Petang itu, suasana masih panas terik. Matahari tidak sedikit pun menunjukkan simpati kepada warga bumi. Nak buka mata besar pun tak larat. Kacamata hitam saya sudah berbulan tidak dijumpai.
Petang itu juga, walaupun terik, saya gagahkan diri berjalan menunggu bas di Greenwood. Matlamat saya nak pergi Pasar Seni. Nak tengok pelancaran buku Kacip, dan nak tengok kugiran sahabat saya Wahyun, 'Dewangga Sakti'.
Bas juga menunjukkan kebiadapannya petang itu. Lambat betul nak sampai. Bila dah sampai sahaja, cepat-cepat saya kejar pintu bas, nak jadi yang pertama naik. Dalam bas saya hanya termenung di tingkap sambil dengar lagu-lagu rancak dari telefon bimbit saya. Mood saya tidak begitu baik sejak beberapa hari.
Saya banyak berkhayal dan termenung di dalam perjalanan. Nyaris-nyaris saya nak terjerit menyanyi bersama-sama apabila lagu 'November Rain' berkumandang. Dengan keadaan hati yang tak menentu, lagu itu memang terasa begitu mengasyikkan. Akhirnya sampai juga saya. Saya turun bas di hadapan Bar Council.
Saya bergegas berjalan pantas, masuk ke Annexe, dan naik tingkat atas. Saya agak terlambat. 'Dewangga Sakti' sudah mula beraksi.
Orang pun agak penuh dalam ruang pelancaran. Ramai juga peminat Pipi ni. Saya hanya berdiri dibelakang penonton-penonton lain. Menikmati muzik sambil berdiri. Tiba-tiba, Wahyun yang sedang asyik menepuk rebana terperasan saya. Lantas dia menjuih bibir menunjuk kepada saya. Saya pun melambai-lambai teruja kepadanya. Baru saya perasan sebenarnya Wahyun menyuruh saya memandang di hadapan dia. Wah, ada Mahmud rupanya. Dulu saya dan Mahmud sama-sama main gamelan. Tapi Mahmud lagi handal. Dia main gendang siap pakai kaki. Mahmud terus mengajak saya duduk di hadapan pentas. Saya pun laju pergi ke Mahmud dan terasa seperti duduk di tempat VVIP. Tapi atas tikar mengkuang.
Saya agak terkejut melihat Mahmud sekarang. Kulit dia sudah semakin gelap, kepala botak licin, muka dah mula ketat, badan pun kurus dan keras. Misai dan janggut pun dah tak ada. Dah kurang kacak. Agak ketara perubahan dia sejak dia dah masuk latihan polis kat Pulapol.
"Kau kena dera, hentam teruk ke kat sana?" Saya tanya. Sambil gosok-gosok kepala botak dia.
"Biasa lah..." Mahmud jawab sambil senyum kelat.
Saya kesat air mata.
Kami terus menikmati muzik tradisional kontemporari yang didendangkan 'Dewangga Sakti'. Saya dan Mahmud memang amat minat muzik sebegini. Bergoyang-goyang lutut kami dibuatnya. Terutamanya bila lagu berentak joget didendangkan. Tak tahan beb.
"Nasib baik bukan tempat kita kan?" Mahmud bersuara sambil senyum riang sikit.
"Ha'ah, kalau tak, kita dah joget kat depan ni. Betul tak?" Saya sambut.
"Hmm.." Mahmud senyum, terangguk-angguk. Ada rupa pendeta sikit.
Habis sahaja 'Dewangga Sakti' beraksi, Mahmud mengajak saya pergi ke ruang belakang untuk berjumpa dengan ahli-ahlinya. Saya hanya kenal Wahyun. Jadi saya hanya berborak dengan Wahyun. Kemudia, Mahmud pun meminta untuk mengundur diri.
"Aku kena masuk sebelum pukul 8" Mahmud cakap.
Saya salam dia sambil tahan air mata. Terasa simpati pula. Saya buat-buat kesat habuk kat mata. Kemudian saya duduk kembali untuk sambung menonton persembahan. Sebenarnya sayanak tunggu bila boleh beli 'Kacip' ni. Tapi persembahan pun bagus-bagus jugak. Terutamanya ada brader yang deklamasi sajak dengan bersahaja.
Senja itu juga saya terasa agak hebat sebab duduk sebaris dengan bintang-bintang bawah tanah lagenda tanah air. Ada Fahmi Fakap dan Arif, ada Boy Mass Separation, ada Bob The Pilgrims, dan Rahmat Haron juga ada duduk di sebelah saya. Saya buat muka bangga sekejap.
Kemudian, saya mula rasa bosan dan merayau-rayau melihat apa lagi gerai-gerai yang ada di KLAB itu. Apakandaya duit saya terhad. Jadi hanya cuci mata dan tengok-tengok sahaja. Saya nak beli 'Kacip' sahaja. Dah sekat nafsu jangan beli benda lain. Nak beli 'Kacip' pun kena ada syarat. Mesti Pipi tandatangan dan mesti tangkap gambar satu. Nanti orang kampung tak percaya. Tuduh saya curi.
Rama saya berlegar-legar tapi Pipi takde pun dekat kaunter Sindiket Soljah. Saya dah rasa malas. Kejap keluar, kejap masuk, kejap usya amoi. Akhirnya, saya dah rasa nak pergi sahaja, dengan hati yang kecewa. Hari pun dah mula nak gelap. Baru sahaja saya nak melangkah berambus, akhirnya saya nampak Pipi muncul dengan rokok masih di bibir. Saya kembali ceria.
Niat saya tercapai jua. Saya dengan gaya yang agak mengada-ngada dan merimaskan, meminta tandatangan dan juga meminta bergambar bersama Pipi. Nasib baik telefon bimbit saya ada kamera. Kalau tak dah malu mintak tolong tumpang kamera orang lain. Pipi pun melayan sahaja karenah saya dan ada seorang gadis lain yang juga seperti banyak songeh.
Saya bukan apa, saya seronok baca blog Hilang Punca sebab bila tengok Pipi dan kawan-kawan dia, saya selalu teringat pemain bass band lama saya, Jason Vorhees. Arwah Panjang, atau nama sebenar beliau Khairul Effendy juga budak hardcore yang berasal dari Pahang. Tapi Arwah Panjang dari Raub. Mungkin juga Pipi mengenali Arwah, tapi saya segan nak bertanya. Jadi saya hanya simpan dalam hati. Selesai membeli 'Kacip', saya pun terus masuk ke Pasar Seni nak sembahyang Maghrib.
Selesai sembahyang, saya meneruskan perjalanan nak lepak di Banglo Usang GPMS dekat-dekat dengan Bank Negara. Saya nak melayan emosi dengan Paan KHTH di sana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan