Pagi 1 Syawal itu, oleh kerana tidak cukup tidur, maka saya menyambung lagi tidur setelah usai Subuh. Saya bangun kembali pada jam 7.30am. Ayah awal-awal lagi sudah bertolak ke Masjid. Setelah mandi dan bersiap, lantas saya dan Hakim bersedia untuk pergi ke surau berhampiran sahaja. Hakim yang terkenal dengan lambat bersiap itu selesai siap pada jam 7.55am. Dengan pakaian baju melayu lengkap penuh bergaya, kami memulakan langkah berlagak kami ke surau.
Sampai sahaja di pintu surau, dapat dilihat ramai jemaah yang sudah hadir, bertakbir dengan penuh semangat. Kami telah dipanggil oleh Hj Ramli, Pengerusi Surau supaya duduk di saf hadapan sekali. Ini adalah kerana beliau meminta supaya Hakim menjadi bilal pada pagi itu. Sebelum solat, seperti pagi-pagi Syawal yang dahulu, kami semua bertakbir lagi sehinggalah jam 8.30am.
Selesai solat sunat dan kutbah Syawal, kami pun bersolawat dan bersalaman sesama jemaah. Kami pulang ke rumah untuk sesi bermaaf-maafan bersama keluarga pula. Setelah itu, Kami bergambar dahulu seisi keluarga sebelum tetamu menyusul tiba.
Saya yang memang masih mengantuk, mengambil langkah biadap dengan bersembunyi dalam bilik untuk curi-curi tidur. Oh, sungguh nikmat terasa walaupun saya hanya dapat tidur untuk 1 jam lebih sahaja. Ini adalah kerana, pada jam 11.00am, Pak Suman, sahabat lama ayah datang bersama keluarga. Mereka adalah jiran kami dahulu, sebelum kami berpindah. Mereka sekeluarga sudah ibarat bersaudara dengan kami.
Anak Pak Suman, Asyraf, merupakan sahabat zaman kanak-kanak saya yang sudah 8 tahun tidak bertemu, dan 10 tahun tidak berbual mesra dengan saya. Kami sama-sama membesar dan meneroka zaman kanak-kanak pada masa dahulu. Dia banyak mengajar saya benda baru dan juga benda mengarut. Dia juga lah yang pernah mempengaruh saya untuk bercita-cita menjadi pelakon semasa kami darjah 1. Asyraf sudah bertunang, dan hampir berkahwin rupa-rupanya. Saya pula masih lagi belajar dan masih bujang serta liar… hehehehe.
Tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat tidak putus-putus kunjung tiba sehinggalah hampir senja. Apabila langit sudah jingga, barulah sunyi sedikit. Saya mula bersiap-siap untuk sesi kedua membakar sate. Masih ada 300 cucuk sate perlu dibakar untuk malam itu. Kali ini, setelah sedar dari kesilapan semalam, saya sudah menyahbekukan sate sejam lebih awal.
Akan tetapi, kesilapan yang lain pula muncul. Halim telah silap membeli arang. Dia telah membeli arang yang sangat susah untuk dihidupkan dan tidak sesuai untuk pembakaran sate. Akibat dari itu, arang lain perlu dibeli, dan pembakaran hanyalah bermula pada jam 8.30pm. Memang hampeh!
Malam itu, tetamu utama kami adalah Mak Ngah (kakak mak) dan dua anak-anaknya, Kak Ton dan Abang Jeman anak beranak, Cik Kiah (adik ayah) dan keluarga, Anak-anak Arwah Along (kakak ayah) sekeluarga, dan sepupu-sepupu saya bersama keluarga.
Turut hadir malam itu adalah beberapa lagi jiran tetangga yang tidak sempat datang pada siang hari. Oleh kerana sate agak lambat masak, maka mereka pun makan hidangan siang tadi, seperti rendang, ketupat, lontong, sambal kacang dan biskut-biskut raya sebelum sate dihidangkan.
Kesemua tetamu hanya pulang setelah jam 12.00am. Saya yang mengantuk pada awalnya, tetapi mata segar kembali setelah membuka komputer, dan bermain melayari internet. Bukan selalu saya dapat bermain internet di rumah, akan tetapi kerana Kak Ina telah membawa bersama modem tanpa wayarnya, maka saya pun lenjan sampai Subuh! Kah kah kah kah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan