Rabu, 6 Ogos 2008

Malam mencari kain



Jumaat malam sabtu yang lalu, ibu saya telah mengajak saya dan Ayah untuk mencari dan membeli kain. Kami mencari kain kerana untuk dibuat baju raya. Memang agak awal bunyinya, akan tetapi memandangkan bulan Syaaban sudah bermula, biasanya tukang-tukang jahit sudah tidak menerima tempahan. Keadaan saya yang tidak mungkin dapat membeli baju Melayu siap membuat ibu saya cepat-cepat bertindak menempah baju saya lebih awal.



Kami sekeluarga mencari kain di kedai kain Nagoya yang terletak dalam bangunan Carrefour Wangsa Maju. Ramai juga orang yang ada di Carrefour pada malam itu. Mata saya melilau melihat barang-barang dan juga ga... Oppss..! Saya terlupa, saya sedang berjalan dengan ibu saya. Jadi saya mengurangkan aktiviti mencuci mata saya melihat gadis-gadis.



Ramai juga umat manusia yang sibuk memilih kain. Bukan sahaja untuk tempahan baju raya, malah kain untuk dibuat langsir dan juga alas meja. Ada juga anak-anak yang menangis, memekik, memeningkan kepala ibu bapanya. Apa nak buat, itulah lumrah membawa anak kecil.



Malam itu, kami hanya membeli kain untuk Ayah dan saya. Ini adalah kerana kain untuk ibu dan adik-adik saya yang lain sudah dibeli dari bulan yang lepas lagi. Siap membayar, kami mula beransur pulang. Sambil berjalan, ibu saya ingin singgah di butik Fair Lady, akan tetapi malangnya, butik itu tutup awal.



Ibu bertanya adakah kami hendak makan apa-apa. Oleh kerana saya ternampak kiosk menjual waffle, saya dan Hawa memilih waffle. Ayah pula terus pergi ke kedai Dunkin Donuts untuk membeli kuih donut yang trendy itu. Baru saya tahui sebenarnya ayah saya memang selalu membeli dan makan donat dari Dunkin Donuts. Saya sendiri tidak pernah membeli Dunkin Donuts.



Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Mali’s Corner untuk membungkus Char Kuey Teow kegemaran Ibu. Sambil menunggu giliran, saya terserempak dengan Din, kenalan lama saya. Din yang pernah digelar Din Babi sekarang sudah amat kurus dan berwajah cengkung. Nampaknya, diet separa vegeterian yang diamalkan beliau memberi kesan drastik... hehehehe. Saya tidak sempat berbual lama dengan Din, kerana ingin cepat pulang ke rumah.


Tiada ulasan: