Memaparkan catatan dengan label bahasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bahasa. Papar semua catatan

Sabtu, 21 Mac 2009

Bahasa Jiwa Bangsa


Kisah 1

Akibat dari aktiviti seharian berjemur di Taman Tasik Titiwangsa, beberapa minggu yang lalu.. Saya yang selalunya cerah melepak ini bertukar menjadi agak hitam.

Ya, memang hitam... ibarat kuih cekodok yang baru digoreng..

Bukan sahaja hitam, malah agak pedih dan panas-panas.. terutamanya apabila terkena air.

Fenomena itu biasanya dipanggil "sunburn".

Jadi, saya yang mempunyai sifat ingin tahu, dan memang selalunya tidak tahu, terfikir apakah istilah "sunburn" dalam bahasa Melayu.

Oleh kerana saya sudah asyik bermain Facebook, jadi saya meletakkan status saya

"Apa agaknya sunburn dalam Bahasa Melayu?"

Tidak disangka, sahabat saya Shi Yun yang menjumpai maknanya

"sunburn - selar matahari".

Terima Kasih Yun!
..................................


Kisah 2

Saya meneman Kak Ina, dan suaminya, Abang Ramdzan membeli komputer di plaza Low Yatt.

Sedang jurujual berbangsa Cina itu sedang menyiapkan pemasangan perisian pada komputer riba baru Kak Ina, saya dan Abang Ramdzan melihat-lihat bentuk komputer baru itu.

Kami pun agak pelik melihat lubang berjaring besi di sisi komputer riba itu.

"Lubang untuk cucuk apa ni?" Abang Ramdzan bertanya.

"Ini lubang sebaran haba" Jawab jurujual itu.

"Sebaran haba?" Saya bertanya lagi.

"Ya lah" Jurujual itu menyambung kerjanya.

"Oh.. untuk heat transfer" Saya berkata kembali, sambil mula faham.

"Apa la lu cakap, sebaran haba" Abang Ramdzan berkata sabil ketawa.

"Tapi, itu bukan perkataan yang betul ke? Saya belajar itu macam..." Jurujual itu persoalkan kami.

Kami terdiam... Terasa bodoh.. hu hu hu

Sabtu, 7 Mac 2009

Bahasaku Sayang... 7 Mac.. Saya akan turut berhimpun. Ayuh!


Ya, saya bukan Nasionalis, Politikus, apatah lagi pakar bahasa. Rasis? Jauh sekali.

Anarkis? Nihilis? Anti pembangunan? Sudah lama saya tidak aktif dalam menjana ideologi-ideologi tersebut.

Tapi dalam 9 jam lagi, saya akan turun, berbaju putih, bersama-sama berhimpun bagi menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Saya anti bahasa Inggeris? Tolonglah... Saya lebih membenci Matematik sebenarnya.

Kalau tak percaya, cuba rujuk markah MUET saya.

Saya hormat pada setiap bahasa yang wujud, kerana bahasa adalah akar kepada bangsa.

"Bahasa Inggeris memang perlu kita kuasai, tetapi jangan sampai kita menyerah."

Saya sudah meluat dengan sikap memandang rendah pada Bahasa Melayu.

Saya sudah meluat, apabila kita bercakap Bahasa Melayu, orang akan menganggap kita biasa. Akan tetapi, apabila kita bertutur dalam Bahasa Inggeris, orang akan memandang kita mulia.

Saya sudah meluat, mendengar Melayu sesama Melayu berbual, bercinta, bergurau, dalam Bahasa Inggeris.

Saya sudah meluat, banyak nama-nama jalan dan nama-nama tempat di Malaysia dalam Bahasa Inggeris.

Saya sudah meluat, melihat Bahasa Melayu hanya dipenuhi dengan sukukata-sukukata Inggeris yang disalah eja. Seperti Bajet, Presint, termasuk juga Politik.

Tahukah anda?

Francois Valentyn mencatitkan dalam bukunya Aud en Nieuw II Del V bahawa pada akhir abad 17 dan abad ke 18, Bahasa Melayu adalah bahasa yang paling bermartabat di seluruh kota pelabuhan di kepulauan Melayu. Jika seseorang tidak mengetahui Bahasa Melayu seolah-olah dia tidak mengerti apa-apa pun.

Bahasa Melayu telah mendapat perhatian luar biasa seawal tahun 1522.

Antonio Pigafetta, seorang pelayar berbangsa Itali dari Vicenta telah menyusun sebuah kamus kecil hasil penjelajahannya di laut Melayu selama tiga tahun.

Kamus tersebut bernama Vokabell De Quedti Populi Mori.

Pigafetta belayar bersama pelaut Barat yang tersohor si Ferdinand Magellan.

Tentu, daftar kata Melayu itu hanya berjumlah 400 patah perkataan tetapi ia membuktikan bahawa bahasa Melayu adalah sebuah bahasa yang agung dan perkasa hingga menggiurkan orang Barat.

Bahasa Melayu adalah bahasa tamadun.

Sejak zaman Srivijaya lagi kedaulatan Bahasa Melayu amat utuh tak digugat sama sekali.

Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa kuliah agama Buddha di sebuah pusat pengajian Seriwijaya zaman abad ketujuh.

Ini dirakamkan oleh pendeta Cina I Tsing.

Merdeka kah kita, apabila Bahasa pun sudah hilang daulatnya?

Merdeka kah kita, apabila kita sendiri malu dengan Bahasa Melayu?

Begitu banyak perkataan Melayu yang dilupakan, seperti Belasungkawa, Kendatipun, Usai, dan juga Tungau??!!

Jangan sampai Bahasa Melayu menemui ajal seperti tulisan Jawi.

Saya sendiri sudah merangkak-rangkak untuk membaca dan menulis Jawi.

Ayuh! Mari berhimpun! Mari membantah! Mari bersuara! Kita jumpa lagi 9 jam!