Jumaat, 22 Ogos 2008

Had(t)i cuba kembali mencoret karya.



Sudah lebih seminggu saya tidak mengemaskini blog saya ini. Mungkin ada antara anda yang tertanya-tanya apa sebenarnya yang sudah terjadi kepada penulis bebas dan liar ini. Adakah sudah dilanggar lori ataupun melarikan diri, atau alasan yang kelihatan lebih bergaya:- terkena sekatan penulis (writer’s block)


Sebenarnya, banyak sahaja benda yang ingin saya suratkan di dada blog ini, seperti majlis perkahwinan sahabat lama saya, Haiza dan Aizad. Ingin juga saya menceritakan pengalaman pertama saya menaiki kereta bersama seorang lagi sahabat super lama saya, Zakaria Basar. Juga tetang pengalaman kami, ahli-ahli majlis tertinggi Kultus Haram Teratai Hitam bertemu dengan Mursyidul Am kultus kami, Hafiz Kadak yang sudah sekian lama diam menyendiri.


Akan tetapi, fikiran, jiwa dan emosi saya agak terganggu pada minggu yang sudah, atas beberapa sebab yang mengakibatkan saya yang biasanya bersikap endah-tak-endah mula menerobos ruang berkabut dalam minda saya, mencari erti dan juga menilai kembali. Terlalu banyak yang bermain di fikiran saya mengakibatkan saya lebih banyak diam menyepi dan tidak bergaul hatta sesama manusia. Mungkin ada rakan-rakan rapat yang menyedari tabiat saya yang berubah sebentar. Maaf jika ini menganggu kamu semua. Saya masih manusia yang ada jiwa, walau jiwa saya mungkin tidak setaraf harga jiwa kalian.


Kekalutan itu membuatkan saya lebih berhati-hati, lebih fikirkan tentang diri sendiri dan juga mula lebih memikirkan sesuatu perkara itu dengan lebih meluas. Bumi Allah ini sangat luas, dan tidak akan habis saya teroka. Belum lagi jika saya menyebut tentang angkasa lepas, syurga, neraka, juga alam akhirat. Tidak memberi erti bagi saya menyekat diri saya dalam satu kelompok kehidupan yang sempit dan atmosfera yang sama sahaja. Saya sudah perlu merancang untuk meluaskan dan melebarkan sayap saya. Mungkin zaman untuk saya fokus pada satu sudut kelompok sahaja sudah hampir tamat. Saya perlu berani melangkah mencecah horizon yang lain.



Maaf para kultusan, para sahabat, dan para kerabat, jika selama ini saya menyusahkan dan membebankan anda semua. Sungguh saya tidak pernah ada niat sebegitu. Saya sudah cuba untuk menjadi yang terbaik buat kalian, sehingga saya lupa untuk menjadi yang terbaik buat diri sendiri. Masih banyak lagi yang kurang dan lokek untuk diri ini.




“Kau asyik jaga hati orang je, hati kau siapa nak jaga?”


Terlintas kembali persoalan yang pernah diujarkan secara keras kepada saya oleh salah seorang ahli majlis tertinggi Kultus Haram Teratai Hitam, yang dahulunya dipandang remeh oleh saya beberapa tahun yang lalu. Ya, Hadi masih ada Hati. Jangan sampai saya sendiri lupa akan perihal itu.


Walau apa pun yang sudah berlaku, jangan risau wahai kultusan, para sahabat, dan para kerabat. Saya tidak akan pernah membenci atau menghina kalian semua. Saya masih sayang dan hormat anda semua. Kasih sayang dan penghormatan itu tidak akan pernah hilang. Saya tidak pernah berharap pun penghormatan dan kasih anda kembali. Cuma, saya hanya berharap anda semua peduli sedikit tentang kewujudan saya. Ya, hanya berharap, bukan meminta ya.


Hmm, beberapa belas hari sahaja lagi, takuk umur saya akan bertambah. Harapan saya satu lagi, supaya dengan bertambahnya angka itu, bertambah juga lah daya fikiran dan juga kematangan, beserta harga diri saya. Saya akan cuba merubah apa yang tidak kena dengan diri ini. Bukan untuk orang lain, akan tetapi untuk saya sendiri, untuk menghadapi masa yang akan mendatang.


Saya akan menulis cerita-cerita yang tertunggak dan juga cerita-cerita yang baru. Maaf, saya ucapkan jika ada yang terasa dengan penulisan ini, dan maaf juga kepada pembaca, jika penulisan saya di kemasukan kali ini berlainan dengan gaya saya selama ini. Terima kasih wahai para kultusan, para sahabat, dan para kerabat. Salam :)


1 ulasan:

fahmie Kaiser berkata...

uhuhu.. beremosi pulak post nih.. cebisan hidup seorng pelajar anarkis yang akan menjadi Mat Som tak lama lagi..