Jumaat, 22 Julai 2011

Saya Dan Selipar Wakaf

30 Ogos, 2004

Ketika itu, masih belum bersara lagi dari bidang anarkis. Liar dan tak banyak fikir. 

Malam itu, saya menyambut kemerdekaan di sebuah parti persendirian kelolaan Isham Rais Tukar Tiub di atas bumbung bangunan Malaysiakini, Bangsar.

Sebelum ke Bangsar, saya bertemu Din Gemuk (sekarang sudah kurus) dan Faisal Dhani dahulu di Pasar Seni. Dari Pasar Seni, kami mengambil tren ke Bangsar. Sampai sahaja di Bangsar, selipar yang saya pakai putus. Ya, sampai sekarang saya masih suka berselipar untuk merayau.

Oleh kerana leceh berjalan dengan selipar putus, maka kami pun berikhtiar. Akan tetapi, kami di Bangsar. Di bangsar mana ada kedai menjual selipar murah. Menjelang malam kemerdekaan pula tu. Murah pada istilah saya pada masa itu adalah bawah RM5. 

Sambil berjalan ditemani Din Gemuk, kami ternampak ada orang ramai sedang beratur di tepi sebuah pasar mini. Oh, mahu mengambil wuduk rupanya. Tanpa disangka, ada surau kecil di tepi pasar mini itu. Saya pandang muka Din Gemuk, Din Gemuk sengih dan buat muka ada idea.

Kemudian kami berjalan kembali ke arah bangunan Malaysiakini. Saya secara tiba-tiba sudah ada selipar baru. Tapi ada kerat di belah muncung selipar. Apa tandanya?

15 Julai 2011

Saya mengikut Iman solat Jumaat di Masjid Besi Putrajaya. Setelah selesai solat, saya berjalan pantas hendak keluar masjid.

Saya berdiri runsing di muka tangga masjid. Selipar saya hilang! Bagaimana saya nak pulang ke pejabat? Kaki ayam? Putrajaya  dan Cyberjaya ni bukan macam zaman dulu-dulu. Panas dia boleh cair tapak kaki dibuatnya. Saya menanti, dan kemudian berjalan hampir keliling masjid, mencari selipar. Berguni harapan palsu saya berikan pada hati sendiri.

Puar berpusing, saya kecewa. Selipar masih tak jumpa. Iman turut menunjukkan simpati dengan wajah sugul bermisai beliau. Saya tidak lekas marah dan putus asa. Satu idea bijak muncul, sesuai dengan kadar IQ saya yang tinggi. Adakah saya akan bertindak untuk merembat mana-mana selipar orang lain?

Tidak.

Saya menghampiri seorang petugas masjid, bertanya jika ada selipar lebih di masjid yang boleh dipinjam. Alhamdulillah, nasib saya baik. Kakak petugas masjid itu menunjukkan beberapa selipar yang saya boleh pinjam untuk pulang ke pejabat. 

"Nanti bila-bila, pulangkan lah ya" Kakak itu berpesan pada saya. Saya pegang kata-kata itu sebagai janji. Nampak tak, perbezaan gaya fikiran saya sekarang? Pengalaman telah berjaya mendewasakan saya, menjadikan saya lebih budiman. Jadi, esok saya akan pulangkan selipar yang dipinjam minggu lepas itu.

Apa jadi dengan selipar surau tahun 2004?

Saya pernah cuba untuk memulangkan selipar itu di Bangsar pada tahun 2009, ketika saya sudah ada kereta sendiri. Tapi malangnya, surau dan pasar mini itu sudah tidak wujud lagi. Saya simpan sahaja dalam bonet kereta. Sehingga pada dua minggu lepas, saya beri binjam selipar itu kepada Paan Astena, kerana dia tiada selipar untuk pergi berenang selepas kerja.

Pada pendapat anda, apa seharusnya saya lakukan dengan selipar kerat muncung itu?


1 ulasan:

Krazer berkata...

eloklah dipulangkan semula, atau letak kembali selipar itu dimana surau2 berhampiran dgn surau lama tu. lebih elok lg rasanya.