Satu mesej masuk, ditujukan oleh Cicak.
Mesej itu menandakan masuknya waktu dia bosan, atau akan datang ke rumah saya, atau mengajak saya keluar, atau meminta bantuan.
"Ada kat rumah" Saya jawab.
"Apa plan?" Cicak tanya lagi.
"Jom, kacau Amir." Saya lontarkan cadangan.
"Aku balik mandi kejap."
Oh, Cicak terus dari tempat kerja rupanya. Saya terlupa petang itu adalah petang Jumaat. Bermakna, kalau kami tiada hal, kami akan bermesyuarat Jumaat di Jalan Malinja. Saya pun siapkan segala kerja awal, mandi dan selesaikan segala yang tertunggak.
Selepas Isya', Cicak muncul. Tersengih-sengih.
"Pinjam selipar... Selipar aku kena curik siut..."
Tak senonoh punya budak, ada ke patut datang rumah orang berkaki ayam. Nasib baik naik kereta. Lalu saya bagi Cicak pakai pakai selipar ayah saya. Sebab selipar simpanan saya sudah dikebas Rasyid, sepupu saya. Dia bawa ke Melaka.
Dengan selipar ayah saya, kami mula bertolak ke Jusco Setiawangsa, tempat Amir bekerja.
"Aku ingat nak beli sterika lah, nanti dah kawin kena gosok baju." Cicak cakap.
"Haa, elok lah tu, jangan lupa beli selipar sekali.. haha" Saya balas.
Dalam perjalanan, seseorang menelefon Cicak.
"Kawan lama aku call, Kak Ogy, mintak amik dia kat Bukit Bintang."
Apalagi, kami memang pantang bab rayau-merayau ni. Lalu, kami terus bergerak untuk mengangkut Kak Ogy, teman lama Cicak di Bukit Bintang. Gaya mengejar masa, ibarat lelaki buas mencari kupu-kupu malam di Bukit Bintang. Ibarat sahaja tau...
Setelah mengangkut Kak Ogy, kami bergegas untuk menyerang Jusco tempat Amir kerja.
Sudah pukul 10.15... Memang sesuai jika kami mahu membeli makanan pelik-pelik di sana. Maklumlah, makanan seperti roti, kuih, dan sushi biasanya dijual dengan potongan harga yang memuaskan nafsu selepas jam 10.00pm.
Sampai sahaja, kami terus menyerang bahagian makanan pelik-pelik tanpa memberi tabik hormat pada Amir sebagai penjaga kawasan. Oh, kami agak terlambat, kerana banyak makanan yang sudah habis. Melihat pada kaunter sushi, seperti menyelerakan.
Tapi, kali ini saya tidak akan percaya pada nafsu mata. Ini adalah kerana saya sudah beberapa kali hampir termuntah kerana makan sushi. Bukan kerana makan banyak, tapi kerana tidak tahan dengan rasanya. Mual beb. Mungkin kerana saya tidak berdarah Jepun. Atau saya berketurunan pendekar yang bangkit menentang penjajah Jepun satu masa dahulu.
Cicak yang konon-kononnya berdarah separuh kaukasian, mengambil sebekas salad kentang dengan potongan harga 30%. Saya tak berani, kerana ternampak ada potongan-potongan daging ketam dalam salad itu.
Amir pun muncul melihat perangai kami yang kekampungan itu. Kami seperti biasa, bising apabila bertemu, seperti Jusco itu kami yang punya. Bukan ibubapa kami yang punya. Kerana, jika ibubapa kami yang punya, kami tidak akan berani bising. Ibubapa kami garang. Nasib baik kena maki sahaja. Nasib kurang baik kena pelangkung sedas dua.
Kami terus berjalan-jalan dengan bising, sambil menuju ke kaunter untuk membayar. Seperti biasa, mata kami akan meliar melihat-lihat jika ada gadis yang cantik di sekitar itu. Malangnya, pada jam hampir 11.00pm, tiada seorang gadis pun yang berani membeli belah di situ.
Sibuk berkeliaran, barulah kami ternampak bahagian menjual selipar. Sebagai pengguna yang bijak, kami bertiga melakukan analisis dari sudut ekonomi dan fesyen semata-mata hanya untuk membeli selipar Cicak. Jadi, kami telah bersepakat memilih selipar berharga rm2.90, dan bercorak bunga-bunga supaya sedondon dengan seluar pendek yang dipakai Cicak.
Kami terus ke kaunter untuk membayar. Walaupun hanya seorang, kami tetap pergi bertiga. Ini adalah kerana, gadis yang menjaga kaunter itu agak cantik dan amat manis senyumannya. Kami sebagai lelaki budiman, sanggup beratur bersama-sama demi membalas senyuman gadis kaunter itu.
Selesai membayar dan membalas senyuman, kami naik ke tingkat atas pula.
Bukan untuk mencari gadis yang lebih cantik... bukan... jangan cepat mengadili...
Kami mahu mencari sterika pula. Menurut Amir, sebagai wakil majlis di Jusco, barangan elektrik ada di tingkat atas sahaja. Sampai diatas, kerambangan mata melihat barang-barang menjadi-jadi. Banyak juga rupanya jenis sterika.
Sambil sengih-sengih, cicak berkata...
"Beli bulan depan lah, tunggu ada sale"
Kami pun keluar, agak hampa kerana tiada peluang untuk mengurat gadis kaunter lagi.
Oh, terlupa pula pasal Kak Ogy yang kami biarkan bersendirian di luar Jusco.
Angkut Kak Ogy kembali, dan kami terus ke destinasi seterusnya... Majlis Mesyuarat Jumaat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan