Ahad, 30 Ogos 2009

Kali pertama cuba puasa

Tahun 1988

Hari itu saya cuba untuk berpuasa. arwah nenek sangat menyokong niat dan tindakan murni saya itu. Ketika sahur, nenek bersungguh sungguh melayan saya yang banyak karenah makan.

"Makan kenyang-kenyang, lepas tu baca niat betul betul. Nanti baru kuat nak puasa."

Nenek pesan ketika saya berusaha menghabiskan nasi dengan mata yang terbuka hanya separuh. Lepas habis makan, saya terus baca niat puasa kuat-kuat dengan tajwid yang betul. Saya baca banyak kali sambil menanti waktu subuh kerana saya percaya ketika itu, lagi banyak baca niat, lagi tahan nak puasa.

Pagi itu, ketika van kuning sampai rumah saya untuk bawak saya pergi tadika, saya dah bersedia nak cerita dekat geng geng setaraf yang saya puasa hari ini. Dalam van, saya ringan je mulut nak menjawab bila ada geng yang tanya "siapa puasa hari ni?"

Di tadika, ketika sampai waktu rehat, budak budak lain semua berebut beratur nak makan bihun yang cikgu tengah tuang dalam pinggan.

Saya masa tu dengan selamba tak ikut diorang. Dengan tangan dalam poket, saya berjalan sambil pandang pandang mereka yang beratur.

"Hadi, kau tak nak makan ke?" Seorang budak bertanya.

"Aku puasa lah!" Saya jawab tegas. Terasa sangat dewasa bila boleh jawab macam tu.

Saya teruskan perjalanan pergi ke buaian. Dekat buai ada juga budak-budak yang muka alim berpuasa dan berehat rehat.

saya sebagai kanak kanak yang sangat ligat, tidak duduk diam. Saya mula bermain buaian dengan pelbagai aksi. Lepas main buaia, main gelongsor. Lepas main gelongsor, main kejar pepatung. Lepas bosan tak dapat tangkap pepatung, saya sepak sepak kasut dekat kaki lima. Lepas tu mula lari selamatkan diri bila ada budak perempuan sudah mengadu sama ustazah.

Bila saya masuk kembali ke kelas, badan sudah mula rasa lain macam.

masa nak balik, geng geng lain semua beratur sambil baca doa kuat kuat, saya dah mula berdiri sambil mulut ternganga. Mulut hanya digunakan sepenuhnya untuk bernafas. berjalan pun sambil pegang bahu kawan depan.

Dalam van kuning, saya tak banyak cakap. Hanya ternganga memandang tingkap. Tak amik kisah pun pada mereka yang berkelahi mengenai kartun Voltron.

Sampai rumah, dengan kelam kabut saya bukak kasut. lepas tu gagahkan diri pergi peti ais. Tak peduli apa dah. Tak sempat pun nak salam nenek. Terus bantai air sejuk satu gelas besar. Nenek hanya tersenyum.

Petang itu saya tertidur sampai terlepas cerita Thundercats.

Tiada ulasan: