Jumaat, 8 Ogos 2008

Pesta Komputer 2008

Petang Sabtu yang lalu, sebelum saya dan Nad pulang ke Uniten, kami singgah dahulu di KLCC di mana pesta komputer sedang hangat berlansung. Nanti di sana, Hazman, Syazwan dan Faris akan datang dan membawa kami pulang bersama-sama. Hazman dan Syazwan masing-masing ingin membeli komputer riba dan faris pula berkeinginan menambah lagi perkakasan aneh untuk komputernya.


Saya dan Nad bertolak dari stesyen LRT Taman Melati pada lebih kurang jam 4.30pm. Jejak sahaja kaki di stesyen KLCC, terlihat lambakan manusia memenuhi ruang ibarat rombongan haji di Baitullah. Kami mempercepatkan langkah naik dan masuk ke dalam KLCC. Nad yang agak lapar pada mulanya ingin membeli roti di kedai Roti Boy, akan tetapi akibat manusia yang beratur agak melampau panjangnya, Nad terputus selera dan kami terus merayau-rayau.


Kami singgah dahulu di surau untuk solat asar, dan ketika menanti Nad habis solat, seorang pemuda menegur saya dan menghulurkan salam.


“Assalamualaikum... Abang ni dulu IIC ye?”


Lama saya perhatikan wajah pemuda itu dan menyambut salam dengan terpinga-pinga.


“Saya Black lah, kawan Daus, kan dulu saya pernah datang rumah abang, kita pernah lepak sama-sama...”


“Oh, Black! Yang main jamming dengan daus tu!”


Baru lah memori kembali. Black junior saya di kolej lama dahulu. Black yang dahulunya berambut panjang, dan kurus kering kini memang tidak dapat saya cam pada awalnya kerana sudah botak dan berisi sedikit. Kami sempat berbual dan bertukar khabar. Agak kekok juga rasanya kerana sudah agak lama orang tidak memanggil saya Abang. Setelah Nad usai solat, saya pun berpisah dengan Black.


Oleh kerana rombongan Faris masih belum bergerak dari Uniten, Kami merayau-rayau dalam bangunan Suria KLCC yang penuh kemewahan itu. Saya tidak mahu masuk kedai buku Kinokuniya, kerana sifat ketagihan saya yang pasti akan membeli buku, walaupun masih banyak buku yang belum habis dibaca. Sudahlah saya masih dalam tempoh kemiskinan tepu, ada hati pula hendak membeli buku.


Nad mengajak saya singgah masuk ke dalam Isetan. Ada jualan murah kata Nad. Saya akur mengikut kerana saya tidak mungkin akan membeli apa-apa dalam Isetan itu. Memang ternyata, banyak pakaian yang dijual dengan potongan harga yang memberansangkan. Nad sempat membeli sehelai baju.




Mereka yang lain masih belum bergerak keluar dari Uniten. Nad pula semakin lapar. Kami singgah untuk lepak dan makan dahulu di medan selera tingkat teratas. Kali ini Nad mempelawa saya untuk makan satu lagi makanan barat yang dipanggil “pancake”, atau dalam Bahasa Melayu, lempeng. Saya pula, kerana gatal tekak, telah membeli segelas susu kocak berperisa vanilla.




Setelah habis makan dan berborak, kami menerima panggilan dari Faris mengatakan mereka sudah tiba dan mencari tempat letak kereta. Kami pun terus bergerak untuk mencari mereka. Nad singgah dahulu di toilet untuk urusan beliau, dan saya menanti di luar. Saya menanti bertemankan wira zaman kanak-kanak saya, Mighty Mouse!




Kami terus bergerak ke pesta komputer di bangunan sebelah. Kami sempat bergaduh dan bertekak dengan Man, Wan dan Faris sebelum bersalaman. Setelah itu, kami meneruskan usaha untuk membeli komputer Wan dan Man. Mata saya bukan sahaja meliar meliaht teknologi-teknologi canggih yang diperdagangkan, malah gadis-gadis yang berpakaian super seksi (ya, memang super!) mengedarkan risalah-risalah dan juga mempromosikan barangan. Nampaknya, faktor seksual menjadi bahan tarikan di sini. Sampai hati peniaga-peniaga menggunakan tubuh gadis-gadis itu untuk keuntungan mereka.



Wan berjaya membeli sebuah komputer riba, Man berjaya menempah dan membayar wang pendahuluan, Faris berjaya membeli sebuah beg untuk komputer peribadi dan beberapa perkakasan aneh lain, Nad berjaya membeli sebuah headphone, dan saya hanya membeli sekeping papan kekunci kecil kiriman Soraya. Setelah letih, kami pun bergerak meninggalkan KLCC dan pulang ke Uniten.


Tiada ulasan: