10 tahun yang lalu,
Ada seorang remaja gemuk yang liar. Dia suka melawan cakap cikgunya. Cakap mak dan ayahnya juga bukan dia dengar sangat. Dia lebih suka merayau dari berada dalam rumah. Tidak kisah bersendirian ataupun berteman. Dia juga selalu ada dalam dunianya yang sendiri.
Dia kerap membuat ibunya menangis, dan ayahnya mengamuk.
Bukan tanda kurang ajar atau kurang didikan agama. Padahal dia sudah mula belajar mengaji ketika umur 4 tahun, ketika kanak-kanak kelasan lain ada yang belajar berenang dan main piano. Mungkin kerana naluri remaja yang kuat memberontak. Walaupun dia tidak faham apa yang dia berontakkan sebenarnya. Dia boleh merayau satu Kuala Lumpur dengan hanya RM2 di dalam poket.
Masjid? Dia hanya pergi jika ada majlis yang boleh dapat duit, atau makanan percuma, ataupun ayahnya paksa.
Cikgu pun agak ramai yang tidak suka akan perangainya. Waktu hari buku laporan, remaja ini menipu cikgunya mengatakan ayahnya bekerja "outstation" dan tak dapat hadir. Padahal pejabat ayahnya bekerja hanyalah beberapa langkah dari sekolah.
Apabila dipaksa pergi kelas tusyen yang agak mahal di ibukota, dia hanya pergi ke kelas-kelas tertentu yang diminati sahaja. Seperti kelas Bahasa Melayu. Kelas lain dia pergi pun hanya untuk menghabiskan masa lapang. Satu apa yang diajar pun tidak masuk dalam kepala otak. Kalau dia bosan, dia akan turun ke kedai buku membaca komik, atau pergi ke kompleks kotaraya bermain permainan video yang kena taruk syiling.
Ketika tarikh ini, 10 tahun yang lalu, orang lain sedang sibuk mengulangkaji untuk menghadapi SPM. Dia sedang sibuk membaca komik dan menampal poster gusti WWF.
Dia digelar "Kombat".
.......................................
20 tahun yang lalu,
Kanak-kanak ini sedang belajar dalam darjah satu di kelas Satu Hijau. Cikgu Husni nama guru kelas ketika itu. Dia memang cerdas dan pintar. Sudah boleh membaca dalam Bahasa Melayu dan Inggeris, sedangkan ada rakan sekelas yang lain masih tidak kenal huruf. Berkat kesabaran dan kasih sayang ibu dan bapanya yang sabar mendidik anak mereka di rumah, sebelum bersekolah.
Dia amat ramah, boleh bergaul dengan sesiapa, tidak kira lelaki atau perempuan. Dia juga aktif bermain dan tak kenal erti penat. Kanak kanak ini selalunya ditatang ibarat minyak yang penuh oleh kedua ibu dan bapanya. Setiap hari pasti dibekalkan dengan bekalan makanan yang berkhasiat dari rumah, dan juga wang poket untuk persediaan jika berlaku apa-apa. Adakalanya ayahnya akan hadir di waktu rehat, membawa makanan lain seperti buah jambu, ataupun kuih muih.
Ketika itu, kanak-kanak ini amat gemar pergi ke masjid. Kalau boleh, setiap waktu dia nak pergi masjid. Dia akan menangis jika ayahnya meninggalkannya jika pergi ke masjid. Dia juga suka singgah ke rumah atuk dan makcik-makciknya yang lain. Pada umur tujuh tahun, dia sudah pandai baca surah-surah dari juzuk Amma...
.......................................
27 tahun yang lalu,
Sepasang suami isteri bersyukur dan bergembira. Lahir lah anak lelaki sulung mereka setelah 6 tahun mereka menanti dengan sabar. Bayi sihat yang beratnya 12 paun. Kelahiran cucu lelaki pertama dari anak lelaki pertama turut diraikan oleh semua keluarga keturunan Mohammad Shair. Seorang dari bapa saudara bayi itu mencadangkan agar dia dinamakan Yassir Arafat, akan tetapi tidak dipersetujui oleh ahli keluarga yang lain.
Akhirnya,
Setelah disokong oleh datuknya yang mengagumi pemimpin pemuda satu parti politik pada masa itu, dan atas gabungan nama Abdul Razak dan Hamidah,
bayi itu dinamakan Abdul Hadi.
.......................................
Hari ini,
Dia baru ada ijazah, dan masih baru bekerja.
Dia sudah berjanji tidak akan buat ibunya menangis, dan ayahnya mengamuk lagi :)
3 ulasan:
wow! nice flashback bob! hehehe
kalo nk diciter kan full version nye..tkt db blog ni x tertanggung..heheheheh
tk cr bro!
salam.
bob,nanti kite nak buat mcm ko jgk la..nak review masa lepas kite.
p/s:ko kene percaya 1 bende nie.kalau orang yang dulu tu nakal, pastu dia da berjanji dia nak jadi baik.dia memang akan jadi baik.
good luck,bob
fak la wei... apa barang blog tulis emo2... mana the true hadi??
Catat Ulasan