Jumaat, 5 Ogos 2011

Kisah brader misteri tingkat 5: Bahagian I

Sebagai manusia, adalah menjadi lumrah untuk kita tidak bersendirian. Apatah lagi dalam keadaan hidup berjiran. Melainkan kita mahu menjadi kera sumbang. Itu sukahati anda lah kan.

Pada suatu hari, saya baru pulang dari kerja. Walaupun jam baru pukul 6.30pm, tapi langit sangat gelap dan angin menderu kencang. Saya mempercepatkan langkah dari tempat letak kereta menuju ke lif. Terhegeh-hegeh juga saya berjalan laju naik tangga bukit. Maklumlah, golongan bersederhana macam saya ini, letak kereta di luar pagar sahaja. Tak ada peruntukan untuk bayar tempat letak kereta dalam pagar.

Sampai di depan lif, pernafasan mula diaturkan, tak mahu nampak sangat tercungap-cungap. Perwatakan kena dijaga, manalah tahu, ada gadis cun keluar dari lif tiba-tiba. Nampak lemah sangat pula nanti.

Pada mulanya saya bersendirian menanti lif. Brader jaga Myanmar yang biasanya duduk di meja bertugas depan lif pun tak ada. Kalau ada, boleh juga dibawa berborak. walaupun mungkin akan timbul masalah komunikasi. Manalah brader jaga itu pergi agaknya. Entah pergi tandas, mungkin mengular atau mungkin pergi surau. Keadaan bersendirian memang membuatkan saya banyak fikir.

Kemudian datang satu brader. Terus berdiri tegak di depan lif. Baru pulang dari pejabat juga agaknya. Berpakaian kemas, berkulit agak gelap, bertubuh agak gempal tapi tegap, tinggi sederhana, berambut pendek, dan bulu kening lebat.

Langit semakin gelap, awan berarak hebat, angin menderu kencang. Saya sebagai seorang yang peramah dan manis mulut, mula untuk bertegur sapa dengan brader yang baru sampai tadi.

"Macam nak ribut ya?" Saya memulakan bicara.

Brader itu terus menoleh ke arah saya, dengan wajah yang serius. 
Lalu dia merapatkan diri kepada saya dengan agak pantas, membongkok sedikit dan merenung tepat pada biji mata saya dengan mata yang menyorot tajam, lantas berkata.

"Ya, memang nak ribut!" Dengan suara not rendah, tapi nada yang serius. Macam watak pendekar.

Kemudian, brader itu kembali pada kedudukan asal. Sedikit reaksi pun tak ada.

Saya menjadi kaget, terus terdiam berdiri kaku. Lif terasa sangat lambat. Saya hanya memandang pintu lif. Lif pula hampir tiba. Saya berdebar, dan terfikir apa akan jadi jika hanya saya dan brader itu berdua dalam lif.

Beberapa saat kemudian, muncul seorang kakak. Lif pun tiba. Saya rasa selamat naik lif. Ada teman lain. 
Lebih selamat lagi kerana kaka itu turun di tingkat 18, saya tingkat 14.

Brader misteri itu turun di tingkat 5.

Bersambung....

Tiada ulasan: