Selasa, 23 Disember 2008

Satu malam di rumah Nen Marcos

18 Disember, malam itu saya baru sahaja tiba di rumah bersama Ewoq untuk mengambil kemeja-t kami yang sudah siap dihantar ke rumah saya. Dalam pada itu, sahabat saya Cicak sudah sibuk bertanyakan sama ada saya boleh berfoya-foya bersama beliau atau tidak pada malam itu.


Setelah selesai makan malam di rumah ibubapa saya, saya menumpang kasih Ewoq untk menghantar saya ke Tesco Extra Cheras, kerana Cicak dan Mat Aris ada menanti saya di sana. Kedua-dua paksi kejahatan yang sudah ada jalan hidup yang agak sempurna itu telah berjanji akan memulaukan saya jika saya mungkir janji untuk berfoya-foya bersama mereka.



Sampai sahaja di lokasi yang dijanjikan, mereka kelihatan sedang berbual hangat di Restoran Mamak yang terletak di Tesco itu. Saya pun lantas menambah kehangattan sambil memesan segelas kopi tarik suam-suam kuku. Rupa-rupanya, mereka menanti saya untuk makan bersama. Sungguh murni hati mereka. Apakandaya, saya sudah kenyang sehingga terbelahak membedal lauk masakan ibu di rumah.


Saya membiarkan mereka memesan makanan dan menyatakan saya sudah makan. Sambil makan, kami rancak berbual mengenai kerjaya, pelajaran, teknologi dan juga maklumat. Sungguh kurang adab kami ini kerana berani bercakap sambil makan. Jika ibu saya tahu, pasti saya dimarahi kerana ibu selalu memesan supaya saya menjadi seorang anak yang beradab.


Selesai menjamah selera, perancangan untuk merayau-rayau pula giat dilaksanakan. Sambil berjalan ke kereta Cicak, akal sihat kami ligat berpusing. Jam sudah pukul 12.00pm. Mat Aris mencadangkan kami lepak di kelab malam atau pub. Memandangkan kami bertiga tidak minum arak, tidak merokok, tidak begitu berduit, malah tidak pandai menari, cadangan itu hanya diketawakan sahaja dengan serta-merta. Itu belum jika dikira kadar faedah aktiviti itu. Kalau setakat menjeling-jeling amoi amoi mabuk, baik tak payah!


Cadangan saya pula untuk merayau-rayau di Downtown Cheras turut dibangkang majoriti kerana dikatakan membosankan, membazir tenaga dan juga tidak berfaedah. Kami memang tidak gemar melakukan perkara yang tidak mendatangkan hasil atau faedah.


Akhirnya, Cicak mengeluarkan satu cadangan yang agak bernas dan munasabah. Oh, ya, sebut fasal munasabah, baru saya teringat. Cicak esoknya akan terbang ke Sabah bersama ibunya untuk meminang kekasihnya yang tinggal di Sabah. Cicak akan bertunang! Patutlah beliau begitu baik hati membelanja makan minum kami pada hari itu… Sebenarnya perkara ini masih rahsia, akan tetapi Mat Aris telah terlepas cakap tercerita kepada saya dengan sengaja… ha ha ha ha!


Sambung cerita asal, Cicak mencadangkan kami lepak bersama Nen, sahabat beliau dari Filipina. Ini adalah kerana Nen memintanya menformatkan komputer riba yang baru dibelinya di Pesta Komputer di KLCC yang lalu. Jadi, setelah selesai menelefon Nen, kami terus menuju rumah Nen di Subang Jaya.


Sampai sahaja di sana, Nen dan sahabatnya Dino menyambut kami dengan penuh ramah mesra. Isteri Nen, Josh sudah tidur, jadi kami tidak boleh bising sangat. Dino pula baru sahaja memeluk Islam. Nama Islam beliau adalah Muhammad Subran. Saya agak seronok berbual dengan Dino dan bercerita mengenai Islam.



Sambil Mat Aris menggodek komputer riba mini itu, Nen menjamu kami dengan air dan keropok. Dia juga melayan kami dengan menunjukkan beberapa silap mata menggunakan kad terup. Sehingga dia kehabisan skil, kami pun bersama-sama memainkan permainan kad yang telah diajar oleh Cicak.




Rumah mereka sudah dipenuhi dengan hiasan-hiasan berkonsepkan Hari Natal memandangkan Nen dan isterinya beragama Kristian. Siap ada pokok krismas lagi. Kami terus minum kopi, bermain kad, dan menonton DVD sambil menanti komputer Nen siap diformat. Sehingga jam 3.45am barulah siap.




Siap saja kerja, kami lantas meminta diri untuk pulang. Sebelum itu kami bergambar kenang-kenangan bersama pokok krismas, kerana itu adalah benda yang jarang dapat kami dekati. He he he he…



1 ulasan:

Harith berkata...

salam bro bob, bukan memulau la...hehe