Isnin, 7 Mac 2011

Mengembara ke Sumatera Utara. Bahagian I


Kapal terbang selamat mencecah permukaan lapangan terbang Polonia, Kota Medan lebih kurang pukul 9.00 pagi waktu Malaysia. Kiranya pukul 8.00 pagi waktu Sumatera Utara. Tak banyak beza pun atmosfera Medan ini rupanya. Ingatkan ada salji.

Lapangan terbang Polonia memang kecil sahaja. Rasanya sama besar dengan lapangan terbang Kuching. Urusan di kaunter imigrasi agak lancar, walaupun barisan beratur huru-hara, tak ikut papan tanda.

Lepas sahaja kaunter imigrasi, ada beberapa mamat bersedia nak tolong angkut beg. Jangan terpedaya dengan keluhuran budi bahasa, mereka memang mahukan wang tip. Kami terus keluar dari lobi lapangan terbang.

Keluar sahaja, berderet pak supir yang menawarkan khidmat mereka. Memang nampak sangat kami adalah pelancong asing. Beg yang banyak, serta berat badan saya yang berlebihan menjadi petunjuk utama. Saya memilih untuk masuk ke pusat informasi pelancongan untuk mendapatkan maklumat perjalanan. Tujuan pertama kami adalah ingin sampai dan bermalam di Parapat, Danau Toba. Akan tetapi, pusat informasi pelancongan tidak begitu membantu. Mereka asyik mempromosikan perkhidmatan syarikat-syarikat perkhidmatan pelancongan yang ada. Huh!

Ada satu pak supir yang asyik mengekori kami. Memang menjengkelkan. Kami seperti tidak boleh lari. Dia menawarkan khidmat teksi sapu milik abangnya. Entah abang betul atau tidak. Beliau menawarkan harga Rp550,000 untuk sampai ke Parapat. Apabila saya bandingkan dengan harga Rp700,000rp oleh syarikat lain, maka kami pun tak berfikir panjang lagi. Maklumlah, kami tak ada pengalaman. Kenalan di Medan pun tak ada. Jadi kami hanya tawakal dan langgar sahaja.

Sebelum kami menaiki Kijang (Toyota) Avanza yang kami sewa, pak supir pertama meminta RM10 dari kami sebagai wang tip. Macam celaka dia punya tak ikhlas. RM10 adalah lebih kurang seperti Rp30,000. Setelah bayar, kami terus naik Avanza milik Pak Ameng.

Pak Ameng agak peramah orangnya. Dia suka berbual, dan bercerita sambil memandu. Pak Ameng adalah orang Melayu Deli. Saya pula menceritakan yang saya berketurunan Minangkabau. Sambil mendengar cerita Pak Ameng, saya menikmati pemandangan Negara orang.

Jalanraya di Medan memang sempit dan huru-hara. Pemandu Indonesia kerap menekan hon dan memotong secara menghimpit. Memang menyeramkan. Memang terlalu berbeza dengan gaya pemanduan pemandu Malaysia.





Wilayah yang gerbangnya ada ukiran berwarna kuning, melambangkan wilayah Melayu, dan masih ada Sultan. Itulah apa yang Pak Ameng cakap. Saya mendengar sambil terbatuk-batuk. Ya, saya masih belum sihat. Dengan selamba saya merayau keluar Negara walau belum sihat.

Pak ameng menasihati kami supaya membeli satu kad pra-bayar telefon Indonesia, agar mudah untuk berkomunikasi. Dengan selamba, Pak Ameng berhenti di satu kedai telekomunikasi di tepi jalan yang sempit. Dengan selamba juga, Avanza Pak Ameng sudah menghalang lalulintas. Akan tetapi, itu adalah senario biasa lalulintas di Indonesia. Tak ada satu pun pemandu yang marah dengan tindakan itu. Kami hanya diam cuak di dalam Avanza.



Kami pun beli satu pek kad sim berjenama XL dengan harga 20,000rp. Bersamanya ada kredit berjumlah 5,000rp. Lalu Pak Ameng menyalin nombor telefon kami.

Tiba-tiba ada orang menelefon Pak Ameng. Saya terdengar tutur bicara Pak Ameng. “Sedang bawa orang ini. Ini bukan teman biasa, ini saudara!” Saya terasa kembang seketika.

Bila nak makan? Kami dah lapar? Seperti yang saya jangka, pasti Pak Ameng akan bawa kami makan di kedai yang istimewa. Satu restoren nasi Padang yang kelihatan agak mewah. Simpang Tiga nama kedai itu. Kami dihidangkan dengan pelbagai lauk, sehingga penuh meja. Oleh kerana saya sudah ada kajian awal, maka kami menyentuh makanan dengan hati-hati. Hanya sentuh lauk yang hendak dimakan. Sebagai pengembara miskin, kami perlu berjimat.


Sudah makan, dengan wajah berkaliber, saya minta bil. Nah! Kami kena Rp200,000++. Saya telan air liur payau.

“Nggak mahal kan?” Pak Ameng bertanya sambil tersengih. Sengih yang minta pelempang. Nasib baik saya penyabar orangnya.

Perjalanan diteruskan, dan kami singgah sebentar di satu deretan kedai. Kami membeli beberapa botol air mineral, asam boi dan juga biskut. Pak ameng kata lebih baik beli di sini, kerana barang di Danau toba lebih mahal, kerana wilayah wisata katanya. Kami kena Rp40,000 untuk 4 botol air mineral besar, dan 2 bungkus biskut oreo berperisa krim strawberry.



“Bila kita boleh sampai Pak?” Saya bertanya tak sabar.

“Nanti kita berhenti solat Jumat, udah solat kita langsung jalan, dalam 2 jam nanti sampai.” Pak Ameng menjawab dengan mata kuyu.





Kami tiba di Masjid ?Al-Ikhlas, daerah Pabatu pada jam 11.00am waktu tempatan. Kelihatan tidak ramai yang sudah datang. Masjid itu kelihatan baru, cantik dan bersih. Ada sudut perpustakaan terbuka, yang bukunya boleh dibaca oleh setiap pengunjung. Ada mesin timbang. Tandasnya juga bersih. Juga disediakan pemanas air, berserta kopi, gula dan teh bagi sesiapa yang ingin minum. Saya agak kagum.





Setelah mengambil wuduk dan puas melihat keliling, saya pun duduk iktikaf di dalam masjid. Jemaah masih belum ramai. Begitu nyaman terasa, ruang solat itu cukup dingin untuk saya terlayang. Dengan menyandar di dinding, saya hampir hanyut dibuai mimpi. Mata pun mula pejam…

“DHUMMM!!!”

Opocot mak kau!

Mata yang hampir pejam terbuka luas. Bunyi beduk diketuk menandakan masuk waktu zuhur. Memang memeranjatkan. Astaghfirullah… terkejut saya.



Khatib mula membaca kutbah. Saya diam mendengar sambil mengurut dada. Masih lagi terkejut…

Selesai solat Jumaat, kami teruskan perjalanan sehingga ke Kota Permatangsiantar. Kota Permatangsiantar bukan lagi wilayah bersultan. Gerbangnya tiada lagi ukiran berwarna kuning. Lebih ke arah seni corak batak bersama motif cicak. Boleh tahan juga sibuk Kota Permatangsiantar itu.

Lagi satu perbezaan di Indonesia adalah tong gas. Ya, tong gas masak. Kebanyakan mereka memakai tong gas yang kecil, hanya sebesar bolasepak. Pak Ameng kata, tong gas sedemikian mudah bocor dan selalu menjadi punca kebakaran rumah.


Perjalanan diteruskan lagi, sehingga ke kaki gunung. Ketika mendaki gunung, perjalanan menjadi lebih menyeramkan. Jalan yang sempit bercampur teknik pemanduan Indonesia, Berjaya mendebarkan hati remaja kental saya. Mata mengantuk akan tetapi tak boleh tidur. Perasaan girang dan seram bercampur-baur. Mata begitu tajam memerhatikan Pak Ameng memotong kenderaan lain di jalan sempit lereng bukit.

Sampai di satu puncak, Pak Ameng berhenti seketika di sebuah gerai. “Kita rehat dulu ya, tengok pemandangan…” Kami pun terus duduk dan memesan minuman.



Kedudukan gerai itu memang strategik, menghadap Danau Toba. Subhanallah… memang cantik pemandangan dari gerai itu. Kami banyak diam dan menikmati minuman dan cuaca yang dingin.



Selesai minum, kami meneruskan lagi perjalanan ke Parapat. Suasana di Parapat memang di luar jangkaan. Untuk masuk ke Danau Toba, kami kena bayar tol. Harga tol bukan ikut kenderaan, tapi jumlah penumpang. Satu kepala Rp2000 rasanya (alamak tak ingat, maklumlah, pelupa). Akan tetapi, oleh sebab Pak Ameng bijak berbicara, kami dapat sedikit potongan harga. Bagus juga ada Pak Ameng ni.



Di Parapat, Pak Ameng membantu kami mencari hotel. Hotel pertama yang kami pergi, betul-betul di pinggir tasik. Harga pula agak mahal bagi kami. Pantang mahal memang kami tolak bulat-bulat. Hotel kedua pula sangat murah. Akan tetapi biliknya agak kurang selesa, dan tandasnya sangat kotor, hitam dan berlumut. Iee.. yekk! Geli pula kaki nak pijak. Gadis yang menjaga kaunter juga baru bangun tidur, dan ada air liur basi di pipi.

Akhirnya, kami masuk ke hotel Soloh Jaya. Harganya berpatutan. Memang murah, bersih, dan meyakinkan. Rp250,000 untuk satu bilik besar, yang ada 4 katil bujang. Cukup untuk 6 orang. Paling sedap, ada balkoni yang menghadap tasik. Fulamak… memang syahdu. Kami setuju sebulat suara.





Setelah selesai mengangkat barang, lalu kami pun ke bawah untuk membayar Pak Ameng. Pak Ameng pun sedang duduk enak di bawah.

“Ok Pak, berapa kami kena bayar? Rp550,000 kan?” Saya bertanya sinis. Akan tetapi, jauh di lubuk hati penuh syak wasangka.

“Bisa tambah lagi 50,000? Buat duit makan Pak Ameng mahu pulang? Jauh mahu pulang kan?” Pak Ameng berkata sambil tersenyum mata kuyu.

“Bolehhhhh…!” Saya jawab panjang, sambil senyum tak ikhlas. Saya sudah jangka keadaan begini akan berlaku. Saya hulur wang Rp600,000 dengan lengan berotot.

“Cilake! Pundek! Lahanat punya Pak Ameng!” Gerutu saya lantang di sanubari.

Tiada ulasan: