Ahad, 7 Ogos 2011

Kisah brader misteri tingkat 5: Bahagian III

Jam 12.30am. Saya dan Daus baru pulang dari Shah Alam. Baru habis sesi memekak dan berkungfu bersama Emosa Pendosa.

Keluar dari kereta Daus, kami berjalan dengan penuh bergaya menuju ke arah lif. Sambil berjalan, kami rancak berborak tentang kehebatan diri masing-masing. Rancak betul berborak, memang pecah juga lah keheningan malam di kawasan Desaminium Rimba.

Tiba-tiba saya ternampak satu susuk tubuh yang saya cam. Ya, susuk tubuh brader misteri dari tingkat 5. Sudah beberapa bulan saya tidak bertembung dengan brader misteri itu. Brader itu kelihatan sedang mundar-mandir di kawasan letak kereta berhampiran dengan lif, sambil menggunakan telefon bimbit.

Perasaan saya bercampur-baur. Namun saya masih tetap mengekalkan langkah pada kadar steady diiringi Daus. Sehinggalah kami sampai ke lif. Kelihatan brader misteri cuba merapati kami. Sedikit cemas terasa...

"Dik.." Brader misteri menegur. "Ada broadband tak?" Brader misteri menguja satu persoalan, dengan wajah masih serius dan kening tebal. Seperti sebelum ini.

Saya pandang Daus, Daus pandang saya. Kemudian kami pandang brader misteri.

"Tak ada lah bang." Kami jawab senada tapi tak beberapa serentak.

Alhamdulillah, lif sampai cepat. Kami naik lif, tekan butang 14 laju-laju.

"Itulah brader misteri yang aku cerita dulu tu" Saya menerangkan pada Daus.

Daus angguk-angguk, mula mengerti.

Bersambung...

Sabtu, 6 Ogos 2011

Kisah brader misteri tingkat 5: Bahagian II

Saya ada janji mahu lepak berborak malam itu. Sebelum solat maghrib, saya sudah siap mandi.

Setelah usai solat, macam rutin biasa, doedoran disembur, dan pakaian lepak disarung. Selalunya seluar jeans dan kemeja-t. Semestinya tanpa kolar. Saya tidak memilih sangat aspek pemakaian. Asalkan nampak remaja dan tidak berbau.

Bercermin pun ala kadar, semata-mata untuk melaraskan susur atur rambut.

Setelah puas dengan penampilan remaja bebas, selipar disarung dan pintu rumah dikunci. Keselamatan rumah senantiasa penting dalam kehidupan, berikutan indeks jenayah yang kian meningkat.

Seperti lumrah manusia biasa, masuk sahaja dalam lif, saya bersandar di dinding belakang sekali, dan memandang pintu lif. Bersendirian dalam lif, saya memikirkan sedikit tentang masa hadapan. Tiba-tiba, lif berhenti di tingkat 5. Pintu lif terbuka dengan kelajuan sederhana.

Brader misteri yang saya tegur beberapa minggu yang lalu muncul dan masuk ke dalam. Sikit pun saya tak jangka kehadiran beliau.Tergamam seketika. 

Brader itu masuk, memandang saya sekali imbas. Saya melemparkan senyuman mesra, brader itu angguk kepala lalu kembali berdiri menghadap pintu lif.

Saya menghela nafas lega, tapi tak lama.

Beberapa saat kemudian, brader misteri itu menoleh kembali kepada saya. Matanya merenung tajam ke arah kemeja-t saya. Kemeja-t hitam dengan logo besar kugiran Earth Wind & Fire.

"Eh, ini lambang Firaun ni kan?" Brader itu berkata, dengan nada serius. Sambil menunjuk ke arah gambar di kemeja-t saya. Brader itu yang masih mengekalkan riak wajah serius memandang muka saya. 


Saya masih mengekalkan riak wajah manis, sambil cuba menjawab "Eh, bukanlah bang. Lain ni. Ini..."

"Betul lah ni.. lambang Firaun ni!" 

Tak sempat saya membela diri, brader itu sudah menambahkan pendakwaannya. Saya terkelu.

"Ting!"

Lif sampai tingkat bawah. Lantas brader misteri meninggalkan saya terkebil-kebil seorang diri.

Bersambung...

Jumaat, 5 Ogos 2011

Kisah brader misteri tingkat 5: Bahagian I

Sebagai manusia, adalah menjadi lumrah untuk kita tidak bersendirian. Apatah lagi dalam keadaan hidup berjiran. Melainkan kita mahu menjadi kera sumbang. Itu sukahati anda lah kan.

Pada suatu hari, saya baru pulang dari kerja. Walaupun jam baru pukul 6.30pm, tapi langit sangat gelap dan angin menderu kencang. Saya mempercepatkan langkah dari tempat letak kereta menuju ke lif. Terhegeh-hegeh juga saya berjalan laju naik tangga bukit. Maklumlah, golongan bersederhana macam saya ini, letak kereta di luar pagar sahaja. Tak ada peruntukan untuk bayar tempat letak kereta dalam pagar.

Sampai di depan lif, pernafasan mula diaturkan, tak mahu nampak sangat tercungap-cungap. Perwatakan kena dijaga, manalah tahu, ada gadis cun keluar dari lif tiba-tiba. Nampak lemah sangat pula nanti.

Pada mulanya saya bersendirian menanti lif. Brader jaga Myanmar yang biasanya duduk di meja bertugas depan lif pun tak ada. Kalau ada, boleh juga dibawa berborak. walaupun mungkin akan timbul masalah komunikasi. Manalah brader jaga itu pergi agaknya. Entah pergi tandas, mungkin mengular atau mungkin pergi surau. Keadaan bersendirian memang membuatkan saya banyak fikir.

Kemudian datang satu brader. Terus berdiri tegak di depan lif. Baru pulang dari pejabat juga agaknya. Berpakaian kemas, berkulit agak gelap, bertubuh agak gempal tapi tegap, tinggi sederhana, berambut pendek, dan bulu kening lebat.

Langit semakin gelap, awan berarak hebat, angin menderu kencang. Saya sebagai seorang yang peramah dan manis mulut, mula untuk bertegur sapa dengan brader yang baru sampai tadi.

"Macam nak ribut ya?" Saya memulakan bicara.

Brader itu terus menoleh ke arah saya, dengan wajah yang serius. 
Lalu dia merapatkan diri kepada saya dengan agak pantas, membongkok sedikit dan merenung tepat pada biji mata saya dengan mata yang menyorot tajam, lantas berkata.

"Ya, memang nak ribut!" Dengan suara not rendah, tapi nada yang serius. Macam watak pendekar.

Kemudian, brader itu kembali pada kedudukan asal. Sedikit reaksi pun tak ada.

Saya menjadi kaget, terus terdiam berdiri kaku. Lif terasa sangat lambat. Saya hanya memandang pintu lif. Lif pula hampir tiba. Saya berdebar, dan terfikir apa akan jadi jika hanya saya dan brader itu berdua dalam lif.

Beberapa saat kemudian, muncul seorang kakak. Lif pun tiba. Saya rasa selamat naik lif. Ada teman lain. 
Lebih selamat lagi kerana kaka itu turun di tingkat 18, saya tingkat 14.

Brader misteri itu turun di tingkat 5.

Bersambung....