang bakal diterkam. Banyak juga lah yang dah ada dalam senarai sasaran saya. Murtabak, kebab, rangka ayam, dan yang sewaktu dengannya.

ketika saya dan Hawa sampai ke selekoh yang terakhir pasar malam, tiba tiba terdengar bunyi orang berlari dan bertekak.

Betul-betul bila saya sampai di hujung jalan, tiba-tiba seorang makcik berumur yang sedang membeli air minuman dirempuh oleh seorang lelaki muda yang sedang berlari laju. Di tangan pemuda itu kelihatan ada banyak kepingan duit.

Semua berlaku begitu pantas.

Saya sempat membuka langkah silat. Saya melompat dua langkah ke belakang. Pemuda yang melanggar itu terus lari menyelinap pantas melintas jalanraya yang sibuk. Ada beberapa orang mengejarnya. Tapi macam tak dapat.


Makcik itu terlentang dan terbaring diam

Pemuda itu tidak berseorangan rupanya. Seorang kawannya yang berlari bersama sudah dikepung. Berlaku aksi seperti dalam siri gusti. Siap ada aksi 'Walls Of Jericho'. Betul-betul macam WWF Smackdown. Walaupun lelaki yang dikepung itu sebesar tubuh The Rock, tapi akhirnya dia tumbang. Macam mana tak tumbang, dah 5 orang lawan satu. The Ultimate Warrior pun boleh demam. Setelah pemuda itu tumbang, dia turt diterajang berkali-kali. Begitu ganas situasi ketika itu.

Saya hanya memerhati dari tepi. Kalau dulu, mungkin saya sudah masuk campur. Tapi saya sudah lama berhenti dari kerja Suria Perkasa Hitam. Saya malas nak masuk campur kerana tak tahu pihak mana yang betul atau salah. Entah-entah nanti ada pistol ke, pisau ke, kerambit ke, jarum dadah ada HIV positif ke. Saya bertindak dengan akal. Lagipun saya bawa Hawa.

Orang kelam kabut menyaksikan pergaduhan, terlupa mengenai makcik yang terlentang tadi. Makcik itu masih terlentang . Lebih menakutkan, kepala makcik berdarah. Banyak pula tu. Mengalir membasahi jalan. Orang ramai mula berkerumun mengelilingi makcik itu.

Pemuda tumbang itu mula digari dan diangkat berdiri. Lah, polis rupanya yang menangkap. Ada 2 orang polis berpakaian preman. Sungguh saya tak sangka mereka polis. Muka masing-masing macam Mat rempit je. Siap pakai topi jaring dan beg lilit pinggang. Misai pun tak ada. Siap ada gelang perak. Polis - polis itu membawa lelaki itu pergi sambil lelaki itu terjerit-jerit

"Woi! Kalau berani bukak gari ni! Kita fight one by one!"

Kepala hotak dia. Ya, semua berlaku dalam keadaan yang sangat pantas.

Oh ya, apa cerita makcik tadi?

Masih ramai mula mengkerumuni makcik yang terbaring diam itu. Ramai hanya menyibuk. Saya tidak dapat masuk untuk tolong kerana sudah ramai yang berdiri sekeliling sambil berkata. "Kenapa? Kenapa?"

Akhirnya seorang lelaki berkopiah, berumur lingkungan 40 tahun tiba, dan berkata "ini mak saya!"

Anak makcik itu menangis, mengangkat makcik itu dibantu oleh 2 lagi pemuda. Saya hanya nampak sehingga itu, dan kembali membawa hawa membeli apa yang patut dibeli.

Akhirnya saya pulang dengan hanya membawa seekor ayam rangka dan segelas coconut shake. Hawa memborong seguni yong tau fu.

Setelah sampai di rumah, baru saya sedar saya terlupa singgah di gerai air jagung.

"Cheiss!" Berbunyi dari mulut saya yang berminyak.

Selasa, 5 Mei 2009

Air oren memang sedap

Petang itu, setelah selesai menghantar buku hijau projek akhir tahun di Uniten, saya tidak terus pulang ke rumah.

Saya berhenti di dahulu di ibukota untuk merayau-rayau melihat alam dan manusia. Teringat pula subjek Alam dan Manusia yang saya belajar di sekolah rendah dahulu. Saya tak pernah dapat A subjek itu. Nasib baik subjek itu tidak termasuk dalam UPSR.

Agak panas terik pada hari itu. Memandang ke langit pun saya tak mampu. Begitu terik menyebabkan saya terus masuk ke dalam Pasar Budaya. Menjemah penghawa dingin senafas dua. Saya tewas dengan pemanasan global pada hari itu.

"Balik rumah je lah. Bosan pulak" Saya bercakap dengan diri sendiri

Tiba-tiba, tekak saya gatal nak minum air oren. Mungkin tekak saya kurang vitamin C. Kalau gatal nak minum oren biasa sahaja, tak apa. Boleh sahaja beli di tepi jalan. Tapi gatal mengada-ngada nak minum air oren tanpa campuran. Masam dan menyegarkan. Ibarat datang terus dari ladang.

Kalau macam itu, baik saya makan buah oran sahaja. Akan tetapi, Pasar Budaya bukan seperti pasar lain. Memang tak ada jual buah saya nampak. Apa tah lagi buah oren. Jadi, saya pun merayau-rayau mencari jus oren yang sudah sedia untuk diminum.

Saya malas nak beli fresh oren yang di restoren. Pasal takde la se fresh mana pun. Selalunya mesti tambah gula dengan air masak. Tak pun air paip. Ada kedai yang pernah saya lihat dia tambah perisa oren.

Terus merayau, mencari-cari kedai yang ibarat kedai runcit, dan juga ada jual air minuman. Sekali saya terjumpa satu kedai akhbar yang ada jual air. Saya terus pergi dekat peti ais yang berair-air pintu kaca dia. Memang menggiurkan. Saya masuk meneliti pilihan yang ada.

Tiba-tiba saya ternampak satu kotak air oren berwarna putih.

"100% jus oren asli" "tanpa gula" "tanpa pengawet"

Saya terus percaya. Kalau dia menipu, dia akan masuk neraka. Saya lihat harga dia. RM 2.00 untuk 250 ml. Huh?! Memang tak sesuai langsung dengan gaya hidup jimat saya. Tapi, apabila memikirkan mungkin itu harga yang patut saya bayar untuk keaslian, jadi saya tekad, redha dan tabah.

Saya bayar di kaunter, dan terus keluar dari Pasar Budaya, dan terus naik bas Metro. Dalam bas, saya terus mengecapi nikmat air oren tersebut. Memang asyik. Tenggelam terus lagu dangdut yang sedang berkumandang. Minum oren segar, sambil memerhati kota dari tingkap bas. Memang berkualiti estetika. Tak sia-sia rasanya bayar RM2.00.

Malam tadi, saya teman Hawa mencuci gambar di Greenwood. saya pun masuk ke 7-11 untuk membeli barang sedikit. Sekali, saya ternampak kotak air yang sama, dan jenama yang sama, saiz yang sama. Pintu kaca peti ais itu pun sama berair-air. Saya lihat harga pada kotak air itu.

RM 1.20

"Cheeiisss!!" Saya tumbuk keropok Mr Potato di rak berdekatan. Saya sudah menjadi mangsa kapitalis.


Ahad, 22 Mac 2009

Selipar , shushi dan sterika

"Mana?"

Satu mesej masuk, ditujukan oleh Cicak.

Mesej itu menandakan masuknya waktu dia bosan, atau akan datang ke rumah saya, atau mengajak saya keluar, atau meminta bantuan.

"Ada kat rumah" Saya jawab.

"Apa plan?" Cicak tanya lagi.

"Jom, kacau Amir." Saya lontarkan cadangan.

"Aku balik mandi kejap."

Oh, Cicak terus dari tempat kerja rupanya. Saya terlupa petang itu adalah petang Jumaat. Bermakna, kalau kami tiada hal, kami akan bermesyuarat Jumaat di Jalan Malinja. Saya pun siapkan segala kerja awal, mandi dan selesaikan segala yang tertunggak.

Selepas Isya', Cicak muncul. Tersengih-sengih.

"Pinjam selipar... Selipar aku kena curik siut..."

Tak senonoh punya budak, ada ke patut datang rumah orang berkaki ayam. Nasib baik naik kereta. Lalu saya bagi Cicak pakai pakai selipar ayah saya. Sebab selipar simpanan saya sudah dikebas Rasyid, sepupu saya. Dia bawa ke Melaka.

Dengan selipar ayah saya, kami mula bertolak ke Jusco Setiawangsa, tempat Amir bekerja.

"Aku ingat nak beli sterika lah, nanti dah kawin kena gosok baju." Cicak cakap.

"Haa, elok lah tu, jangan lupa beli selipar sekali.. haha" Saya balas.

Dalam perjalanan, seseorang menelefon Cicak.

"Kawan lama aku call, Kak Ogy, mintak amik dia kat Bukit Bintang."

Apalagi, kami memang pantang bab rayau-merayau ni. Lalu, kami terus bergerak untuk mengangkut Kak Ogy, teman lama Cicak di Bukit Bintang. Gaya mengejar masa, ibarat lelaki buas mencari kupu-kupu malam di Bukit Bintang. Ibarat sahaja tau...

Setelah mengangkut Kak Ogy, kami bergegas untuk menyerang Jusco tempat Amir kerja.

Sudah pukul 10.15... Memang sesuai jika kami mahu membeli makanan pelik-pelik di sana. Maklumlah, makanan seperti roti, kuih, dan sushi biasanya dijual dengan potongan harga yang memuaskan nafsu selepas jam 10.00pm.

Sampai sahaja, kami terus menyerang bahagian makanan pelik-pelik tanpa memberi tabik hormat pada Amir sebagai penjaga kawasan. Oh, kami agak terlambat, kerana banyak makanan yang sudah habis. Melihat pada kaunter sushi, seperti menyelerakan.

Tapi, kali ini saya tidak akan percaya pada nafsu mata. Ini adalah kerana saya sudah beberapa kali hampir termuntah kerana makan sushi. Bukan kerana makan banyak, tapi kerana tidak tahan dengan rasanya. Mual beb. Mungkin kerana saya tidak berdarah Jepun. Atau saya berketurunan pendekar yang bangkit menentang penjajah Jepun satu masa dahulu.

Cicak yang konon-kononnya berdarah separuh kaukasian, mengambil sebekas salad kentang dengan potongan harga 30%. Saya tak berani, kerana ternampak ada potongan-potongan daging ketam dalam salad itu.

Amir pun muncul melihat perangai kami yang kekampungan itu. Kami seperti biasa, bising apabila bertemu, seperti Jusco itu kami yang punya. Bukan ibubapa kami yang punya. Kerana, jika ibubapa kami yang punya, kami tidak akan berani bising. Ibubapa kami garang. Nasib baik kena maki sahaja. Nasib kurang baik kena pelangkung sedas dua.

Kami terus berjalan-jalan dengan bising, sambil menuju ke kaunter untuk membayar. Seperti biasa, mata kami akan meliar melihat-lihat jika ada gadis yang cantik di sekitar itu. Malangnya, pada jam hampir 11.00pm, tiada seorang gadis pun yang berani membeli belah di situ.



Sibuk berkeliaran, barulah kami ternampak bahagian menjual selipar. Sebagai pengguna yang bijak, kami bertiga melakukan analisis dari sudut ekonomi dan fesyen semata-mata hanya untuk membeli selipar Cicak. Jadi, kami telah bersepakat memilih selipar berharga rm2.90, dan bercorak bunga-bunga supaya sedondon dengan seluar pendek yang dipakai Cicak.


Kami terus ke kaunter untuk membayar. Walaupun hanya seorang, kami tetap pergi bertiga. Ini adalah kerana, gadis yang menjaga kaunter itu agak cantik dan amat manis senyumannya. Kami sebagai lelaki budiman, sanggup beratur bersama-sama demi membalas senyuman gadis kaunter itu.

Selesai membayar dan membalas senyuman, kami naik ke tingkat atas pula.

Bukan untuk mencari gadis yang lebih cantik... bukan... jangan cepat mengadili...

Kami mahu mencari sterika pula. Menurut Amir, sebagai wakil majlis di Jusco, barangan elektrik ada di tingkat atas sahaja. Sampai diatas, kerambangan mata melihat barang-barang menjadi-jadi. Banyak juga rupanya jenis sterika.



Sambil sengih-sengih, cicak berkata...

"Beli bulan depan lah, tunggu ada sale"

Kami pun keluar, agak hampa kerana tiada peluang untuk mengurat gadis kaunter lagi.

Oh, terlupa pula pasal Kak Ogy yang kami biarkan bersendirian di luar Jusco.

Angkut Kak Ogy kembali, dan kami terus ke destinasi seterusnya... Majlis Mesyuarat Jumaat.

Isnin, 19 Januari 2009

Merayau lagi dia! Dari Bukit Bintang ke CM

Setelah berpisah dan keluar dari kereta Soraya, saya berjalan sorang diri dengan langkah riang-ria aidil fitri. Tujuan saya jelas. Saya mahu singgah kedai Joe Kidd Ricecooker untuk membeli album Marjinal. Ketika berjalan, seperti biasa dapat dilihat segerombolan anak muda sedang berkumpul. Hmm, masih jadi tempat kumpul rupanya.

Tapi, gerombolannya yang sudah berubah jenis. Mana pergi budak-budak punk? Mana pergi mamat-mamat dan minah-minah emo rambut senget? Mana pergi skinhead-skinhead for life, dengan Vespa dan Lambretta mereka?




Huh! penuh dengan penari-penari shuffle pulak! Adakah ini yang digelarkan perubahan zaman? Walaupun saya pernah kagum mengenai shufle bersama bartender terhebat Ghaffar Azagtogh, tapi itu 6 tahun yang lalu beb. Ghaffar pun sudah bekerja di Petronas. Sudah lah shuffle! Hidup Breakdance! Wah, sungguh jumud pemikiran "sekolah lama" saya. Saya meninggalkan gerombolan itu dengan bibir yang mencebik. Perjalanan diteruskan menuju perhentian bas.




Sambil meneruskan lenggok bujang saya ke perhentian bas, beberapa gadis lingkungan lewat 30an memegang sepanduk, sambil mendekati saya.

"massage, massage? Full service pun ada..."

Saya dengan sedikit sengih, saya menolak dengan hormat. Solekan tebal mereka agak menakutkan saya. Saya teruskan langkah saya naik bas. Perjalanan bas pada mulanya terasa agak laju, akan tetapi mula perlahan apabila sudah masuk ke belakang Kotaraya. Oleh kerana saya agak kurang sabar, saya turun sahaja di situ, dan tekad untuk jalan kaki ke CM.




Bedebah betul... Jejak sahaja kaki ke tanah, dengan lancarnya bas tadi meluncur ke CM. Saya terpaksa jalan kaki. Itulah, pengajarannya bagi mereka yang tek reti bersabar. Rakus sangat...





Sampai sahaja di CM, saya naik ke surau untuk solat Asar. Kalau lengah-lengah nanti terlupa. Biasalah, saya kan remaja... Sudahlah Zuhur tadi saya terlepas waktu. Agak ramai juga dalam surau pada petang itu. Mungkin mereka turut mahu mendoakan buat Palestin. Selesai solat, saya meneruskan perjalan menuju Annexe. Saya mahu singgah Ricecooker. Mahu beli album Marjinal. Keluar sahaja dari pintu belakang CM, ada seorang lelaki Jepun tua memberikan saya sekeping risalah, dan menunjuk ke atas.



Oh, ada pameran menentang perang dan senjata nuklear. Sebagai pembenci perang, saya agak teruja untuk naik ke atas dan menyertai pameran.




Sampai di atas, video tayangan sedang diputarkan. Saya duduk sebentar menonton dan kemudiannya memerhati kan gambar-gambar dan rencana-rencana yang terlekat di dinding. Pameran tersebut dijayakan oleh KLFCW bersama beberapa NGO lain seperti Nagasakiken Gensuikyo.




Dari pameran itu, hanya satu resolusi dapat dibuat. Perang adalah jenayah. Saya juga sempat berbual dengan beberapa mangsa sebenar yang terselamat. Oleh kerana mereka tidak fasih berbahasa Inggeris, saya dibantu oleh jurubahasa mereka yang hanya mahu dipanggil Aikiko. Wanita aktivis itu turut berbual dengan panjang dan menjemput saya singgah di rumahnya di Tokyo. Dia ingat tambang kapalterbang macam tambang bas agaknya. Saya passport pun takde. Agak kekok juga kerana saya kerap membongkok membalas bongkokan mereka apabila sudah bersalaman.


Encik Tatsuya Kawaguchi (survivor), Hadi dan Aikiko


Tembikar, Dinding marmar, batang pokok yang mencair hanya kerana terkena sinaran radiasi letupan bom atom.


Antara lukisan gambaran oleh mangsa perang


Sebelum saya meninggalkan bilik pameran, saya turunkan tandatangan menunjukkan sokongan di kaunter. Dengan harapan, petisyen itu akan diambil peduli. Ya, mungkin ada yang berkata Jepun kejam, pancung orang, rogol orang... Tapi yang menjadi mangsa perang bukan askar sahaja. Kanak-kanak dan wanita mereka juga menderita.



Setelah menurunkan tandatangan, Makcik-Makcik Jepun itu menghadiahkan saya sekeping poskad sebentuk origami dan "arigato gozaimas". Saya yang tidak reti jepun membalas dengan "sama-sama" dan sekuntum senyuman.



Saya keluar, dan turun ke kedai Ricecooker meneruskan hajat saya mencari album Marjinal. Masuk dalam kedai, Joe Kidd sedang duduk bersama Alak. Mata saya melilau mencari album Marjinal tapi masih tidak kelihatan. Saya terus bertanya pada Joe Kidd.

"Marjinal ada tak?"

"Marjinal? Kaset dia dah habis la"

"CD dia ada?"

"CD memang takde"

Hampeh! Saya keluar dengan kecewa... Perjalanan diteruskan ke Jalan TAR pula!

Isnin, 15 Disember 2008

Berlibur malam bersama Cicak


"hey man, where are you man?"

Satu mesej ringkas telah masuk ke telefon bimbit saya. Satu pesanan ringkas berbahasa Inggeris dari sahabat Kultus Haram Teratai Hitam, saudara Cicak.

"I'm at home, Gombak.. why?"

Balas saya juga berbahasa Inggeris demi menghormati persaudaraan.

"You ada apa-apa movie baru lagi?"

"Ada, Tropic Thunder... mau?"

Saya teringat tentang filem yang diberi Amir tempoh hari, masih belum dibuang dari komputer riba saya.

"Best x? cerita apa?"

"Cerita perang lawak. Best gak laa.."

"Ok, nanti malam aku datang. Lepas tu kita keluar minum mau?"

"Orait babeh"

Rabu malam Khamis itu, Cicak mengangkut saya untuk dibawa merayau-rayau menikmati embun malam di sekitar pinggir kota. Setelah selesai menyalin filem yang beliau kehendaki dari saya, kami pun meluncur laju keluar dari kawasan rumah saya dengan tiada tujuan yang pasti. Pada mulanya saya ingin mengajak Amir untuk keluar sekali, akan tetapi, beliau masih letih dan kurang tidur akibat kerja yang disiapkan semalaman.

Kami singgah dahulu di Plaza Idaman kerana Cicak ingin mengisi petrol. Saya pula masuk ke dalam kompleks untuk membeli tetikus. Ya, memang sukar untuk membuat kerja menggunakan komputer tanpa ada tetikus yang tidak rosak.

Ternyata, harga barangan perkakasan komputer di Plaza Idaman agak tinggi dan terlalu mengecewakan. Saya lantas keluar dengan hampa kembali masuk ke dalam kereta Cicak. Dalam kereta, Cicak sedang mendengar lagu sambil mengunyah kacang yang dibeli beliau di stesyen minyak. Jam sudah menunjukkan 9.45pm.

"Mana lagi?"

Cicak bersuara sambil mempelawa saya mengunyah kacang bersamanya.

"Jom, kita try pergi Carrefour. Sana ada jual rasanya"

Cicak dengan cermatnya memandu kemas keretanya menuju ke pasaraya Carrefour yang terletak di Wangsa Maju. Dalam perjalanan, kami masih mencari-cari lagi siapa agaknya teman yang boleh diajak melepak sekali. Cicak beria-ia mahu melepak malam itu kerana hari esok adalah hari keputeraan Sultan Selangor dan beliau bercuti umum.

Setelah puas membeli barang dan menganggu gadis-gadis dan ummat manusia di Carrefour, kami pun mula bergerak untuk keluar dari pasaraya itu. Kedai juga sudah banyak yang tutup. Cicak memberitahu bahawa dia hendak membayar hutang di AEON bank. Saya menyangka beliau sudah gila kerana mana ada bank yang buka pada malam-malam buta ini. Jam sudah pukul 10.45pm.



Rupa-rupanya Cicak hanya ingin menggunakan mesin deposit wang. Kami pergi ke pejabat AEON di Jalan Raja Chulan. Sahaja disana, agak malang buat Cicak kerana mesin di sana diberhentikan perkhidmatannya buat sementara. Saya hanya tersengih dalam kereta. Setelah Cicak kembali masuk dalam kereta, akal sihat Cicak ligat memikirkan dimana mahu lepak dan dengan siapa lagi mahu diangkut.

Sambil merayau-rayau, Cicak bersuara.

"Kita try ajak sorang awek nih. Dia pun cuti esok. Aku kenal dia time chatting. Tengok gambar kat Friendster boleh tahan. Hahahaha"

Setelah saya setuju, dia mahu menelefon gadis tersebut. Akan tetapi, Cicak yang bijak itu telah berubah fikiran sebelum sempat menelefon.

"Aku ada lagi sorang member yang cuti esok, lelaki. Yang lelaki duduk kat Subang, Yang perempuan duduk kat Bangsar. Kita nak ajak lelaki ke perempuan?"

"Aku tak kisah la Cicak, sukahati kau"

"Dah pukul 11 lebih ni, tak elok bawak perempuan keluar lewat sangat. Nanti bapak dia parang kita. Hahahahaha"

"Hmm.. betul jugak" - Jawab saya mengangguk.

"Baik kita ajak lelaki, sebab, kalau ajak perempuan, kita yang kena keluar duit belanja minum. Kalau lelaki, kita boleh mintak dia belanja kita. Kita kena jimat zaman macam ni. Ahahahaha!"

Syarahan Cicak ditamatkan dengan satu panggilan telefon ke kawannya yang tinggal di Subang. Jaya. Seperti biasa Cicak menelefon dengan bahasa Inggeris, sambil beliau memandu cermat menuju ke Subang Jaya. Dalam perjalanan, Cicak memutarkan beberapa lagu-lagu hip hop dan tekno.

" From now, we got to start talking in English. We also need to listen to hip hop songs, you know."

" Why?" Saya bertanya.

"Because we are adults now, we got to follow the adult's trend. Trendy adults always listen to hip hop and techno. We cannot listen to grindcore and punk anymore. That is not trendy now."

Kentut dia, mana punya ajaran majalah sesat dia ikut agaknya. Cicak ternyata sudah berubah sedikit.

"But why talk in English?" Saya ulang soalan dengan lebih terperinci.

"Oh, because my friend is not Malaysian. He is Philippino Man!. He cannot understand Malay. He love hip hop very much! He memorized a lot of hip hop song you know."

Oh, begitu rupanya. Kami meneruskan perjalanan sambil bersama-sama menyanyikan lagu-lagu Eminem yang dipasang dengan agak kuat. Sedar tak sedar, kami sampai juga di Seksyen 9 Subang Jaya.

Oh, malam itu dalah satu pengalaman baru buat saya. Pertama kalinya saya berbual dengan rakyat dari Filipina. Rupa-rupanya sahabat Cicak itu adalah pasangan yang sudah berkahwin. Nel Marcos dan Josh Marcos. Si suami, Nel Marcos adalah cucu kepada bekas Presiden Filipina, Ferdinand Marcos.

Kami lepak dan minum bersama pasangan muda itu di seksyen 4, Subang Jaya. Memang seronok berbual dengan mereka yang gemar berbual. Mereka berdua adalah pemegang ijazah, akan tetapi begitu sukar mendapat kerja di negara sendiri, lalu mereka berhijrah di Malaysia. Josh, mendapat kerja yang sesuai dengan ijazahnya dari bidang farmasi. Josh mendapat kerja di satu farmasi terkemuka di Subang Jaya. Akan tetapi agak malang bagi Nel, beliau ditipu oleh agensi pekerjaan. Permit kerja beliau tidak diselesaikan, walau sudah membayar sebanyak RM 4600 kepada orang agensi yang menjanjikan beliau untuk mendapatkannya.

Kami duduk minum dan berbual sehingga jam 2.30am. Setelah masing-masing sudah menunjukkan muka mengantuk, kami menghantar pasangan itu pulang dan Cicak masih pelum puas merayau. Kami terus merayau ke bazar larut malam di Danau Kota, Gombak.

Ketika kami sampai di sana, semua kedai sedang sibuk berkemas untuk tutup. Kami hanya sempat berpusing sebanyak satu pusingan lengkap sahaja. Akhirnya, tewas dengan keadaan alam, kami pun pulang ke rumah... hehehe.









Isnin, 1 September 2008

Selamat bertemu kembali ya Ramadhan!




Ramadhan datang lagi! Alhamdulillah, saya masih bernyawa dan berkesempatan untuk bertemu dengan bulan seribu bulan, penghulu segala bulan. Malam semalam, saya sempat bertarawih di Masjid Simpang Tiga (Jami'ul Shariff) bersama adik saya Hakim. Sudah agak lama saya tidak bertarawih di sana kerana selalunya saya hanya mewakilkan ayah saya bertarawih di surau Jalan Sepakat. Masjid ini memang ada nilai sentimental value kepada saya. Maklumlah, di sinilah saya banyak menghabiskan masa ketika masih kanak-kanak belum baligh. Selesai tarawih dan witir, saya tidak melepaskan peluang untuk minum bersama jemaah-jemaah lain di dewan makan. Ternyata lebih ramai jemaah yang kenal Hakim dan tidak kenal saya. Nampak sangat saya sudah terlalu lama tidak bergaul dengan jemaah-jemaah Kampung Simpang Tiga, tidak seperti adik saya Hakim





Ramadhan itu sendiri memang sentiasa memberikan sentimental value kepada saya. Selalunya banyak benda yang tidak terjangka akan berlaku kepada saya dalam bulan Ramadhan. Ramadhan juga selalunya menjadi tempoh untuk titik perubahan kepada diri saya. Setiap kali menempuh Ramadhan, mesti ada perubahan yang berlaku dengan diri saya. Tidak kira kecil atau besar, tidak kira mental atau fizikal, tidak kira jasmani atau rohani. Entah apa agaknya perubahan yang kali ini... Saya hanya menunggu, melihat dan menerima.


Saya juga seronok kerana kali ini kami sekeluarga sempat bersahur bersama-sama semua adik beradik.. Halim yang super pemalas itu pun bangun untuk bersahur. Kami berderet 4 beradik makan sebaris atas kerusi menghadap televisyen. Mak dan ayah di meja makan, sudah tidak hirau dengan karenah kami yang degil-degil belaka. 4 orang? mana lagi seorang? Oh tidak rupanya, Adibah masih ada di Kelantan... Hemm.. masih belum cukup kuota rupa-rupanya. Mungkin menjelang Syawal nanti barulah dapat kami bersahur bersama-sama.

Agak malang kerana saya tidak sempat berbuka puasa di rumah hari ini kerana ada kerja yang menimbun menanti di Uniten. Saya hanya berbuka puasa dengan Ammzar.

Walau apa pun, saya berdoa dan berharap agar Ramadhan kali ini penuh makna dan keberkatan. Ramadhan kali ini juga terlalu hampir dengan takuk perubahan umur saya. Semoga Ramadhan kali ini menjadikan saya lebih elok dari dahulu... Amin Ya Rabbul Alamin...

Selamat bersahur!






Isnin, 11 Ogos 2008

Surat: Pengalaman pertama ‘Fire Drill Cendekiawan’ seorang ‘Mak Nyah’

Dear Hadi,


Assalamualaikum Hadi, apa khabar you? Mesti semakin sihat dan semakin tembam kan? Tapi takpe, tembam-tembam pun ok what? Mak tak suke tengok you kurus. Orang kata chubby-chubby... Cute gitu nyah... Ni, Mak sebenarnya tulis surat ni ada cerita nyah, bukan surat kosong-kosong je. Mak excited sangat sebenarnya. Mak malas nak pendam lama-lama cerita ni, nanti mak lupa nyah, maklum la, mak kan dah senior.



You tau, minggu lepas kan, ada fire drill kat cendi. For your info, selama Mak belajar kat uniten ni, sekali je Mak pernah turun masa fire drill. Tu pun masa Mak tengah duduk kat amanah masa 1st sem Mak masuk Uniten nyah... Semenjak Mak duduk cendi pulak, tak pernah lagi Mak turun masa fire drill. Mak malas la nyah, Mak tak suke benda-benda merepek macam tu. Mak letih la tau, banyak lagi kerja Mak boleh buat. Selalunya Mak lari je, ajak kawan-kawan Mak yang lain, lepak kat luar, atau minum-minum kat kedai mamak. Sambil-sambil tu boleh la Mak cuci mata tengok abang-abang mamak tuh. Hihihihihihihi.



Eh, termelalut pula nyah... Mak nak cerita sebenarnya, Mak turun tau time fire drill hari rabu tu. Mak saje je turun, nak tengok macam mana sebenarnya fire drill kat cendi nih. Lagipun, ni kan sem last Mak belajar kat sini, Mak nak la merasa turun buat terakhir kalinya nyah... saje je Mak nak tambah pengalaman nyah...



Bila loceng fire drill tu mula je kan nyah, Mak dah excited. Mak lekas-lekas bersedia nak turun. Mak ajak sekali kawan-kawan serumah. Tapi, macam biasela, ade je yang degil. Mak turun jugak Mak tak pedulik. Mak sampai je bawah, mak mule perati keliling. Tu dia... ramai jugak yang turun. Pak-Pak Arab ngan Afrika pun ramai yang turun. Diorang semua bising. Mak pun ikutla bising-bising sekali. Dalam riuh-rendah tu, Mak terdengar ada suara sibuuk je suruh budak-budak beratur. Kesian Mak tengok abang India tu. Berbuih pulak Mak tengok bibir dia. Tapi takpela, suara dia sedap. Mak layan kan aje.



Masa mak tengah excited-excited tu, rupa-rupanya kena amik attendance ikut ketua aras. Time tu, ramaila jantan-jantan berhimpit-himpit nak sain kertas yang kecik tu. Dah la malam gelap. Mak mula-mula pun cube jugak berhimpit-himpit. Tapi, mak rapaat je, ya ampun! Kuatnya bau ketiak.. Astaga... tak tahan Mak, nyah... bila dah bercampur-baur macam tu, geli jugak Mak. Mak pun risau jugak kalau ada jantan-jantan tak guna tu yang mula nak ambik kesempatan raba-raba Mak. Sorry, i’m not that cheap you know! Hell no! Mak pun terus je pergi ke depan. Mak mintak tolong kawan Mak je yang sain.



Masa tengah bising-bising suruh jantan-jantan yang masih begik berdegil kat atas tu turun, sekali, diorang padam pulak elektrik kat semua blok. Aduh, ade ke patut. Mak dah lah banyak kerja kat laptop tu yang terlupa nak save. Maklumla, excited sangat nak turun. Mak pun ada jugak video luc... oppss silap, video belajar memasak yang belum habis siap download lagi. Aduh, Mak dah la tak pakai Download Manager atau Flashget. Dah la internet sini tak beberapa laju. Very the lembab. Kena la Mak mencanguk nak download balik. Terbantut kerja Mak.



Masa tengah kecoh-kecoh beratur tu, mak tengok ramai jugak kawan you dari Astena yang turun malam tu. Ramai jugak yang turun untuk first time. Eh! You pun turun untuk first time kan? Mak lupe you... sorry, sorry. Malam tu mak borak-borak kejap dengan kawan-kawan you. Dengan Pokcik yang kering tu, Darwin, Fakhrul yang bersuara bass garau.. aww, stim mak dengar suara dia nyah... Zul ketua koir you tu pun ada Mak jumpa. Mak menyampah sikit dengan dia tu. Mak tak suke tengok rambut serabai dia. Semak mata Mak. Dah lah gatal, terhegeh-hegeh.



Mak baru nak borak-borak dengan you, tapi Mak tengok you dengan Mas Ilmi dah jauh. You pergi tengok diorang tu padam unggun api kegemaran En. Hamzah kan? You ni, adventurer la... Mak kagum. Malam tu, Mak tengok asyik Pak Arab je yang sibuk-sibuk nak padam api. Apa dah jadi dengan jantan-jantan Malaysia ni? Penakut ke? Wekk! Tak malu, penakut!. Mak tengok you pun sama jugak. Harap dekat je dengan api, tapi segan-segan pulak nak volunteer padam api. Dulu you kata macam-macam. Nak baling mercun dalam api la, nak bakar kereta En. Hamzah la. Auta je lebih you ni. Ke, you malas nak tunjuk terel pasal takde perempuan? I dengar kan, orang kata lah kan, you ni jenis tunjuk terel depan gadis-gadis je. Betul ke nyah?




Anyway, dah tiga kali Pak Arab padam api, baru la ada sorang mamat Melayu yang nak cuba padam pulak. Tapi buat malu Mak la mamat tu nyah... Tak gagah macam Pak-Pak Arab. Lambat baru padam. Nyampah Mak tau nyah... lembik! Bila dah habis main padam-padam api, habis jugak la upacara fire drill kat cendi malam tu. Hmm, thank God, takdela lama sangat fire drill nye. Kalau Mak tau, takde la Mak lari selama ni. Tapi, agak buang masa jugak la nyah...



Mak nak borak-borak dengan you bila dah habis, tapi Mak tengok you laju jer naik tangga balik bilik. Kenapa you cepat sangat balik ek? Sombong ke? Mak malas nak singgah bilik you, pasal nak download balik video yang terbantut tadi. Mak balik je, lepas Mak recover balik kerja-kerja yang tak save dulu, mak sambung download video-video luc.. ooppss! Silap! Tak baik tau, tuduh bukan-bukan... Video memasak..! Sambil tunggu video habis download, Mak pun bawak baju-baju Mak yang dah kepam seminggu tak basuh tu turun. Mak nak cuba mesin basuh automatik yang baru kat bawah tu. Sekali basuh RM 3. Hmm, ok la tu. Demi menjaga standard Mak, Mak pun turun basuh baju tu... Jatuh la standard Mak, pakai baju masam pergi kelas. Baju Mak dah la mahal-mahal. Bukan macam you tu, asyik-asyik t-shirt ngan jeans. Berselipar pulak tuh! Huh! Selekeh! low ~ class!




Ok la, setakat ni je la Mak nak tulis nyah... Nanti ada cerita, Mak tulis lagi. Nak jumpa you selalu memang susah la sekarang You kan busy... Takpe, Mak pun busy jugak. Busy body nyah... kikikikiki! Esok Mak datang bilik you ye, nak pinjam sterika. Ok ye, Sekian, Terima kasih... muah muah. Tata~!



Yang Benar,

Rosemarie

Sabtu, 9 Ogos 2008

Gema gangsa beraroma rendang di Bangsar.



Hari Ahad yang lalu, kami menerima jemputan untuk bermain gamelan bersempena kenduri Kompleks Sukan TNB di Bangsar. Mereka yang bergamelan bersama saya pada Ahad itu adalah Pokcik, Faris, Wan, Man dan Su. Kak Sha pula bertindak sebagai pegawai pengiring kami.




Kami bertolak seawal jam 9.30 ke sana. Sudah agak lama saya tidak mengikuti dan bermain untuk persembahan luar seperti ini. Sampai sahaja, seperti biasa, kerja-kerja pemunggahan dijalankan dengan pantas. Setelah siap memunggah, kami terus menukar pakaian memakai pakaian bangsawan yang menjadi pakaian seragam untuk kami melakukan persembahan. Sudah agak lama juga saya tidak memakai samping dan tanjak.




Siap berpakaian, kami terus beratur untuk menjamu selera. Kami yang pada mulanya beratur awal, telah dipotong barisan oleh kumpulan makcik-makcik yang begitu buas. Dengan ketakutan, kami hanya menanti di sisi membiarkan kumpulan makcik-makcik itu mengambil makanan dahulu. Akan tetapi, kami bertuah kerana kaunter kedua pun mula buka, dan kami terus ambil makanan dari kaunter itu.




Seperti biasa, wan yang terkenal dengan tabiat pemakanannya telah mengambil juadah makan tengaharinya sepenuh-penuh pinggan. Sudahlah dia memakan dengan menggunakan sudu dan garfu, habis bertaburan lauk-lauknya di sekeliling pinggan. Kami yang sudah biasa, tidak terperanjat dengan fenomena itu.




Setelah perut kenyang dan penuh, kami kembali ke pentas dan mula untuk bermain. Kami bermain gamelan berselang seli dengan ucapan, bacaan selawat dan juga lagu-lagu asli yang diputarkan DJ.



Semasa kami sedang berehat sebentar, Wan sempat membuat onar. Sambil mulutnya sedang rancak bercerita, buntutnya juga tidak duduk diam... dengan satu lafaz “alamak..” vibrasi kentut pun menderu keluar. Pokcik adalah orang yang paling terasa vibrasi itu. Nasib baik baunya tidak naik semerbak.



Setelah kenduri hampir tamat, kami pun pula berhenti dan mengemas alat. Sebelum pulang, kami sempat makan untuk kali ke dua. Kami makan sebanyak mana kami makan ketika makan tengahari tadi. Kami juga menerima bungkusan makanan yang banyak untuk dibawa pulang.



Ketika ingin mengemas alat masuk ke dalam van, van pula membuat hal. Tiba-tiba tidak mahu hidup dan baterinya yang mati agaknya. Kuba menolaknya beramai-ramai dengan kudrat yang tinggal (walaupun saya hanya tengok dan gelak). Akan tetapi, ia tetap tidak mahu hidup. Akan tetapi, apabila kami tidak menolak beramai-ramai, dan hanya seorang Abang sahaja menolaknya dengan berundur, tiba-tiba van itu hidup kembali. Saya kembali mengetawakan usaha mereka beramai-ramai tadi yang sia-sia.




Setelah semuanya selesai, kami pun beranjak pulang ke Uniten. Malam itu pula saya ada aktiviti latihan bersama kugiran baru saya. Kami akan cuba lagu baru kami dengan penuh emosi. Arggghhh!


Rabu, 6 Ogos 2008

Sepetang di dusun Changkat


Petang Jumaat itu, saya mengikut ayah dan Hawa pergi ke dusun ibu saya di Kampung Changkat, berjiran dengan Kampung Simpang Tiga, Gombak. Tujuan asal kami adalah untuk menunggu durian, mengait rambutan dan menjolok manggis. Dusun ibu selalu diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan buah-buahan selalunya dicuri.



Setelah mengisi minyak, kami terus menuju ke Kampung Changkat melalui Taman Greenwood. Sudah agak lama saya tidak mengikut pergi ke dusun. Dusun itu adalah peninggalan Arwah datuk saya kepada ibu saya. Dusun seluas setengah ekar itu diberkati dengan pokok-pokok buah seperti manggis, pulasan, rambai, cempedak, rambutan, dan yang paling masyhur adalah durian.



Sampai sahaja, saya mula terkenangkan zaman kanak-kanak saya yang gemar meliar dan bermain dalam kawasan dusun itu. Bukan sahaja pokok, pelbagai jenis haiwan juga ada dapat dilihat. Ada tupai, burung-burung, semut, ulat gonggok, kumbang, rama-rama, siput babi, pepatung, dan juga nyamuk-nyamuk yang buas. Nyamuk-nyamuk yang ada bukan main jinak lagi. Sudahlah saiznya agak besar dari biasa. Gemar rapat dan menghisap darah pula. Sekali datang menyerang, mahu beratus satu pasukan. Habis kulit saya yang segebu Maria Ozawa menjadi mangsa.



Untuk menangkis serangan nyamuk, saya berusaha menghidupkan unggun api. Terasa seperti ingin mengadakan BBQ pula sambil membesarkan api. Sedang asyik berkhayal dengan api, ayah dan Hawa sudah mula menjolok manggis. Hawa memang agak bersungguh-sungguh menjolok manggis dengan galah buatan dari buluh sambil memanjat tangga.



Sedang asyik mengutip manggis yang gugur ke tanah, muncul saudara saya, Abang Atan yang tinggal berhampiran. Dia tidak datang dengan tangan kosong. Di tangannya ada sebekas penuh tempoyak yang dia kikis sendiri. “Nanti bagi kat Mak... ” Abang Atan memesan sambil menghulurkan bekas itu kepada saya. Abang Atan juga diiringi oleh sepasang kucingnya yang comel dan berekor kembang ibarat musang.



Saya agak gemar mengamati telatah dan menangkap gambar kucing-kucing comel itu yang jinak dan asyik bergurau. Sedang khayal memerhati, tiba-tiba “Gedebuk!” Sebiji durian luruh dan sipi-sipi lagi hendak menghempap kepala saya. Alhamdulillah, saya masih selamat, waras, dan bernyawa.



Setelah langit mula gelap, kami mengemas buah-buah yang telah kami kumpulkan dan mula bergerak untuk pulang. Hasil kami pada hari itu tidaklah selebat yang pernah saya alami semasa saya masih kecil dahulu...


Selasa, 29 Julai 2008

Harga minyak


Semalam, setelah kami semua ahli rumah membeli-belah secara miskin di pasaraya Billion, kami singgah sebentar di sebuah stesyen minyak untuk mengisi tangki kereta knight rider ammzar. Maka, tehasillah dialog di bawah...


Ammzar : sekarang, yang V-Power dah 3 ringgit lebih seliter.

Hadi : Kau nak isi yang V-Power ke?

Ammzar : Gile ko! Kita kan miskin! Aku isi yang merah je! Aku nak isi 14 ringgit je!

Hadi : Apa kelebihan yang V-Power ek?

Zul : Kelebihan dia, duit ko lagi cepat habis.. kah kah kah kah!

Ahad, 27 Julai 2008

Apabila teknologi bercuti sebentar

Semalam, secara tiba-tiba, bekalan elektrik di pangsapuri cendikiawan terhenti seketika. Saya yang sedang hangat melayari internet, berbual menerusi YM, dan mendengar lagu Matahari dendangan Agnes Monica lantas terbantut dan terkedu.

Ternyata kobosanan mula menerpa ibarat samudera menghanyutkan pantai. Sebagai remaja akhir zaman yang sudah biasa termanjakan oleh teknologi-teknologi moden, saya seperti mati akal. Akal sihat ibarat mula hilang.



Saya mula keluar dari bilik dan menganggu ahli rumah yang lain. Belum puas menganggu, perut mula terasa lapar. Saya lantas membancuh segelas air coklat bersama oat. Sambil menghirup minuman panas itu, saya duduk termenung memandang ke luar tingkap.



Ketika dalam kebosanan seperti itu, barulah saya mula menghargai alam. Saya mula menikmati keindahan pemandangan dang mengamati nilai-nilai warna yang selama ini tampak biasa sahaja. Setelah diamati, barulah saya sedar, alam sekeliling saya ini juga sebenarnya penuh warna-warni.



Petang itu, saya ikut Pokcik berjogging sambil menikmati keindahan alam dan kesegaran oksigen...

Sabtu, 26 Julai 2008

Kelana Bujang di Kota Bharu - Bahagian 4 (tamat)


Agak lama saya beri’tikaf dan diam menanti di dalam masjid itu sehingga hujan benar-benar berhenti. Agak ramai juga yang turut sama berehat, solat, malah ada yang tertidur keletihan. Mungkin mereka juga musafir seperti saya. Ada juga yang memandang pelik kepada saya, mungkin kerana rambut saya, atau rupa bentuk saya, atau dompet saya, atau hiasan di telefon bimbit saya, ataupun pelik melihat saya kerap menangkap gambar di dalam Masjid itu.



Setelah hujan reda, saya pun mula bergerak turun dari Masjid. Saya mula menghantar SMS kepada Faisal.



“Camne nak gi tempat ko?”


“Aku nk cite jalan susah skit, ko tanya je org, mesti tau punya, dekat je, boleh jalan kaki.”




Dengan berkat mulut manis dan wajah manis saya, saya mula bertanyakan jalan kepada mereka yang lalu-lalang, tidak kira jantina atau usia. Akan tetapi, berikut adalah antara jawapan-jawapan yang saya terima:-


“Akok tok tahu.. Akok dari ganu..”


“Susoh nok tunjuk.. jauh tu be.. naik bah (bas) la.. mudoh sikik..”


“Sano tu.. eh! Sano.. eh! Sini kot.. eh! Sano... Sano..! (sambil menunjuk ke kiri dan ke kanan.)”


“Jauh be.. abe naik bah la.. 60 sen jo.. Abe tughun K.B Mall, Doh sampe KB Mall, Abe seney sikik nak jale..”


“Ni keno naik bah (bas) ni, bukey semuo tempak kito boleh jale kaki, tapi jange naik teksi ko, beca ko, maha (mahal) nanti dik...”



Satu jawapan pun tidak membantu memudahkan proses perkelanaan saya. Akan tetapi, saya tidak mengalah, saya teruskan usaha mencari dan bertanya. Akhirnya saya bertanya di sebuah gerai menjual akhbar dan majalah.



“Oh, UITM? Sano tu... dekak depey bala polih tu... Dio teghuh lagi lepah banguney MPKB, lepah bulatey nanti..”


(sana tu, dekat depan balai polis tu, dia terus lagi lepas bangunan MPKB, lepas bulatan nanti )


“Ok be! Mokasih yo!”



Dengan jawapan yang meyakinkan itu, saya mula melangkahkan kaki menuju ke arah yang ditunjukkan oleh abang penjual akhbar itu... Belum jauh lagi saya melangkah, terdengar suara abang itu terperanjat.


“Loh.. Jaley kaki! Ambo ingak naik keto!” (anda cuba alihsuara sendiri).



Dengan sambil tersengih akibat geli hati terdengar keterkejutan abang itu, saya mulakan langkah rancak saya dengan Bismillah, menuju ke arah yang dia tunjuk. Tubuh bulat ini menyusur lalu, melalui tepi-tepian jalan berselisih dengan manusia-manusia lain dengan penuh keyakinan. Tanpa memedulikan mentari yang masih hangat perit memerahkan warna kulit tebal saya, masih tersenyum riang berjalan sambil cuba bersiul-siul tanpa mengeluarkan bunyi. Ini adalah kerana saya masih tidak reti bersiul.




Saya meneruskan langkah kelana ini memasuki bangunan MPKB dan membolos menerusinya. Saya mula merasakan sudah amat jauh saya berjalan, namun masih belum saya tiba ke bangunan UITM itu. Peluh mula begemercik mengalir, membasahi tubuh. Perasaan risau mula bermain difikiran. Adakah saya sudah tertipu? Namun saya tetapkan keyakinan dan terus melangkah walau keringat sebesar bertih jagung mula terbit dari dahi.




Setelah hampir putus asa, saya ketemu juga dengan bulatan yang dimaksudkan oleh abang tadi. Wah! Bulatan yang itu rupanya! Bulatan yang berhampiran dengan Muzium Negeri Kelantan. Jauh sungguh rupanya! Sedangkan jika menaiki kenderaan pun sudah terasa jauh, inikan pula berjalan kaki!


“Dekat je... jalan kaki pun boleh..”


Terngiang-ngiang lagi kata-kata Faisal. Aduh, nampaknya Faisal sudah lupa yang saya sudah bersara dari dunia anarkis. Hu hu hu hu hu... Namun, ini tidak berjaya mematahkan semangat perkelanaan saya. Saya melintasi jalan yang disibukkan dengan kenderaan-kenderaan laju itu untuk pergi ke bulatan itu. Tujuan saya untuk menikmati seni monumen-monumen dan menangkap gambar.




Tiba-tiba, Faisal SMS saya lagi.


“Ko dah sampai mana? Jumpa tak?”


“Aku dah sampai bulatan...”


“Oh, dah dekat ah tu... Aku tunggu”



Saya tahu, tinggal suku sahaja lagi hendak sampai ke UITM itu. Saya meneruskan perjalanan. Saya sempat singgah sebentar ke Muzium Negeri Kelantan, akan tetapi, hanya di perkarangan sahaja kerana waktu sudah pukul 4.00pm.




Saya meneruskan lagi langkah penuh bergaya saya di sisi jalan yang agak sibuk itu sehingga saya ternampak satu bangunan cantik yang unik. Bahagian Pelancongan dan Kebudayaan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan. Bangunan bertemakan warna merah sebagai warna utama itu memang agak cantik dan menarik pada pandangan mata saya. Di bahagian hadapan bangunan itu juga disenaraikan aktiviti-aktiviti menarik yang dijalankan sepanjang tahun di Kelantan memandangkan tahun 2008 adalah tahun melawat Kelantan.






Sambil menikmati kecantikannya, saya sempat duduk berehat untuk mengatur kembali kekuatan untuk melangkah setelah lebih sejam berjalan kaki.



Saya teruskan lagi perjalanan setelah puas berlabuh punggung. Hati saya mula girang apabila sudah ternampak bangunan UITM itu, walaupun dari jauh. Harapan yang disangkakan palsu pada awalnya sudah muncul kembali. Langkah diteruskan sambil membaca-baca nama Allah SWT dan junjungan mulia Nabi Muhammad SAW yang terdapat di tengah-tengah pembahagi jalan.



Sampai sahaja di bangunan UITM itu, saya terus duduk di bangku perkarangan bangunan dan menghantar SMS kepada Faisal yang saya sudah sampai. Sambil duduk, dapat saya lihat kaki saya yang sudah mula keluar urat-urat jantannya.



Sambil duduk berehat, saya sempat melemparkan sedekah senyuman kepada pelajar-pelajar yang turun keluar dari bangunan itu. Senyuman manis saya dibalas mesra oleh mereka. Ini membuatkan bertampah cepat hilang penat saya.



Keletihan tadi hilang dibawa angin yang sepoi-sepoi bahasa. Angin sepoi-sepoi itu mulai kuat, dan rupanya langit pun sudah mulai gelap menandakan hujan akan membasahi bumi pada bila-bila masa.


Tidak lama kemudian, Faisal pun turun.


“weh, ikut aku amik ayah aku dulu nak?”


“orait babeh”



Saya tanpa banyak bertanya dan bicara, menurut sahaja mengikut Faisal menaiki keretanya. Sepanjang perjalanan kami didendangkan dengan lagu-lagu dari Homocide. Sesudah hampir separuh jalan, baru lah saya mula bertanya. Hujan pun mula turun dengan lebatnya.



“Kita nak pergi mana ni sebenarnya?”


“Amik ayah aku jap, kat rumah, nak bawak pergi hospital”


“Rumah kau kat mana?”


“Nilam Puri”



Ya, baru saya tahu, sebenarnya rumah Faisal terletak di Nilam Puri. Nilam Puri juga terkenal dengan Masjid Kampung Laut, masjid yang dinobatkan sebagai antara masjid yang tertua di Asia Tenggara. Akan tetapi, sayang sekali saya tidak sempat menziarahi masjid itu kerana waktu dan keadaan yang kesuntukan.



Sampai di rumah Faisal, kami menanti ayah beliau bersiap dan solat Asar. Sambil menanti, kami berbual-bual lagi. Kami tidak berbual kosong. Perbualan kami turut disertakan dengan hidangan teh panas, keropok goreng juga sebakul buah rambutan.



Faisal juga memberikan saya sekeping pelekat dari zine ‘SEPERAK’ (zine komunitas punk Indo) yang dia bawa khas dari Bandung.


Setelah ayah Faisal siap, kami sempat berbual dahulu sambil minum teh. Ternyata, kini saya tahu dari mana Faisal mewarisi sifat sopan dan ramah beliau. Ayah Faisal perlu menjalani pemeriksaan jantung di hospital KBMC ‘Kota Bharu Medical Centre’. Selesai minum teh, saya mengikuti Faisal menghantar ayahnya ke KBMC.



Sepanjang perjalanan saya menikmati pemandangan indah, sawah bendang, dan juga bangunan-bangunan yang ada. Hujan masih lagi turun lebat.





Samapi sahaja di KBMC, kami terus duduk di ruang menanti sambil menonton televisyen. Akan tetapi, saya yang lebih gemar merayau, mula melilau-lilau di dalam dan persekitaran KBMC itu.





Setelah itu, baru saya perasan yang tangan saya masih berbau belacan. Akibat dari makan tengahari saya tadi, yang dicuci tanpa sabun. Memang agak kuat belacan di kedai makan tadi. Saya pun masuk ke tandas untuk mencuci tangan dengan bersih menggunakan sabun. Apa lah saya ni.. kah kah kah kah...



Sesudah selesai urusan dengan KBMC, Faisal pun hendak menghantar saya ke Perhentian Bas Langgar kerana beliau masih ada kerja yang perlu di selesaikan di UITM. Jam sudah menunjukkan pukul 6.00pm.



Kami pun terus bertolak ke Perhentian Langgar dan berpisah dengan Faisal dan Ayahnya di situ. Oleh kerana masih ada 3 jam lagi sebelum ketibaan bas saya iaitu pada pukul 9.00pm, saya ingin merayau lagi. Tapi, apa kan daya, hujan masih lebat. Alam seperti memaksa saya duduk diam sahaja di perhentian itu.




Setelah kebosanan menanti di perhentian itu, sempat saya berbual-bual dengan seorang gadis yang juga menanti bas untuk ke Kuala Lumpur. Gadis itu adalah pelajar di USIM (Universiti Sains Islam Malaysia)



Setelah azan Maghrib, saya pun pergi ke surau. Oleh kerana bau tubuh saya pun sudah menghampiri aroma lipas, akibat dari perjalanan seharian, saya mandi dahulu di bilik air yang ada di situ sebelum menunaikan solat secara Jamak dan Qasar.



Selesai solat, perut saya mula terasa lapar. Jadi dengan rakusnya saya telah membeli sebiji benjo, dan sebiji burger ayam sebagai makan malam. Saya juga sempat membeli 2 pek kuaci marjerin, sebotol coca-cola dan sebungkus gula-gula getah sebagai bekal kunyahan di dalam perjalanan nanti. Memang agak rakus bunyinya kan?




Pada tepat jam 9.00 malam, bas yang patut saya naiki pun tiba. Saya sebagai seorang pemuda kampung yang mudah terperanjat, kagum dan kaget melihat bas yang akan saya naiki. Sebuah bas dua tingkat! Wah, ini pengalaman pertama saya menaiki bas ekspress dua tingkat! Saya yang ibarat orang gasar, begitu galak menangkap gambar bas itu.



Sesudah bas bergerak, saya melambaikan tangan kepada orang-orang yang berada di luar. Walaupun saya tahu, mereka bukan melambaikan tangan kepada saya, tetapi saya tidak peduli. Saya membawa seribu kenangan untuk pulang ke Gombak.. semoga saya akan kembali... Tamat!