Rabu, 6 Ogos 2008

Sepetang di dusun Changkat


Petang Jumaat itu, saya mengikut ayah dan Hawa pergi ke dusun ibu saya di Kampung Changkat, berjiran dengan Kampung Simpang Tiga, Gombak. Tujuan asal kami adalah untuk menunggu durian, mengait rambutan dan menjolok manggis. Dusun ibu selalu diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan buah-buahan selalunya dicuri.



Setelah mengisi minyak, kami terus menuju ke Kampung Changkat melalui Taman Greenwood. Sudah agak lama saya tidak mengikut pergi ke dusun. Dusun itu adalah peninggalan Arwah datuk saya kepada ibu saya. Dusun seluas setengah ekar itu diberkati dengan pokok-pokok buah seperti manggis, pulasan, rambai, cempedak, rambutan, dan yang paling masyhur adalah durian.



Sampai sahaja, saya mula terkenangkan zaman kanak-kanak saya yang gemar meliar dan bermain dalam kawasan dusun itu. Bukan sahaja pokok, pelbagai jenis haiwan juga ada dapat dilihat. Ada tupai, burung-burung, semut, ulat gonggok, kumbang, rama-rama, siput babi, pepatung, dan juga nyamuk-nyamuk yang buas. Nyamuk-nyamuk yang ada bukan main jinak lagi. Sudahlah saiznya agak besar dari biasa. Gemar rapat dan menghisap darah pula. Sekali datang menyerang, mahu beratus satu pasukan. Habis kulit saya yang segebu Maria Ozawa menjadi mangsa.



Untuk menangkis serangan nyamuk, saya berusaha menghidupkan unggun api. Terasa seperti ingin mengadakan BBQ pula sambil membesarkan api. Sedang asyik berkhayal dengan api, ayah dan Hawa sudah mula menjolok manggis. Hawa memang agak bersungguh-sungguh menjolok manggis dengan galah buatan dari buluh sambil memanjat tangga.



Sedang asyik mengutip manggis yang gugur ke tanah, muncul saudara saya, Abang Atan yang tinggal berhampiran. Dia tidak datang dengan tangan kosong. Di tangannya ada sebekas penuh tempoyak yang dia kikis sendiri. “Nanti bagi kat Mak... ” Abang Atan memesan sambil menghulurkan bekas itu kepada saya. Abang Atan juga diiringi oleh sepasang kucingnya yang comel dan berekor kembang ibarat musang.



Saya agak gemar mengamati telatah dan menangkap gambar kucing-kucing comel itu yang jinak dan asyik bergurau. Sedang khayal memerhati, tiba-tiba “Gedebuk!” Sebiji durian luruh dan sipi-sipi lagi hendak menghempap kepala saya. Alhamdulillah, saya masih selamat, waras, dan bernyawa.



Setelah langit mula gelap, kami mengemas buah-buah yang telah kami kumpulkan dan mula bergerak untuk pulang. Hasil kami pada hari itu tidaklah selebat yang pernah saya alami semasa saya masih kecil dahulu...


Tiada ulasan: