Memaparkan catatan dengan label hati. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hati. Papar semua catatan

Sabtu, 13 November 2010

Budak Itu


Saya baru sudah menonton satu filem lama, The Kid lakonan Bruce Willis.
Sedap cerita dia.

Buat saya terfikir...
Ya, saya sedar, saya sudah 28 tahun.
28 tahun, 2 bulan, 10 hari kalau nak lebih tepat.
Puas hati?

Celaka tak?

Gambar di atas adalah ketika saya berumur 1 setengah tahun, tahun 1984.
Banyak yang berubah selain rupa-bentuk.

Alhamdulillah, saya masih hidup dan bernyawa.

Memang saya akui, selama umur ini, saya menolak untuk dewasa. Saya tidak mahu ada tanggungjawab yang berat. Saya tidak mahu susah-susah fikir demi kepentingan orang lain.
Saya mahu buat hanya apa yang saya suka!

Yang paling penting, saya tidak mahu melakukan sesuatu yang saya tidak suka

Jangan tipu, siapa yang mahu ada tanggungjawab dan kerja jika tiada ganjaran? Dalam erti ganjaran, saya maksudkan juga pahala.

Tapi, cakap senang lah kan?

Habis menonton tadi, saya mula terfikir. Saya diambang 30. Apa pencapaian yang telah saya capai?

Sesetengah orang mengukur tahap pencapaian mereka dengan angka gaji, bilangan isteri, bilangan anak, pangkat, bilangan rumah, cc enjin kereta, bilangan negara sudah dilawati, bilangan syarikat, bilangan pingat... bla... bla... bla...

Oh, tidak terlupa pula dengan tahap pendidikan..

Ya, saya sudah ada Ijazah. Tahun 2009 saya sah bergelar graduan. Perjalanan untuk saya ada ijazah bukan mudah. Perjalanan bengkang-bengkok penuh rintangan. Bermandikan peluh, darah, muntah dan air mata. Memang susah nak ada ijazah. Jadi, saya akan hargai ijazah yang saya ada. Jangan banyak cakap.

Apa lagi yang saya ada?

Saya masih belum kahwin. Kerja juga masih belum stabil. Kewangan yang sentasa goyang. Komputer yang rosak. BEN yang manja. WUH yang masih dalam hutang.

Oh ya, hutang saya juga keliling pinggang. Hutang paling banyak adalah PTPTN. Mengalahkan WUH.

Kalau ikutkan hati, memang saya nak lari. Tinggalkan segala-galanya. Tinggalkan kerja. Tinggalkan tanggungjawab. Tinggalkan negara juga. Nak mengembara. Nak jadi macam brader Pete Jordan. Merayau ikut hati. Hati saya hanya akan betul-betul girang jika dapat merayau.

Tapi, saya tidak boleh lari macam itu sahaja. Saya tidak sezalim itu. Saya masih ada keluarga. Masih ada mak dan ayah. Gila apa nak lari sekarang?

Cita-cita?

Saya sudah lupa yang saya pernah ada cita-cita. Kali terakhir saya ada cita-cita kononnya adalah pada tahun 1998. Semenjak itu, saya hanya menempuh masa hadapan dengan berjudi nasib. Bukan mudah. saya pernah hampir sesat, dan banyak ambil masa.

Tapi, saya tak pernah menyesal atas jalan hidup yang ditakdirkan untuk saya lalui.
Saya sangat percaya dengan takdir dan pilihan. Dan adakalanya takdir menjuarai pilihan. Itu saya akur.

Jadi, pada hemat saya, pencapaian saya sekarang adalah;
saya sudah makin rapat bersama keluarga.

Saya cuba qada' waktu bersama keluarga yang banyak polos di zaman awal remaja saya. Dalam 4 tahun kebelakangan ini, hati saya cukup tenang jika dapat bersama keluarga. Jadi, harap anda faham kenapa saya lebih kerap mahu balik ke Kesultanan Gombak.

Saya sudah dewasa? Terus terang, hati saya masih menolak untuk dewasa. Budak dalam gambar di atas masih ligat bermain dalam jiwa saya.
Tapi, fikrah tetap fikrah...

Semoga saya tidak hanyut jauh dalam menempuh masa hadapan ya!

Sekarang, saya nak sambung tiga laporan yang kena bentangkan Isnin ini. Oh Tuhanku

Khamis, 3 September 2009

27 tahun berlalu

10 tahun yang lalu,

Ada seorang remaja gemuk yang liar. Dia suka melawan cakap cikgunya. Cakap mak dan ayahnya juga bukan dia dengar sangat. Dia lebih suka merayau dari berada dalam rumah. Tidak kisah bersendirian ataupun berteman. Dia juga selalu ada dalam dunianya yang sendiri.

Dia kerap membuat ibunya menangis, dan ayahnya mengamuk.

Bukan tanda kurang ajar atau kurang didikan agama. Padahal dia sudah mula belajar mengaji ketika umur 4 tahun, ketika kanak-kanak kelasan lain ada yang belajar berenang dan main piano. Mungkin kerana naluri remaja yang kuat memberontak. Walaupun dia tidak faham apa yang dia berontakkan sebenarnya. Dia boleh merayau satu Kuala Lumpur dengan hanya RM2 di dalam poket.

Masjid? Dia hanya pergi jika ada majlis yang boleh dapat duit, atau makanan percuma, ataupun ayahnya paksa.

Cikgu pun agak ramai yang tidak suka akan perangainya. Waktu hari buku laporan, remaja ini menipu cikgunya mengatakan ayahnya bekerja "outstation" dan tak dapat hadir. Padahal pejabat ayahnya bekerja hanyalah beberapa langkah dari sekolah.

Apabila dipaksa pergi kelas tusyen yang agak mahal di ibukota, dia hanya pergi ke kelas-kelas tertentu yang diminati sahaja. Seperti kelas Bahasa Melayu. Kelas lain dia pergi pun hanya untuk menghabiskan masa lapang. Satu apa yang diajar pun tidak masuk dalam kepala otak. Kalau dia bosan, dia akan turun ke kedai buku membaca komik, atau pergi ke kompleks kotaraya bermain permainan video yang kena taruk syiling.

Ketika tarikh ini, 10 tahun yang lalu, orang lain sedang sibuk mengulangkaji untuk menghadapi SPM. Dia sedang sibuk membaca komik dan menampal poster gusti WWF.

Dia digelar "Kombat".

.......................................

20 tahun yang lalu,

Kanak-kanak ini sedang belajar dalam darjah satu di kelas Satu Hijau. Cikgu Husni nama guru kelas ketika itu. Dia memang cerdas dan pintar. Sudah boleh membaca dalam Bahasa Melayu dan Inggeris, sedangkan ada rakan sekelas yang lain masih tidak kenal huruf. Berkat kesabaran dan kasih sayang ibu dan bapanya yang sabar mendidik anak mereka di rumah, sebelum bersekolah.

Dia amat ramah, boleh bergaul dengan sesiapa, tidak kira lelaki atau perempuan. Dia juga aktif bermain dan tak kenal erti penat. Kanak kanak ini selalunya ditatang ibarat minyak yang penuh oleh kedua ibu dan bapanya. Setiap hari pasti dibekalkan dengan bekalan makanan yang berkhasiat dari rumah, dan juga wang poket untuk persediaan jika berlaku apa-apa. Adakalanya ayahnya akan hadir di waktu rehat, membawa makanan lain seperti buah jambu, ataupun kuih muih.

Ketika itu, kanak-kanak ini amat gemar pergi ke masjid. Kalau boleh, setiap waktu dia nak pergi masjid. Dia akan menangis jika ayahnya meninggalkannya jika pergi ke masjid. Dia juga suka singgah ke rumah atuk dan makcik-makciknya yang lain. Pada umur tujuh tahun, dia sudah pandai baca surah-surah dari juzuk Amma...

.......................................

27 tahun yang lalu,

Sepasang suami isteri bersyukur dan bergembira. Lahir lah anak lelaki sulung mereka setelah 6 tahun mereka menanti dengan sabar. Bayi sihat yang beratnya 12 paun. Kelahiran cucu lelaki pertama dari anak lelaki pertama turut diraikan oleh semua keluarga keturunan Mohammad Shair. Seorang dari bapa saudara bayi itu mencadangkan agar dia dinamakan Yassir Arafat, akan tetapi tidak dipersetujui oleh ahli keluarga yang lain.

Akhirnya,

Setelah disokong oleh datuknya yang mengagumi pemimpin pemuda satu parti politik pada masa itu, dan atas gabungan nama Abdul Razak dan Hamidah,

bayi itu dinamakan Abdul Hadi.

.......................................

Hari ini,

Dia baru ada ijazah, dan masih baru bekerja.

Dia sudah berjanji tidak akan buat ibunya menangis, dan ayahnya mengamuk lagi :)





Rabu, 11 Februari 2009

cicak, menanam, menuai, cita-cita

Maaf, agak lama saya tidak menulis.

Merajuk? Mana ada! hahahaha! Sibuk sikit la kawan... tak tipu punya.

Saya agak sibuk kerana adik saya Adibah tidak sihat, dan masih dirawat di hospital.



Alhamdulillah, keadaan Adibah sudah semakin pulih, dan saya sudah tidak perlu melawat dan menjaga dia hari-hari.

Melihatkan Adibah yang sakit, membuatkan saya sedar dengan mendalam, kesihatan dan keadaan kita sekarang memang takkan kekal selama-lamanya.

Umur saya juga sudah mula bertambah sekian hari. Akan tetapi, saya masih ibarat berada di takuk yang lama. Lebih kurang tiga tahun sahaja lagi, digit hadapan umur saya akan berubah. Akan tetapi, saya masih tiada tujuan hidup yang realistik dan juga masa hadapan yang masih samar-samar. Cita-cita pun tak ada!

Kali terakhir saya mempunyai cita-cita adalah pada 20 tahun yang lalu, tahun 1989, ketika saya darjah satu. Ketika itu kami wajib mengisi borang biodata sekolah. Ada ruangan cita-cita.

Oleh kerana mudah terpengaruh dengan rakan sebaya, tiga ruangan wajib itu diisi sama seperti geng-geng jahat yang lain.

1) Polis
2) Doktor
3) Pelakon

Memang sama sahaja dengan geng-geng main kapur dalam kelas.

Tadi, ketika balik dari rumah Harith, Cicak menceritakan kepayahan beliau menyiapkan persiapan perkahwinan. Ya, memang agak sukar bagi pesara anarkis seperti beliau. Tambah-tambahan lagi, beliau tinggal di Selangor dan tunangnya tinggal di Sabah.

Ketika lepak meneman Cicak makan, kami banyak berbual. Tapi, topik perkahwinan terselit juga. Walaupun saya kurang arif. Perubahan diri Cicak memang mengagumkan saya. Pemain drum kugiran bersama saya dahulu, Rukhay 696, berirama Porno Grindcore, berambut karat dan bersubang sebelah, makan limau curi dari tokong Cina, cukup liar dan bebas.

Sekarang dia sudah bekerja tetap, berkereta, bermotorsikal, bertunang, menyara keluarga, berbicara hal agama, hal politik, hal ekonomi.

Dia rancak bercerita sambil diselangselikan dengan menghirup sup ekor. Saya hanya menyedut teh ais, kerana kecewa mesin ABC warong itu rosak. Mungkin Tuhan tidak mengizinkan saya membedal ABC pada jam 12.30am.

"Aku sebenarnya kan cak, tak pasti lagi apa yang aku nak dalam hidup ni"

Saya bersuara, setelah puas menyedut teh.

"Aku pun sama gak Bob. Ye lah, macam contoh, aku dah ada kereta, ada motor. tapi still rasa nak benda lain"

Cicak menyambut.

"Aku tak nak hidup mewah pun, tapi yang penting, cukup dan selesa"

"Betul tu Bob. Hidup ini untuk menanam, bukan untuk menuai"

Wah, sungguh hebat falsafah Cicak.

"Aku baca ayat tu kat dinding pejabat Ketua Kampung tadi, masa nak mintak sain"

Ceh, kekaguman tadi terpotong di situ.

Tapi, kata-kata itu membuat fikiran saya terbuka.

Betul... Dunia ini hanya sementara... Hasil tanaman yang sejati, bukan untuk dituai sekarang.

Saya teringat ketika menjaga Adibah di hospital, Ada sekumpulan penganut Sikh menderma dan mengagih-agihkan capati bersama dal vegetarian kepada setiap pesakit.


Tanpa mengira kaum, jantina malah agama. Semua dapat. Ayah saya siap makan dua keping. Memang selera Ayah agak tidak berkira.



Itu membuatkan saya lebih percaya, masih ada orang yang ikhlas dalam dunia ini. Kebajikan tanpa batasan. Tanpa mengharapkan balasan. Saya ibarat mendapat ilham. Ilham mengenai cita-cita.

"Aku ingat nak jadi sukarelawan la Cak, nak keliling dunia"

Saya ujar setelah teh ais tinggal separuh gelas.

"Aku rasa baik ko kerja kapal. Lagi puas keliling dunia"

Balas Cicak dengan mulut berminyak.

hahahahaha! :)



Khamis, 4 September 2008

26? apa tu? masih sekitar 18 la... kah kah kah




Sedar tak sedar, umur saya sudah meningkat lagi.. 26? wah, sudah melebihi jubli perak. Kah Kah Kah Kah. Alhamdulillah, masih berkesempatan saya merasai nikmat hidup. Dalam tempoh pembesaran ini, pelbagai pengalaman hidup dari segala jenis rasa dan rencah. ada jiwa, ada rasa, ada bahagia, ada derita... ya, 26 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat walaupun sebagai seorang yang punk rock, umur dari julat 18-30 akan tetap dikira 18 tahun tepat.




Pelbagai sudut kehidupan sudah saya sempat terokai. Semakin dalam penerokaan, semakin luas dan misteri kehidupan itu dapat saya rasakan. Adakalanya, saya tidak menafikan yang masih terpalit secebis rasa rindu pada zaman kanak-kanak. Zaman di mana masih belum dihitung dosa pahala, dan zaman di mana kesilapan yang saya lakukan adalah dianggap hiburan oleh orang dewasa.



Walau apa pun,

Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada keluarga yang masih ingat dan menyayangi...

Terima kasih yang tidak terhingga buat sahabat-sahabat yang mengirimkan sms, ucapan, dedikasi dan juga komen-komen.

Terima kasih kepada mereka-mereka yang bersusah payah memberi hadiah kepada saya, insyaallah, saya akan simpan dan guna elok-elok semua hadiah-hadiah itu, kecuali hadiah yang boleh basi dan mereput... Saya amat hargai pemberian anda... :)

Terima kasih, saya sayang anda semua.. hehehehehe...


Jumaat, 22 Ogos 2008

Had(t)i cuba kembali mencoret karya.



Sudah lebih seminggu saya tidak mengemaskini blog saya ini. Mungkin ada antara anda yang tertanya-tanya apa sebenarnya yang sudah terjadi kepada penulis bebas dan liar ini. Adakah sudah dilanggar lori ataupun melarikan diri, atau alasan yang kelihatan lebih bergaya:- terkena sekatan penulis (writer’s block)


Sebenarnya, banyak sahaja benda yang ingin saya suratkan di dada blog ini, seperti majlis perkahwinan sahabat lama saya, Haiza dan Aizad. Ingin juga saya menceritakan pengalaman pertama saya menaiki kereta bersama seorang lagi sahabat super lama saya, Zakaria Basar. Juga tetang pengalaman kami, ahli-ahli majlis tertinggi Kultus Haram Teratai Hitam bertemu dengan Mursyidul Am kultus kami, Hafiz Kadak yang sudah sekian lama diam menyendiri.


Akan tetapi, fikiran, jiwa dan emosi saya agak terganggu pada minggu yang sudah, atas beberapa sebab yang mengakibatkan saya yang biasanya bersikap endah-tak-endah mula menerobos ruang berkabut dalam minda saya, mencari erti dan juga menilai kembali. Terlalu banyak yang bermain di fikiran saya mengakibatkan saya lebih banyak diam menyepi dan tidak bergaul hatta sesama manusia. Mungkin ada rakan-rakan rapat yang menyedari tabiat saya yang berubah sebentar. Maaf jika ini menganggu kamu semua. Saya masih manusia yang ada jiwa, walau jiwa saya mungkin tidak setaraf harga jiwa kalian.


Kekalutan itu membuatkan saya lebih berhati-hati, lebih fikirkan tentang diri sendiri dan juga mula lebih memikirkan sesuatu perkara itu dengan lebih meluas. Bumi Allah ini sangat luas, dan tidak akan habis saya teroka. Belum lagi jika saya menyebut tentang angkasa lepas, syurga, neraka, juga alam akhirat. Tidak memberi erti bagi saya menyekat diri saya dalam satu kelompok kehidupan yang sempit dan atmosfera yang sama sahaja. Saya sudah perlu merancang untuk meluaskan dan melebarkan sayap saya. Mungkin zaman untuk saya fokus pada satu sudut kelompok sahaja sudah hampir tamat. Saya perlu berani melangkah mencecah horizon yang lain.



Maaf para kultusan, para sahabat, dan para kerabat, jika selama ini saya menyusahkan dan membebankan anda semua. Sungguh saya tidak pernah ada niat sebegitu. Saya sudah cuba untuk menjadi yang terbaik buat kalian, sehingga saya lupa untuk menjadi yang terbaik buat diri sendiri. Masih banyak lagi yang kurang dan lokek untuk diri ini.




“Kau asyik jaga hati orang je, hati kau siapa nak jaga?”


Terlintas kembali persoalan yang pernah diujarkan secara keras kepada saya oleh salah seorang ahli majlis tertinggi Kultus Haram Teratai Hitam, yang dahulunya dipandang remeh oleh saya beberapa tahun yang lalu. Ya, Hadi masih ada Hati. Jangan sampai saya sendiri lupa akan perihal itu.


Walau apa pun yang sudah berlaku, jangan risau wahai kultusan, para sahabat, dan para kerabat. Saya tidak akan pernah membenci atau menghina kalian semua. Saya masih sayang dan hormat anda semua. Kasih sayang dan penghormatan itu tidak akan pernah hilang. Saya tidak pernah berharap pun penghormatan dan kasih anda kembali. Cuma, saya hanya berharap anda semua peduli sedikit tentang kewujudan saya. Ya, hanya berharap, bukan meminta ya.


Hmm, beberapa belas hari sahaja lagi, takuk umur saya akan bertambah. Harapan saya satu lagi, supaya dengan bertambahnya angka itu, bertambah juga lah daya fikiran dan juga kematangan, beserta harga diri saya. Saya akan cuba merubah apa yang tidak kena dengan diri ini. Bukan untuk orang lain, akan tetapi untuk saya sendiri, untuk menghadapi masa yang akan mendatang.


Saya akan menulis cerita-cerita yang tertunggak dan juga cerita-cerita yang baru. Maaf, saya ucapkan jika ada yang terasa dengan penulisan ini, dan maaf juga kepada pembaca, jika penulisan saya di kemasukan kali ini berlainan dengan gaya saya selama ini. Terima kasih wahai para kultusan, para sahabat, dan para kerabat. Salam :)