Isnin, 1 Oktober 2012

Tragedi Janjiditepati #2

Disambung dari sini: Tragedi Janjiditepati #1 oleh Gunx.

Dari bilik air belakang, terdengar bunyi orang mandi sambil menyanyikan lagu Fatwa Pujangga dengan lirik yang berterabur dan suara serak-serak kodok.

Di ruang tengah rumah, ibu tua itu sedang melipat kain, sambil ditemani ustaz muda yang sedang berceramah dari dalam peti televisyen.

Seketika kemudian, bunyi jirusan air dan suara kurang enak itu pun berhenti.

"Dah siap karang, nanti tolong ambik daun pandan belakang rumah ya. Mak nak buat sirap."

Senyap. Tak ada jawapan.

"Hadi?" Ibu mula sangsi.

"Hadi oiii...!" Masih senyap tak ada jawapan.

Ibu lantas bangkit dan meninggalkan bakul kain, melangkah risau ke bilik Hadi. Daun pintu ditolak, lalu menjenguk ke dalam. Ternyata bilik kosong dan tingkap terbuka luas. 

Ibu terpandang cermin almari

"Orang pergi tuisyen add math kejap. petang karang balik. Nanti mak tolong tutup tingkap ya!"

Perkataan huruf kecil-besar berterabur tertulis di cermin dengan gincu.

"Bertuah punya budak. Mengamuk la Kak Ngah dia ni karang tengok jahanam gincu avon dia ni." Ibu hanya mampu menggeleng-geleng kepala.

..........

"Fee.. Weeetttt!! Hai cik adik, tak singgah dulu ke?"

Rozinor memulakan taktik menggatalnya, sambil menyeringai menunjukkan gigi berkarat.

"Kemain lagi melenggang, jom la minum segelas dua.. keh keh keh." 

Iwan mencelah, menambah rencah. Kedua-dua bujang kampung itu memang pantang terlihat anak gadis. Apatah lagi si Rudeen, anak dara yang sering menjadi sebutan masyarakat kampung.

Pak Sharul hanya menggeleng menyampah sambil mencuci pinggan di dapur. Dia memang menyampah melihat anak-anak muda yang tak ada disiplin.

Rudee, macam biasa, hanya berlalu pergi tanpa berkalih sedikit pun. Tidak memandang sedikit pun atas gangguan yang menjengkelkan itu.

"Amboi, bukan main lagi Rudeen tu kan? Patutlah sampai gila dibuatnya si Hadi tu. Keh keh keh." 

Rozinor memulakan topik baru perbualan, supaya masa melepaknya dengan Iwan nampak tidak sia-sia.

"Itulah, entah macam mana si Hadi tu sampai gila dibuatnya. Dah tak betul. Mereng. Aku rasa dia hisap dadah kot... Aku tak percaya sangat kalau orang kata buatan orang ni. Tahyul semua tu."

Iwan mengeluarkan buah fikiran.

"Mungkinlah, entah-entah, dia lah yang selama ni pecah rumah orang, reban ayam semua. Nak beli dadah la tu!" Rozinor menambah spekulasi.

"Swoooshhhh...  Chakkk!"

Tiba-tiba sebilah parang kontot terpacak di dinding gerai, betul-betul melalui antara muka Rozinor dan Iwan

"Kenapa aku terdengar nama adik aku tadi ya?" 

Zalila berjalan tenang masuk ke dalam gerai.

..........

"Rizaaaaaal! Ooo.. Rizal!!" 

Rizal seorang remaja muda yang masih menanti keputusan UPSR, cam sangat suara kerek yang memanggilnya dari luar rumah. Lantas, Rizal mula menyimpan kembali majalah Bambino yang dibacanya, dan mula menjenguk ke tingkap.

"Kenapa Di?"

Hadi dengan berbaju pagoda, berseluar potong, tersengih-sengih sambil menanti dengan basikal biru di tongkatkan. Basikal bukit yang pada asalnya hitam, dicat tangan warna biru termasuk dengan ranta, dan tayarnya sekali. Memang berkeriuk-keriuk bunyinya ketika dikayuh.

"Aku nak tunjuk kau satu benda ni, lekas lah turun!"

Hanya Rizal sahaja yang berani dan sudi berkawan dengan Hadi yang dikatakan gila oleh masyarakat. Sesuai dengan kedudukannya sebagai ahli pengakap muda yang akur pada piagam dan ikrar pengakap, yang dilafazkannya pada setiap pagi Sabtu di sekolah.

Rizal lantas berlari turun, sambil menyarungkan baju rumah ungu kegemarannya.

"Amende kau nak tunjuk ni Di?"

"Kejap, tak boleh tunjuk kat sini. Bahaya. Nanti datang Robocop, tembak kita susah."

"Habis tu kat mana?"

"Aku nampak semalam, tepi parit belakang dusun Pak Akob. Jom la lekas. Karang orang lain pulak jumpa. rugi lah kita."

"Okeh! Aku ambik pisau MacGyver aku." 

Rizal terus berlari kembali ke dalam rumah, mencari ibunya untuk meminta izin.


Bersambung...

Khamis, 30 Ogos 2012

Salam Aidilfitri 1433 H


Bukan senang kami nak bergambar sekeluarga. 
Cuba teka yang mana satu saya? haha

*Adik saya nombor dua tak masuk dalam gambar akibat tidur tak bangun-bangun.

Ahad, 15 April 2012

Cerpen Indie : Sukan Kebuluran (Parodi The Hunger Games)

Tahun 2164 Masihi. 74 tahun setelah tamat perang, Semenanjung Malaysia berubah menjadi Malaya Baru setelah Borneo keluar membentuk negara sendiri. Putrajaya masih kekal menjadi wilayah pemerintahan, 11 negeri yang lain menjadi negeri-negeri jajahan takluk. Bagi mengekalkan kestabilan dan kesetiaan, setiap negeri diwajibkan menghantar wakil remaja mereka yang berumur di antara 12-18 tahun untuk bermain satu sukan bodoh dan membunuh yang dinamakan Sukan Kebuluran.

Katijah Abidin termenung memandang keluar tingkap monorel. Perjalanan dari Melaka terasa agak membosankan. Pemndangan agak suram berlatarkan kesan perang dengan pemulihan yang lembab. Di bahagian kantin monorel, kelihatan rakan senegeri Katijah, Petra Mallick, seorang remaja berketurunan India Muslim, anak tauke warung roti canai.

Petra dengan mulut masih mengunyah karipap subsidi, sibuk bertanyakan tips-tips dan petua dari yang telah dilantik kepada pasukan mereka, Hamid Abu Nazir. Hamid adalah bekas juara Sukan Kebuluran 24 tahun yang lalu. Hamid hanya ambil endah-tak endah, mungkin sibuk atau mabuk meminum arak subsidi. Buruk betul rupa orang Melayu mabuk. Mata Hamid lebih tertumpu pada filem yang ditayangkan di kaca televisyen. Akhir zaman sebegitu, soal halal dan haram dianggap subjektif dan hanya penting untuk soalan perperiksaan. 

"Alah, lu orang tak payah kecoh sangat. Nanti dah sampai karang ada lah tuisyen. Buat rilak-rilek je." Itu sahaja pesan dari Hamid sebelum dia sambung tengok filem.

Katijah terasa agak kecewa dengan nasib yang menimpa dirinya. Akan tetapi, jika difikirkan semula, dia tidak boleh menyalahkan nasib sepenuhnya. Silap dia juga beria-ia menggaru ketiak sehingga pegawai pemilih menyangka dia mengangkat tangan untuk menawarkan diri menyertai Sukan Kebuluran. Dalam renungan, dia menahan terbayang adik dan ibunya di Melaka. Semoga cukup makan dan minum. Tidak dilupakan teman istimewanya Jali Harun yang setia bersamanya saat susah dan senang, juga rakan bersama memburu burung wak-wak.

Tiba di Putrajaya, pemandangan agak asing bagi remaja Melaka seperti Katijah dan Petra. Segalanya begitu indah dan gah. Setiap bangunan kelihatan begitu canggih. Pemandangan begitu hanya pernah mereka lihat dari kalendar atau poster propaganda kerajaan pusat.

Setiap peserta dari kesemua 11 negeri-negeri jajahan takluk mula diriaskan dan dipakaikan dengan pakaian yang mewah dan cantik-cantik belaka. Turut menyertai mereka adalah sepasang wakil dari Putrajaya sendiri yang agak bongkak dan takbur. Sambil makan malam, mereka diberikan taklimat mengenai kelas latihan dan persediaan sebelum berlangsungnya Sukan Kebuluran nanti. Sukan Kebuluran juga akan ditayangkan secara  langsung ke seluruh kawasan jajahan. Petra dengan gelojoh melantak kambing panggang. Sebelum ini baginya makanan paling sedap hanyalah roti canai cicah kuah dhal sayur. 

Sesi latihan begitu rancak dan sengit sekali. Setiap peserta berdisiplin dan bersungguh-sungguh menonjolkan bakat dan kehebatan masing-masing. Segala kesungguhan yang ditonjolkan adalah penting demi meraih tajaan dari syarikat-syrarikat kapitalis yang senantiasa mencari peluang mudah.bagi memasarkan nama dan produk mereka.

Sukan Kebuluran pun bermula dengan penuh meriah dah gah. Maka bermulalah sesi bunuh-membunuh antara kesemua 24 remaja yang baru kenal dunia itu. Sepanjang kesukanan, sudah ramai angka yang terkorban. Mayat mula membusuk dan bersepah. Darah dan daging manusia kelihatan bersepah di sekitar kawasan. Segala keganasan itu dipertontonkan sebagai hiburan secara langsung kepada seluruh rakyat jelata. Alhamdulillah, berkat aktiviti Katijah memanah dan memburu burung wak-wak dari kecil membantunya untuk terus hidup sepanjang tempoh acara sukan.

Dalam tempoh huru-hara sebegitu, pelbagai situasi boleh terjadi. Hendak dijadikan cerita, perasaan mula berputik antara Katijah dan Petra. Entah perasaan cinta, atau perasaan nafsu. Mereka sendiri bertambah keliru dan tidak mengerti. Mungkin kerana Petra pernah memberi Katijah sisa roti canai, suatu masa dahulu. Dalam detik-detik terakhir permainan, hanya tinggal mereka berdua yang masih bernyawa. Dengan persaan asmara atau nafsu yang kian membara, mereka mula berpelukan, dan akhirnya berkucup mulut. 

Mereka sedar, segala aksi mereka juga dipertontonkan kepada seluruh rakyat jelata. Akan tetapi mereka lupa aksi mereka juga turut dipertontonkan kepada rakyat negeri Melaka. Bapa Petra kecewa kerana berharap Petra berkahwin dengan gadis berketurunan India Muslim juga. Yang paling hancur luluh adalah hati Jali Harun yang turut menonton dari televisyen skrin besar di Dataran Pahlawan. 

Dalam kekecewaan dan hati yang remuk ibarat terhempas ke batu tajam, Jali tetap tampak hebat berdiri menahan air mata dari berlinangan. Ini tidak boleh jadi. Sebagai anak yatim piatu, hanya Katijah dan keluarga sahaja yang ada dalam hidup Jali. Segala kesetiaan Jali selama ini ibarat tidak ada ertinya lagi. Dalam kekecewaan itu, sempat juga akal Jali ligat berfikir. Ada dua pilihan yang mula difikirkan.

Pertama, menyertai jemaah tabligh dan pergi ke India untuk belajar dan memulakan kerja dakwah.

Atau pilihan kedua, mula mengurat Rima Ros, sabar menanti sehingga 6 tahun kemudian untuk menikahinya. Rima Ros adalah adik Katijah yang masih berusia 12 tahun.

Jali mengurut janggut sambil serius berfikir masa depannya.


Cerpen parodi yang lain:


Gunx: Bunohan (versi Pahang)
Zalila: Tombak Rindu


Sabtu, 28 Januari 2012

Cerpen Reverse: Episod (n-2) - Jack Yang Mencabar

Apit masih tercungap-cungap. Sambil tercungap-cungap, dia gagahkan diri untuk bangun. Tercungap-cungap sambil tertiarap atas pasir memang boleh menyesakkan kerongkong. Situasi cemas melarikan diri sebelum melompat masa, masih mendebarkan. Apit bingkas duduk, memeriksa keadaan tubuh. 

"Alhamdulillah, sempurna." Seluruh anggota tubuh masih ada, tak ada secebis pun yang tercicir dalam perjalanan.

Sudah pelbagai zaman dan situasi sudah berjaya ditempuh dengan selamat. Hakikatnya dia mahu terus pulang, tapi asyik tersilap. Tidak dapat Apit pastikan sama ada dia yang salah memasukkan data, salah memicit butang, atau memang peranti mesin masa itu memang bangang.

Sambil menepuk-nepuk menyapu pasir keluar dari serata tubuh, Apit mula berjalan, cuba mencari tamadun. Cuaca dan angin dingin tanah England agak nyaman. Udara segar dan bunyi unggas liar menguatkan intuisinya bahawa Apit ada di zaman purba. Udara kering membuatkan tekak Apit mula dahaga. Perjalanan diteruskan sehingga sampai di suatu pekan.

Apit mencari restoran. Akan tetapi, di sebuah pekan di England zaman purba, memang susah mahu mencari restoran. Masyarakat zaman itu lebih gemar makan masakan di rumah. Apit terpaksa masuk ke dalam sebuah pub untuk minum.

Suasana di dalam bar itu agak sunyi. Mungkin masih terlalu awal untuk masyarakat di situ mengunjungi pub di siang hari. Apit memilih untuk duduk di hadapan bar, mudah untuk memesan minuman. Duduk di kaunter, Apit terus memesan gaya seperti pelanggan yang biasa datang.

"Bagi air teh satu. Gelas besar ya, letak ais"

Pelayan itu terasa agak pelik. "Air teh? Arak tak nak? Stout ke, beer ke?" Pelayan bar menyoal kembali.

"Tak, saya Muslim." Apit jawab tenang.

"Oh, OK, tak ada masalah." Pelayan itu terus bergegas ke dapur mencari teh.

Gelagat Apit menjadi perhatian seorang lagi pengunjung di pub itu. Pengunjung itu, seorang lelaki remaja Inggeris, bingkas bangun dari mejanya, dan berjalan menuju ke meja Apit sambil membawa minumannya.

"Hai, apa khabar? Aku dengar tadi kau cakap kau Muslim?" Remaja itu memulakan perbualan.

"Khabar baik. Ya, aku Muslim. Nama aku Hafis. Tapi lebih mesra dengan panggilan Apit. Nama kau siapa?

"Nama aku Jack. Jack Hardy. Selamat berkenalan." Sambil menghulurkan salam.
"Tapi dulu aku ada kawan sahabat pena dari Damsyik. Dia seorang Muslim juga, dia panggil aku Hadi Jack. Jadi, kau pun boleh panggil aku Hadi Jack. Amacam?"

Lalu, teh yang dipesan tadi pun sampai.

"Ais tak ada lah, zaman ni mana ada peti ais. Ni aku buat suam, kau minum lah elok-elok ya." Pesan pelayan bar itu.

Apit dan Hadi Jack mula berbual rancak. Ternyata, persamaan mereka adalah dalam bab pengembaraan dan cabaran. Apit mula menunjukkan minat apabila Hadi Jack menceritakan tentang ada gergasi yang zalim, duduk di atas awan, dan mempunyai pelbagai jenis harta karun yang berlebihan. Sebagai remaja sengkek, Hadi Jack menceritakan mengenai cita-citanya untuk meminta sedikit harta itu.

Hadi Jack juga menceritakan mengenai kacang ajaib yang telah berjaya ditanamnya selama ini. Dia belum pernah menggunakannya kerana masih tak ada orang yang nak teman dia naik ke atas awan sana. Apit mengangguk serius dan menyatakan dia memang berminat.

"Cantek! Aku pun dah lama tak memanjat ni." Kata Apit sambil menggeliat merenggangkan otot.

"Ok, habis minum ni, kita gerak." Sambil Hadi Jack menunjukkan isyarat dengan ibu jari.

Setelah habis minum sampai terbelahak, Apit mengikut Hadi Jack ke kebun belakang rumahnya, tempat di mana pokok kacang itu ditanam.

"Mak aih, besar betul, berapa lama kau tanam ni?" Apit soal dengan nada sedikit terkejut.

"Dalam sebulan lebih la, tapi dia satu malam je dah besar macam ni. Nama pun pokok ajaib. Kau jangan terkejut lebih pula. Dah jom panjat." Hadi membebel panjang sambil mula memanjat.

Apit turut akur, dan turut memanjat sekali.

Di pertengahan jalan, Apit sudah mula rasa lelah. "Jauh lagi ke Jack?"

"Tu, dalam beberapa puluh hasta je lagi. Kau ni kuat merungut lah. He he he" Hadi Jack semakin laju.

'Kuat betul pokok kau ni. Apa baja kau pakai?" Apit masih cuba melengahkan waktu.

"Baja organik. Berak aku sendiri je."

Hadi Jack menjawab malas. Tak tahu betul atau bohong. Tapi, jawapan itu berjaya membuat Apit diam dan terus laju memanjat.

Sampai di atas, Hadi Jack mula menyedut udara, melepaskan lelah. Apit siap tertunduk-tunduk lagi mengah. Nampak sangat orang bandar moden tipikal, stamina tak pernah cukup.

Terpampang di hadapan mereka, sebuah rumah. akan tetapi, tidaklah sebesar apa yang mereka bayangkan selama ini. Lebih kurang sebesar rumah teres dua tingkat di abad ke 21.

"Ini kau kata besar Jack?" Apit mula curiga.

""Tu lah, aku dengar cerita, besar macam istana. Haram, tak besar sangat pun weh." Hadi Jack mula kecewa.

Mereka berdua mula cuba menyelinap masuk, mula mencari, mana harta gergasi itu. Akan tetapi, jangankan gergasi, perabot dalam rumah itu pun tak ada lah sebesar mana. Siap nampak serba ringkas lagi segala hiasan dalamann rumah itu. tak ada tanda-tanda pun menunjukkan bahawa tuan rumah itu seorang penyimpan harta, atau seorang gergasi.

"Woi! Buat apa tu?!" Terdengar satu suara menyergah dari belakang.

Apit dan Hadi Jack terperanjat beruk. Mereka mula takut, dan berdiri tegak. Perlahan-lahan mereka memusing ke arah suara itu, dengan jantung yang berdegup kencang.

..........

"HAHAHAHAHAHA!"

Lelaki yang digelar gergasi itu ketawa pecah perut mendengar penjelasan Hadi Jack.

"Mana ada gergasi, mentang-mentang aku gemuk. Bodoh punya masyarakat. Dah memang nama keluarga aku Giant. Nama aku pun, Henry Giant. Eh, korang dah makan? Aku ada masak lebih tadi. Jom lah sekali." Ya, Henry Giant bukanlah gergasi sangat. Cuma agak obesiti susuk tubuhnya.

Apit dan Hadi Jack setuju.

"Err.. lauk kau ni halal ke tak?" Apit bertanya, masih curiga.

"Oh, kau Muslim ya? Jangan risau, aku vegetarian. Minyak pun pakai minyak sayuran sahaja."

Apit senyum lega.

"Kau ni, nama je Muslim. Tapi apa hal masuk rumah orang tak minta izin?" Henry Giant menyindir.

Apit senyum kelat.

..........

Selesai makan, mereka sambung berborak.

"Jadi, apa cerita harta karun yang kau simpan?" Hadi Jack membuka persoalan.

"Harta karun? Itu sahaja lah harta yang aku ada." Sambil menunjukkan pada satu bilik, yang penuh dengan buku-buku.

"Buku-buku tu semua aku kumpul dari satu dunia. Kebanyakan buku itu pun orang bagi percuma."

"Buku-buku buruk macam itu kau panggil harta?" Hadi Jack memperlekehkan minat Henry Giant.

"Patut lah kau bengap. Buku-buku tu memang nampak buruk, tapi ilmu dalam dia, tak ternilai kau tahu! Bla.. bla.. bla.. bla..." Henry Giant mula bersyarah panjang.

Apit sudah mula meneliti buku-buku yang tersusun kemas dalam bilik itu.

"Tengok kejap boleh?" Apit mula menelaah buku.

"Boleh, tapi jangan buka buku besar berkulit hijau tu. Itu buku sihir." Henry Giant memesan.

Tapi terlambat. Dengan muka bodoh, dia sudah buka pun buku itu.

Secara tiba-tiba seekor rasaksa yang ganas muncul, dan mengejar mereka. Kesemua mereka mula huru-hara, dan lari dengan perut yang penuh.

Apit lah yang paling kelam kabut, dia tak pernah tengok rasaksa sebegitu. Dia cuma mengharapkan keajaiban...

Bersambung dari blog Hafis

Bersambung ke blog:
Zalila
Gunx