Rabu, 28 Oktober 2009

Secangkir neslo semanis wajah

Pagi ini, saya antara yang paling awal datang ke pejabat.

Saya mencecah kaki kanan masuk pintu pejabat pada jam 8.59. Waktu paling aman dalam suasana pejabat ini. Pekerja lain biasanya hanya masuk pada jam 9.15. Kelebihan syarikat ini adalah waktu kerjanya yang sangat mudah lentur. "Flexible" dalam bahasa Inggerisnya. Ada juga yang perangai suka masuk lepas pukul 10 dan yang paling mantap datang sejurus selepas waktu makan tengahari. Yang tak datang terus pun ada. Buat kerja dari rumah je. Bos besar tidak beberapa kisah dengan kadar waktu masuk pejabat. Asalkan kerja mereka siap dan pelanggan tidak mengadu domba.

Bila datang awal, saya tak perlu bergegas-gegas. Tak perlu berhenti dahulu di hadapan pintu mengatur pernafasan. Tak perlu lap peluh di dahi pakai lengan baju. Masuk pejabat pun sambil tersenyum dan mengucapkan selamat pagi.

Selalunya watak watak yang mesti ada awal dalam pejabat sebelum saya adalah seorang eksekutif pentadbiran, seorang setiausaha bos besar, dan seorang kakak pembancuh teh.

Saya nak duduk tempat yang biasa saya duduk. Tapi sejak saya asyik kerja luar, tempat saya itu sudah menjadi rebutan. Ramai juga yang berebut tempat tu. Mungkin kerana ada nilai nilai estetika. Makwe pejabat pun suka berebut tempat itu. Apa yang sedap sangat ntah? Dah la kalau duduk tempat tu, kena jadi tukang picit butang remote pintu setiap kali ada tetamu datang.

Pagi ini saya dah malas nak berebut, walaupun saya datang awal. Lagipun atas meja itu dah ada botol air makwe pejabat. Mungkin dia dah cop tempat tu dari petang semalam. Saya beralah, saya duduk tempat yang makwe pejabat selalu duduk pulak. berhadapan dengan tempat rebutan.

Duduk kejap, semakin ramai watak pejabat yang masuk. Tapi tak beberapa ramai. Sebab ramai yang pergi Johor dan Kedah. Minggu ini saya tak pergi Johor. Tak dapat la saya tidur hotel 4 bintang, bedal sarapan mewah dan usya gadis Singapura. Bos suruh saya tinggal jaga pejabat. Apa-apahal kena berinteraksi dengan dia guna internet.

Rutin pagi, seperti biasa mesti memeriksa e-mel kerja dan e-mel peribadi. Takut-takut ada kerja semalam yang tak perasan. Kemudian disusuli dengan memeriksa Facebook. Memang sebagai remaja urban akhir zaman, memeriksa Facebook tidak dapat dipisahkan dari gaya hidup. Selalunya kakak pembancuh teh akan datang dan bertanya saya "Hadi, nak minum air apa? Akak buatkan."

Saya selalunya menolak dengan baik sebab saya lebih puas dengan bancuhan tersendiri.

Sudah puas membalas komen komen peminat di Facebook, tekak mula terasa masam, ibarat perlu dibasahi.

Ketika bangun untuk meninjau bilik makan, atau bahasa Inggerisnya, "pantry", saya tak jadi pergi dan duduk balik. Sebab kakak pembancuh teh sedang sibuk bergosip dengan makwe pejabat di dalam bilik makan, sambil makan nasi lemak sambal sotong. Kuat betul bau sotong dia. Hampir gatal saya dibuatnya.

Setelah beberapa ketika, saya nampak mereka mula membasuh bibir. Itu menunjukkan sudah tamat waktu bergosip bertemankan nasi lemak sambal sotong. Saya pun mula melangkah ceria menuju ke bilik makan. Sambil sambil itu cuba bersilu lagu cari jodoh oleh Wali Band. Tapi tak beberapa nak keluar bunyi sebab bibir saya longgar.

Sambil membancuh, saya berbual dengan kakak pembancuh teh. Kakak pembancuh teh memang suka berbual tak kira orang. Asalkan manusia agaknya. Tak pernah pula saya lihat dia berbual dengan almari ataupun mesin fotokopi. Kalau dia mula berbual dengan mesin fotokopi, pasti saya akan menelefon majalah Mastika atau Variasari.

Akhirnya, saya mendapat secangkir neslo bancuhan sendiri yang utuh, saya kembali ke meja.

Dengan nisbah 1 neskape : 2 milo : 1 susu pekat,
Tanpa gula,
Air panas menggelegak,
Dengan aroma kopi arabica,
Terasa seperti sedang menghirup kopi di pinggir tebing Casablanca.
Terasa enak neslo hangat mencemar kedinginan suhu.
Diperhatikan oleh gadis Maghribi.
Yang manis tersenyum memecah renungan.
Senyuman ikhlas diselindungi furdah.

Owh... bukan gadis Maghribi berfurdah sebenarnya. Cuma makwe pejabat yang duduk dekat depan.

Nampak mata sahaja pasal mulut terhadang oleh penghadang. Atau dalam bahasa Inggerisnya "Partition".




3 ulasan:

nand berkata...

sgt best.. mgkin juz cite pasal ko kt opis..tp aku ske gaya bahasa yg anda gunakan..tahniah hadi...sbb bt aku gelak sorg2 lam cabin nih..muahaha :P

honey berkata...

bob kalau menulis memang best..suke sangat baca..kalau buat novel mantap nih..

abdul hadi berkata...

nan, nadia, thanx..! hehehe! Akhirnya aku ada masa nak sambung tulis blog. hehehehe