Selasa, 7 Oktober 2008

Huru Hara Malam Raya


Persiapan untuk menyambut Syawal di rumah saya sudah bermula dari awal pagi. Saya juga terpaksa bangun lebih awal (Pukul 9 itu adalah super awal bagi saya) kerana diperintahkan mengikut ayah dan Hawa membeli barang di Selayang. Itulah pertama kali saya terlibat dalam upacara membeli bunga untuk digubah menjadi hiasan.

Setelah pulang, akitiviti mengemas dan menghias rumah pula rancak berjalan. Oleh kerana sudah ramai tentera buruh kanak-kanak yang sudah dikerah, saya lebih enak terbongkang semula di atas kerusi hadapan televisyen. Lagipun saya tidak berbakat menghias rumah.


Petang itu, setelah solat Asar, saya sudah bersiap sedia untuk menjalankan tugasan yang telah diamanahkan oleh ketua kampung. Saya bertanggungjawab untuk projek membakar 500 cucuk sate untuk tetamu yang datang bertakbir malam itu, dan juga sebagai hidangan sampingan untuk esok.


Proses pembakaran sate hanya dapat dimulakan pada jam 6.45pm kerana terlupa untuk menyahbekukan sate-sate dengan lebih awal. Kerja menceraiceraikan sate terpaksa dikerjakan dengan begitu cermat. Daging yang sudah beku dan bercantum amat mudah untuk rosak, berpecah belah dan binasa jika tiada kesabaran dan kecermatan dalam proses pemisahan. Tangan yang lembut dan suci memang sangat diperlukan.


Setelah berbuka, baru kami perasan, kami kekurangan besi untuk rel langsir. Jadi, saya telah ditugaskan bersama adik saya Halim untuk mencari rel langsir di pasaraya Carrefour Wangsa Maju. Kami juga dikerahkan untuk membeli bunga hiasan tambahan. Jadi, kerja-kerja pembakaran sate saya serahkan sementara kepada adik saya Hakim dan sahabat zaman kanak-kanak saya, Firdaus dan Fazriq. Firdaus sekarang sudah menjadi graduan diploma kejuruteraan awam dan Fazriq pula sudah menganggotai pasukan tentera untuk kor armor di Raja, Angkatan Tentera Malaysia.


Setelah pulang dari Carrefour, sepupu-sepupu saya, Abang Buyung sekeluarga dan Abang Am sekeluarga sudah tersedia bagi memeriahkan lagi suasana huru hara malam raya di rumah saya, menyertai keluarga Kak Ina yang sudah datang semenjak hari Jumaat lagi. Kerja pembakaran sate masih diteruskan dengan tertib oleh Firdaus dan Fazriq. Saya sebagai teraju utama memerhati dan memanduri kerja-kerja mereka agar sempurna.



Anak-anak sepupu saya bersama ibu-ibu mereka duduk didalam rumah membuat berbual sambil menonton drama-drama yang telah terhidang untuk seisi keluarga.



Herman muncul kemudian. Ya, Herman, abang kepada Firdaus memang pakar dalam proses pembakaran sate. Sekejap sahaja beratus-ratus sate selesai dibakar dengan sempurna. Tanpa kompromi dan banyak bunyi.


Jam 9.30pm, rombongan orang kampung mula sampai dan bersedia untuk majlis takbir berjemaah. Sate-sate yang telah siap dibakar dibawa masuk ke dalam sebagai hidangan kepada jemaah-jemaah yang selesai bertakbir dan berdoa. Setelah rombongan takbir beredar, sampailah giliran kami untuk mula berhuru-hara.

Halim sudah sedia mengeluarkan botol shisha nya, Hakim pula sudah bersedia dengan lastik dan lilin untuk permainan membakar mercun. Hanya Halim dan sepupu saya Rashid sahaja yang menghisap shisha dalam keluarga kami. Menurut Abang Am, Shisha adalah bahan hiburan bagi Arab Jahilliah yang miskin… kah kah kah kah.


Terdapat dua batallion perang pada malam itu. Hakim yang dibantu oleh Fazriq, bermain mercun letupan dan bunga api yang agak dewasa, manakala, anak-anak sepupu kami sebagai pemain bunga api kecil yang ternyata amat menghiburkan kanak-kanak yang masih belum mengenal erti kegembiraan sebenar.


Golongan yang lebih dewasa pula, hanya berkumpul dalam rumah, menikmati juadah sehingga masing-masing mengantuk. Saya, Hakim dan Hawa meneruskan kerja menghias rumah, setelah semua orang tidur. Malam itu saya sempat tidur beberapa jam sahaja sebelum menanti ketibaan pagi Syawal keesokannya.



2 ulasan:

Gadis Gombak berkata...

Teringin nak raya dekat KL..

turtlebeach berkata...

wallamak,cam pro la herman bakar satay.hahah.da lama ak xbraya kt kL la,cam meriah je kt tmp ko.