
Sabtu, 13 November 2010
Budak Itu

Khamis, 29 Januari 2009
Sekitar majlis pertukangan, eh! pertunangan Pirah.


Abdul Razak, sebagai ketua keluarga Haji Shair, menjalankan tugas sebagai penerima pinangan.
Ucu (Abdul Aziz), berbaju pink memerhati setiap isi rundingan.

Setelah berpuas hati dengan jumlah wang hantaran, maka setiap helai duit pun diperiksa bagi memastikan tiada duit palsu atau "black money" tersesat.

Setelah semuanya selamat, Abdul Hakim, selaku biro agama keluarga, membacakan doa selamat.
Mereka-mereka yang takut disuruh baca doa, awal-awal lagi sudah tersengih di luar, dan selepas doa habis, masuklah waktu makan, bagi kawasan yang sewaktu dengannya.
Pirah menanti segala rundingan berjalan lancar sambil bergambar bersama pasukan persiapan

Hantaran dari pihak perempuan juga sempat disusun rapi sebelum 'ter' jahanam
Selasa, 7 Oktober 2008
Huru Hara Malam Raya
Persiapan untuk menyambut Syawal di rumah saya sudah bermula dari awal pagi. Saya juga terpaksa bangun lebih awal (Pukul 9 itu adalah super awal bagi saya) kerana diperintahkan mengikut ayah dan Hawa membeli barang di Selayang. Itulah pertama kali saya terlibat dalam upacara membeli bunga untuk digubah menjadi hiasan.
Setelah pulang, akitiviti mengemas dan menghias rumah pula rancak berjalan. Oleh kerana sudah ramai tentera buruh kanak-kanak yang sudah dikerah, saya lebih enak terbongkang semula di atas kerusi hadapan televisyen. Lagipun saya tidak berbakat menghias rumah.
Petang itu, setelah solat Asar, saya sudah bersiap sedia untuk menjalankan tugasan yang telah diamanahkan oleh ketua kampung. Saya bertanggungjawab untuk projek membakar 500 cucuk sate untuk tetamu yang datang bertakbir malam itu, dan juga sebagai hidangan sampingan untuk esok.
Proses pembakaran sate hanya dapat dimulakan pada jam 6.45pm kerana terlupa untuk menyahbekukan sate-sate dengan lebih awal. Kerja menceraiceraikan sate terpaksa dikerjakan dengan begitu cermat. Daging yang sudah beku dan bercantum amat mudah untuk rosak, berpecah belah dan binasa jika tiada kesabaran dan kecermatan dalam proses pemisahan. Tangan yang lembut dan suci memang sangat diperlukan.
Setelah berbuka, baru kami perasan, kami kekurangan besi untuk rel langsir. Jadi, saya telah ditugaskan bersama adik saya Halim untuk mencari rel langsir di pasaraya Carrefour Wangsa Maju. Kami juga dikerahkan untuk membeli bunga hiasan tambahan. Jadi, kerja-kerja pembakaran sate saya serahkan sementara kepada adik saya Hakim dan sahabat zaman kanak-kanak saya, Firdaus dan Fazriq. Firdaus sekarang sudah menjadi graduan diploma kejuruteraan awam dan Fazriq pula sudah menganggotai pasukan tentera untuk kor armor di Raja, Angkatan Tentera Malaysia.
Setelah pulang dari Carrefour, sepupu-sepupu saya, Abang Buyung sekeluarga dan Abang Am sekeluarga sudah tersedia bagi memeriahkan lagi suasana huru hara malam raya di rumah saya, menyertai keluarga Kak Ina yang sudah datang semenjak hari Jumaat lagi. Kerja pembakaran sate masih diteruskan dengan tertib oleh Firdaus dan Fazriq. Saya sebagai teraju utama memerhati dan memanduri kerja-kerja mereka agar sempurna.
Anak-anak sepupu saya bersama ibu-ibu mereka duduk didalam rumah membuat berbual sambil menonton drama-drama yang telah terhidang untuk seisi keluarga.
Herman muncul kemudian. Ya, Herman, abang kepada Firdaus memang pakar dalam proses pembakaran sate. Sekejap sahaja beratus-ratus sate selesai dibakar dengan sempurna. Tanpa kompromi dan banyak bunyi.
Jam 9.30pm, rombongan orang kampung mula sampai dan bersedia untuk majlis takbir berjemaah. Sate-sate yang telah siap dibakar dibawa masuk ke dalam sebagai hidangan kepada jemaah-jemaah yang selesai bertakbir dan berdoa. Setelah rombongan takbir beredar, sampailah giliran kami untuk mula berhuru-hara.
Halim sudah sedia mengeluarkan botol shisha nya, Hakim pula sudah bersedia dengan lastik dan lilin untuk permainan membakar mercun. Hanya Halim dan sepupu saya Rashid sahaja yang menghisap shisha dalam keluarga kami. Menurut Abang Am, Shisha adalah bahan hiburan bagi Arab Jahilliah yang miskin… kah kah kah kah.
Terdapat dua batallion perang pada malam itu. Hakim yang dibantu oleh Fazriq, bermain mercun letupan dan bunga api yang agak dewasa, manakala, anak-anak sepupu kami sebagai pemain bunga api kecil yang ternyata amat menghiburkan kanak-kanak yang masih belum mengenal erti kegembiraan sebenar.
Golongan yang lebih dewasa pula, hanya berkumpul dalam rumah, menikmati juadah sehingga masing-masing mengantuk. Saya, Hakim dan Hawa meneruskan kerja menghias rumah, setelah semua orang tidur. Malam itu saya sempat tidur beberapa jam sahaja sebelum menanti ketibaan pagi Syawal keesokannya.
Selasa, 30 September 2008
Tarawih yang terakhir, 2008
Tadi, sudah termaktub bagi seluruh Malaysia bahawa Hari Raya, 1 Syawal akan jatuh pada 1 Oktober 2008. Bermakna kita akan berbeza dari Thailand dan Arab Saudi. Ini juga bermakna, malam ini adalah malam terakhir Ramadhan dan peluang terakhir untuk kita bersolat Tarawih untuk tahun ini.
Malam ini saya dengan hati yang ikhlas telah mandi dan bersiap, sejurus selepas berbuka dan solat Maghrib. Malam ini saya mesti solat Tarawih. Peluang ini entah saya akan dapat lagi, entahkan tidak. Jadi, malam ini saya mesti.
Saya tidak mengikut Ayah untuk ke Masjid Simpang Tiga, kerana agak malas untuk menunggu sehingga habis 20 rakaat. Ayah menjadi bilal tarawih pada malam ini. Saya hanya pergi ke surau berdekatan sahaja. Pemergian saya diikuti oleh adik saya Hawa dan Hakim serta anak-anak Kak Ina - Nabila, Nabil dan Aisyah.
Oleh kerana Kami tiba agak awal, iaitu sebelum tiba waktu Isya', maka sempat untuk saya beri'tikaf dahulu. Nabil yang masih belum mumayiz hanya berteleku duduk di sebelah saya sambil memerhati keliling. Walau sesudah azan, jemaah hanya ramai apabila jam menunjukkan pada 8.25pm dan Solat Isya' hanya dimulakan pada jam 8.30pm
Malam itu, walaupun adalah malam yang terakhir dan ramai yang sudah pulang ke desa halaman masing-masing, tetapi alhamdulillah, masih ramai yang berkesempatan untuk berjemaah dan bertarawih bersama di surau. Adik saya, Hakim adalah bilal tarawih pada malam ini di surau ini. Saya hanya bertarawih sebanyak 8 rakaat sahaja dan pulang terus setelah selesai, tanpa menunggu jamuan moreh. Bukan kerana sombong atau berlagak, akan tetapi kerana masih banyak kerja yang menanti di rumah.
Ya, ini adalah tanda awal Ramadhan akan meninggalkan kita. Benar, Ramadhan pasti akan kembali, akan tetapi, adakah saya berkesempatan untuk bertemu kembali dengan Ramadhan? wallahua'lam... :)
Khamis, 25 September 2008
Balik Kampung
Hadi: Man, kau bila balik kampung?
Luqman: Jumaat ni, insyaAllah..
Hadi: Kau drive ke balik Terengganu?
Luqman: Ha'ah, aku kena jadi driver makcik aku. Ko pulak bila balik kampung?
Hadi: Jumaat ni gak.
Luqman: Kau balik mana?
Hadi: Gombak.
Luqman: Ko tak balik kampung?
Hadi: Tu lah kampung aku. Gombak.
Luqman: Chet! dekat je!
Hadi: Apa boleh buat, tu je lah kampung asal dari datuk nenek aku... huhuhu
gambar - arwah datuk, Hj Ali
Rabu, 6 Ogos 2008
Sepetang di dusun Changkat
Petang Jumaat itu, saya mengikut ayah dan Hawa pergi ke dusun ibu saya di Kampung Changkat, berjiran dengan Kampung Simpang Tiga, Gombak. Tujuan asal kami adalah untuk menunggu durian, mengait rambutan dan menjolok manggis. Dusun ibu selalu diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan buah-buahan selalunya dicuri.
Setelah mengisi minyak, kami terus menuju ke Kampung Changkat melalui Taman Greenwood. Sudah agak lama saya tidak mengikut pergi ke dusun. Dusun itu adalah peninggalan Arwah datuk saya kepada ibu saya. Dusun seluas setengah ekar itu diberkati dengan pokok-pokok buah seperti manggis, pulasan, rambai, cempedak, rambutan, dan yang paling masyhur adalah durian.
Sampai sahaja, saya mula terkenangkan zaman kanak-kanak saya yang gemar meliar dan bermain dalam kawasan dusun itu. Bukan sahaja pokok, pelbagai jenis haiwan juga ada dapat dilihat.
Untuk menangkis serangan nyamuk, saya berusaha menghidupkan unggun api. Terasa seperti ingin mengadakan BBQ pula sambil membesarkan api. Sedang asyik berkhayal dengan api, ayah dan Hawa sudah mula menjolok manggis. Hawa memang agak bersungguh-sungguh menjolok manggis dengan galah buatan dari buluh sambil memanjat tangga.
Sedang asyik mengutip manggis yang gugur ke tanah, muncul saudara saya, Abang Atan yang tinggal berhampiran. Dia tidak datang dengan tangan kosong. Di tangannya ada sebekas penuh tempoyak yang dia kikis sendiri. “Nanti bagi kat Mak... ” Abang Atan memesan sambil menghulurkan bekas itu kepada saya. Abang Atan juga diiringi oleh sepasang kucingnya yang comel dan berekor kembang ibarat musang.
Saya agak gemar mengamati telatah dan menangkap gambar kucing-kucing comel itu yang jinak dan asyik bergurau. Sedang khayal memerhati, tiba-tiba “Gedebuk!” Sebiji durian luruh dan sipi-sipi lagi hendak menghempap kepala saya. Alhamdulillah, saya masih selamat, waras, dan bernyawa.
Setelah langit mula gelap, kami mengemas buah-buah yang telah kami kumpulkan dan mula bergerak untuk pulang. Hasil kami pada hari itu tidaklah selebat yang pernah saya alami semasa saya masih kecil dahulu...











