Khamis, 30 Ogos 2012
Salam Aidilfitri 1433 H
Khamis, 7 Oktober 2010
Syawal sudah nak habis rupanya
Isnin, 27 Oktober 2008
Cukup sudah lah tu beraya…
Syawal kali ini memang saya sambut dengan penuh sakan. Tak fikir apa lagi dah. Raya sahaja semata-mata. Setiap hujung minggu, pasti saya akan pergi ke rumah terbuka sahabat handai saya.
Satu hapah benda lain pun saya tak hiraukan. Pelajaran saya abaikan, satu buku pun saya tak sentuh, projek saya pula saya hanya sentuh untuk memuaskan hati penyelia projek, blog ini juga tidak saya kemaskini semenjak dari 1 Syawal yang mulia.
Tiada cerita? Bersepas cerita sebenarnya, sehinggakan bertaburan dan tak tahu hujung pangkal dah. Terlalu banyak raya sehingga saya mula hanyut dan hanyut dan hanyut sehingga saya mula lemas dalam keenakan menyambut lebaran.
Hampir keseluruh Selangor saya sudah beraya. Melaka dan Negeri Sembilan juga sempat saya singgah. Setiap hujung minggu pasti saya akan berbaju melayu dan siap bersamping. Setiap hujung minggu pasti saya akan ada makan ketupat, lemang, rendang dan sate. Setiap hujung minggu juga pasti saya akan bersalaman dengan banyak orang-orang yang saya tidak kenal sebelum ini.
SAya sempat juga beraya di rumah kediaman bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir. Banyak lagi cerita tentang raya yang saya terlibat di sini, dan sini.
Tahun ini mungkin bagi saya adalah tahun paling sakan saya beraya semenjak saya mencecah usia 20 tahun. Semakin ramai kawan, semakin bervariasi raya saya dibuatnya. Terima kasih pada mereka-mereka yang telah menjemput saya beraya dirumah mereka. Maaf dipinta bagi jemputan yang tidak dapat saya penuhi.
Sudah lah tu, cukup! Banyak sangat kolestrol dah! He he he he… Saya tidak hirau sangat mengenai kolestrol sebenarnya, akan tetapi, saya lebih hiraukan mengenai perperiksaan akhir yang pasti kunjung tiba pada hari Rabu ini. Ya! Ini adalah kali terakhir saya akan menghadapi perperiksaan di gedung ilmu Uniten ini. Saya tidak mahu mempersia-siakan peluang terakhir saya.
Usaha! Tekun! Jaya! Jata sekolah rendah saya, Sekolah Kebangsaan Gombak Utara yang saya jejaki pada 19 tahun yang lalu. Kini terngiang-ngiang ibarat memberi semangat kepada saya. Ya! Saya akan berusaha menamatkan saga 20 tahun saya bergelar “pelajar”.
Cukup! Sudah! Tamat! Fin! The End! Noktah! Dengan ini, saya mengisytiharkan, proses beraya sesi tahun 2008M, ditamatkan pada malam ini, bersamaan 27 Syawal! Maaf jika ada yang mengajak saya beraya lagi. Saya perlukan noktah disini.. huhuhuhu…:)
Khamis, 9 Oktober 2008
Huru hara 1 Syawal
Pagi 1 Syawal itu, oleh kerana tidak cukup tidur, maka saya menyambung lagi tidur setelah usai Subuh. Saya bangun kembali pada jam 7.30am. Ayah awal-awal lagi sudah bertolak ke Masjid. Setelah mandi dan bersiap, lantas saya dan Hakim bersedia untuk pergi ke surau berhampiran sahaja. Hakim yang terkenal dengan lambat bersiap itu selesai siap pada jam 7.55am. Dengan pakaian baju melayu lengkap penuh bergaya, kami memulakan langkah berlagak kami ke surau.
Sampai sahaja di pintu surau, dapat dilihat ramai jemaah yang sudah hadir, bertakbir dengan penuh semangat. Kami telah dipanggil oleh Hj Ramli, Pengerusi Surau supaya duduk di saf hadapan sekali. Ini adalah kerana beliau meminta supaya Hakim menjadi bilal pada pagi itu. Sebelum solat, seperti pagi-pagi Syawal yang dahulu, kami semua bertakbir lagi sehinggalah jam 8.30am.
Selesai solat sunat dan kutbah Syawal, kami pun bersolawat dan bersalaman sesama jemaah. Kami pulang ke rumah untuk sesi bermaaf-maafan bersama keluarga pula. Setelah itu, Kami bergambar dahulu seisi keluarga sebelum tetamu menyusul tiba.
Saya yang memang masih mengantuk, mengambil langkah biadap dengan bersembunyi dalam bilik untuk curi-curi tidur. Oh, sungguh nikmat terasa walaupun saya hanya dapat tidur untuk 1 jam lebih sahaja. Ini adalah kerana, pada jam 11.00am, Pak Suman, sahabat lama ayah datang bersama keluarga. Mereka adalah jiran kami dahulu, sebelum kami berpindah. Mereka sekeluarga sudah ibarat bersaudara dengan kami.
Anak Pak Suman, Asyraf, merupakan sahabat zaman kanak-kanak saya yang sudah 8 tahun tidak bertemu, dan 10 tahun tidak berbual mesra dengan saya. Kami sama-sama membesar dan meneroka zaman kanak-kanak pada masa dahulu. Dia banyak mengajar saya benda baru dan juga benda mengarut. Dia juga lah yang pernah mempengaruh saya untuk bercita-cita menjadi pelakon semasa kami darjah 1. Asyraf sudah bertunang, dan hampir berkahwin rupa-rupanya. Saya pula masih lagi belajar dan masih bujang serta liar… hehehehe.
Tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat tidak putus-putus kunjung tiba sehinggalah hampir senja. Apabila langit sudah jingga, barulah sunyi sedikit. Saya mula bersiap-siap untuk sesi kedua membakar sate. Masih ada 300 cucuk sate perlu dibakar untuk malam itu. Kali ini, setelah sedar dari kesilapan semalam, saya sudah menyahbekukan sate sejam lebih awal.
Akan tetapi, kesilapan yang lain pula muncul. Halim telah silap membeli arang. Dia telah membeli arang yang sangat susah untuk dihidupkan dan tidak sesuai untuk pembakaran sate. Akibat dari itu, arang lain perlu dibeli, dan pembakaran hanyalah bermula pada jam 8.30pm. Memang hampeh!
Malam itu, tetamu utama kami adalah Mak Ngah (kakak mak) dan dua anak-anaknya, Kak Ton dan Abang Jeman anak beranak, Cik Kiah (adik ayah) dan keluarga, Anak-anak Arwah Along (kakak ayah) sekeluarga, dan sepupu-sepupu saya bersama keluarga.
Turut hadir malam itu adalah beberapa lagi jiran tetangga yang tidak sempat datang pada siang hari. Oleh kerana sate agak lambat masak, maka mereka pun makan hidangan siang tadi, seperti rendang, ketupat, lontong, sambal kacang dan biskut-biskut raya sebelum sate dihidangkan.
Kesemua tetamu hanya pulang setelah jam 12.00am. Saya yang mengantuk pada awalnya, tetapi mata segar kembali setelah membuka komputer, dan bermain melayari internet. Bukan selalu saya dapat bermain internet di rumah, akan tetapi kerana Kak Ina telah membawa bersama modem tanpa wayarnya, maka saya pun lenjan sampai Subuh! Kah kah kah kah!
Selasa, 7 Oktober 2008
Huru Hara Malam Raya
Persiapan untuk menyambut Syawal di rumah saya sudah bermula dari awal pagi. Saya juga terpaksa bangun lebih awal (Pukul 9 itu adalah super awal bagi saya) kerana diperintahkan mengikut ayah dan Hawa membeli barang di Selayang. Itulah pertama kali saya terlibat dalam upacara membeli bunga untuk digubah menjadi hiasan.
Setelah pulang, akitiviti mengemas dan menghias rumah pula rancak berjalan. Oleh kerana sudah ramai tentera buruh kanak-kanak yang sudah dikerah, saya lebih enak terbongkang semula di atas kerusi hadapan televisyen. Lagipun saya tidak berbakat menghias rumah.
Petang itu, setelah solat Asar, saya sudah bersiap sedia untuk menjalankan tugasan yang telah diamanahkan oleh ketua kampung. Saya bertanggungjawab untuk projek membakar 500 cucuk sate untuk tetamu yang datang bertakbir malam itu, dan juga sebagai hidangan sampingan untuk esok.
Proses pembakaran sate hanya dapat dimulakan pada jam 6.45pm kerana terlupa untuk menyahbekukan sate-sate dengan lebih awal. Kerja menceraiceraikan sate terpaksa dikerjakan dengan begitu cermat. Daging yang sudah beku dan bercantum amat mudah untuk rosak, berpecah belah dan binasa jika tiada kesabaran dan kecermatan dalam proses pemisahan. Tangan yang lembut dan suci memang sangat diperlukan.
Setelah berbuka, baru kami perasan, kami kekurangan besi untuk rel langsir. Jadi, saya telah ditugaskan bersama adik saya Halim untuk mencari rel langsir di pasaraya Carrefour Wangsa Maju. Kami juga dikerahkan untuk membeli bunga hiasan tambahan. Jadi, kerja-kerja pembakaran sate saya serahkan sementara kepada adik saya Hakim dan sahabat zaman kanak-kanak saya, Firdaus dan Fazriq. Firdaus sekarang sudah menjadi graduan diploma kejuruteraan awam dan Fazriq pula sudah menganggotai pasukan tentera untuk kor armor di Raja, Angkatan Tentera Malaysia.
Setelah pulang dari Carrefour, sepupu-sepupu saya, Abang Buyung sekeluarga dan Abang Am sekeluarga sudah tersedia bagi memeriahkan lagi suasana huru hara malam raya di rumah saya, menyertai keluarga Kak Ina yang sudah datang semenjak hari Jumaat lagi. Kerja pembakaran sate masih diteruskan dengan tertib oleh Firdaus dan Fazriq. Saya sebagai teraju utama memerhati dan memanduri kerja-kerja mereka agar sempurna.
Anak-anak sepupu saya bersama ibu-ibu mereka duduk didalam rumah membuat berbual sambil menonton drama-drama yang telah terhidang untuk seisi keluarga.
Herman muncul kemudian. Ya, Herman, abang kepada Firdaus memang pakar dalam proses pembakaran sate. Sekejap sahaja beratus-ratus sate selesai dibakar dengan sempurna. Tanpa kompromi dan banyak bunyi.
Jam 9.30pm, rombongan orang kampung mula sampai dan bersedia untuk majlis takbir berjemaah. Sate-sate yang telah siap dibakar dibawa masuk ke dalam sebagai hidangan kepada jemaah-jemaah yang selesai bertakbir dan berdoa. Setelah rombongan takbir beredar, sampailah giliran kami untuk mula berhuru-hara.
Halim sudah sedia mengeluarkan botol shisha nya, Hakim pula sudah bersedia dengan lastik dan lilin untuk permainan membakar mercun. Hanya Halim dan sepupu saya Rashid sahaja yang menghisap shisha dalam keluarga kami. Menurut Abang Am, Shisha adalah bahan hiburan bagi Arab Jahilliah yang miskin… kah kah kah kah.
Terdapat dua batallion perang pada malam itu. Hakim yang dibantu oleh Fazriq, bermain mercun letupan dan bunga api yang agak dewasa, manakala, anak-anak sepupu kami sebagai pemain bunga api kecil yang ternyata amat menghiburkan kanak-kanak yang masih belum mengenal erti kegembiraan sebenar.
Golongan yang lebih dewasa pula, hanya berkumpul dalam rumah, menikmati juadah sehingga masing-masing mengantuk. Saya, Hakim dan Hawa meneruskan kerja menghias rumah, setelah semua orang tidur. Malam itu saya sempat tidur beberapa jam sahaja sebelum menanti ketibaan pagi Syawal keesokannya.

















