Ahad, 17 Mei 2009

Pasar malam penuh aksi, cinta, drama dan tragedi

Senja Selasa itu saya masih buat-buat sibuk di depan komputer.

Tiba-tiba Hawa masuk bilik saya, dah siap mandi. Selalunya susah nak tengok dia mandi kalau dia tak kerja.

"Jom pergi pasar malam. Nak beli yong tau fu"

Pasar malam? Saya sudah mula terbayangkan air jagung. Bukan kerana air jagung tu yang best sangat, tapi gadis yang menjual air jagung. Untung-untung hari ini hati gadis yang menjual air jagung itu terbuka untuk meminang saya sebagai kekasih sehidup semati.

"Ok! Lepas Maghrib kita pergi."

Saya lantas mencapai tuala dan pergi mandi. Sambil mandi saya menyanyi terjerit-jerit sebelum Mak menjerit marah saya dari dapur. Ada ke patut maghrib-maghrib melalak?

Lepas mandi, saya pun pakai seluar sukan dan t-shirt hitam. Sesuai betul dengan gaya jejaka penganggur yang berjalan kaki ke pasar malam. Walaupun Mak selalu marah saya pakai baju hitam. Senang kena langgar Mak kata.

Sampai sahaja di tapak pasar malam, sepert biasa, kena berjalan satu pusingan lengkap dahulu, memerhatikan sasaran dan mangsa-mangsa yang bakal diterkam. Banyak juga lah yang dah ada dalam senarai sasaran saya. Murtabak, kebab, rangka ayam, dan yang sewaktu dengannya.

ketika saya dan Hawa sampai ke selekoh yang terakhir pasar malam, tiba tiba terdengar bunyi orang berlari dan bertekak.

Betul-betul bila saya sampai di hujung jalan, tiba-tiba seorang makcik berumur yang sedang membeli air minuman dirempuh oleh seorang lelaki muda yang sedang berlari laju. Di tangan pemuda itu kelihatan ada banyak kepingan duit.

Semua berlaku begitu pantas.

Saya sempat membuka langkah silat. Saya melompat dua langkah ke belakang. Pemuda yang melanggar itu terus lari menyelinap pantas melintas jalanraya yang sibuk. Ada beberapa orang mengejarnya. Tapi macam tak dapat.


Makcik itu terlentang dan terbaring diam

Pemuda itu tidak berseorangan rupanya. Seorang kawannya yang berlari bersama sudah dikepung. Berlaku aksi seperti dalam siri gusti. Siap ada aksi 'Walls Of Jericho'. Betul-betul macam WWF Smackdown. Walaupun lelaki yang dikepung itu sebesar tubuh The Rock, tapi akhirnya dia tumbang. Macam mana tak tumbang, dah 5 orang lawan satu. The Ultimate Warrior pun boleh demam. Setelah pemuda itu tumbang, dia turt diterajang berkali-kali. Begitu ganas situasi ketika itu.

Saya hanya memerhati dari tepi. Kalau dulu, mungkin saya sudah masuk campur. Tapi saya sudah lama berhenti dari kerja Suria Perkasa Hitam. Saya malas nak masuk campur kerana tak tahu pihak mana yang betul atau salah. Entah-entah nanti ada pistol ke, pisau ke, kerambit ke, jarum dadah ada HIV positif ke. Saya bertindak dengan akal. Lagipun saya bawa Hawa.

Orang kelam kabut menyaksikan pergaduhan, terlupa mengenai makcik yang terlentang tadi. Makcik itu masih terlentang . Lebih menakutkan, kepala makcik berdarah. Banyak pula tu. Mengalir membasahi jalan. Orang ramai mula berkerumun mengelilingi makcik itu.

Pemuda tumbang itu mula digari dan diangkat berdiri. Lah, polis rupanya yang menangkap. Ada 2 orang polis berpakaian preman. Sungguh saya tak sangka mereka polis. Muka masing-masing macam Mat rempit je. Siap pakai topi jaring dan beg lilit pinggang. Misai pun tak ada. Siap ada gelang perak. Polis - polis itu membawa lelaki itu pergi sambil lelaki itu terjerit-jerit

"Woi! Kalau berani bukak gari ni! Kita fight one by one!"

Kepala hotak dia. Ya, semua berlaku dalam keadaan yang sangat pantas.

Oh ya, apa cerita makcik tadi?

Masih ramai mula mengkerumuni makcik yang terbaring diam itu. Ramai hanya menyibuk. Saya tidak dapat masuk untuk tolong kerana sudah ramai yang berdiri sekeliling sambil berkata. "Kenapa? Kenapa?"

Akhirnya seorang lelaki berkopiah, berumur lingkungan 40 tahun tiba, dan berkata "ini mak saya!"

Anak makcik itu menangis, mengangkat makcik itu dibantu oleh 2 lagi pemuda. Saya hanya nampak sehingga itu, dan kembali membawa hawa membeli apa yang patut dibeli.

Akhirnya saya pulang dengan hanya membawa seekor ayam rangka dan segelas coconut shake. Hawa memborong seguni yong tau fu.

Setelah sampai di rumah, baru saya sedar saya terlupa singgah di gerai air jagung.

"Cheiss!" Berbunyi dari mulut saya yang berminyak.

1 ulasan:

a p e x berkata...

hahaha...
giler la...
pasar mlm pon ade adegan 18SG kan...