Sabtu, 25 Julai 2009

Gaya hidup atlit rock kontemporari

Hari itu adalah hari ke dua saya terpanggil untuk menganggotai kursus bersama kumpulan yang diberi nama "The Great 3"

"The Great 3" Adalah satu pasukan superhero yang dilatih khas dengan tujuan berbakti jika ada musuh menyerang kawasan Cyberjaya.

Ketika sedang asyik menghirup neskape dan berselang-seli dengan mengunyah cekodok empuk petang itu, Ewan sebagai kapten pasukan datang menghampiri saya dengan raut wajah yang agak serius. Saya pasti ada niat tersembunyi di balik kehadiran beliau.

"Kau boleh tak main futsal esok? Kita tak cukup orang. Kita kena lawan pasukan lain. Ada tournament."

Memang lah tak cukup orang, lelaki kami hanya ada 6 orang.

"Boleh! Takde hal lah!"

Saya menjawab tanpa banyak fikir, sambil sapu-sapu minyak cekodok di bibir.

Salah satu syarat untuk menjadi superhero, mesti kata boleh.

Apakejadah?!

Saya cuba mengenang kembali bila kali terakhir saya main futsal.

Tak pernah pun!

Kali terakhir saya main bola sepak pun, masa tingkatan 5, 10 tahun yang lalu. Semenjak itu, sukan dengan saya sudah mula tak ngam dan tak kawan sangat.

..........


Esoknya, lepas habis kusus, kami sepasukan pun bersiap dan bertolak ke medan pertarungan. Kami sampai jauh lebih awal dari pasukan-pasukan lain. Itu sudah menunjukkan kemenangan pertama kami. Saya yang tidak biasa berpakaian sukan memakai baju t-shirt hitam berjenama lucah, seluar trek yang jarang dipakai, dan satu kasut skate Vans lama. Memang tak ada gaya seorang pemain futsal langsung.

Setelah berkumpul, Ewan mengetuai sesi merenggangkan otot dan memanas kan badan. Setelah itu sesi pembentangan undang-undang futsal juga Ewan buat. Saya khusyuk mendengar sambil mencatit apa yang patut. Sedang asyik mengatur strategi, pasukan lawan pun muncul. Saya sambut dengan senyuman yang mesra tapi tegas.

Bila tiba waktu permainan, pasukan gadis-gadis yang mula bertempur. Saya terjerit-jerit keriangan penuh semangat di tepi pagar sebagai tanda sokongan padu kepada pasukan gadis-gadis kami.




Kemudian tiba giliran kami pula, pasukan jejaka. Kami yang tiada pemain simpanan bermain dengan begitu kental dan bersemangat. Semangat datang berduyun-duyun bila gadis-gadis turut menjerit memberi sokongan moral dari luar pagar.

Saya juga bermain tak kenal erti lelah langsung. Posisi juga sudah tak keruan. Kejap jadi bek, kejap jadi midfield, kejap jadi striker. Cuma gol je tak pernah sumbat. Begitu seronok tak terkira. Main sambil mulut pun bising-bising. Nampak sangat tak ada gaya pemain futsal yang biasa. Kiranya tahap luar biasa lah ni.




Kami cukup puas hati dengan keseronokan bersukan. Tak sangka, seronok juga bermain futsal ni sebenarnya. Patut lah Choi ketagih melampau. Walaupun kami kalah, tapi kegembiraan kami mengalahkan kegembiraan pasukan-pasukan lain. Di tepi padang, begitu seronok kami berbual tentang kekalahan kami. Dah tak peduli langsung dengan pasukan lain.



"Masih terel jugak aku ni bersukan kan?" Saya cakap dekat Farah.

Farah diam tanda setuju.

Balik itu, saya terus berborak pasal bola dengan Daus. Daus dengar dengan teruja. Saya sibuk ajak daus untuk main futsal lain kali.

Esoknya, peha saya kejang-kejang sampai seminggu.

1 ulasan:

TeFirRorist berkata...

siak... gua buat2 teruja je bai...