Sabtu, 9 Ogos 2008

Gema gangsa beraroma rendang di Bangsar.



Hari Ahad yang lalu, kami menerima jemputan untuk bermain gamelan bersempena kenduri Kompleks Sukan TNB di Bangsar. Mereka yang bergamelan bersama saya pada Ahad itu adalah Pokcik, Faris, Wan, Man dan Su. Kak Sha pula bertindak sebagai pegawai pengiring kami.




Kami bertolak seawal jam 9.30 ke sana. Sudah agak lama saya tidak mengikuti dan bermain untuk persembahan luar seperti ini. Sampai sahaja, seperti biasa, kerja-kerja pemunggahan dijalankan dengan pantas. Setelah siap memunggah, kami terus menukar pakaian memakai pakaian bangsawan yang menjadi pakaian seragam untuk kami melakukan persembahan. Sudah agak lama juga saya tidak memakai samping dan tanjak.




Siap berpakaian, kami terus beratur untuk menjamu selera. Kami yang pada mulanya beratur awal, telah dipotong barisan oleh kumpulan makcik-makcik yang begitu buas. Dengan ketakutan, kami hanya menanti di sisi membiarkan kumpulan makcik-makcik itu mengambil makanan dahulu. Akan tetapi, kami bertuah kerana kaunter kedua pun mula buka, dan kami terus ambil makanan dari kaunter itu.




Seperti biasa, wan yang terkenal dengan tabiat pemakanannya telah mengambil juadah makan tengaharinya sepenuh-penuh pinggan. Sudahlah dia memakan dengan menggunakan sudu dan garfu, habis bertaburan lauk-lauknya di sekeliling pinggan. Kami yang sudah biasa, tidak terperanjat dengan fenomena itu.




Setelah perut kenyang dan penuh, kami kembali ke pentas dan mula untuk bermain. Kami bermain gamelan berselang seli dengan ucapan, bacaan selawat dan juga lagu-lagu asli yang diputarkan DJ.



Semasa kami sedang berehat sebentar, Wan sempat membuat onar. Sambil mulutnya sedang rancak bercerita, buntutnya juga tidak duduk diam... dengan satu lafaz “alamak..” vibrasi kentut pun menderu keluar. Pokcik adalah orang yang paling terasa vibrasi itu. Nasib baik baunya tidak naik semerbak.



Setelah kenduri hampir tamat, kami pun pula berhenti dan mengemas alat. Sebelum pulang, kami sempat makan untuk kali ke dua. Kami makan sebanyak mana kami makan ketika makan tengahari tadi. Kami juga menerima bungkusan makanan yang banyak untuk dibawa pulang.



Ketika ingin mengemas alat masuk ke dalam van, van pula membuat hal. Tiba-tiba tidak mahu hidup dan baterinya yang mati agaknya. Kuba menolaknya beramai-ramai dengan kudrat yang tinggal (walaupun saya hanya tengok dan gelak). Akan tetapi, ia tetap tidak mahu hidup. Akan tetapi, apabila kami tidak menolak beramai-ramai, dan hanya seorang Abang sahaja menolaknya dengan berundur, tiba-tiba van itu hidup kembali. Saya kembali mengetawakan usaha mereka beramai-ramai tadi yang sia-sia.




Setelah semuanya selesai, kami pun beranjak pulang ke Uniten. Malam itu pula saya ada aktiviti latihan bersama kugiran baru saya. Kami akan cuba lagu baru kami dengan penuh emosi. Arggghhh!


Tiada ulasan: