Memaparkan catatan dengan label puasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label puasa. Papar semua catatan

Selasa, 30 September 2008

Tarawih yang terakhir, 2008


Tadi, sudah termaktub bagi seluruh Malaysia bahawa Hari Raya, 1 Syawal akan jatuh pada 1 Oktober 2008. Bermakna kita akan berbeza dari Thailand dan Arab Saudi. Ini juga bermakna, malam ini adalah malam terakhir Ramadhan dan peluang terakhir untuk kita bersolat Tarawih untuk tahun ini.

Malam ini saya dengan hati yang ikhlas telah mandi dan bersiap, sejurus selepas berbuka dan solat Maghrib. Malam ini saya mesti solat Tarawih. Peluang ini entah saya akan dapat lagi, entahkan tidak. Jadi, malam ini saya mesti.

Saya tidak mengikut Ayah untuk ke Masjid Simpang Tiga, kerana agak malas untuk menunggu sehingga habis 20 rakaat. Ayah menjadi bilal tarawih pada malam ini. Saya hanya pergi ke surau berdekatan sahaja. Pemergian saya diikuti oleh adik saya Hawa dan Hakim serta anak-anak Kak Ina - Nabila, Nabil dan Aisyah.



Oleh kerana Kami tiba agak awal, iaitu sebelum tiba waktu Isya', maka sempat untuk saya beri'tikaf dahulu. Nabil yang masih belum mumayiz hanya berteleku duduk di sebelah saya sambil memerhati keliling. Walau sesudah azan, jemaah hanya ramai apabila jam menunjukkan pada 8.25pm dan Solat Isya' hanya dimulakan pada jam 8.30pm



Malam itu, walaupun adalah malam yang terakhir dan ramai yang sudah pulang ke desa halaman masing-masing, tetapi alhamdulillah, masih ramai yang berkesempatan untuk berjemaah dan bertarawih bersama di surau. Adik saya, Hakim adalah bilal tarawih pada malam ini di surau ini. Saya hanya bertarawih sebanyak 8 rakaat sahaja dan pulang terus setelah selesai, tanpa menunggu jamuan moreh. Bukan kerana sombong atau berlagak, akan tetapi kerana masih banyak kerja yang menanti di rumah.



Ya, ini adalah tanda awal Ramadhan akan meninggalkan kita. Benar, Ramadhan pasti akan kembali, akan tetapi, adakah saya berkesempatan untuk bertemu kembali dengan Ramadhan? wallahua'lam... :)

Isnin, 29 September 2008

Kek Pra Syawal


Semalam, adik saya Hawa telah membuat kek untuk mempraktikkan kemahiran membuak kek beliau. Saya dan seorang lagi adik saya, Adibah telah turut menyibuk untuk membantu kerana ingin belajar selok belok membuat kek yang memang saya sangat minat.

Selalunya Hawa membeli tepung kek segera, akan tetapi, tapi kali ini Hawa membuat sendiri dengan resipi yang dipelajarinya...

Pada asalnya, saya yang terlalu teruja, menggunakan mesin pengadun telah mengakibatkan mentega dan gula berterabur keluar dari mangkuk. Setelah membiasakan diri, akhirnya saya berjaya menjadi tukang adun yang konsisten walau tangan saya bergetar-getar dibuatnya.

Proses membuat kek itu juga diperhatikan oleh beberapa anak Kak Ina yang masih degil belum mahu tidur. Saya tekun menanti kek itu siap dibakar dan dlapisi dengan krim yang juga dibuat sendiri, setelah kek itu sejuk. Saya tidak makan kek itu terus kerana sabar menanti untuk makan bersama anak-anak Kak Ina yang telah pun terlelap.

Saya sempat menurunkan tandatangan saya (bukan dengan jari ya! saya masih bermaruah) pada kek itu, memandangkan saya terlibat juga dalam proses penghasilannya.. hehehehe..




Ketika kemasukan ini ditulis, kek ini sudah tinggal separuh sahaja! kah kah kah kah!

27 Likur


27 likur...

Maaf, saya bukan bercerita mengenai malam 27 likur di mana berkemungkinan diturunkan malam seribu malam yakni, malam lailatul qadar, di mana setiap yang berjaga dan berdoa pada malam itu, berkemungkinan besar untuk doa mereka ditunaikan.

Saya juga berjaga pada malam itu, dan berdoa. Doa saya agar saya mendapat RM 10 juta tunai dan dipinang oleh Jang Nara, akan tetapi nampaknya doa saya memang masih tidak tertunai. Mungkin doa saya masih belum diberkati atau saya masih bukan orang suci.. huhuhu.

Pada 27 Ramadhan yang lalu, alang-alang kami (saya, Zul dan Asrina) ingin pulang ke rumah, kami mengambil kesempatan untuk merayau-rayau di kompleks membeli-belah terkemuka bagi melihat kerancakan warga-warga kota untuk persiapan raya dan suasana meriah menjelang Syawal di kotaraya.

Pada awalnya, kami pergi ke Midvalley Megamall, akan tetapi, kesesakan yang ultra melampau dan ketiadaan tempat letak kereta, kami beredar dengan dengusan kehampaan pergi mencari kompleks urban terkemuka yang lain. Zul terus memacu Kelisa Manjanya menuju ke daerah Petaling Jaya untuk pergi ke kompleks One Utama. “Tak mainlah kompleks-kompleks picisan murah-murah” kata Zul yang perasan kaya.

Di One Utama, agak padat juga, akan tetapi masih ada ruang untuk kami meletakkan kenderaan. Setelah masuk sahaja ke dalam, kami terus masuk ke selinap butik-butik yang ada untuk mencuci mata dan berangan-angan. Maklumlah, masing-masing memang sengkek tak ingat punya, tapi masih ada hati nak merayau.

Saya tidak mencuci mata melihat gadis-gadis kali ini kerana saya tidak mahu pahala puasa saya berkurang, dan juga kerana Asrina ada ikut saya. Kami sempat bertembung dengan keluarga Puan Siti Fatimah (Cikgu AF) bersama anak-anak dara beliau, Syarifah Amani dan dua lagi yang kecil-kecil saya tak ingat nama. Asrina yang teruja ingin bergambar bersama mereka akan tetapi saya nasihatkan tidak kerana tak elok menganggu keluarga orang sedang bersenang-lenang membeli-belah.

Saya juga menasihatkan begitu kerana risau nanti Zul akan mengurat Puan Siti Fatimah. Kan leceh nanti kami dituduh penyumbangleweng di kawasan urban itu. Jatuhlah kredibiliti saya sebagai egois bergaya yang menjaga maruah. Lagipun kami terlalu pokai untuk membayar wang jaminan jika ada di antara kami yang ditangkap polis.

Kami meneruskan kembara cuci mata kami ke dalam butik-butik dan juga mencuba beberapa pakaian. Memang banyak juga pakaian yang menarik untuk dibeli, Cuma nilai matawang kami sahaja yang tidak menarik.

Kami sempat singgah di satu butik yang ada menjual kasut berjenama Macbeth. Ya, saya memang berminat dengan jenama itu. Lebih-lebih lagi setelah Amir dengan penuh lagaknya telah membeli sepasan dan memberi saya mencubanya. Baru lah ‘emo vegan trendy’ babeh! Saya terliur dengan sepasang yang berwarna kelabu. Kali inti saya tidak memilih hitam kerana yang berwarna hitam tidak menarik. Saya terus menyambung angan-angan dan meletak kembali kasut itu setelah puas memegang dan membelek-belek. Nanti bila saya sudah bekerja, saya akan beli kasut itu dan memijak kaki Amir.

Setelah puas merayau, kami melihat-lihat keliling kompleks. Akan tetapi, seperti kurang meriah suasana menjelang Syawal di One Utama. Ketika saya masih kanak-kanak belum mumayiz dulu, pasti sudah banyak lagu-lagu raya antaranya dendangan DJ Dave berkumandang dan banyak kad-kad raya gergasi dan ketupat-ketupat gergasi menghiasi sekitar kompleks. Kali ini, kad raya biasa pun saya tidak jumpa.

Setelah puasa merayau, berangan, dan mencuci mata, kami pun bergerak keluar untuk pulang… he he he he.


Khamis, 25 September 2008

Berbuka di masjid Uniten di hari terakhir...


Malam tadi adalah malam yang terakhir bagi saya menyertai jemaah berbuka puasa di Masjid Uniten. Ada 3 sebab kenapa.

1) Esok saya balik Gombak
2) Esok sudah tiada majlis berbuka di Masjid
3) Ini semester terakhir saya di Uniten... huhuhu

Jadi, saya bersama ahli-ahli jemaah tetap berbuka, menikmati lauk hari ini dengan penuh kecapan nikmat dan rasa anugerah. Setiap kunyahan dinikmati dan setiap butir nasi yang hancur ditelan dengan perlahan. Setiap teguk air dibiarkan mengalir perlahan mendinginkan kerongkong.

Setelah siap makan, kami tidak bingkas bangun mencuci tangan, malah duduk diam sebentar melayan perasaan diam sebentar sambil menanti lega sengkak ruang perut.

Habis sahaja solat Maghrib, kami kembali turun ke dewan makan. Di bawah, kami berjumpa kembali dengan Imam Syafee (Baba) yang menjadi teman karib dan juga ibarat ayah angkat saya di Masjid Uniten ini.

"Ini anak angkat saya, tapi nak angkat kena pakai kren"

Seloroh beliau memang tidak pernah henti, tak mengira masa dan tempat. Sudah hampir 3 tahun saya kenal beliau, hubungan kami masih mesra, walau selalunya hanya berjumpa di bulan Ramadhan... Kami bersalam raya dan berpelukan sebelum pulang. Agak susah untuk bertemu dengan seorang pendakwah dan imam seperti beliau. Semoga saya berkesempatan berjumpa beliau di lain kali...

Sekian...


Puasa, bagaimana puasa Rasulullah?


Setiap kali menyambut Ramadhan, berbuka puasa sudah dijadikan ibarat pesta. Setelah saya terbaca artikel ini, saya mula tersedar. Selama ini memang saya mewah dan tidak pernah merasakan betul-betul erti kelaparan orang yang kebuluran...

Agaknya bagaimana rasanya berlapar sehingga terpaksa mengikat perut dengan batu, ibarat yang pernah dilakukan Baginda Rasulullah S.A.W? Saya pun tidak dapat bayangkan.. Maaf..

Selasa, 9 September 2008

Jenaka setelah berbuka


Setelah kenyang berbuka di dewan utama masjid, saya bersama Zul (bukan Zul koir) dan Ammzar naik ke tingkat atas untuk mengangkat wuduk dan solat maghrib. Dengan tangan yang masih belum berbasuh, dialog ini pun tercetus.


Ammzar : Puasa sekarang ni sejuk la pulak, senang lapar.

Zul : Ada member aku, lapar dia tahan, haus pun dia tahan, tapi satu je dia tak tahan.

Ammzar : Apa dia?

Zul : Dia tak tahan nak korek hidung! dia kata, kalau tak korek hidung, tak puas.. hahahaha

Hadi : Eh, tapi sebenarnya korek hidung boleh je la... tak batal pun

Ammzar : Ha'ah, pasal korek hidung pun banyak gak orang kata tak batal.

Hadi : Tapi, jangan la pulak masuk tiub kat hidung, pastu masukkan makanan.. masukkan nasik ke, memang lah batal..

Zul : Aku rasa kalau nak senang, masukkan yogurt je... kenyang jugak... hahahaha!

Ammzar : Tapi kalau nasik terkeluar ikut hidung macam mana ha?

Hadi : Huih! pedih tu, mau nya yang ada sambal... hahahahahaha!

Isnin, 8 September 2008

Berbuka di masjid? yum yum



Ya, di bulan Ramadhan yang mulia ini, Masjid mula menerima kedatangan saya dan beberapa ahli rumah yang lain dengan lebih kerap. Berbuka di Masjid sudah menjadi aktiviti utama bulan Ramadhan kepada saya untuk sepanjang 3 tahun saya di Uniten.


Akibat dari berbuka di Masjid, Baba, salah seorang imam dan pegawai agama di Masjid Uniten sudah menjadi sahabat saya dan selalu berbual dan bergurau dengan saya sambil menanti waktu untuk berbuka. Beliau adalah salah seorang orang agama yang agak lain dari yang lain.


Aktiviti ini amat saya sokong kerana, bukan sahaja dapat mengimarahkan Masjid, malah ia dapat menjamin kestabilan ekonomi poket saya. Maklumlah, makan percuma. Bukannya senang dapat berjimat ketika belajar di Uniten ini. Saya bersama setiausaha ekonomi dan kebajikan saya, Ammzar memang menjadikan ini sebagai aktiviti tetap kami untuk berbuka, melainkan ada rancangan lain. Apa-apa pun, Bismillahirrahmanirrahim... :)


aiskrim asam boi orgasma


Ketika pulang sahaja ke rumah tempoh hari, saya seperti biasa akan menyiasat tudung saji dan juga peti sejuk. Apabila dibuka sahaja pintu peti sejuk, Subhanallah, satu keindahan terpancar bersinar. warna oren diselaputi wap air membeku begitu mencabar keimanan saya. Oh ibu, kenapa begitu rajin membuat aiskrim asam boi di kala Ramadhan ini?


Akan tetapi, memandangkan waktu berbuka yang cuma akan tiba dalam satu jam sahaja lagi, saya langkas mengatur langkah pergi menonton televisyen untuk mengalih perhatian. Akan tetapi, mata ini lebih bernafsu untuk tidur. Ya, sungguh enak tertidur di atas sofa di hadapan TV.

Setelah habis membinasakan segala lauk yang ada di meja makan semasa berbuka, tangan rakus ini mula merayap mencari objek panjang berwarna perang tadi yang tersembunyi dalam ruang konfeksi sejuk beku dalam peti sejuk itu.

Dengan menggigit simpulan sarungnya, mencabut simpul itu, mulut kering ini terus menyedut ruang yang terbuka itu, menyonyot dan menyedut segala kemanisan dingin yang sebati bersama air membeku.. perghhh! nikmat!

Kenikmatan itu diakhirkan dengan penuh sabar mengunyah isi asam boi yang mengilingi bijinya. Asam boi itu segaja disimpan untuk mencapai mendaki kemuncak kenikmatan yang hakiki. Dan kenikmatan orgasmic itu hanya akan tercapai dengan menggigit biji asam boi itu sehingga pecah di akhir proses menikmati... kah kah kah kah!

Isnin, 1 September 2008

Selamat bertemu kembali ya Ramadhan!




Ramadhan datang lagi! Alhamdulillah, saya masih bernyawa dan berkesempatan untuk bertemu dengan bulan seribu bulan, penghulu segala bulan. Malam semalam, saya sempat bertarawih di Masjid Simpang Tiga (Jami'ul Shariff) bersama adik saya Hakim. Sudah agak lama saya tidak bertarawih di sana kerana selalunya saya hanya mewakilkan ayah saya bertarawih di surau Jalan Sepakat. Masjid ini memang ada nilai sentimental value kepada saya. Maklumlah, di sinilah saya banyak menghabiskan masa ketika masih kanak-kanak belum baligh. Selesai tarawih dan witir, saya tidak melepaskan peluang untuk minum bersama jemaah-jemaah lain di dewan makan. Ternyata lebih ramai jemaah yang kenal Hakim dan tidak kenal saya. Nampak sangat saya sudah terlalu lama tidak bergaul dengan jemaah-jemaah Kampung Simpang Tiga, tidak seperti adik saya Hakim





Ramadhan itu sendiri memang sentiasa memberikan sentimental value kepada saya. Selalunya banyak benda yang tidak terjangka akan berlaku kepada saya dalam bulan Ramadhan. Ramadhan juga selalunya menjadi tempoh untuk titik perubahan kepada diri saya. Setiap kali menempuh Ramadhan, mesti ada perubahan yang berlaku dengan diri saya. Tidak kira kecil atau besar, tidak kira mental atau fizikal, tidak kira jasmani atau rohani. Entah apa agaknya perubahan yang kali ini... Saya hanya menunggu, melihat dan menerima.


Saya juga seronok kerana kali ini kami sekeluarga sempat bersahur bersama-sama semua adik beradik.. Halim yang super pemalas itu pun bangun untuk bersahur. Kami berderet 4 beradik makan sebaris atas kerusi menghadap televisyen. Mak dan ayah di meja makan, sudah tidak hirau dengan karenah kami yang degil-degil belaka. 4 orang? mana lagi seorang? Oh tidak rupanya, Adibah masih ada di Kelantan... Hemm.. masih belum cukup kuota rupa-rupanya. Mungkin menjelang Syawal nanti barulah dapat kami bersahur bersama-sama.

Agak malang kerana saya tidak sempat berbuka puasa di rumah hari ini kerana ada kerja yang menimbun menanti di Uniten. Saya hanya berbuka puasa dengan Ammzar.

Walau apa pun, saya berdoa dan berharap agar Ramadhan kali ini penuh makna dan keberkatan. Ramadhan kali ini juga terlalu hampir dengan takuk perubahan umur saya. Semoga Ramadhan kali ini menjadikan saya lebih elok dari dahulu... Amin Ya Rabbul Alamin...

Selamat bersahur!