Memaparkan catatan dengan label dunia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label dunia. Papar semua catatan

Sabtu, 13 November 2010

Budak Itu


Saya baru sudah menonton satu filem lama, The Kid lakonan Bruce Willis.
Sedap cerita dia.

Buat saya terfikir...
Ya, saya sedar, saya sudah 28 tahun.
28 tahun, 2 bulan, 10 hari kalau nak lebih tepat.
Puas hati?

Celaka tak?

Gambar di atas adalah ketika saya berumur 1 setengah tahun, tahun 1984.
Banyak yang berubah selain rupa-bentuk.

Alhamdulillah, saya masih hidup dan bernyawa.

Memang saya akui, selama umur ini, saya menolak untuk dewasa. Saya tidak mahu ada tanggungjawab yang berat. Saya tidak mahu susah-susah fikir demi kepentingan orang lain.
Saya mahu buat hanya apa yang saya suka!

Yang paling penting, saya tidak mahu melakukan sesuatu yang saya tidak suka

Jangan tipu, siapa yang mahu ada tanggungjawab dan kerja jika tiada ganjaran? Dalam erti ganjaran, saya maksudkan juga pahala.

Tapi, cakap senang lah kan?

Habis menonton tadi, saya mula terfikir. Saya diambang 30. Apa pencapaian yang telah saya capai?

Sesetengah orang mengukur tahap pencapaian mereka dengan angka gaji, bilangan isteri, bilangan anak, pangkat, bilangan rumah, cc enjin kereta, bilangan negara sudah dilawati, bilangan syarikat, bilangan pingat... bla... bla... bla...

Oh, tidak terlupa pula dengan tahap pendidikan..

Ya, saya sudah ada Ijazah. Tahun 2009 saya sah bergelar graduan. Perjalanan untuk saya ada ijazah bukan mudah. Perjalanan bengkang-bengkok penuh rintangan. Bermandikan peluh, darah, muntah dan air mata. Memang susah nak ada ijazah. Jadi, saya akan hargai ijazah yang saya ada. Jangan banyak cakap.

Apa lagi yang saya ada?

Saya masih belum kahwin. Kerja juga masih belum stabil. Kewangan yang sentasa goyang. Komputer yang rosak. BEN yang manja. WUH yang masih dalam hutang.

Oh ya, hutang saya juga keliling pinggang. Hutang paling banyak adalah PTPTN. Mengalahkan WUH.

Kalau ikutkan hati, memang saya nak lari. Tinggalkan segala-galanya. Tinggalkan kerja. Tinggalkan tanggungjawab. Tinggalkan negara juga. Nak mengembara. Nak jadi macam brader Pete Jordan. Merayau ikut hati. Hati saya hanya akan betul-betul girang jika dapat merayau.

Tapi, saya tidak boleh lari macam itu sahaja. Saya tidak sezalim itu. Saya masih ada keluarga. Masih ada mak dan ayah. Gila apa nak lari sekarang?

Cita-cita?

Saya sudah lupa yang saya pernah ada cita-cita. Kali terakhir saya ada cita-cita kononnya adalah pada tahun 1998. Semenjak itu, saya hanya menempuh masa hadapan dengan berjudi nasib. Bukan mudah. saya pernah hampir sesat, dan banyak ambil masa.

Tapi, saya tak pernah menyesal atas jalan hidup yang ditakdirkan untuk saya lalui.
Saya sangat percaya dengan takdir dan pilihan. Dan adakalanya takdir menjuarai pilihan. Itu saya akur.

Jadi, pada hemat saya, pencapaian saya sekarang adalah;
saya sudah makin rapat bersama keluarga.

Saya cuba qada' waktu bersama keluarga yang banyak polos di zaman awal remaja saya. Dalam 4 tahun kebelakangan ini, hati saya cukup tenang jika dapat bersama keluarga. Jadi, harap anda faham kenapa saya lebih kerap mahu balik ke Kesultanan Gombak.

Saya sudah dewasa? Terus terang, hati saya masih menolak untuk dewasa. Budak dalam gambar di atas masih ligat bermain dalam jiwa saya.
Tapi, fikrah tetap fikrah...

Semoga saya tidak hanyut jauh dalam menempuh masa hadapan ya!

Sekarang, saya nak sambung tiga laporan yang kena bentangkan Isnin ini. Oh Tuhanku

Rabu, 13 Oktober 2010

Selera pendosa adakalanya tak sedap juga

Tengahari itu Apis punya selera lain macam. Dia ajak kami, ahli persatuan makan tengahari Cyberjaya untuk berubah angin. Dia ajak kami makan di Putrajaya. Saya sebagai seorang "adventurer" hanya mengikut tanpa fikirkan masa hadapan.

Memang mencabar nak makan waktu tengahari di Putrajaya. Dia punya penuh tak boleh dibuat main-main.

Saya, Pokcik, Apis dan Wan D sibuk-sibuk naik kereta Ikmal. Gaya budak kampung yang tak pernah naik kereta besar. Iman Belia kami biarkan naik kereta sendiri.

Berkat cabut awal, kami sampai di sana sedap-sedap sahaja. Orang masih belum ramai. Ada juga sekumpulan jururawat. Tapi tak ramai yang muda. Apis yang tidak berkira sangat, tetap mengusya dengan sopan. Apis memang agak sopan dan pendiam orangnya. Dia gemar makan sayur dan binatang kurang tulang. Sebab itu dia suka makan ikan pari. Pokcik ambil nasi kukus di satu gerai Kelantan. Masih kuat semangat Ibrahim Ali beliau. Saya cuba menukar selera hari itu. Saya makan satu roti john saiz panjang bersama semangkuk ABC pelik berwarna kuning dan tinggi menggunung. Roti John tak berbaloi. Telur sahaja lebih. Daging hanya ada dua-tiga cebis sahaja. Andai dikumpulkan cebisan daging itu, lebih kurang besar duit 20sen.

Sedang asyik makan + berborak + mengusya makwe, meja pasukan makan tengahari kami dikejutkan oleh seorang gadis.

"Bang, minta maaf bang, ganggu kejap. Saya nak memperkenalkan sikit ni.. bla.. bla.. bla..." Laju sungguh gadis jurujual itu berbicara.

"Apa benda?" Saya yang sedang asyik mengunyah, menoleh, lalu memandang ke arah gadis itu dengan wajah persoalan. Ahli pasukan yang lain masih sibuk makan buat endah tak endah. Apis sambil menyuap kejap-kejap menoleh ke arah kumpulan jururawat duduk.

"Oh.. ini bang.. bla.. bla.." Gadis itu merapati saya, masih bercakap laju, sambil cuba menjual pakej cd Al-Quran bersama satu keping buku surah Yasin dan satu keping buku surah-surah pilihan.

"Ini bukan orang Akademi Fantasia bang, ini orang dari Akedemi Al-Quran yang baca.. bla.. bla.. bla.." Saya cuba tumpukan perhatian. Sudu sudah diletakkan dan mulut sudah berhenti mengunyah.

"Berapa harga ni?" Saya tanya balik.

"Lah.. kan saya dah cakap... hari ini ada harga promosi khas. Semua sekali RM10 sahaja. Bertuah kalau abang beli hari ini. Abang tak dengar ye saya cakap tadi? Saya cakap laju sangat ye? ..."

Memang saya pun sedang mencari cd Al-Quran sebegini. Alang-alang sudah depan mata, murah pula tu. Beli sahaja lah. Dapat surah Yasin sekali. Saya keluarkan duit dan bayar.

"cd ni nanti abang masuk kereta sahaja dah boleh dengar.. bla.. bla.. bla.." Gadis itu masih tak berhenti bercakap.

"Baik awak jangan kacau dia makan, kalau kacau dia makan, nanti dia marah, dia makan orang..." Pokcik ugut gadis itu dengan riak wajah serius.

Gadis itu tersengih lalu melangkah pergi. Saya belek cd di tangan kiri. Bukan kurang ajar, tapi tangan kanan sudah melekit.


"Betul ke harga promosi hari ni je? Ntah-ntah memang hari-hari RM10.." Iman Belia keluar bunyi.

"Ntah-ntah dia tipu.. haha.." Ikmal pula sambung..

Amboi, tadi masa budak tu jual, senyap sahaja ya.. bukan main lagi.

"Apa hukum agaknya?" Pokcik pula bersuara.

"Hukum apa Cik?" Saya tanya balik.

"Tipu harga jual cd Quran..." Pokcik sambung sambil belek botol air tebu yang tak sedap. Rasa macam tebu kunyah pakai gigi, lepas itu luahkan masuk dalam botol. Pokcik kata lah kan..

"Ntah lah. Kita bersangka baik je lah ye.."

Saya sambung hirup ABC warna kuning air jagung. Memang tak sedap. Lain kali tak nak beli lagi.